Pelajar Perempuan Maut Ketika Kejar Peragut – Bernama


Pelajar Perempuan Maut Ketika Kejar Peragut

KANGAR: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di KM10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam Khamis.

Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu.

Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.

“Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantas leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.

Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.

Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.

Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.

“Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa,” katanya.

Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan. –¬†BERNAMA

Jangan ragui status halal susu UHT 1Malaysia: Muhyiddin – Bernama


Jangan ragui status halal susu UHT 1Malaysia: Muhyiddin

2011/05/20

BALING: Orang ramai tidak perlu meragui status halal susu UHT 1Malaysia kerana ia mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bekalan susu itu, yang diimport dari Korea Selatan, mempunyai sijil halal JAKIM selain sijil negara pengeksport.

Muhyiddin berkata, bekalan susu untuk diedarkan ke sekolah tidak mencukupi menyebabkan sebahagian darinya terpaksa diimport luar negara.

“Bagaimanapun orang ramai tidak perlu risau kerana JAKIM terlebih dahulu mengeluarkan arahan supaya syarikat pembekal susu ini memperoleh sijil halal sebelum membekalkannya. Jadi jangan risau,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Baling/Sik di Pulai di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas dakwaan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Pendang, Shaharol Niza Omar baru-baru ini mengenai susu berkenaan, yang didakwa tidak mempunyai logo halal JAKIM.

Mengulas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Muhyiddin berkata, kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin MCA bagi membincangkan isu kegagalan pelajar Cina mendapatkan biasiswa itu.

“Keputusannya biasiswa ini membabitkan Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan semua pemimpin parti komponen yang mewakili kaum masing-masing, keputusan dibuat mengikut formula ditetapkan.
“Apabila MCA membangkitkan semula perkara ini dan menyatakan ada pelajar Cina cemerlang gagal mendapat biasiswa, kita akan teliti semula,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata, mana-mana pelajar yang memenuhi kriteria merit yang ditetapkan iaitu memperoleh semua A+ tetapi gagal memperoleh biasiswa JPA wajar diketengahkan untuk diteliti semula.

“Kementerian tidak ada masalah dalam soal memperuntukan biasiswa ini kepada mereka yang layak malah ibu bapa beranggapan anak mereka layak kerana memperoleh semua A sedangkan kriteria yang ditetapkan adalah A+ bukan A atau A-. – BERNAMA

Bersabar guru tak naik pangkat, perbincangan masih berjalan: Muhyiddin – Bernama


Bersabar guru tak naik pangkat, perbincangan masih berjalan: Muhyiddin

2011/05/20

BALING: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kumpulan guru lepasan diploma yang tidak terbabit dengan kenaikan gred atau pangkat pada 1 Januari tahun depan supaya bersabar kerana perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masih terdapat keperluan dan kemungkinan dalam beberapa kes untuk diberi pertimbangan dan beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih tahu kedudukan perkara itu.

Muhyiddin, yang Menteri Pelajaran, ditanya pemberita mengenai pengumuman Perdana Menteri sempena Hari Guru 16 Mei lalu mengenai kenaikan pangkat dan gred guru tertentu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah warga pendidik.

“Saya sedar mengenai perkara ini (tidak puas hati) kerana ramai menghantar SMS. Saya akan bincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pelajaran untuk mencari jalan memenuhi tuntutan kesatuan-kesatuan guru.

“Kerana bilangan mereka ramai, dalam apa jua keadaan kita kena ambil kira keupayaan kerajaan. Dalam situasi sekarang kita hendak jimat belanja dan mengurangkan defisit,” katanya selepas merasmikan Kompleks Pejabat Pendidikan Baling/Sik berharga RM4.3 juta di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut mengambil kira kemampuannya untuk menanggung kos-kos tambahan akibat kenaikan gaji dan elaun.

“Kita masih ada masa enam bulan. Dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku…apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin Perdana Menteri tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi. “Bila sampai masa mungkin dia akan tokok. Jadi kita kena bersabarlah,” kata Muhyiddin.

Mengenai pendidikan, beliau berkata, strategi kerajaan adalah untuk mengecilkan jurang antara sekolah di bandar dan luar bandar supaya pencapaian pelajar tidak terlalu ketara.

Katanya, antara langkah yang diambil kementerian ialah meningkatkan infrastruktur dan kualiti sekolah luar bandar selain menambah peruntukan pembangunan dan pengurusan.

Muhyiddin berkata, guru yang dihantar ke luar bandar setanding dengan guru di bandar namun masalah dan cabaran di luar bandar tidak sama umpamanya dalam soal kehidupan, tempat tinggal, pengangkutan dan kebajikan.

“Perkara ini memberi kesan kepada mutu pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian akan mengenal pasti mengikut keutamaan sekolah yang perlu dibantu seperti yang daif dan jauh di pedalaman.

Sebelum itu, ketika berucap beliau berkata, pencapaian bidang pendidikan meningkat dengan ketara dalam tempoh dua tahun lalu sejak kerajaan melaksanakan bidang keberhasilan utama negara (NKRA).

“Kerajaan tidak berkompromi dalam soal pendidikan dan sebab itu lebih 26 peratus dari belanjawan negara diperuntukkan untuk sektor ini,” kata Muhyiddin. – BERNAMA

42 murid keracunan dibenar pulang – Utusan Malaysia


42 murid keracunan dibenar pulang

KULAIJAYA 19 Mei – Kesemua 42 murid Sekolah Kebangsaan Maju Jaya, Johor Bahru yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Aminah (HSA) petang semalam akibat keracunan makanan, dibenarkan pulang pagi ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani berkata, semua murid tersebut semakin stabil dan punca sebenar keracunan makanan masih dalam siasatan.

“Keputusan pihak hospital mengenai punca keracunan makanan akan diketahui dalam masa terdekat. Kita belum pasti sama ada disebabkan susu 1Malaysia atau makanan lain.

“Murid yang mengalami keracunan makanan itu adalah dari sesi petang iaitu Tahun Satu hingga Tiga,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Guru peringkat Johor di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.

Pukul 5 petang semalam, 42 murid itu dikejarkan ke HSA kerana sakit perut dan muntah-muntah dikatakan selepas minum susu tersebut di kantin.

Program Susu 1Malaysia dilancarkan 16 September lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan peruntukan sebanyak RM4 juta dalam usaha melahirkan generasi muda yang sihat dan cerdas.

Mohd. Nor berkata, kantin sekolah tersebut tidak disita dan masih beroperasi seperti biasa selagi punca keracunan belum disahkan.

Menurutnya, sebelum dirawat di HSA, murid itu terlebih dahulu dibawa ke Klinik Desa Kampung Maju Jaya tetapi ia sudah ditutup.