1MDB tawar 500 biasiswa kepada pelajar peroleh 8A+ – Bernama


1MDB tawar 500 biasiswa kepada pelajar peroleh 8A+

2011/06/06

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menawarkan 500 biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi 8A+ untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata 300 bantuan tersebut akan diberikan kepada Bumiputera manakala 200 lagi akan diberi kepada bukan Bumiputera.

Katanya, keutamaan biasiswa tersebut akan diberikan kepada pemohon 8A+ yang gagal mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Bagaimanapun, kelonggaran khas juga akan diberikan kepada pemohon Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang mana mereka yang memperolehi 6A+ dan 5A+ akan dipertimbang dengan mengambil kira pendapatan ibu bapa dan kawasan persekolahan mereka.

“Hanya untuk mereka sahaja kita bersetuju melonggarkan syarat akademik. Bumiputera di Semenanjung kena ‘comply to pre-conditions’, iaitu akademik dan pendapatan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat biasiswa 1MDB bersama dengan wakil parti komponen Barisan Nasional di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Mohamed Nazri berkata, mereka yang sudah menerima tawaran biasiswa dari tempat lain juga tidak akan dipertimbangkan.
Katanya, bagi pengajian di IPTA, pelajar akan menerima RM7,500 setahun untuk kursus kritikal dan tidak kritikal manakala pelajar yang ditawarkan pengajian di IPTS akan menerima RM15,000 untuk mengikuti kursus kritikal dan RM7,500 untuk kursus tidak kritikal.

Katanya, JPA akan mengadakan mesyuarat susulan esok bagi menghalusi nama-nama yang sudah disenarai pendek bagi pembahagian biasiswa tersebut sementara senarai terakhir akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum diumumkan.

Mohamed Nazri juga berkata, kerajaan sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap 145 penerima biasiswa JPA yang gagal kembali berkhidmat di tanah air antara 2000 hingga 31 Mei tahun ini, manakala 195 kes sudah diambil tindakan.

Katanya, 160 kes pula sudah selesai iaitu penerima biasiswa kembali untuk berkhidmat selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai buat bayaran ansuran atau sudah selesai membayar biasiswa tersebut.

Katanya, majoriti besar penerima biasiswa JPA yang ingkar syarat adalah pelajar bidang perubatan dan kejuruteraan yang mengikuti pengajian di United Kingdom, Ireland dan Amerika Syarikat.

Bagi 145 kes yang aktif, 97 adalah dalam bidang perubatan, 26 kejuruteraan, empat kimia, tiga pergigian, enam dalam perakaunan, dua undang-undang, seorang dalam pentadbiran perniagaan dan lain-lain seramai empat orang.

“Nampaknya kita kena ‘review’ balik dasar pembiayaan JPA kita dan mengambil kira perkara-perkara ini,” katanya. – BERNAMA

‘Mereka tak sabar balik rumah’ – Harian Metro


‘Mereka tak sabar balik rumah’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BACHOK: Dua beradik, Nor Azura Mohd Saari, 18, dan Nor Aqilah Najiha, 14, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 46.8, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, kelmarin, bagaikan tidak sabar untuk pulang ke rumah apabila mereka bersama-sama menghubungi ibunya kira-kira sejam sebelum terbabit kemalangan.

Kamariah Yusof, 49, berkata, dua anaknya itu menghubunginya menerusi telefon bimbit dan dalam nada gembira menyatakan akan pulang ke rumah selepas lima hari menghabiskan cuti sekolah di rumah sepupu mereka di Bandar Baru Gua Musang. “Memang menjadi kebiasaan, dua anak saya itu ke rumah sepupu mereka ketika cuti sekolah.
“Kira-kira jam 8.30 pagi ketika dalam perjalanan dari Gua Musang ke Bachok, mereka menghubungi saya dalam nada ceria. Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi saya terima panggilan daripada seorang sepupu, dua anak saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pantai Melawi, di sini, semalam.

 

Semalam, Metro Ahad melaporkan tiga sepupu termasuk dua beradik yang dalam perjalanan ke majlis kenduri kahwin, maut selepas terbabit kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi. Selain Nor Azura dan Nor Aqilah Najiha, Norhasmalinda Halim, 24, turut maut selepas kereta Proton Wira dipandunya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Rexton.
Jenazah tiga bersaudara itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Melawi selepas Isyak, kelmarin.
Menurut Kamariah, dua anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersikap seperti biasa.

 

 

 

Lima remaja ditahan curi motosikal – Utusan Malaysia


Lima remaja ditahan curi motosikal

Adzman Mohd. Jan (kiri) menunjukkan enjin dan kerangka motosikal yang berjaya ditemui di Alor Setar, semalam.

 

ALOR SETAR 5 Jun – Lima remaja termasuk dalang yang baru berusia 14 tahun ditahan setelah dipercayai terlibat dalam jenayah curi motosikal di sekitar Anak Bukit di sini sejak Januari lalu.

Kesemua tangkapan itu dibuat secara berperingkat-peringkat sejak 26 Mei lalu dan dalam serbuan itu, polis menemui empat rangka, dua rim dan sebuah enjin motosikal dipercayai dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzman Mohd. Jan memberitahu, polis percaya dengan tangkapan ini, lima kes kecurian motosikal di sekitar kawasan tersebut berjaya diselesaikan.

“Tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai oleh Inspektor Mohd. Hafeez Assad Mohd. Saad,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurut Adzman, remaja berusia 14 tahun yang berasal dari Gunung Keriang itu ditahan orang awam ketika cuba mencuri motosikal di Anak Bukit kira-kira pukul 3.15 pagi pada 26 Mei lalu.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan empat lagi rakannya yang berusia antara 13 hingga 19 tahun serta menemui tiga rangka motosikal di kawasan semak berhampiran rumah suspek pertama, sebuah rangka lagi di dalam tali air dan sebuah enjin.

“Tiga daripada remaja terbabit termasuk suspek utama masih bersekolah. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti saki-baki anggota kumpulan itu.

“Kesemua suspek kini ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya.