PROSPEK ganti PTK mulai 1 Julai – Berita Harian


PROSPEK ganti PTK mulai 1 Julai

2011/05/19

PUTRAJAYA: Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata, lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

“Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa.

“Itu jaminan saya,” katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-CUEPACS Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini hari ini.

Turut hadir Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Pesara guru maut terhidu asap tebal dalam kebakaran – Utusan


Pesara guru maut terhidu asap tebal dalam kebakaran

19/05/2011 6:15pm

KOTA BHARU 19 Mei – Seorang pesara guru, Omar Ismail, 78, maut dipercayai lemas akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran rumahnya di Jalan Raja Dewa dekat sini awal pagi ini.

Kebakaran berlaku di bilik warga emas itu yang terletak di tingkat atas rumah banglo dua tingkat berkenaan. – Utusan

Pemandu lori mengaku tidak bersalah dera anak kandung – Berita Harian


Pemandu lori mengaku tidak bersalah dera anak kandung

2011/05/19

KLANG: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun dengan memukul mangsa menggunakan kayu.

K Segar, 39, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadia Othman.

Tertuduh yang berasal dari Bentong, Pahang didakwa melakukan kesalahan itu terhadap S. Anusia, di rumah No:8-15, Blok E, Perdana Villa Apartment, Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa di sini, antara 25 Disember tahun lalu sehingga akhir bulan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Iskandariah Md Tahir membantah sebarang ikat jamin kerana pertuduhan menggambarkan kekejaman yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa meskipun tertuduh adalah bapa kandungnya sendiri dan ia melibatkan kepentingan awam.

Segar yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak memohon kepada mahkamah untuk diikat jamin atas alasan tiada penjamin.

Nadia yang membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya menetapkan 3 Jun depan untuk sebutan kes bagi tertuduh melantik peguam dan 28 Jun sebagai tarikh perbicaraan kes.
Jumaat lalu, teman wanita Segar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas Anusia dengan menyimbah air panas dan memukul mangsa menggunakan getah paip serta kayu besar.

Tertuduh, Shalina Sundiri Abdullah, 41, turut didakwa memasukkan batang kayu mop dan cili padi ke dalam kemaluan kanak-kanak malang itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 326, Seksyen 324 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Kes penderaan Anusia terbongkar apabila Shalina menghantar mangsa ke satu pusat jagaan kanak-kanak di Taman Radzi di sini pada 6 Mei lalu.

Kakitangan pusat itu ternampak kesan kecederaan pada kanak-kanak itu dan kemudian membuat laporan polis.

Menurut laporan akhbar, kanak-kanak malang itu patah tangan kirinya dan terdapat kesan melecur pada tapak tangan dan keseluruhan tubuhnya dipercayai disimbah dengan air panas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang melawat kanak-kanak itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, baru-baru ini, berkata kanak-kanak itu kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Shahrizat berkata, mangsa perlu diberikan kaunseling secara berterusan berikutan trauma penderaan dahsyat yang dilaluinya. – BERNAMA

Dua lelaki termasuk remaja didakwa bunuh wanita – Berita Harian


Dua lelaki termasuk remaja didakwa bunuh wanita

2011/05/19

KEMAMAN: Dua lelaki termasuk seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam kejadian di Bukit Kuang pada April lalu.

Che Khairul Muuiz Che Din, 19, dari Kelantan dan Mohd Suhaimi Mohd Arip, 26, berasal dari Johor dituduh membunuh Ka’ Yah Said, 52, antara jam 3.30 hingga 5.35 pagi di rumah mangsa di Lorong Mengkuang I, Taman Desa Darul Iman II, Bukit Kuang, Chukai di sini pada 30 April lalu.

Kedua-dua mereka yang memakai baju lokap mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Zulkipli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dengan tangannya diikat manakala mulutnya ditampal pita pelekat di kediamannya, dalam satu kejadian samun, dan mangsa meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian selepas dibawa ke Hospital Kemaman. – BERNAMA

Tenang, teruskan tugas mengajar – Bernama


Tenang, teruskan tugas mengajar

2011/05/19

KPPK yakin kerajaan akan tangani rintihan 400,000 guru kelas biasa

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan dan masalah yang dihadapi kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata guru terbabit adalah ‘teras’ pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal perjuangan menjaga kebajikan mereka.

Yim Pheng berkata, kenyataannya adalah sebagai menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan guru terbabit dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru, baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada segelintir guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

“Ironinya disebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan mengenai rintihan dan masalah dihadapi guru kelas biasa.

Yim Pheng berkata, KPPK tidak akan menghampakan guru terbabit kerana mereka adalah tonggak pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Tanpa dedikasi guru kelas, guru besar dan pengetua saja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.

Tinjauan yang dilakukan semalam, mengesahkan kenyataan kesatuan itu ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya untuk ketua sekolah.

Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

“Setiap hari saya biasanya pulang ke rumah satu atau dua jam lebih lewat kerana saya perlu melanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah,” katanya.

Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan, berkata beliau sangat sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan sejawatannya tidak memperoleh apa-apa manfaat daripadanya.

“Kami juga bekerja keras, tapi pengumuman insentif itu seperti memperlihatkan dedikasi kami tidak dihargai,” katanya. – BERNAMA