Rayuan ke IPTA untuk lepasan SPM boleh disemak mulai tengah hari esok – Bernama


Rayuan ke IPTA untuk lepasan SPM boleh disemak mulai tengah hari esok

2011/06/13

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan yang setaraf untuk sesi akademik 2011/2012 boleh disemak mulai tengah hari esok.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata pemohon boleh berbuat demikian menerusi laman webnya di http://www.upu.mohe.gov.my atau pada laman web universiti yang dipohon.

“Keputusan rayuan adalah muktamad dan rayuan calon dianggap gagal jika mereka tidak menerima sebarang tawaran rasmi sehingga 3 Julai ini,” kata kenyataan itu.

Kementerian itu juga tidak melantik ejen atau wakil dalam pemilihan kes rayuan tersebut.

“Semua pengurusan berpusat adalah melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) dengan mengguna pakai dasar, kriteria pemilihan prosedur serta prosedur yang ditetapkan kementerian,” kata kenyataan itu.

Untuk sebarang pertanyaan, pemohon diminta hubungi talian 03-88835858 dan 03-88835848.

Calon juga boleh menyemak keputusan rayuan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (No.KP) dan hantar ke 15888. – BERNAMA

Biasiswa diberi berdasarkan rekod kecemerlangan – Bernama


Biasiswa diberi berdasarkan rekod kecemerlangan

2011/06/13

KUALA LUMPUR: Yayasan Khazanah yang menawarkan biasiswa kepada pelajar universiti-universiti tempatan dan antarabangsa, hari ini menegaskan bahawa pemberian biasiswa adalah berdasarkan kepada kecemerlangan, dengan proses pemilihan yang ketat, terperinci dan berdasarkan kepada merit.

Dalam satu kenyataan hari ini ia berkata, selepas berlalu peringkat pra-kelayakan berdasarkan kepada kecemerlangan akademik dan kurikulum, Yayasan Khazanah terus melaksanakan ujian dan menemuramah calon-calon, terutama bagi melihat aspek potensi kepimpinan.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 2006, sejumlah 103 biasiswa global diberikan kepada rakyat Malaysia, di mana 71 daripadanya masih di pelbagai peringkat pengajian ijazah dan ijazah lanjutan.

Sehingga kini sejumlah 24,000 pelajar yang memiliki kelayakan sekurang-kurangnya kelayakan minimum (ketika ini minimum 8A bagi ijazah) memohon bagi mendapatkan biasiswa itu.

Menurut kenyataan itu, tahun ini Yayasan Khazanah menerima 3,000 permohonan untuk mendapatkan program Biasiswa Global Khazanah, dan tujuh biasiswa diberikan kepada calon yang layak.

Bagi Biasiswa Khazanah-Cambridge yang terletak di bawah program yang sama, tiga biasiswa ditawarkan daripada 98 pemohon yang memiliki kelayakan, di mana semua menerima surat tawaran dari Cambridge.

Yayasan Khazanah seterusnya menafikan laporan berita baru-baru ini yang mendakwa ia tidak telus dalam memberikan biasiswa, dan sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa setiap usaha diambil bagi memberikan penjelasan yang tepat mengenai proses pemilihan yang ketat. – BERNAMA

Penguatkuasa agama cedera ditumbuk ketika tahan suspek khalwat – Bernama


Penguatkuasa agama cedera ditumbuk ketika tahan suspek khalwat

2011/06/13

BESUT: Seorang pegawai penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Besut cedera di muka apabila ditumbuk seorang lelaki yang cuba ditahannya kerana disyaki berkhalwat di sebuah chalet di sini, tengah malam tadi.

Pegawai berumur 33 tahun itu bersama dua rakan setugasnya membuat pemeriksaan di sebuah bilik chalet di kawasan Air Tawar di sini dan mendapati seorang lelaki berumur dalam lingkungan 27 tahun berada di situ bersama seorang perempuan berumur 17 tahun yang berasal dari Kampung Jerimpong, Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

Beliau kemudian mengarahkan pasangan itu mengemas pakaian masing-masing untuk dibawa ke pejabat agama tetapi lelaki berkenaan enggan dan menghubungi lima rakannya yang tiba dengan dua kereta.

Suspek melepaskan tumbukan ke muka pegawai itu dan merampas kad pengenalannya yang dipegang oleh pegawai berkenaan dalam satu pergelutan yang turut dibantu oleh lima rakannya.

Bagi meredakan keadaan, seorang daripada pegawai penguatkuasa Syariah itu melepaskan satu tembakan amaran ke udara menyebabkan suspek dan rakan-rakannya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, ketika dihubungi berkata suspek utama telah ditangkap manakala rakan-rakannya telah dikenal pasti dan polis sedang memburu mereka. – BERNAMA

JPA tawar 4,000 biasiswa kepada lepasan SPM – Bernama


JPA tawar 4,000 biasiswa kepada lepasan SPM

2011/06/13

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 1,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 2,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata seramai 882 pelajar bumiputera dan 618 pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa di bawah PILN.

“Seramai 1,301 pelajar bumiputera dan 1,199 pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa di bawah PIDN tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Nazri berkata, peruntukan 10 peratus tempat bagi kategori Bumiputera Sabah dan Sarawak masih dikekalkan dan terdapat 75 pelajar Sabah ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori itu.

Selain itu, beliau juga berkata, pelajar Sabah turut ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori Kecemerlangan Akademik, menjadikan keseluruhan pelajar Sabah yang ditaja di bawah PILN 2011 adalah 77 orang.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan RM1.44 bilion bagi penajaan JPA tahun ini untuk lepasan SPM tahun 2010 dengan pecahan RM0.36 bilion bagi pengajian dalam negara dan RM1.08 bilion bagi pengajian luar negara,” katanya.

Nazri juga menjelaskan, bahawa antara faktor yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara adalah kerana bilangan pelajar cemerlang yang semakin bertambah dan penajaan yang terhad mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
“Ramai juga pelajar cemerlang memilih bidang yang popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding bidang yang kurang dipohon seperti sastera dan sains turut menyebabkan mereka gagal ditawarkan penajaan ke luar negara kerana ia mengikut keperluan guna tenaga sektor awam dan negara.

“JPA akan sentiasa mengkaji semula dan menambah baik dasar sedia ada untuk pelaksanaan pada tahun akan datang bagi menangani isu pemberian biasiswa ini yang bangkit setiap tahun,” katanya.

Nazri berkata, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai JPA berhubung isu pelaksanaan pemberian biasiswa kerana tiada sebarang bukti kukuh berlakunya kesilapan oleh mereka.

Beliau berkata, tiada salah guna kuasa oleh pegawai JPA dalam menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang, memandangkan pelaksanaannya telah dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009.

“Adalah juga menjadi dasar kerajaan untuk tidak mendedahkan senarai penerima biasiswa dan markah merit yang mereka peroleh kepada umum untuk memelihara kerahsiaan dan hak individu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) mengenai punca utama masih wujudnya masalah pemberian biasiswa dan tempat di universiti di kalangan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Terdapat juga kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyangka bahawa JPA turut menawarkan tempat atau kursus pengajian di samping penajaan.

“Pada hakikatnya, JPA hanya menawarkan penajaan manakala tempat atau kursus bagi pengajian di matrikulasi dan universiti dalam negara ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya. – BERNAMA

Bilik belajar Asrama SMK Datuk Syed Ahmad terbakar – Bernama


Bilik belajar Asrama SMK Datuk Syed Ahmad terbakar

2011/06/13

KUALA NERANG : Sebuah bilik belajar di Asrama Putera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad di sini terbakar awal pagi ini.

Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri berkata, Mohamad Abd Hamid berkata kebakaran pada pukul 2 pagi itu disedari oleh pelajar yang tinggal berhampiran bilik belajar berkenaan.

“Bilik belajar itu terletak di tingkat dua asrama dan terdapat 106 pelajar lelaki yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima menginap di asrama itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran hari ini.

Beliau berkata semua pelajar ditempatkan di surau sekolah berkenaan buat sementara waktu.

Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata dia terhidu bau asap dan terus memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakan lain.

“Ramai yang sedang tidur ketika kejadian dan kami kelam-kabut keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri.

“Nasib baik bomba bertindak pantas dan api dapat dikawal sebelum merebak ke bilik kami,” katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang Abdul Manaf Yusof berkata sebuah jentera dengan lima anggota dari balai bomba itu mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran masih dalam siasatan manakala jumlah kerugian dianggarkan RM5,600, katanya. – BERNAMA

Nurussyahamah wakili negara ke Doha – Utusan Malaysia


Nurussyahamah wakili negara ke Doha

BESUT 12 Jun – Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi akan mewakili negara ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar akhir bulan ini.

Pemilihan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh itu merupakan satu sejarah selepas lulus dua ujian saringan yang diadakan oleh kerajaan Qatar sebelum ini.

Lebih 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia termasuk Malaysia telah melalui proses saringan tersebut dan Nurussyahamah adalah antara 63 orang yang terpilih.

Beliau akan ditemani bapanya, Nurunnajmi Yaacob, 40, seorang guru, bagi menyertai tilawah anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar serta stesen penyiaran Al-Jazeera itu.

Menurut Nurunnajmi, anak keduanya daripada empat beradik itu terpilih setelah menjalani saringan pertama pada Februari lalu bersama 49 kanak-kanak dari seluruh negara.

”Tiga orang termasuk Nurussyahamah melepasi ujian berkenaan dan ujian kedua diadakan April lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata, Nurussyahamah meminati al-Quran sejak kecil dan telah mula membaca sejak berumur empat tahun.

Nurussyahamah pernah menjuarai tilawah al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia.

RM3.8 bilion bantu persekolahan setiap tahun – Utusan Malaysia


RM3.8 bilion bantu persekolahan setiap tahun

KUALA PILAH 12 Jun – Sebanyak RM3.8 bilion dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun untuk bantuan persekolahan yang membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama melaksanakan konsep negara berkebajikan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jumlah itu antara lain dibelanjakan untuk menampung yuran persekolahan, buku teks, makanan di asrama, Rancangan Makanan Tambahan dan Biasiswa Kecil Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, yuran persekolahan dan buku teks dinikmati oleh semua orang tanpa mengira status dan kedudukan mereka dengan kerajaan menanggung semua perbelanjaan itu.

“Apakah ini bukan ciri-ciri negara berkebajikan, yang miskin dan kaya tidak perlu bayar yuran dan dapat buku teks percuma.

“Negara berkebajikan ini telah lama dilaksanakan oleh kerajaan BN dan kita tidak suka bercakap besar tetapi melakukannya melalui usaha dan tindakan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim dan Timbalannya, Datuk Hasan Malek.

Mohd. Puad menarik perhatian, setiap tahun kerajaan juga membelanjakan sebanyak RM1.8 bilion bagi membayar gaji para guru di sekolah jenis kebangsaan.

“Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan supaya kerajaan membayar bil utiliti di sekolah jenis kebangsaan sebanyak RM2,000 sebulan. Semua ini dengan jelas membuktikan negara berkebajikan bukan sesuatu yang baru tetapi sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan BN,” katanya.