Kaji cadangan tubuh koperasi sekolah rendah: Muhyiddin – Bernama


Kaji cadangan tubuh koperasi sekolah rendah: Muhyiddin

2011/05/24

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengarahkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan penubuhan koperasi sekolah rendah di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun tidak dinafikan bahawa matlamat menyemai budaya perniagaan dan keusahawanan perlu dilakukan di peringkat awal, namun kajian terperinci bagi melihat impak dan implikasi terhadap anak-anak di sekolah rendah serta faktor usia mereka perlu diambil kira.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu akhirnya beban pengurusan terpaksa ditanggung oleh guru-guru yang menjaga koperasi sekolah,” katanya berucap merasmikan kolokium Pengerusi Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau sependapat dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya semua sekolah menengah di seluruh Malaysia menubuhkan koperasi di sekolah masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sedar bilangan sekolah menengah yang belum menubuhkan koperasi dan mendaftar dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) tidak begitu banyak dan sekolah berkenaan perlu menubuhkan koperasi serta mendaftar segera.

“Ia membolehkan koperasi sekolah mengikuti pelbagai program dan latihan yang dianjurkan pihak berkenaan kerana peluang seperti ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja,” katanya.

Bagi meringankan beban koperasi di sekolah, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sudah memansuhkan sewaan koperasi di sekolah mulai tahun ini menerusi pekeliling yang dikeluarkan pada 24 Ogos tahun lalu.
“Ini jelas membuktikan komitmen kementerian dalam membantu koperasi sekolah terutamanya yang baru ditubuhkan bagi membolehkan mereka merangka pelan perniagaan dengan lebih berkesan tanpa dibebani masalah sewaan,” katanya. – BERNAMA

8 juvana pukul pelajar sekolah agama diperintah berkelakuan baik – Bernama


8 juvana pukul pelajar sekolah agama diperintah berkelakuan baik

2011/05/24

MARANG: Lapan juvana yang sebelum ini mengaku bersalah menceroboh sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah agama pada 7 April lalu, diperintah berkelakuan baik selama dua tahun dengan bon jaminan bercagar sebanyak RM1,500 seorang.

Semua pelajar berumur antara 15 dan 17 tahun itu juga dikenakan syarat tambahan iaitu hadir ke bengkel anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh dua tahun bersama penjaga masing-masing.

Semua tertuduh terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat dan tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff.

Semua tertuduh sebelum ini mengaku bersalah menceroboh sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) di sini, antara 11 pagi dan 11.30 pagi 7 April lalu, yang juga kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mereka juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 17 tahun, pada masa dan tempat yang sama, kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Maut selepas cuci darah – Berita Harian


Maut selepas cuci darah
Oleh Irwan Shafrizan Ismail

2011/05/24

Mohd Faizol Mohd Sood

Mohd Faizol Mohd Sood

Pelajar mati, ibu parah motosikal langgar lori

KUANTAN: Seorang pelajar Tahun Enam yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjalani rawatan dialisis, maut manakala ibunya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori balak, di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, mangsa Mohd Faizol Mohd Sood, 12, dari FELDA Paching Utara, di sini yang membonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata ibu mangsa, Jeshiamat Jantan, 40, yang menunggang motosikal, cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori balak dari arah Gambang menghala ke Kuantan membuat pusingan U di lokasi terbabit.

Katanya, sebaik selesai membuat pusingan U, lori terbabit kemudian terus memasuki lorong sebelah kiri dan pada masa sama, motosikal dinaiki mangsa bersama ibunya melanggar bahagian belakang lori itu.

“Akibat rempuhan itu, pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah sebelum dibantu orang ramai dan dikejarkan ke HTAA,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Jasmani berkata, siasatan lanjut kes itu masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Sood Mohd Yaakob, 56, berkata beliau terkejut mendapat berita kemalangan membabitkan isteri dan anaknya yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Wira, di Jalan Sungai Lembing, dekat sini selepas dihubungi abang iparnya jam 3 petang.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah yang juga anak sulung dua beradik itu pada Sabtu lalu, sebelum meninggalkannya dan tidak pulang ke rumah kerana bekerja membawa bas ekspres,” katanya yang turut memaklumkan anaknya penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis sejak awal Januari lalu.

Permohonan bedah siasat kedua mayat remaja didengar esok – Berita Harian


Permohonan bedah siasat kedua mayat remaja didengar esok

2011/05/24

SHAH ALAM: Permohonan seorang ibu agar bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat anak lelakinya yang ditembak polis di Dengkil dekat sini pada 13 Mei lalu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Peguam N Surendran yang mewakili Salmah Mohamed Shariff, 41, berkata tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Khairul Nizam Abu Bakar semasa pengurusan kes hari ini.

Salmah memfailkan notis usul pada 19 Mei lalu memohon agar bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat Mohamad Johari Abu Bakar, 17, yang kini berada di Hospital Serdang, bagi memastikan kecederaan sebenar yang dialami oleh anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Beliau memohon perintah agar bedah siasat dijalankan ke atas mayat Mohamad Johari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan serta-merta untuk mengetahui punca kematiannya mengikut Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah.

Salmah juga memohon agar semua laporan serta dokumen berkenaan bedah siasat yang disiapkan ke atas mayat Mohamad Johari oleh PPUM dan Hospital Serdang diberi serta diserahkan kepada peguam caranya pada masa yang munasabah.

Dalam kejadian itu, Mohamad Johari yang dipercayai terbabit dengan geng samun kenderaan mewah, mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil.

Dilaporkan sebelum itu, beliau baru sahaja keluar dari hotel sebelum memasuki sebuah MPV yang diletakkan di belakang hotel tersebut.
Mohamad Johari dilaporkan tidak lagi bersekolah sejak kematian bapanya pada 2009. – BERNAMA

Remaja maut motosikal rempuh teksi – Bernama


Remaja maut motosikal rempuh teksi

2011/05/24

KUANTAN: Seorang remaja yang dalam perjalanan ke pusat mencuci kenderaan, maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah teksi di KM5, Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang di sini.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam itu, mangsa Abdul Rahim Mohd Ayob, 18, cedera parah dileher dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Lebih memilukan kejadian itu turut disaksikan bapa tiri mangsa yang juga dalam perjalanan ke pusat mencuci kenderaan berkenaan.

“Abdul Rahim dan saya bekerja di pusat mencuci kenderaan di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang, saya melihat kemalangan itu dan apabila menghampiri saya dapati ia membabitkan anak tiri saya,” kata Muhamad Ali Abdullah kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhammad, 38, berkata beliau sempat memangku mangsa yang ketika itu masih bernyawa.

“Sebaik sampai di hospital, saya dimaklumkan dia telah meninggal dunia,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff, ketika dihubungi berkata motosikal mangsa dilaporkan melanggar bahagian teksi jenis Proton Iswara ketika kenderaan berkenaan berhenti untuk mengambil penumpang.
“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – BERNAMA

Kanak-kanak dilaporkan hilang semalam ditemui mati lemas – Bernama


Kanak-kanak dilaporkan hilang semalam ditemui mati lemas

2011/05/23

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang petang semalam ditemui lemas di dalam sungai di Kampung Lalang, Padang Rengas di Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Polis daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad, berkata mayat Mohd Haikal Wazir, 6, ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.28 pagi tadi kira-kira satu kilometer dari tempat dia dikatakan hilang.

Beliau berkata, Mohd Haikal dilaporkan hilang pada jam 6.30 petang semalam oleh keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kedai runcit milik datuknya yang berhampiran.

“Sungai itu terletak dekat dengan rumahnya dan Mohd Haikal dipercayai pergi ke sungai itu seorang diri dan tergelincir sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, polis dengan kerjasama pasukan Bomba dan Penyelamat, RELA serta penduduk kampung kemudiannya melancarkan operasi mencari sehingga jam 12 tengah malam.

Superintendan Abdul Ghaffar, berkata operasi mencari disambung semula pada jam 8 pagi ini dan mayat Mohd Haikal ditemui kira-kira dua setengah jam kemudiannya.
Mayat Mohd Haikal dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat. – BERNAMA

NUTP syor perkenal skim khas beli buku – Berita Harian


NUTP syor perkenal skim khas beli buku
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/05/16

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran memperkenal skim khas untuk guru membeli buku bagi menggalakkan budaya ilmiah dalam kalangan warga pendidik seluruh negara.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata menerusi skim itu, guru dibenarkan membuat tuntutan buku di sekolah masing-masing bagi memudah dan mempercepat urusan bayaran semula.

Beliau berkata, harga sesetengah buku rujukan terutama yang diimport agak tinggi dan skim buku guru berkenaan dapat meringankan beban mereka untuk mengikuti perkembangan ilmu.

“NUTP mahu guru sentiasa mengemas kini pengetahuan dalam bidang masing-masing atau memperluas ilmu mereka dalam bidang lain.

“Skim ini juga membolehkan guru membeli buku fiksyen seperti novel dalam bahasa Melayu atau Inggeris berdasarkan minat mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adnan berkata, skim buku guru itu juga boleh meningkatkan pengetahuan guru selain merancakkan industri buku tempatan.

Beliau berkata, dengan lebih 400,000 guru di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran sekarang, jika mereka dibenarkan membuat tuntutan RM500 saja setahun, dana RM20 juta akan berlegar dalam industri buku negara ini.
“Dengan itu, proses jualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit lain lebih rancak sama ada di bandar atau luar bandar.

“Ini secara tidak langsung menggerakkan ekonomi luar bandar terutama di kedai kecil menerusi jualan bahan bacaan.

“Skim ini memberi keadaan menang-menang kepada guru dan juga kerajaan kerana kita dapat melahirkan guru yang sentiasa mengemaskinikan ilmu mereka” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai, Manjung, Perak.

Sempat tulis surat wasiat – Harian Metro


Sempat tulis surat wasiat

Oleh Mohd Shah Muda
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MERSING: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar sempat menulis wasiat minggu lalu yang hanya boleh dibuka selepas dia meninggal dunia, sebelum dia maut akibat kemalangan jalan raya, pagi kelmarin.

Allahyarham Mohd Hanif Omar, 14, dikatakan menulis wasiat berkenaan ketika menghadiri program motivasi di sekolahnya sebelum menyerahkannya kepada keluarga dan meminta dibaca apabila dia meninggal dunia kelak.
Bagaimanapun, keluarga tidak menyangka gelagat pelik anak periang berkenaan adalah petanda dia akan meninggal dunia, sehinggalah motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah Proton Wira di Jalan Mawar Felda Nitar jam 11.40 pagi kelmarin.

Kakaknya, Julia, 21, berkata, antara kandungan wasiat itu termasuk memohon kemaafan kepada ibu bapa, menghalalkan segala makan minum dan mengampuni dosanya.
“Selain itu, wasiat berkenaan turut meminta ibu bapa sampaikan salam kepada guru dan rakan-rakan serta meminta maaf daripada mereka,” katanya.
Menurutnya, sebaik pulang dari program motivasi itu Arwah menyampaikan wasiat berkenaan kepada ayah dan memintanya menyimpan surat itu hingga dia meninggal dunia, barulah boleh dibaca.

“Saya tidak sangka wasiat yang ditandatanganinya itu benar-benar berlaku kepada adik dan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya. “Kami sebak apabila bapa membacakan kandungan wasiat itu, namun reda dengan kejadian yang menimpanya,” katanya.
Sementara itu, bapa arwah, Omar Ismail, 63, yang sebak selepas membaca wasiat itu berkata, dia tidak sangka anaknya itu sudah meninggal dunia.

“Sebelum kejadian, arwah meminta wang RM1 untuk membeli aiskrim di kedai berhampiran sebelum bertandang ke rumah seorang rakannya. “Bagaimanapun tidak lama selepas arwah keluar rumah di Blok 10 A Felda Nitar, saya menerima panggilan telefon daripada rakannya memberitahu Hanif parah akibat kemalangan.
“Saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, saya dapati Mohd Hanif parah di kepala dan badan sebelum membawanya masuk ke dalam kereta untuk dihantar ke Hospital Mersing,” katanya.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan, ambulans tiba menyebabkan mereka memindahkan Mohd Hanif yang cedera parah ke ambulans sebelum menyambung perjalanan.
Katanya, anaknya diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian.
“Arwah seorang yang periang. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, pemandu Proton Wira berusia dalam lingkungan 30-an tidak cedera dan dipanggil memberi keterangan.
Beliau berkata, pihaknya belum tahu punca kejadian kerana terdapat beberapa versi dan berharap sesiapa mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kami berharap orang ramai akan membantu kami dalam siasatan,” katanya.

2 budak dibuang keluarga – Harian Metro


2 budak dibuang keluarga

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Daerah Petaling Jaya sedang berusaha mengesan waris kepada dua kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditinggalkan ibu bapa mereka sejak April lalu, dekat sini.

Misman Yusof, 12, dijumpai berkeliaran sejurus ditinggalkan ibu bapanya, di Damansara Damai sebelum dirujuk ke Balai Polis Damansara.
Mohd Firdaus Ismail, 12, pula didapati berkeliaran di sekitar Masjid Damansara Damai d dalam keadaan tidak terurus tanpa sebarang dokumen.

Kedua-dua kanak-kanak itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak JKM Daerah Petaling dan kes itu akan dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak pada 2 Jun ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak malang itu boleh menghubungi Nor Asmanizah Ahmad atau Noor Afdzan Mohd Sahandri Gani di talian 03-78422584.

Potong kaki dua mangsa – Harian Metro


Potong kaki dua mangsa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERLANTAR...kaki kanan Mohd Erwan terpaksa dipotong dan masih diberi rawatan di wad ICU, Hospital Ampang.
TERLANTAR…kaki kanan Mohd Erwan terpaksa dipotong dan masih diberi rawatan di wad ICU, Hospital Ampang.

SELAMAT...anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
SELAMAT…anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

AMPANG: Kaki seorang mangsa tragedi tanah runtuh yang tersepit dan tertimbus dari paras pinggang terpaksa dipotong di tempat kejadian bagi menyelamatkan nyawanya yang ketika itu sudah lemah akibat terlalu lama menanggung kesakitan.

Mangsa, Zulkhairi Aminuddin, 13, terpaksa mengharungi keadaan mengerikan itu selepas kaki kirinya didapati hancur dan mula bertukar menjadi kebiruan.
Menurut sumber hospital, pasukan perubatan yang ditugaskan terpaksa membuat keputusan sukar itu bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang semakin lemah akibat kehilangan banyak darah.

“Sebaik menemui mangsa di lokasi runtuhan, kami diarah melihat keadaan mangsa terlebih dulu dan mendapati lebih 90 peratus kakinya dalam keadaan parah.
“Kami terpaksa memotong kaki mangsa sehingga paras lutut di kawasan kejadian dan memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang (HA) bagi rawatan lanjut,” katanya.
Mangsa kini masih berada dalam keadaan lemah dan masih dirawat di ICU HA.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Erwan Zakaria, 33, juga kehilangan kaki kanan selepas mengalami kecederaan dan pendarahan dalaman yang dikhuatiri mengancam nyawanya.
Sumber itu berkata, selepas dikeluarkan dari runtuhan tanah, Mohd Erwan dikejarkan ke HA dan menjalani pembedahan selama kira-kira empat jam oleh sekumpulan doktor pakar tulang sebelum ditempatkan di ICU bagi rawatan lanjut.

“Kaki Mohd Erwan tidak hancur tetapi mengalami pendarahan dan kecederaan dalaman yang serius akibat tersepit terlalu lama dan tidak dapat diselamatkan. “Sekiranya kakinya dibiarkan dan hanya diberikan rawatan, kami bimbang ia akan dijangkiti kuman sehingga menjadi busuk seterusnya mengancam nyawa,” katanya.
Katanya, seorang lagi mangsa, Mohd Aizat Khusyairi Abdul Karim, 12, juga dirawat di ICU HA kerana kecederaan di kepala.
Menurutnya, setakat ini, keadaan ketiga-tiga mangsa stabil dan masih dipantau secara berterusan oleh pegawai perubatan dan jururawat.
“Hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat mangsa kerana pihak hospital tidak mahu emosi mereka terganggu dan boleh memudaratkan kesihatan kerana mereka masih trauma,” katanya.
Sumber itu berkata, pihak hospital sudah melakukan rawatan terbaik bagi memastikan mangsa yang terselamat mendapat rawatan sempurna dan kembali pulih sama ada fizikal atau mental.