2 jam tersepit – Harian Metro


2 jam tersepit

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam selepas kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Krubong Perdana, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Fakrul Hakim Mohd Fauzi, 8, dipercayai tergelincir di dalam tandas ketika hendak mandi, menyebabkan kaki kirinya tersepit sehingga paras paha.
Menurut ibunya, Norliatun Razali, 32, ketika kejadian berlaku dia di ruang tamu rumah sebelum terdengar jeritan anak sulung daripada tiga beradik itu.

 

“Tiba-tiba saya dengar anak saya menjerit meminta tolong dan menangis, lalu saya bergegas mencarinya. Saya terperanjat melihat kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas dan dia cuba mengeluarkannya tetapi tidak berjaya.
“Dalam keadaan cemas itu, saya suruh dia jangan banyak bergerak kerana bimbang mengalami kecederaan lebih teruk,” katanya.
Katanya, selepas gagal membantu mengeluarkan kaki anaknya, dia mendapatkan bantuan jiran dan mereka menggunakan pelbagai cara, termasuk memasukkan buih sabun dan syampu, namun masih gagal.

 

 

“Saya kemudian menghubungi pihak bomba bagi meminta bantuan kerana bimbang kaki anak saya cedera lebih teruk,” katanya.
Pegawai Operasi II, Hadzar Hassan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.15 malam daripada keluarga mangsa.

 

Menurutnya, usaha mengeluarkan kaki kanak-kanak itu hanya berjaya dilakukan jam 8.26 malam kerana struktur konkrit pada lantai tandas itu sukar dipecahkan.
“Selain berusaha menenangkan mangsa, sebahagian lantai tandas itu terpaksa dipecahkan sedikit demi sedikit supaya kaki kanak-kanak itu dapat dikeluarkan dengan selamat.
“Satu lubang terpaksa dibuat di belakang mangkuk tandas itu sebelum kaki mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa kecederaan,” katanya.

Perlu akui hakikat – Harian Metro


Perlu akui hakikat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hubungan terlarang membabitkan pelajar sekolah dan remaja semakin membimbangkan, dengan ramai mengaku kehilangan dara menjelang umur 18 tahun dan melakukannya dengan lelaki berlainan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, ini berdasarkan soal selidik membabitkan 2,800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com, baru-baru ini.
“Sebanyak 60 peratus gadis hilang dara menjelang umur 18 tahun, manakala 24 peratus daripada mereka mengaku pernah melakukan seks dengan lima kekasih.

 

“Hasil kajian rambang ini mungkin mengejutkan beberapa pihak, tapi inilah ‘reality check’. Kita kena terima hakikat remaja hari ini tahu mengenai seks lebih awal, seawal 10 atau 11 tahun.
“Majoriti memperoleh maklumat daripada teman sebaya atau Internet, dan ada juga mengenali seks melalui pornografi. Sangat sedikit mendapat pendedahan awal mengenai seks dengan bertanya ibu bapa atau guru,” katanya.
Menurutnya, 74 peratus remaja yang melakukan seks mengaku tidak mengamalkan kaedah perlindungan.

 

 

Malah, 83 peratus memberitahu tidak mengalami kesan negatif daripada tindakan mereka. Separuh daripada mereka berasa ‘bahagia’ kerana pengalaman seks itu.
Kira-kira 30 peratus remaja pula memikirkan seks setiap hari dan 50 peratus tidak pasti mereka ada pengetahuan cukup mengenai seks sebelum mengadakan hubungan.

 

Malah, berdasarkan soal selidik sama, ada 33 peratus hasil menunjukkan kemungkinan anak gadis yang masih belajar di tingkatan empat pernah melakukan hubungan seks. Dua daripada tiga pelajar melakukan hubungan seks kerana ingin mencuba dan bersuka-suka, manakala selebihnya kerana mengikut kehendak teman lelaki atau diajak kawan.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menunjukkan sebanyak 111 kes remaja hamil sepanjang empat bulan pertama pada 2010, menurun berbanding 131 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.

Kes remaja terlanjur menakutkan – Harian Metro


Kes remaja terlanjur menakutkan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar remaja kini didapati bukan saja menjadikan hubungan seks terlarang sebagai percubaan, malah hobi mengisi masa lapang.

Fenomena menakutkan itu didedahkan penceramah bebas juvana, Mohd Yunus Mohd Ali, selepas sebilangan besar remaja bermasalah mengaku melakukannya untuk berseronok pada masa lapang.
Beliau berkata, golongan itu biasanya mendapat maklumat berkaitan seks, termasuk bahan lucah, melalui Internet atau video di rumah, selain telefon bimbit rakan.

 

“Selesai berceramah, saya buka peluang untuk mereka meluahkan isi hati dan saya sebenarnya terkejut dengan pengakuan diluahkan.
“Selepas melakukan seks sekadar suka-suka, mereka kini menjadikannya sebagai kegemaran dan ia perkembangan menakutkan,” katanya.
Situasi berkenaan turut diakui Pengasas Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Haliza Abdul Halim selepas melihat jumlah kes remaja terlanjur semakin serius.

 

 

Menurutnya, banyak kes diterimanya kini membabitkan remaja di bangku sekolah yang terlanjur dengan teman lelaki, selain menjadikan seks bersama rakan sebagai hobi.
“Berbanding lima tahun lalu, kebanyakan kes membabitkan remaja lepasan sekolah berusia antara 20 hingga 26 tahun, tetapi kebelakangan ini seawal 13 tahun.

 

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan, kita melihatnya sebagai masalah utama yang sangat membimbangkan. Jika tidak ditangani dengan segera dan betul, kita khuatir ia terus membarah hingga sukar ditangani,” katanya.
Dalam kebanyakan kes diterimanya, hampir 90 peratus mengaku melakukan seks dengan teman lelaki dan mengulanginya dengan teman baru.
Malah, kebanyakannya mengakui mempelajari perlakuan itu daripada sumber yang mudah dicapai seperti di laman Internet atau filem lucah.
“Mereka sebenarnya bermula melalui pengalaman sendiri. Mereka mempelajarinya daripada Internet atau video lucah dan kemudian diterjemahkan dalam bentuk sembang, sama ada antara teman lelaki atau dengan rakan rapat masing-masing.
“Selepas itu perbualan bertukar kepada cuba-cuba seperti bercium, berpelukan, seterusnya adegan seks ringan. Bila seronok dengan apa dilakukan, mereka cuba pula melakukan seks lebih berat hinggalah seks luar nikah,” katanya.
Haliza berkata, kebanyakannya mengaku bebas melakukan seks berikutan tiada pemantauan ibu bapa, malah ibu bapa membenarkan anak mereka keluar rumah tanpa mengetahui aktiviti dilakukan.
Ada ibu bapa yang tidak tahu anak mereka membawa teman lelaki balik ke rumah dan melakukan seks secara sembunyi.
“Bukan mahu menyalahkan ibu bapa. Namun, memang ada ibu bapa tidak tahu pergerakan anak apabila ditanya, termasuk apa dilakukan dalam rumah sendiri.
“Ada kes di mana remaja mengaku pergi ke negeri lain untuk berjumpa teman lelaki dan bermalam di sana tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya.
Katanya, sebagai NGO yang bertanggungjawab melindungi remaja hamil luar nikah, tugas mereka adalah memastikan mereka selamat melahirkan anak.
“Ini yang kita ingin tegaskan. Apabila menjaga mereka, kita terapkan dengan pengetahuan agama serta latihan kemahiran bagi mengelak mereka terjebak dan mengulangi perbuatan zina yang terkutuk itu.
“Namun, setakat itu tugas kami. Apabila remaja terbabit keluar, ibu bapa serta keluarga perlu memainkan peranan mereka. “Jika tidak mahu anak bergelumang dengan kegiatan lama, mereka hendaklah memantau pergerakan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya berharap semua pihak, khususnya ibu bapa, memberi lebih perhatian terhadap aktiviti anak.
Katanya, ibu bapa atau penjaga perlu ada perasaan curiga terhadap anak kerana itu antara cara mengawal pergerakan mereka.
“Curiga bukan bermaksud menjadi cerewet dalam semua hal, sebaliknya bagi memastikan keselamatan anak.
“Jika terlalu mempercayai anak dan mengiyakan perbuatan mereka tanpa perasaan curiga, ia mungkin digunakan remaja untuk melakukan perkara tidak bermoral,” katanya.

Sebak lihat mayat anak – Harian Metro


Sebak lihat mayat anak

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle

BEGINI... Halim   menceritakan bagaimana beliau melihat melalui cermin pandang belakang keretanya.
BEGINI… Halim menceritakan bagaimana beliau melihat melalui cermin pandang belakang keretanya.

MACHANG: Pilu hati seorang bapa apabila melihat dari awal hingga akhir bagaimana anaknya terbabit kemalangan jalan raya sebelum mengangkat jenazah anaknya keluar dari kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang mengorbankan tiga sepupu termasuk dua beradik, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 46.8 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, Norhasmalinda Halim, 24, dan dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd Saari, 14, dan Nor Azura Mohd Saari, 18, yang juga adik-beradik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan badan.
Kejadian berlaku ketika Norhasmalinda dan dua sepupunya dalam perjalanan dari Bandar baru Gua Musang, ke majlis kenduri kahwin seorang sepupu di Kampung Aur, Bachok.

 

Difahamkan, kereta Wira dipandu Norhasmalinda bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Rexton yang datang dari arah Kota Bharu.
Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 43, berkata dia dan anaknya bertolak kira-kira jam 7.30 pagi dari Bandar Baru Gua Musang dan berkonvoi dua kereta ke majlis perkahwinan sepupu mereka di Kampung Aur, Bachok.
Katanya, dia menaiki sebuah kereta Mercedes bersama isteri, Mariah Ismail, 45, dan tiga lagi anaknya, manakala Noshasmalinda memandu sebuah lagi kereta bersama dua sepupunya.

 

 

“Ketika kira-kira lima kilometer lagi ke simpang Machang, saya melihat cermin belakang dan nampak anak saya terbabit kemalangan. Saya berada di depan selang tiga kereta.
“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata dan saya berpatah balik untuk melihat keadaan anak tetapi dia sudah meninggal dunia sebelum saya mengangkatnya keluar dari kereta.

 

“Saya turut melihat dua anak saudara saya tidak lagi bernyawa tersepit di dalam kereta,” katanya yang turut memberitahu dua anak saudaranya tidur di rumahnya di Gua Musang sempena cuti sekolah dan mahu dihantar pulang dalam perjalanan berkenaan.
Menurut Halim, dia tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangis melihat sekujur tubuh anaknya.
“Setiap yang hidup pasti akan mati. Justeru, saya reda dengan pemergian anak.
“Cuma, saya terkilan kerana anak sepatutnya habis pengajian dalam jurusan Diploma Elektronik Industri di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Kulim, Kedah selepas tamat amali di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Lundang, kota Bharu, 9 Jun ini,” katanya.
Halim berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya bersikap seperti biasa.
Bagi adik Norhasmalinda, Nor Ashikin Akmel Halim, 21, kakaknya dilihat lebih gemar mendiamkan diri sejak kebelakangan ini sebelum maut dalam kemalangan.
Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Melawi, Bachok, selepas Isyak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Che Malik Bedot ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan.

Seks hobi masa lapang – Harian Metro


Seks hobi masa lapang

Oleh HADZLAN HASSAN dan MOHD AZAM SHAH YAACOB
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SESAL... Azy (kiri) dan Laili mencerita kesilapan lalu mereka.
SESAL… Azy (kiri) dan Laili mencerita kesilapan lalu mereka.

KUALA LUMPUR: Pengajaran dan peringatan buat ibu bapa apabila seorang gadis mengaku melakukan hubungan seks sehingga lima kali seminggu dengan teman lelaki seusia di rumah kedua-dua keluarga mereka ketika masing-masing baru berusia 14 tahun.

Lebih mengejutkan, Azy, kini berusia 16 tahun, mengaku pernah ‘tidur’ dengan lapan lelaki sepanjang dua tahun terbabit dalam hubungan terlarang itu.

Menurut gadis berasal dari Pantai Timur itu, kali pertama dia melakukan seks di rumah teman lelaki seusia dengannya dan sejak itu sering melakukannya apabila ada kesempatan.

“Dalam seminggu, boleh dikatakan empat hingga lima kali saya melakukan hubungan seks dengannya.

 
“Lokasinya juga tidak tentu. Oleh kerana saya tinggal berdua di rumah nenek, ada masanya saya bawa teman lelaki pulang atau melakukannya di rumah teman lelaki apabila ibu bapanya tiada,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Azy berkata, sejak mengenali seks pada usia 14 tahun, lapan lelaki ditiduri untuk memuaskan nafsunya.

Katanya, sebagai pelajar yang sering ponteng dan melepak bersama rakan, bertukar teman lelaki adalah kebiasaan.

“Bila sudah tidak suka teman lelaki pada masa itu, saya cari yang lain dan tak susah mendapat teman baru.

“Cukup dengan menawarkan diri untuk ditiduri, senang-senang saya dapat teman baru,” katanya yang melahirkan anak tidak sah taraf, baru-baru ini.

Walaupun sering bertukar pasangan dan melakukannya dengan rakan rapat lain, Azy mengakui tidak pernah hamil anak luar nikah, dan ini kali pertama dia mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya yang tinggal berjiran.

“Sejak pertama kali tahu mengenai seks, kami tidak pernah guna kondom atau pil pencegah hamil. Saya juga tidak pernah terfikir akan hamil kerana hanya tahu seronok melakukannya,” katanya.

Menurut Azy, sebelum disahkan mengandung, ibu bapanya tidak tahu dia terbabit dalam gejala sosial dan antara pelajar bermasalah di sekolah.

Katanya, oleh kerana melakukannya bersama rakan lain, setiap perbuatan dilaporkan berjaya dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga.

“Biasanya, bila saya ditahan polis seperti bergaduh atau cikgu mengadu kepada ibu bapa… kawan menjadi penyelamat.

“Saya dan rakan berpakat untuk mereka cerita lain hinggalah ibu bapa kami percaya kami tidak bersalah. Sama seperti bila ditahan kerana bergaduh, kami berpakat bahawa kami bergaduh untuk mempertahankan rakan yang dibuli pelajar lain,” katanya.

Menurut Azy, dia disahkan hamil ketika pemeriksaan di klinik selepas neneknya mengadu mengenai perbezaan bentuk tubuhnya kepada ibunya.

“Sebenarnya, keluarga tak tahu saya terbabit dalam perlakuan tidak bermoral kerana di rumah, saya lebih banyak mendiamkan diri dan membantu keluarga bila disuruh melakukan kerja rumah.

“Semua perkara buruk itu saya buat bila ponteng sekolah dan keluar pada waktu malam,” katanya.

Mengakui terkenal sebagai antara pelajar bermasalah kerana kerap ponteng dan bergaduh hingga beberapa kali ditahan polis, Azy turut mengakui sering bersembang dan menonton cerita lucah dengan rakan lain.

“Asalnya, saya bersama teman lelaki dan rakan hanya bersembang mengenai perkara lucah. Namun, lama-kelamaan ia bertukar menjadi tabiat.

“Ada antara kami mengaku pernah melakukan seks dan mengajak rakan lain mencubanya. Bermula daripada situ, kami belajar mengenai seks selain kerap bertukar video lucah,” katanya.

Laili Qalid (bukan nama sebenar), 20, pula tidak menyangka akan hamil selepas kali pertama melakukan hubungan terlarang dengan teman lelaki.

Dia yang juga berasal dari Pantai Timur melahirkan anak di rumah teman lelakinya di ibu negara tanpa diketahui ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, bayi pasangan itu berjaya diselamatkan selepas beberapa jiran yang terdengar jeritan bayi menghubungi ambulans yang terpaksa memecah masuk rumah berkenaan bagi menyelamatkan bayi terbabit.

“Saya hampir tidak sedarkan diri ketika itu dan hanya melihat teman lelaki menyambut kelahiran bayi kami, malah dia tidak ubah seperti bidan sebelum memotong tali pusat bayi.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu kerana nyawa bagai di hujung tanduk, maklumlah hanya kami di situ dan tiada pengalaman menyambut kelahiran.

“Saya tidak sangka keseronokan sementara yang diperoleh ketika melakukan hubungan terlarang, walaupun hanya sekali, bakal membawa derita sepanjang hidup, malah kami mungkin tidak disatukan kerana mendapat tentangan keluarga,” katanya yang melahirkan anak, 24 April lalu.

3 sepupu mati serentak – Berita Harian


3 sepupu mati serentak
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/06/05

pix_gal0

Bapa sedih gagal keluarkan anak daripada kereta remuk

MACHANG: Seorang bapa tergamam menyaksikan sendiri nahas kereta yang meragut nyawa anaknya dan dua sepupu mereka di Kilometer 46.8 jalan Kota Bharu-Kuala Krai, pagi semalam.

Lebih menyayat hati, selepas menyaksikan kereta anak sulungnya bertembung kereta lain menerusi cermin pandang belakang, Halim Jusoh, 43, yang berada dalam kereta lain, berpatah balik dan cuba mengeluarkan anaknya daripada kereta yang remuk itu, tetapi gagal.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu Norhasmalinda Halim, 24; dari Gua Musang dan dua sepupunya Noor Azura Mohd Saari, 18; dan adiknya, Nur Aqilah Najiha, 14, dari Bachok yang menaiki kereta Proton Wira meninggal di tempat kejadian.

“Sebak saya melihat mereka…saya berusaha keluarkan anak dari kereta, manakala dua lagi penumpang tersepit,” katanya ditemui di Hospital Machang, di sini, semalam.

Noor Azura dan adiknya dari Kampung Pantai Melawi, Bachok, bermalam di rumah Norhasmalinda di Gua Musang sebelum ke Bachok untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara mereka.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam di Pantai Melawi, selepas Isyak, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malik Bedot, mengesahkan menerima laporan nahas itu.

Guru terima 4 menantu serentak – Utusan Malaysia


Guru terima 4 menantu serentak

 

Oleh AZMAN MD.NOOR
utusankedah@utusan.com.my

 

NORIAH Abdul Aziz (kanan) gembira menyaksikan empat anaknya bersanding serentak di Kampung Bukit Palong, Baling, Kedah, semalam. -MINGGUAN/AZMAN MD.NOOR

 

BALING 4 Jun – Seorang ibu melalui detik paling istimewa apabila empat anaknya melangsungkan perkahwinan serentak, sekali gus membolehkannya menerima empat menantu hari ini.

Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Noriah Abdul Aziz, 54, memilih hari ini iaitu tarikh kematian bapa mereka, Azizan Abdul Aziz kira-kira 15 tahun lalu untuk memulakan kehidupan berumah tangga.

Pasangan mempelai itu ialah Mohd. Aizuddin Azizan, 29, dan pilihan hatinya, Noorazizah Mohd. Noor, 25; adiknya, Mohd. Afendi, 27, dan Norfadilah Abdul Halim, 21; dan Mohd. Afami, 24, yang memilih Norashikin Abd. Razak, 22.

Anak perempuan Noriah, Noradila, 22, pula menjadikan Amzani Kamaruzaman, 25, sebagai teman hidup.

Dua lagi anaknya, Norliana, 18, dan Norshamila, 15, masih belajar.

Menurut Noriah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Tunku Putera di sini, selain gembira dan terharu, dia turut berasa lega apabila empat anaknya itu bersetuju mengadakan majlis perkahwinan serentak.

Ini kerana, dia dapat menjimatkan belanja perkahwinan anak-anaknya sekitar RM6,000 hingga RM8,000 seorang.

“Saya sangat bersyukur kerana mendapat empat menantu serentak hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu di rumahnya di Kampung Bukit Palong, Bongor dekat sini hari ini.

Selain menumbangkan seekor lembu untuk menjamu para jemputan, majlis turut diserikan pertunjukan pencak silat.

RM6 bilion bina sekolah baru 2011 – Mohd. Puad – Utusan Malaysia


RM6 bilion bina sekolah baru 2011 – Mohd. Puad

TEMERLOH 4 Jun – Kerajaan memperuntukkan RM6 bilion bagi membina sekolah baru tahun ini bagi menampung jumlah pelajar yang kian bertambah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan besar itu juga sebagai persediaan ke arah melaksanakan persekolahan satu sesi pada masa depan.

Menurutnya, ketika ini terdapat 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tetapi hanya 8,372 sekolah mengadakan pembelajaran satu sesi melibatkan 6,888 sekolah rendah dan 1,484 sekolah menengah.

“Kementerian berusaha memastikan lebih banyak sekolah mengadakan persekolahan satu sesi supaya proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) berjalan lebih lancar.

“Pelaksanaan sekolah satu sesi sepenuhnya hanya dapat dicapai jika projek pembinaan sekolah baru dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Lebak bernilai RM2 juta dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad.

Bagaimanapun Mohd. Puad memberitahu, kementerian mengalami masalah untuk mendapatkan tapak bagi membina sekolah baru terutama di kawasan bandar dan negeri yang dikuasai pembangkang.

Sebagai contoh jelasnya, kementerian sukar mendapat tapak di Selangor kerana pemimpin negeri itu tidak menyokong pembinaan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti awam.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kementerian memperuntukkan sebanyak RM95 juta bagi mengambil alih dan menaik taraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN).