Anak maut digilis treler – Harian Metro


Anak maut digilis treler

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ANGKAT...jenazah Mohd Zulfadzli dibawa masuk ke dalam van mayat, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulfadzli.
ANGKAT…jenazah Mohd Zulfadzli dibawa masuk ke dalam van mayat, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulfadzli.

BUKIT BERUNTUNG: “Saya tak sanggup melihat mayat anak yang hancur kaki dan badannya akibat digilis treler. Sungguh tidak sangka dia pergi secara mengejut dan ia memilukan kami sekeluarga,” kata Rosnah Dollah, 49, ibu Mohd Zulfadzli Ramli, 16, yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Sentosa-Kuala Kubu Bharu, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dan dibonceng rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, pulang daripada bekerja sambilan sebagai pelayan restoran di Bandar Bukit Sentosa ke rumah mereka di Taman Seroja, dekat sini.
Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 3.10 pagi selepas menerima berita itu daripada jiran.

 

“Saya tidak dapat menahan sebak melihat mayat anak yang terperosok bawah treler panjang. Rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) sejam selepas kejadian.
“Arwah mahu pulang ke rumah selepas bekerja sambilan sejak setahun lalu di Bandar Bukit Sentosa untuk mencari wang saku untuk belanja persekolahannya. Dia anak yang baik dan manja dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Rosnah, ketika kejadian dia dan suaminya, Ramli Mohd Yusof, 54, tidur di rumah.

 

 

Katanya, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 anak bongsu daripada tiga beradik suka berjenaka dan penyayang.
“Saya tidak sangka perangai peliknya yang meminta digosok kakinya berulang kali dua hari lalu petanda akhir hayatnya.

 

“Kami terkilan melihat keadaannya yang teruk selepas terbabit kemalangan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, berkata kejadian itu membabitkan motosikal ditunggang dua remaja bertembung treler dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Nehru, 40, yang membuat pusingan U di laluan terbabit.
Katanya, treler terbabit melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit datang ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.

400 murid sertai Program Skor A – Berita Harian


400 murid sertai Program Skor A
Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
bhnews@bharian.com.my
2011/06/11

SEBAHAGIAN peserta  Program Skor A anjuran BERNAS dan Berita Harian di Pendang, semalam.

SEBAHAGIAN peserta Program Skor A anjuran BERNAS dan Berita Harian di Pendang, semalam.

BERNAS anjur bimbingan untuk anak kakitangan dengan kerjasama Berita Harian

PENDANG: Kira-kira 400 pelajar di kalangan anak kakitangan Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS) menyertai Program Skor A anjuran syarikat itu dengan kerjasama Berita Harian di Pendang Lake Resort, di sini, kelmarin.

Ia sebahagian program bimbingan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini yang dirasmikan penutupannya oleh Pengurus Besar Sektor Perniagaan Beras Tempatan BERNAS, Amiruddin Ahmad Tajuddin.

Amiruddin berkata, program itu adalah tanggungjawab sosial BERNAS dan berharap anak kakitangan syarikat berkenaan menggunakan kesempatan itu bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan, BERNAS merancang mahu meneruskan program ini bagi membantu melahirkan lebih ramai anak kakitangan BERNAS yang berjaya dalam pelajaran.

Seorang pelajar, Nurul Afikah Afira Abd Majid, 17, berkata, dia gembira kerana berpeluang menyertai program itu kerana banyak memberi manfaat, terutama mengenai teknik menjawab soalan dan mengulang kaji pelajaran secara berkesan.

“Sebelum ini saya agak sukar menguasai pelajaran, tetapi dengan teknik yang diajar oleh guru berpengalaman dalam seminar ini saya bertambah yakin dalam menghadapi peperiksaan yang bakal diduduki akhir tahun ini,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Selangor itu.
Azrul Abd Rahim, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kangar pula berkata, selain mengetahui teknik menjawab soalan dan belajar dengan berkesan dia turut mendapat ramai rakan baru dari seluruh negara untuk bertukar-tukar maklumat mengenai peperiksaan PMR tidak lama lagi.