Perkosa lepas singgah ‘mandi’ – MyMetro


Perkosa lepas singgah ‘mandi’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Dua remaja perempuan berusia 14 dan 17 tahun mendakwa dirogol teman lelaki masing-masing selepas tertidur di ruang tamu sebuah rumah pangsa, Taman Keramat, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, sebelum kejadian dua remaja itu mengikut teman lelaki mereka berusia 23 dan 19 tahun bersiar-siar sebelum singgah di rumah bapa saudara seorang daripada lelaki terbabit kira-kira jam 4 pagi.
Katanya, seorang daripada teman lelaki mangsa memberi alasan singgah di situ kerana mahu mandi dan perlu ke tempat kerja selepas itu.

 

“Sementara menunggu kedua-dua lelaki itu mandi, mangsa tertidur di ruang tamu rumah sebelum mereka dirogol teman lelaki masing-masing di ruang tamu dan dalam bilik. Kedua-dua suspek mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran dan ditinggalkan di situ.
Sumber itu berkata, sejurus pulang mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarga masing-masing sebelum kedua-dua keluarga berang dan mencari suspek.

 

 

Berikutan itu, seorang daripada ahli keluarga mangsa mengamuk sehingga berlaku pergaduhan di rumah suspek sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.
Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit ditahan bagi membantu siasatan manakala mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

 

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kedua-dua suspek direman sehingga 6 Jun ini.

1,000 anak pesawah sertai seminar SKOR A – Berita Harian


1,000 anak pesawah sertai seminar SKOR A

2011/06/03

PENDANG: Seramai 1,000 pelajar daripada anak pesawah yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai seminar anjuran Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Berita Harian.

Turut serta dalam program itu anak yatim Yayasan Al-Bukhary dan anak kakitangan BERNAS.

Seminar empat hari itu dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama berakhir semalam, manakala kedua mulai Isnin hingga Khamis depan dan diadakan di Pendang Lake Resort, di sini.

Seminar itu menitikberatkan empat mata pelajaran utama iaitu, Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

Pengurus Besar Kanan Modal Insan dan Pentadbiran BERNAS, Mohamad Nazuir Toee berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita bukan saja memberi pendedahan tetapi menyuntik semangat peserta untuk komited belajar supaya mencapai keputusan cemerlang, sekali gus dapat mengubah kehidupan pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan seminar itu, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said; Pengarang Pendidikan Berita Harian, Mohd Yusuf Abu Bakar dan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat BERNAS, Sabrina Yon.
Mohamad Nazuir berkata, program itu usaha sama kedua selepas Program `SKOR A’ Anak Petani dengan kerjasama Berita Harian yang diadakan tahun lalu di Dusun Minda Resort, Kuala Nerang.

‘Pulanglah Angah, ibu sakit’ – Utusan Malaysia


‘Pulanglah Angah, ibu sakit’

ZAINUDIN Dollah dan Zarena Ednan menunjukkan gambar Nur Zaidatul Nadirah di Kuarters Kerajaan Kampung Melayu, Jerantut kelmarin.

 

JERANTUT 2 Jun – Pasangan suami isteri di sini merayu anak mereka, Nur Zaidatul Nadirah Zainuddin pulang ke pangkuan keluarga bagi melanjutkan pengajian ke tingkatan enam yang akan bermula tidak lama lagi.

Bapa gadis itu, Zainuddin Dollah, 45, berkata, isterinya, Zarena Ednan, 41, kini sedih dan murung kerana mengenangkan nasib anak mereka yang berusia 18 tahun itu.

Menurut beliau, Nur Zaidatul yang dipanggil ‘Angah’ di kalangan ahli keluarga dipercayai lari dari rumah setelah dimarahinya kerana enggan pergi bekerja di sebuah stesen minyak di bandar ini.

”Ayah berharap Angah pulang segera dan pakaian seragam serta keperluan lain untuk masuk tingkatan enam sudah disediakan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Zainuddin, Nur Zaidatul mula bertindak keluar dari rumah pada 18 Mei lalu dan tidak pulang sehingga kini.

Beliau berkata, anak gadisnya itu berbuat demikian sewaktu ibunya pergi ke pasar untuk membeli barangan keperluan.

“Apabila ibunya pulang ke rumah, dia menyedari bahawa Angah telah lari dengan membawa beberapa helai pakaian serta barangan peribadi,” katanya.

Menurutnya, dia berusaha menghubungi saudara mara di Kuala Lumpur, Melaka, Kuantan dan Temerloh bagi menjejaki Nur Zaidatul tetapi hampa.

Justeru katanya, dia melaporkan kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut pada 22 Mei lalu dan sehingga hari ini masih belum mengetahui nasib anaknya itu.

Sementara itu, Zarena berkata, sejak Zaidatul meninggalkan rumah, dia hanya mampu menangis dan kesihatannya juga terjejas.

”Emak memaafkan Angah di atas segala perbuatan yang lalu. Pulanglah, kami berdoa dan menunggu Angah di rumah,” katanya.

Orang ramai yang pernah terserempak atau mengenali Nur Zaidatul diminta menghubungi Zainuddin di talian 017-9041786 dan Zarena, 019-6069554 atau balai polis berhampiran.

Peroleh 8A ke atas dapat tajaan Mara – Utusan Malaysia


Peroleh 8A ke atas dapat tajaan Mara

 

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

 

Mohd. Shafie Apdal (kanan) beramah mesra dengan para penerima anugerah selepas merasmikan sambutan Hari Pendidik Mara 2011 di PICC, Putrajaya, semalam.

 

PUTRAJAYA 2 Jun – Semua pelajar cemerlang Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat lapan A ke atas akan mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) walaupun gagal dalam sesi temu duga.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian tajaan tersebut akan dikelaskan kepada dua bahagian iaitu tajaan untuk pengajian luar negara dan dalam negara.

Menurutnya, pelajar yang lulus sesi temu duga sahaja akan ditawarkan tajaan mengikuti program ijazah luar negara dan mereka yang gagal pula ditawarkan tajaan melanjutkan pelajaran dalam negara.

“Mara tidak mengamalkan sikap ‘pilih kasih’, semua pemohon akan diberikan tajaan mengikut kemampuan masing-masing. Bagi mereka yang gagal dalam sesi temuduga, kita tetap tawarkan tajaan melanjutkan pelajaran di dalam negara dan terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak,” katanya.

Beliau mengulas rintihan seorang pelajar cemerlang yang mendapat lapan A+ tetapi gagal mendapat tajaan Mara seperti yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia hari ini.

Pelajar terbabit mendakwa dia difahamkan oleh pihak Mara terdapat lebih seratus pelajar cemerlang telah gagal mendapat tajaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menurut Mohd. Shafie, Mara tidak boleh menaja kesemua pemohon melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Justeru sesi temu duga yang dilakukan bertujuan untuk menapis pelajar cemerlang dan mengukur tahap kemampuan pelajar berkenaan. Mereka perlu akur dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengikut langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat berteraskan kecemerlangan dengan mengkategorikan guru mengikuti empat lapisan jawatan.

Katanya, prosedur kenaikan pangkat baru itu seratus peratus menyamai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.

Menurut beliau, langkah tersebut diyakini mampu memperluaskan kerjaya perguruan dan seterusnya membuka laluan mencapai gred 54 dalam tempoh perkhidmatan selama 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat ditetapkan.

Perkasa gesa kerajaan bantu pelajar bumiputera cemerlang – Utusan Malaysia


Perkasa gesa kerajaan bantu pelajar bumiputera cemerlang

KUALA LUMPUR 2 Jun – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan membantu pelajar bumiputera yang cemerlang tetapi gagal mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pelajar-pelajar cemerlang itu termasuk mereka yang menuntut di Mesir terutama dalam bidang perubatan yang tidak mendapat sebarang bantuan sama ada biasiswa mahupun pinjaman.

“Ada sebahagian daripada mereka dibiayai pinjaman kos bayaran universiti sahaja dan kos sara hidup ditanggung sendiri. Terdapat juga yang terpaksa berhenti kerana masalah kewangan.

“Perkasa meminta agar kerajaan prihatin dengan perkara itu seperti layanan yang diberikan kepada biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kelmarin bahawa seramai 86 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal peroleh biasiswa JPA ke luar negara akan dibiayai ke institusi pengajian tinggi swasta tempatan.

Tambah Ibrahim, dalam menjaga hati kaum lain, kerajaan juga tidak seharusnya melupakan hak dan kepentingan kaum bumiputera.

Katanya, terdapat seramai 6,000 pelajar perubatan Melayu di Mesir dan dianggarkan lebih 3,000 daripadanya tidak mendapat pinjaman pengajian dan jumlah itu tidak termasuk pelajar perubatan di Indonesia serta Rusia.

Sementara itu, Perkasa juga mengucapkan tahniah kepada MCA dan MIC atas kejayaan mendapatkan biasiswa untuk 71 baki pelajar Cina dan 11 pelajar India yang tercicir sebelum ini.

“Tahniah juga pada kerajaan atas keprihatinan dan saya percaya biasiswa JPA kini sudah di tahap 5O-5O. Semoga kaum Cina dan India akan menghargai kemurahan hati kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu Ibrahim menyokong penuh permintaan Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (Mitasa) dan Persatuan Akademik UiTM (UTiMAS) agar skim gaji universiti itu disemak semula.

Beliau berkata, tuntutan itu amat wajar dan kerajaan wajib mempertimbangkan kerana sudah lebih 10 tahun gaji pensyarah dan kakitangan UiTM tidak disemak.

Ibu ratapi kematian anak maut nahas – Utusan Malaysia


Ibu ratapi kematian anak maut nahas

IBU meratapi kematian anaknya, Mohd. Hafiz Mohd. Johari di tepi Lebuh Raya Kajang-Seremban menghala ke Semenyih di Hulu Langat, semalam. – Utusan/Muhamad Iqbal

 

HULU LANGAT 2 Jun – Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat anak lelakinya berusia 15 tahun terbujur kaku selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kajang-Seremban berhampiran susur keluar Sungai Long menghala ke Semenyih di sini hari ini.

Tangisan wanita berusia awal 40-an itu mengundang simpati semua pengguna kenderaan apabila dia dilihat memeluk mayat anaknya, Mohd. Hafiz Mohd. Johari, yang maut dengan kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang apabila motosikal ditunggangi remaja itu dikatakan merempuh sebuah kereta Proton Wira.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Deputi Supritendan Zainuddin Mahadi berkata, mangsa yang berasal dari Sungai Jelok, Kajang dikatakan menunggang motosikal itu bersama seorang rakan.

“Bagaimanapun, selepas kemalangan itu, mangsa dibiarkan terbaring manakala rakannya pula menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku dan akan mengesan rakan mangsa bagi membantu siasatan.

Zainuddin memberitahu, mangsa berkemungkinan tidak memiliki lesen memandangkan berusia bawah 16 tahun.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Puad Zarkashi tegur guru besar jarang turun ke sekolah – Bernama


Puad Zarkashi tegur guru besar jarang turun ke sekolah

2011/06/02

SANDAKAN: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, menegur sikap segelintir guru besar yang jarang bertugas ketika sesi persekolahan.

Beliau berkata, sikap sedemikian mencemar nama baik guru besar lain yang berdedikasi selain menjejaskan kerjaya perguruan.

“Ia juga boleh menjejaskan pencapaian pelajar di sekolah tempat guru besar itu bertugas, dan mendapat pandangan negatif daripada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bambangan dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Puad melawat sekolah rendah di pulau sekitar Parlimen Batu Sapi, antaranya SK Pulau Shanghai, SK Pulau Timbang, Sk Terusan Baru dan SK Kampung Baru.

Ketika lawatan, beliau menerima aduan daripada penduduk kampung yang mendakwa guru besar sekolah di kawasan mereka jarang turun bertugas ketika sesi persekolahan.

Puad berkata, dua guru besar didapati tidak berada di sekolah yang dilawatinya, menyebabkan beliau tidak boleh melihat kerosakan blok bangunan di sekolah berkenaan.

Justeru, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah diminta mengambil perhatian berhubung perkara itu serta melakukan lawatan mengejut bagi mengenal pasti guru besar yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. – BERNAMA