Ustazah biar suami rogol anak didakwa – Berita Harian


Ustazah biar suami rogol anak didakwa
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2011/06/14

Ibu tutup mulut mangsa ketika ‘dikerjakan’ bapa tiri

KUALA LUMPUR: Seorang ustazah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini, semalam atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 15 tahun di kediaman mereka, dua bulan lalu.

Wanita berusia 33 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan hakim, Roszianayati Ahmad.

Dia juga didakwa bersubahat bagi tuduhan ketiga memujuk mangsa sama dengan membenarkan suaminya mencabul kehormatan gadis itu di kediaman mereka sekitar Ampang, masa yang sama, pada Mac 2011.

Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Ab Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan serius dengan mengambil kira usia mangsa yang masih di bawah umur ketika kejadian selain menjaga keselamatan saksi pendakwaan terdiri daripada mangsa dan anak-anak wanita itu.

Roszianayati memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya perbicaraan kes itu dijalankan bersama dengan kes suaminya di hadapan hakim Manira Mohd Nor di Mahkamah Sesyen Ampang di sini.

Sementara itu, suami ustazah berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, semalam atas dua dakwaan merogol anak tirinya itu tanpa kerelaannya dan melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa, pada masa dan tempat yang sama.
Pendakwaan yang diwakili Zuraini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan sama sebelum Manira memutuskan lelaki itu tidak dibenarkan diikat jamin walaupun beliau merayu supaya mahkamah membenarkan telefon bimbitnya dikembalikan untuk menelefon penjamin.

Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan bagi pasangan suami isteri itu melantik peguam.

INFO: Pertuduhan

  • Bagi tuduhan pertama, wanita itu didakwa menyuruh anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun dan 1 bulan membuka pakaian dan menutup mulut mangsa ketika dirogol suaminya yang dinikahi hampir setahun lalu di dalam bilik mangsa, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi, pada April 2011.
  • Tuduhan kedua pula, dia dituduh bersubahat dengan suaminya menyuruh mangsa masuk bilik bapa tirinya itu, masa yang sama, pada 12 Mei 2011.
  • Bagi dua tuduhan merogol, pemandu lori itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau 10 sebatan.
  • Bagi cabul kehormatan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Lahir bayi dalam mangkuk tandas – Berita Harian


Lahir bayi dalam mangkuk tandas
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
2011/06/14

Remaja mengaku kepada keluarga angkat pernah terlanjur dengan kekasih

BANDAR SERI JEMPOL: Satu keluarga di tanah rancangan FELDA di sini, terkejut apabila seorang anak angkat yang tinggal bersama mereka sepanjang dua minggu cuti persekolahan, melahirkan bayi perempuan di tandas rumah mereka, kelmarin.

Bayi perempuan tidak cukup bulan itu termasuk ke dalam mangkuk tandas dan sebaik ambulans tiba, bayi malang itu disahkan sudah meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata anak angkat berusia 16 tahun itu adalah seorang pelajar sebuah sekolah di Port Dickson dan tinggal bersama keluarga berkenaan di Feldajaya Selatan Raja Alias dekat sini.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila remaja terbabit mengadu sakit perut lalu pergi ke tandas di rumah itu.

“Ketika meneran, bayi yang dipercayai berusia tujuh bulan itu terkeluar dan masuk ke dalam mangkuk tandas. Keluarga angkatnya yang menyedari kejadian itu segera menghubungi hospital, tetapi bayi itu disahkan sudah meninggal dunia apabila ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hamdan berkata, punca kematian hanya akan ditentukan selepas bedah siasat dibuat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
Difahamkan seorang ahli keluarga angkat pelajar itu tidak menyangka jeritan remaja berkenaan ketika berada dalam tandas kerana melahirkan anak.

Remaja itu juga mendakwa tidak menyangka akan melahirkan bayi kerana kandungannya hanya berusia tujuh bulan.

Dia juga mengaku kepada keluarga angkat terbabit pernah terlanjur dengan teman lelakinya, tahun lalu.

Semak rayuan IPTA hari ini – Bernama


Semak rayuan IPTA hari ini

2011/06/14

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan yang setaraf untuk sesi akademik 2011/2012 boleh disemak mulai tengah hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, di sini semalam, berkata pemohon boleh berbuat demikian menerusi laman webnya di http://www.upu.mohe.gov.my atau pada laman web universiti yang dipohon.

Keputusan rayuan adalah muktamad dan rayuan calon dianggap gagal jika mereka tidak menerima sebarang tawaran rasmi sehingga 3 Julai ini, kata kenyataan itu.

Kementerian berkenaan juga tidak melantik ejen atau wakil dalam pemilihan kes rayuan terbabit.

“Orang ramai diminta berhati-hati berikutan kementerian tidak pernah melantik ejen atau wakil dalam kes rayuan.

“Semua pengurusan berpusat adalah melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) dengan mengguna pakai dasar, kriteria pemilihan prosedur serta prosedur yang sudah ditetapkan oleh kementerian,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, pemohon diminta hubungi talian 03-88835858 dan 03-88835848.
Calon juga boleh menyemak keputusan rayuan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (No.KP) dan hantar ke 15888. – BERNAMA