Garis panduan pemakanan sihat di sekolah hampir siap – Bernama


Garis panduan pemakanan sihat di sekolah hampir siap

2011/06/10

PUTRAJAYA: Garis panduan pemakanan sihat di sekolah akan dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk diluluskan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata garis panduan itu kini dalam proses akhir untuk disiapkan dan beberapa mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran sudah selesai.

“Insya-Allah apabila sudah siap nanti kita akan bawa kepada Timbalan Perdana Menteri untuk diluluskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Garis panduan yang turut memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru termasuk kekerapan sesuatu makanan itu dijual di kantin sekolah dihasilkan bagi memastikan amalan pemakanan sihat di kalangan murid dan menangani masalah kesihatan mereka, seperti masalah berlebihan berat badan.

Dalam perkembangan lain, Abd Ghafar berkata masa persekolahan yang ditetapkan pada hari Jumaat adalah memadai dan tidak sepatutnya menghalang pelajar Islam menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata, setiap hari Jumaat, waktu pelepasan pelajar adalah 12.15 tengah hari sedangkan waktu Zohor sekitar 1.20 tengah hari, justeru masa yang ada cukup untuk mereka mempersiapkan diri.

Abd Ghafar diminta mengulas mengenai beberapa aduan daripada ibu bapa bahawa masa persekolahan pada hari Jumaat menyebabkan anak mereka tidak sempat menunaikan solat Jumaat. – BERNAMA

18 pelajar dapat anugerah Berita Harian – Berita Harian


18 pelajar dapat anugerah Berita Harian
Oleh Nor Azma Laila

2011/06/10

Penuntut cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM terima RM1,000, trofi dan sijil penghargaan

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negara terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian (APC-BH) 2010, di Balai Berita, semalam.

Semua mereka menerima wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata, usaha Berita Harian dalam menghargai kecemerlangan pelajar melalui APC-BH bukan saja menunjukkan komitmen dimainkan oleh pihak swasta untuk memperkasakan pendidikan negara, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kejayaan pelajar.

“Bengkel dan seminar yang diadakan serta sisipan dalam Berita Harian seperti Didik, Minda dan Skor juga banyak membantu pelajar mencapai kejayaan dalam pelajaran,” katanya.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad, Datuk Zainul Ariffin Mohammed Isa dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Sempena program itu, dua penerima anugerah bagi setiap kategori iaitu UPSR, PMR dan SPM yang bertuah turut menerima hadiah dua tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Kuching.

Sementara itu, Mior Kamarul berkata, APC-BH 2010 bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar yang mengikuti klinik dan seminar anjuran Berita Harian, tahun lalu.
“APC-BH yang dimulakan pada 2006 juga bertujuan mendorong dan menyuntik semangat pelajar supaya terus berusaha gigih bagi mencapai kejayaan cemerlang tanpa mengabaikan kegiatan kokurikulum,” katanya.

Penerima anugerah bagi kategori UPSR, Auvendra Jairun, 13, dari Tuaran, Sabah berkata dia amat gembira kerana terpilih sebagai seorang penerima APC-BH 2010.

Pelajar pecut motor tanpa topi keledar – Harian Metro


Pelajar pecut motor tanpa topi keledar

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Umpama undang-undang koboi. Itu ungkapan bagi menggambarkan suasana setiap kali tamat waktu sekolah di Jalan Paya Dalam/Bukit Lintang apabila kebanyakan pelajar sekolah di kawasan itu menunggang motosikal dengan memecut laju tanpa memakai topi keledar.

Tinjauan Metroplus mendapati, bukan hanya pelajar, ada juga ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dengan melanggar peraturan dan membahayakan nyawa kerana menunggang tanpa topi keledar.
Segelintir pelajar lelaki juga dilihat menunjukkan aksi berani ala mat rempit di sekitar laluan berkenaan. Bahkan dengan selamba ada di antara mereka yang masih berbaju sekolah menunggang sambil menghisap rokok.

 

Tinjauan mendapati, tidak hanya keselamatan pelajar terutama yang berjalan kaki dan menaiki bas terancam dengan aksi penunggang motosikal, malah mereka juga gerun dengan tindakan pengguna jalan raya lain kerana memandu laju di kawasan berkenaan.
Difahamkan, lokasi terletak di kawasan kampung itu menjadi faktor mengapa pengguna jalan raya berani bertindak demikian hingga ada segelintir penunggang motosikal membonceng dua penumpang dalam satu-satu masa. Pelajar, Ayu Rohaina Mohd Khir, 13, berkata, biarpun suasana ‘pesta’ itu sudah menjadi kebiasaan bagi penunggang dan pemandu kenderaan apabila tamat sesi persekolahan, namun ia menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar lain khususnya mereka yang menggunakan laluan berkenaan.
Katanya, lebih menyukarkan keadaan sesak di hadapan pintu pagar sekolah dengan pelbagai kenderaan menyebabkan pandangan mereka terhad apatah lagi lokasi sekolah berada di selekoh menyebabkan pelajar sukar melintas jalan.

 

 

“Memang ada lintasan pejalan kaki dan pengawal keselamatan mengawal lalu lintas setiap kali waktu pulang, tetapi bagi mereka yang keluar lambat perlu melintas sendiri dan ia berbahaya kerana sikap pemandu di sini yang tidak mematuhi had laju.
“Kebiasaannya yang tidak menggunakan topi keledar adalah pelajar lelaki, malah pernah satu ketika pihak berkuasa menjalankan operasi lalu lintas di sini dan ramai dikenakan saman kerana tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

 

Tinjauan juga mendapati, ramai pembonceng tidak menggunakan topi keledar dan ada di antara motosikal dinaiki lebih daripada dua orang sehingga membahayakan nyawa mereka.
Sementara itu, pengguna jalan raya dikenali sebagai Mai, 42, berkata, apa yang lebih dibimbangkan adalah keselamatan pelajar sekolah rendah berhampiran yang turut menggunakan laluan berkenaan.
Menurutnya, pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa perlu dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan keselamatan pelajar terjamin.
“Memang tamat waktu persekolahan mereka tidak sama tetapi kebiasaannya pada hari Jumaat pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah ini hampir sama.
“Dengan kenderaan yang dipandu laju dan sikap penunggang motosikal pastinya ia berbahaya kepada kanak-kanak yang berjalan kaki dan menunggang basikal,” katanya.

SMK Aman Jaya unggul – Harian Metro


SMK Aman Jaya unggul

Fauzi Rahim Mustafa
sukan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASUKAN Bawah 15 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya membuat penampilan menakjubkan apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Muda/Yan (KMY) 2011, berakhir di padang SMK Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Perit terkandas di peringkat suku akhir tahun lalu, pasukan bimbingan Rohaizad Ramli dibantu Mohd Nasir Din dan Ahmad Ali itu tekad merempuh halangan sebaik saingan awal bermula apabila membenam cabaran SMK Dato’ Bijaya Setia, 2-0 dan SMK Pinang Tunggal, 4-0.
Gah dengan gelaran johan Kumpulan E, SMK Aman Jaya meneruskan kemantapan di pusingan kedua apabila menang tipis ke atas lawan kental, SMK Tunku Sulong, 3-2 sebelum memadam badi suku akhir dengan mengetepikan SMK Bakar Arang, 2-0.

 

“Pemain sudah berjanji akan terus mara. Melepasi suku akhir menjadi momentum pasukan merebut kejuaraan tahun ini.
“Mereka komited, berdisiplin, tidak mengenal putus asa dan sentiasa berusaha menggapai impian bergelar juara. Kesan daripada itu mereka berjaya mengetepikan saingan separuh akhir, SMK Bedong dengan keputusan 3-0,” kata Rohaizad.
Bersaing di final bertemu juara bertahan, SMK Khir Johari, pemain SMK Aman Jaya langsung tidak menunjukkan kegugupan sebaliknya berjaya menyerap tekanan dan asakan.

 

 

Sehingga tamat separuh masa pertama, mereka berjaya mengikat kedudukan 1-1 dan pemain SMK Aman Jaya bersaing di babak kedua dengan keazaman untuk menang dan itu yang mereka lakukan.
“Dua gol berturut-turut dalam masa 10 minit sebelum tamat permainan menjadikan kedudukan muktamad 3-1 benar-benar menunjukkan komitmen pemain menjulang nama sekolah dan puas bergelar juara KMY 2011.

 

“Terima kasih kepada semua pemain, penyokong dan guru SMK Aman Jaya yang membantu dari aspek material dan fizikal sehingga membolehkan kami melangkah gagah di kejohanan kali ini,” kata Rohaizad.
Hadiah disampaikan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) KMY, Abdul Ghani Haron yang diiringi Penyelia Kanan Sukan PPD KMY, Fauzi Ibrahim.

Cikgu nyaris diperkosa – Harian Metro


Cikgu nyaris diperkosa

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang guru wanita yang mahir berurut hampir diperkosa seorang pelanggan lelaki yang datang ke rumahnya konon mengalami sakit badan dan mahu berurut.

Difahamkan, lelaki terbabit yang tinggal di Kepong, mendakwa mengetahui mengenai kemahiran cikgu itu melalui rakannya sebelum datang ke rumah wanita terbabit.

Sumber berkata, semuanya bermula kira-kira jam 10 malam Selasa lalu apabila lelaki terbabit datang seorang diri ke rumah wanita itu kononnya mahu berurut.

“Wanita berusia 38 tahun itu mempelawa lelaki terbabit masuk ke rumah, namun enggan mengurut lelaki terbabit sehingga seorang anak saudara suspek datang ke rumahnya bagi menemaninya.

 
“Selepas anak saudara lelaki itu yang berusia lingkungan 20-an tiba, wanita berkenaan memulakan urutan. Ketika berurut, lelaki itu dikatakan bertanya dengan wanita itu mengenai Islam,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Terjun parit selamat budak – Harian Metro


Terjun parit selamat budak

Oleh Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SABAK BERNAM: Tindakan pantas dan berani Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sabak Bernam, Abd Samad Dawood, menyelamatkan seorang kanak-kanak, Mohd Hakimi Yahya, 7, daripada lemas dalam parit besar berhampiran bangunan Tabung Haji di Sungai Besar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit berkenaan ketika sedang bermain bersama dua orang rakannya di kawasan terbabit.
Detik cemas itu bermula apabila Abd Samad bersama isteri hendak membuat urusan di pejabat Tabung Haji itu apabila tiba-tiba melihat dua kanak-kanak melambai dari tepi parit berhampiran sambil menjerit dan menunjukkan rakan mereka yang dihanyutkan air deras.

 

Tanpa berlengah Abd Samad terus terjun ke dalam parit berkenaan dan dapat mencapai kanak-kanak itu namun air parit yang deras turut menghanyutkannya sehinggalah kaki Abd Samad dapat berpaut pada lubang konkrit di dasar parit.
Difahamkan, pada masa itu air parit berkenaan berada pada paras leher Abd Samad dan deras berikutan pintu kunci air dibuka untuk mengalirkan lebihan air ke laut.
Beliau dan kanak-kanak yang hampir lemas itu dapat diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian dan segera dibawa ke klinik berhampiran seterusnya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini untuk rawatan lanjut.

 

 

Abd Samad berkata, tiada lain yang difikirkan olehnya pada masa kejadian selain menyelamatkan mangsa daripada terus dihanyutkan air lebih-lebih lagi pada masa itu tiada seorang dewasa pun yang berada berhampiran tempat kejadian. “Ketika saya parkir kereta di tepi parit itu saya memerhatikan dua kanak-kanak berada di situ. Saya sangka mereka sedang bermain, rupa-rupanya mereka memerhatikan rakan yang sedang tenggelam timbul di parit itu dan melambai saya untuk bantuan.
“Ketika dihanyutkan, saya memeluk erat kanak-kanak berkenaan sambil mencari sesuatu tempat untuk berpaut, kaki saya terlanggar satu lubang konkrit dan saya masukkan sebelah kaki saya di dalam lubang itu sambil bertahan daripada arus deras,” katanya.

Perogol budak dijel 25 tahun, 15 sebatan – Harian Metro


Perogol budak dijel 25 tahun, 15 sebatan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang penjual barangan lusuh dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan dikenakan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku salah merogol kanak-kanak berusia 8 tahun dalam tandas ketika mangsa menghadiri majlis perkahwinan, di sebuah dewan sekolah, di Sekinchan, Sabtu lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap M Suresh, 27, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada hari kejadian.
Lelaki itu yang berbaju jersi biru dan berseluar trek dilihat tenang dengan keputusan itu tetapi mula mengalirkan air mata apabila dibawa ke lokap mahkamah. Mengikut pertuduhan, Suresh didakwa merogol mangsa dalam tandas perempuan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Kuan, di Sekinchan, antara 9 dan 9.15 malam, pada 4 Jun lalu.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nizi Shazril Ithnin.
Terdahulu, Suresh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya dengan memberi alasan bahawa dia berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan kesalahan itu.

 

 

Bagaimanapun, Nizi Shazril memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang hanya lapan tahun dan 11 bulan dan kecederaan dialaminya.
Beliau berkata, perbuatan tertuduh juga menyebabkan masa depan mangsa terjejas.

 

Selain itu katanya, tertuduh mempunyai dua rekod lampau berhubung kesalahan rompak.
“Hukuman untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya. Abang ipar budak itu dengan bantuan orang awam berjaya menahan tertuduh di dalam longkang tidak jauh daripada tempat kejadian.
Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki gila seks merogol kanak-kanak di dalam tandas sebuah sekolah di Sekinchan membawa padah apabila dia dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas mangsa menjerit.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa datang ke sekolah terbabit bersama kakak dan abang iparnya untuk menghadiri majlis perkahwinan di dewan sekolah berkenaan.