Perompak suruh junjung al-Quran – Harian Metro


Perompak suruh junjung al-Quran

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: Sekumpulan empat lelaki yang merompak sebuah rumah sempat mengarahkan seorang wanita warga emas menjunjung al-Quran dan bersumpah bahawa dia tidak menyimpan barang berharga lain ketika mereka mahu melarikan diri selepas melakukan samun di Taman Seluang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun dan suaminya yang juga pesara guru berusia 65 tahun kerugian kira-kira RM43,000 apabila penjenayah terbabit melarikan barang kemas serta kereta Perodua Viva berwarna hijau muda bernombor pendaftaran PHK 3653.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Suu Song berkata, ketika kejadian hanya pasangan warga emas itu saja di rumah berkenaan dan suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap di ruang tamu.

 

“Pasangan terjaga daripada tidur sebaik melihat empat lelaki bertopeng ski sambil mengacukan parang pada leher serta perut mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan barang kemas yang dipakai.
“Selepas itu, semua suspek meninggalkan mangsa dengan menaiki kereta selain merampas kereta Perodua Viva mangsa,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terjaga daripada tidur apabila mereka tiba-tiba terdengar bunyi pelik di ruang tamu rumah.

 

 

Menurutnya, tidak lama kemudian muncul empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam bilik sambil mengacukan parang dan pisau di badan mereka.
“Kerana takut, mangsa tidak melawan sebelum seorang daripada perompak mengambil barang kemas dan mengarahkan mereka menunjukkan tempat simpanan barang kemas.

 

“Sementara, dua lagi perompak menggeledah di bilik lain dan pada waktu sama seorang daripada mereka turut mengarahkan isteri mangsa bersumpah sambil menjunjung al-Quran dan berjanji tidak menyimpan barang berharga lain sebelum melepaskan mereka,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 359/397, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi, Inspektor Hidayah Othman di talian 04-4906222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

3 nyaris maut kedai dirempuh – Harian Metro


3 nyaris maut kedai dirempuh

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Tiga sekeluarga nyaris maut apabila premis jualan langsung diusahakan lima bulan lalu dirempuh kereta Toyota Rush dipercayai dinaiki sekumpulan remaja di pekan Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Shaharudin Salleh, 60, bersama isterinya berada di dalam kedai terbabit dan menonton televisyen bersama anak perempuan mereka, Fadhilah Shaharudin, 37.
“Kami bertiga menonton televisyen sebelum terdengar bunyi deruman enjin kereta semakin dekat dan tidak sampai berapa saat bahagian depan kereta itu merempuh pintu kaca bahagian tepi kedai.

 

“Kereta itu merempuh masuk menghentam televisyen di atas meja menyebabkan meja itu berpusing beberapa kali dan meluncur merempuh pintu kaca bahagian depan kedai dan berhenti beberapa inci dari tubuh saya.
“Saya tergamam dan menggigil ketakutan serta hanya memikirkan maut ketika itu,” katanya.
Sementara itu, pemilik kereta terbabit, Norizan Rosli, 40, mendakwa meminta seorang anaknya mengambil penapis air di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Taman Bandar Baru, dekat sini, Menurutnya, dia meminta bantuan anaknya, Mohd Sadiq mengambil penapis itu kerana tidak boleh meninggalkan rumah bagi menjaga seorang anak yang menghidap demam panas.

 

 

“Walaupun kedai itu dekat, tetapi dia masih tidak pulang walaupun 15 minit berlalu, naluri ibu tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Ia kenyataan apabila anak saya muncul dengan tiba-tiba dan dapat melihat kesan luka di tangan sebelum mendesak memberitahu apa yang berlaku,” katanya.

 

Norizan berkata, anaknya memberitahu dia ditahan seorang remaja yang menghimpit menggunakan motosikal sebelum merampas keretanya dan melanggar premis kedai.
Sementara itu, Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Alor Gajah, Cif Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan pihaknya menahan remaja terbabit bagi siasatan lanjut.
“Kami difahamkan, remaja terbabit memandu kenderaan orang lain tanpa lesen dan tindakan saman akan dikenakan juga terhadap ibu bapa mereka kerana membiarkan anak memandu kenderaan menyebabkan kerosakan harta benda perseorangan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen dan menyebabkan kemusnahan harta benda awam,” katanya.

12 pelajar nyaris maut van rempuh lori – Berita Harian


12 pelajar nyaris maut van rempuh lori

2011/06/08

KEADAAN van remuk selepas bertembung dengan lori kosong di Persimpangan Kampung Baru, semalam. Gambar kecil keadaan mangsa yang cedera selepas kemalangan.

KEADAAN van remuk selepas bertembung dengan lori kosong di Persimpangan Kampung Baru, semalam. Gambar kecil keadaan mangsa yang cedera selepas kemalangan.

SEREMBAN: Seramai 12 pelajar dan pemandu van cedera apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh lori tanpa muatan di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, 12 pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah di Port Dickson dalam perjalanan pulang ke Port Dickson selepas tamat program perkhemahan selama dua hari di Bukit Broga, Semenyih, Selangor.

Jurucakap polis berkata, kejadian berpunca apabila pemandu van berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di kawasan kejadian.

“Van itu kemudian merempuh lori 10 tan yang diletakkan di tepi jalan dari arah bertentangan, menyebabkan pemandunya dan 12 pelajar lelaki dan perempuan cedera.
“Semua yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, lima daripada mereka parah, manakala selebihnya hanya cedera ringan di beberapa bahagian anggota badan.

Sementara itu, pemandu lori, R Appavoo, 47, berkata dia dalam perjalanan dari Nilai ke Pantai, di sini, sebelum van dari arah bertentangan masuk ke laluannya.
“Saya bertindak membunyikan hon dan memberi lampu tetapi van itu terus meluru dan merempuh bahagian depan lori saya. Mungkin pemandu van berkenaan tertidur menyebabkan dia tidak sedar memasuki laluan bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat memberi kerjasama.