Bekas isteri culik anak – Harian Metro


Bekas isteri culik anak

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak menyangka bekas isteri sanggup melarikan anak kami ketika mereka bercuti. Dia bukan saja menculik anak saya, malah ingkar arahan mahkamah yang menetapkan saya mendapat hak penjagaan selepas kami berpisah.

“Saya terlalu rindukan anak. Sambutan Hari Bapa baru-baru ini bagaikan tiada makna tanpa dia di sisi. Saya rayu supaya mana-mana pihak dapat membantu membawa dia pulang ke pangkuan saya,” kata Tan Eng Keong, 31, bapa yang kehilangan anak perempuannya selepas dilarikan bekas isteri ke Batam, Indonesia.
Menurutnya, dia tidak menduga tindakan bekas isteri membawa anaknya, Tan Xin Ru, 8, ke kampungnya di Batam untuk menyambut tahun baru dan Tahun Baru Cina dua tahun lalu rupa-rupanya mempunyai maksud tersirat untuk memisahkan mereka berdua.

 

Katanya, segala-galanya bermula selepas perkahwinan yang dibina pada Mac 2003 hanya bertahan empat tahun dan selepas itu, mahkamah memutuskan dia mendapat hak penjagaan ke atas anaknya itu.
“Pada November 2008, saya dikunjungi bekas isteri yang datang memohon untuk membawa anak saya ke tempat asalnya di Pulau Batam dan diperkenalkan kepada saudara mara di sana.
“Kerana memikirkan dia juga mempunyai hak, saya kemudiannya membawa anak berjumpanya di Batam. Ketika di sana, bekas isteri memberitahu mahu anak kami tinggal bersamanya sehingga tamat cuti sekolah dan akan menghantarnya pulang ke Malaysia,” katanya.

 

 

Menurutnya, memikirkan anaknya memerlukan kasih sayang ibu, dia bersetuju memberikan kebenaran untuk anak perempuannya tinggal lebih lama bersama bekas keluarga mentuanya itu.
“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah saya berkunjung ke rumah bekas isteri pada Februari 2009 untuk membawa pulang anak ke Malaysia kerana sesi persekolahan semakin hampir, namun terkejut apabila mendapati mereka tiada di rumah.

 

“Saya mendapatkan ahli keluarganya dan bertanyakan di mana anak saya. Seolah-olah sudah berpakat, mereka menjawab tidak tahu ke mana anak pergi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh.
Tan berkata, sebulan kemudian, dia berkesempatan menemui anaknya selama empat jam di Balai Polis Kota Besar Barelang, Kepulauan Riau selepas seorang rakan berjaya mengesan lokasi Xin Ru di sekolah di sana.
Dalam pertemuan singkat itu, anaknya hanya duduk di pangkuan bekas isterinya dan memaklumkan enggan pulang ke Malaysia kerana khuatir tidak dapat kembali ke Batam.
Sementara itu, Muhd Khairun berkata, pihaknya akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan di mana Xin Ru berada selain menyediakan dokumen berkaitan bagi membantu membawa pulang anak berkenaan kepada ayahnya seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Katanya, antara kandungan kerjasama itu termasuklah meminta Interpol mengeluarkan waran tangkap kepada wanita berkenaan kerana melarikan anaknya yang juga warga negara Malaysia ke Indonesia.
“Selepas itu, dokumen berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia supaya mengambil tindakan sewajarnya kerana isu hak penjagaan sudah diputuskan di mahkamah negara ini,” katanya.

Malu gambar bogel tersebar – Harian Metro


Malu gambar bogel tersebar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, menanggung malu apabila gambar bogelnya disebarkan individu tidak dikenali di kawasan sekolahnya, kelmarin.

Difahamkan, puluhan gambar bogel pelajar berusia 19 tahun itu dicetak di atas kertas A4 sebelum diedarkan kepada pelajar lain dan kakitangan sekolah.
Sumber berkata, mangsa menyedari penyebaran gambarnya kira-kira jam 7.30 pagi selepas dimaklumkan rakan sekelasnya yang melihat gambar lucah yang diubah suai.

 

Katanya, mangsa melihat gambar lucah itu dan terkejut apabila mendapati ia diubah suai. Gambar itu memaparkan mangsa berbogel bersama seorang lelaki tidak dikenali.
“Dalam gambar itu turut terpapar nombor telefon bimbit dan nama mangsa selain diselitkan kata-kata lucah,” katanya di sini, semalam.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wah mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Cabul, cuba perkosa anak – Harian Metro


Cabul, cuba perkosa anak

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tiga tuduhan masing-masing cuba merogol dan mencabul anak perempuannya, tahun lalu.

Bapa kepada empat anak yang berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba merogol anak kandungnya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, dekat sini jam 3 pagi, pada 21 Jun 2011.

 

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, pada masa dan tarikh sama, tertuduh didakwa mencabul mangsa sama manakala bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa mencabul mangsa, di tempat sama, jam 3 pagi pada pertengahan tahun 2010. Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia di dakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne tidak menawarkan jaminan kerana ia akan membahayakan mangsa sekiranya tertuduh masih mendekati mangsa. Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula memohon mahkamah memberikan jaminan kepadanya kerana isterinya bersedia untuk menjamin tertuduh.
Emelia Kaswati kemudian memanggil isteri tertuduh yang juga anggota tentera untuk memastikan mangsa tidak mendekati tertuduh selepas dia diikat jamin.

 

 

“Jika dibenarkan ikat jamin, saya akan pastikan suami berada di tempat lain. Saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan tertuduh mesti melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

 

Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan lantik peguam.

AS hantar 300 guru – Bernama


AS hantar 300 guru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

WASHINGTON: Kira-kira 300 lepasan ijazah rakyat Amerika Syarikat akan berkhidmat secara sukarela di sekolah terpilih di Malaysia termasuk kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di bawah program Sistem Pengajaran Inggeris Fulbright yang dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan pentadbiran Amerika Syarikat.
Muhyiddin berkata, dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama tahun lalu, sudah dicadangkan supaya program ala Peace Corps dibawa ke Malaysia bertujuan membantu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris.

 

Susulan itu, Muhyiddin berkata beliau sendiri mengadakan banyak perbincangan termasuk di peringkat kementerian dan kedutaan dan selepas pertemuannya dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton di Kuala Lumpur dan Washington, sudah diputuskan program pengajaran Bahasa Inggeris diteruskan, tetapi bukan ala Peace Corps sebaliknya program Fulbright.
Bercakap kepada wartawan Malaysia sempena lawatan kerja empat hari beliau ke Washington bermula Ahad, Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan pegawai kanan pentadbiran AS yang ditemui pada lawatannya kali ini bahawa 50 peserta program Fulbright akan dihantar ke Malaysia buat permulaan pada awal tahun depan.
Beliau berkata, peserta program Fulbright akan terbabit dalam pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah yang akan dilaksanakan dalam kaedah yang inovatif serta menyeronokkan.

 

 

“Kita nak reka program yang menyeronokkan dan menokok tambah daripada program sedia ada supaya pelajar lebih berminat bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Katanya, kehadiran peserta program Fulbright tidak akan mengakibatkan perubahan jadual waktu.-Bernama.

Budak mangsa ibu lepas geram – Harian Metro


Budak mangsa ibu lepas geram

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bukan saja ditampar, malah sering dicubit dan rambutnya ditarik ibunya sejak empat bulan lalu biarpun tidak melakukan sebarang kesalahan.

Difahamkan, wanita berusia 30-an terbabit menjadikan kanak-kanak itu sebagai tempat melepaskan geram selepas dia mengalami masalah dengan suaminya yang mahu menceraikannya.
Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 12 tengah hari di rumahnya di Bandar Mahkota Cheras, di sini, kelmarin, kanak-kanak itu sekali lagi ditampar, dicubit dan dipukul dengan rotan menyebabkan cedera di badan.

 

Berikutan kejadian itu, nenek mangsa yang mengetahui perbuatan itu nekad membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini, sekalipun mengetahui anak perempuannya itu bakal dikenakan tindakan.
Menurut sumber, wanita terbabit mula menjadikan mangsa sebagai tempat melepaskan geram selepas mengalami masalah dengan suaminya.
“Difahamkan, wanita itu bertindak demikian selepas suaminya mendakwa mahu menceraikannya. Sejak empat bulan lalu, selepas suaminya keluar dari rumah mereka, wanita itu sering memukul mangsa,” katanya.

 

 

Sumber berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu kemudian menahan wanita terbabit.
“Selepas merakamkan percakapannya, wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. Difahamkan, kanak-kanak itu yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah hospital berhampiran.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Belasah mahu RM1 – Harian Metro


Belasah mahu RM1

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hanya kerana RM1, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di ibu kota cedera kaki kanan dan badan selepas dibelasah rakan sebaya di hadapan sekolah berkenaan, kelmarin.

Difahamkan, mangsa dibelasah kerana enggan memberi wang.
Pelajar yang memukul mangsa juga dikenali sebagai ‘samseng junior’ di sekolah itu.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berjalan sendirian untuk pulang ke rumah sebelum dihampiri pelajar terbabit.
Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, pelajar terbabit meminta RM1.
“Mangsa mendakwa tidak memilik wang sebelum cuba meninggalkan kawasan berkenaan.

 

 

“Keengganan mangsa mengundang padah apabila pelajar itu sekali lagi menghalangnya dan mengugut untuk mencederakannya,” katanya.
Sumber berkata, sangkaan mangsa pelajar terbabit tidak berani memukulnya meleset apabila bajunya ditarik sebelum berlaku pergelutan.

 

Sumber berkata, pelajar terbabit beberapa kali menendang badan mangsa dan ketika itu mangsa merayu dikasihani.
“Pelajar terbabit melarikan diri selepas pengawal keselamatan sekolah itu yang menyaksikan kejadian berkenaan bergegas untuk membantu mangsa,” katanya.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini.

Lelaki rogol budak dihukum penjara, sebat – Utusan Malaysia


Lelaki rogol budak dihukum penjara, sebat

LEDANG 29 Jun – Seorang pekerja warung dihukum penjara lima tahun dan sebatan dua kali oleh Mahkamah Sesyen Tangkak di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Hakim Kamarudin Kamsun memerintahkan hukuman penjara ke atas Radin Suri Osman Romanti, 22, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Radin mengaku melakukan kesalahan itu antara pukul 7 dan 8 malam, 18 Jun lalu, di bilik sebuah hotel di bandar Muar.

Tertuduh yang berasal dari Sungai Mati, Ledang didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menemui mangsa bersama seorang rakan lelakinya ketika berjalan-jalan berhampiran Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebelum mereka dibawa makan di sebuah restoran di Jalan Abdullah dan dipelawa membeli baju.

Tertuduh kemudian membawa mangsa bersama rakannya ke sebuah hotel dengan alasan untuk bertemu ibunya dan menyuruh rakan mangsa mandi semasa dia merogol mangsa.

Mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada hari yang sama dan tertuduh berjaya diberkas keesokannya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asrof Adrin Kamarul manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Budak maut jatuh tali air – Utusan Malaysia


Budak maut jatuh tali air

 

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

 

KAMARUDDIN Li menunjukkan tali air di mana tempat anaknya terjatuh ketika bermain basikal di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus, Alor Setar semalam. – UTUSAN/SAFINA RAMLI

 

ALOR SETAR 29 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati lemas setelah terjatuh ke dalam tali air ketika bermain basikal di Kampung Parit Buaya, Alor Janggus, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mayat mangsa, Mohammad Fahmi Kamaruddin ditemui oleh bapanya Kamaruddin Li, 44, di dasar tali air yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Menurut ibunya, Nor Azalina Ahmad, 39, mangsa yang merupakan anak bongsu memang selalu bermain basikal di sekitar rumah mereka setiap petang, namun tidak pernah bermain sehingga ke kawasan tali air tersebut.

Katanya, dia menyedari sesuatu buruk berlaku apabila anak sulungnya, Mohd. Arif, 16, masuk ke dalam rumah selepas bermain tanpa kelibat Mohammad Fahmi.

“Saya dan Mohd. Arif mencari Mohammad Fahmi sehingga ke kawasan tali air dan ternampak kasut jenama Croc yang selalu dipakainya terapung.

“Jalan kampung ini baru diturap dan sebab itulah anak saya sering bermain basikal bersama abang dan kakaknya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Parit Buaya di sini hari ini.

Nor Azalina berkata, mereka kemudian dengan dibantu suaminya terjun ke dalam tali air yang sedalam paras dada dan menemui Mohammad Fahmi.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, dia menemui basikal anaknya di dasar tali air sebelum terjumpa anaknya.

“Saya tarik anak saya namun ketika itu dia sudah pucat serta kebiru-biruan dan kami bawa dia ke klinik berhampiran tetapi dia gagal diselamatkan,” katanya.

Ujarnya, Mohammad Fahmi baru pandai menaiki basikal itu yang sebelum ini digunakan abang-abangnya berusia sembilan dan 12 tahun.

“Kami tidak sangka dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga kerana tiada apa-apa perubahan sikapnya yang ketara,” jelasnya.

Bapa temui anak lemas di dasar tali air – Berita Harian


Bapa temui anak lemas di dasar tali air
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2011/06/30

Mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain basikal seorang diri

ALOR SETAR: Hancur luluh hati seorang bapa apabila menemui anak bongsunya berusia lima tahun di dasar tali air di depan rumahnya di Kampung Parit Buaya Alor Janggus, di sini malam kelmarin, dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam terusan itu.

Rasa tidak sedap hati Kamarudin Li, 44, dengan kehilangan anaknya, Mohamad Fahmi Kamarudin, kira-kira jam 7.30 malam, akhirnya terjawab apabila beliau menemui selipar berwarna biru milik mangsa terapung di dalam tali air berkenaan sebelum terjun ke dalam terusan bagi mencari mangsa.

Kamarudin berkata, anaknya yang juga murid tadika Permatang Gunung, di sini, dipercayai terjatuh ke dalam tali air itu yang terletak kira-kira 100 meter daripada rumahnya ketika sedang bermain basikal seorang diri lewat petang kelmarin.

Ketika kejadian, Kamarudin yang bekerja sebagai petani berkata, beliau berada dalam rumah bersama isteri dan tiga lagi anaknya terkejut apabila menyedari mangsa tidak pulang ke rumah walaupun sudah masuk waktu Maghrib.

“Kami sekeluarga terus mencarinya di sekeliling rumah, termasuk di tempat dia bermain bola petang sebelum kejadian tetapi gagal. Bagaimanapun, tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati, terus pergi ke tali air di depan rumah dan terkejut melihat selipar Mohamad Fahmi yang berwarna biru terapung dalam tali air ini.

“Tanpa berfikir panjang saya terus terjun ke dalam tali air bersama penduduk kampung untuk mencari anak saya dan tidak lama selepas itu saya menemui anak saya bersama basikalnya di dasar tali air berkenaan,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Gunung, dekat sini, pagi semalam.

 

300 bantu pembelajaran BI – Berita Harian


300 bantu pembelajaran BI
Daripada Norhayati Md Said di Washington DC
yatisaid@bharian.com.my
2011/06/30

MUHYIDDIN merasmikan BIO Exhibition 2011 bersama  Pengerusi/Ketua Eksekutif Pertubuhan Industri Bioteknologi, James C Greenwood (empat dari kanan) dan Gabenor Maryland, Martin O' Malley (tiga dari kanan) 
di  Washington Convention Center, semalam.

MUHYIDDIN merasmikan BIO Exhibition 2011 bersama Pengerusi/Ketua Eksekutif Pertubuhan Industri Bioteknologi, James C Greenwood (empat dari kanan) dan Gabenor Maryland, Martin O’ Malley (tiga dari kanan) di Washington Convention Center, semalam.

50 pengajar dari AS sertai program Fulbright bermula Januari

SERAMAI 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat akan membantu kerajaan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris pelajar di negara ini menerusi program Fulbright, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah kesinambungan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada peringkat awal, pegawai kanan AS yang dalam pertemuan dengan Muhyiddin berjanji menghantar 50 pengajar mulai Januari depan dan ditambah secara berperingkat.

“Program ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah membantu Kementerian Pelajaran meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, program menghantar tenaga pengajar sukarela itu sudah lama dilaksanakan oleh AS dan ditanggung oleh negara itu tetapi bagi program di Malaysia, kerajaan turut memberi peruntukan RM1.4 juta bagi memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar.

Program tidak akan mengganggu kurikulum pengajaran bahasa Inggeris sedia ada, sebaliknya mereka menggunakan masa luar sekolah dengan teknik pembelajaran menyeronokkan.
“Kita akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi program berkenaan dan diharap dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun. Tenaga pengajar akan diberikan orientasi supaya dapat mengenali adat resam dan budaya rakyat Malaysia sebelum ditempatkan di hantar, termasuk Sabah dan Sarawak serta dipantau seorang penyelia,” katanya.

Muhyiddin berkata, Terengganu sebenarnya sudah memulakan program berkenaan dan setakat ini maklum balasnya amat memberangsangkan sama ada daripada pelajar mahupun guru berkenaan.

“Pelajar sangat gembira dan lebih mudah menguasai bahasa Inggeris, manakala guru terbabit pula sangat bersungguh-sungguh. Setakat ini Terengganu sudah melaksanakan 17 program seumpama itu. Kejayaan itu mungkin kerana teknik yang mereka ajar lebih menyeronokkan. Berikutan itu, kerajaan tidak akan mengadakan lagi projek perintis dan akan terus meletakkan tenaga pengajar itu di sekolah yang akan dikenal pasti,” katanya.