Pesara Guru Kerugian lebih RM43,000 Rumah Dipecah Masuk – Bernama


Pesara Guru Kerugian lebih RM43,000 Rumah Dipecah Masuk

KULIM: eorang pesara guru kerugian lebih RM43,000 setelah rumahnya di Taman Seluang di sini, dirompak empat lelaki bersenjatakan parang awal Selasa.

Ketika ditemui pemberita di kediamannya, Mustaffa Yusuf, 62, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika beliau dan isterinya Hasnah Md Isa, 60, sedang tidur.

“Saya terdengar bunyi yang agak pelik dalam rumah saya dan secara tiba-tiba saya dapati empat lelaki bertopeng meluru masuk dalam bilik tidur kami sambil menghunus senjata seperti parang dan pisau di perut dan leher saya dan isteri,” katanya.

Beliau berkata, selain barang kemas, dua telefon bimbit dan kamera digital, kumpulan perompak yang memasuki rumahnya dengan mengumpil tingkap di bahagian ruang tamu, turut melarikan kereta Perodua Viva miliknya.

Perompak terbabit juga memaksa isterinya bersumpah menggunakan al-Quran bahawa beliau tidak berbohong apabila memberitahu semua barang kemas telah diserahkan, kata Mustaffa.

“Perompak yang menutup muka dengan memakai topeng ski juga mengugut saya jika saya berbohong saya akan dilaknati tuhan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Chin Soo Song mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kes tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu atau terjumpa kereta Perodua Viva dengan nombor pendaftaran PHK 3653 agar menghubungi pegawai penyiasat Insp Hidayah Othman di talian 04-4906222 atau balai polis terdekat.-BERNAMA

Warga emas cabul budak – Utusan Malaysia


Warga emas cabul budak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BUTTERWORTH: Walaupun sudah berusia, seorang warga emas yang dipercayai gagal mengawal nafsunya nekad memeluk dan mencium seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di pekarangan kedai makan di Jalan Raja Uda, dekat sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa berusia enam tahun dikatakan sedang menunggu ibunya yang menjual buah-buahan berhampiran kedai makan terbabit, kira-kira jam 5 petang.
Mangsa yang bermain sendirian itu dikatakan didatangi warga emas berusia 60-an terbabit yang menunggang basikal sebelum memeluk dan menciumnya sebelum disedari rakan kepada ibu mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepadanya.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, ibu mangsa yang berang sebaik dimaklumkan kejadian itu bersemuka dengan warga emas berkenaan.
Katanya, ibu mangsa memarahi warga emas berkenaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh kepada anaknya, namun lelaki terbabit menafikannya sebelum beredar dengan selamba.
“Ibu mangsa yang bimbang keselamatan anaknya dan risau kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Komuniti Mak Mandin.

 

 

“Hanya selepas 30 minit laporan dibuat, sepasukan polis berjaya menahan suspek yang berada tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabulnya.

1MDB tawar 500 biasiswa calon 8A+ – Berita Harian


1MDB tawar 500 biasiswa calon 8A+
Oleh Zanariah Abd Mutalib

2011/06/07

Pelajar gagal dapat JPA layak mohon

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menawarkan 500 biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang memperoleh 8A+, tetapi gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebanyak 300 biasiswa diperuntukkan kepada Bumiputera dan 200 untuk bukan Bumiputera bagi melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.

Bagaimanapun, kelonggaran khas diberikan kepada pemohon Bumiputera di Sabah dan Sarawak termasuk mempertimbangkan mereka yang memperoleh 6A+ dan 5A+ serta memenuhi syarat asas ditetapkan, termasuk pendapatan keluarga di bawah RM5,000 dan tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana jabatan dan agensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pemegang biasiswa yang mengikuti kursus kritikal dan bukan kritikal di IPTA akan menerima RM7,500 setahun.

Bagi IPTS, pelajar yang mengikuti kursus kritikal termasuk perubatan, pergigian, farmasi dan perubatan veterinar akan menerima RM15,000 dan manakala kursus bukan kritikal memperoleh RM10,000.

“JPA akan mengadakan mesyuarat susulan mengenai perkara berkenaan hari ini, termasuk menilai pelajar yang layak dan senarainya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum diumumkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat biasiswa 1MDB bersama wakil parti komponen Barisan Nasional di Parlimen, semalam.

Sementara itu, Mohamed Nazri, berkata kerajaan dakan mengambil tindakan terhadap 145 penerima biasiswa JPA yang gagal berkhidmat di tanah air di antara 2000 dan 31 Mei tahun ini.
Katanya, jumlah itu termasuk 97 orang dalam bidang perubatan, kejuruteraan (26), kimia (empat), pergigian (tiga), perakaunan (enam), undang-undang (dua), pentadbiran perniagaan (satu) dan bidang lain (empat).

Beliau berkata, majoriti penerima biasiswa yang ingkar adalah dalam bidang perubatan dan kejuruteraan yang mengikuti pengajian di United Kingdom, Ireland dan Amerika Syarikat.

“Kes itu sedang berjalan sama ada di peringkat memberi notis tuntutan atau prosiding mahkamah bagi mendapatkan penghakiman mengenai biasiswa serta penjamin dan mereka diarah membayar semula.

“Kita perlu kaji semula (pemberian biasiswa) dengan mengambil kira perkara ini,” katanya.

2 remaja maut motosikal rempuh kereta – Berita Harian


2 remaja maut motosikal rempuh kereta

2011/06/07

KUANTAN: Dua sahabat yang juga pelajar sekolah menengah di Maran maut selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah kereta ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan mereka di Kilometer 19 Jalan Maran – Bandar Jengka, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Aznil Junid, 14, yang menunggang motosikal dari Kampung Sungai Ling Luar, Chenor, Maran, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran, manakala pemboncengnya, Mohd Khairuzzaman Abdul Rahman, 15, dari Kampung Buria, Maran, pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh, berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka menuju ke Maran sebelum cuba memotong kenderaan di hadapan mereka.

Beliau berkata, tindakan mangsa memotong di laluan berselekoh tajam itu menyebabkan motosikal dinaiki memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki menuju ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bandar Jengka.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya dan pada masa sama, sebuah motosikal lain jenis Yamaha dinaiki dua lelaki dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala. Pembonceng sebuah lagi motosikal turut cedera parah apabila patah kaki, manakala penunggang dan pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Murid Tahun Dua kena rogol dalam tandas – Berita Harian


Murid Tahun Dua kena rogol dalam tandas

2011/06/07

PETALING JAYA: Kegembiraan seorang murid Tahun Dua yang mengikuti kakak dan abang iparnya ke sebuah majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila menjadi mangsa rogol ketika berada dalam tandas, di Sekinchan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berada di dalam dewan majlis berkenaan, dikatakan meminta abang iparnya menemaninya ke tandas yang tidak jauh dari lokasi terbabit.

Abang ipar mangsa berusia 20-an yang menunggunya di luar tandas memanggil mangsa selepas hampir 15 minit belum keluar, tetapi mangsa menjawab urusannya belum siap menyebabkan lelaki berkenaan beredar dan menunggu di sebuah kantin tidak jauh dari lokasi itu.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, abang ipar mangsa mendengar jeritan budak dipercayai adik iparnya sebelum melihat seorang lelaki berlari keluar dari tandas berkenaan dalam keadaan bogel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata abang ipar mangsa yang melihat adiknya meraung kesakitan itu bergegas mendapatkan pertolongan orang ramai menangkap suspek sebelum ditahan hampir 20 minit kemudian.