Dua beranak maut digilis lori pasir di Bandar Baharu – Bernama


Dua beranak maut digilis lori pasir di Bandar Baharu

2011/06/16

BANDAR BAHARU: Seorang lelaki dan anak perempuannya maut setelah motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Serdang-Selama, di Kampung Terap Batu 22 di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, ASP Helmi Ariff, berkata kemalangan ngeri itu berlaku kira-kira 7.10 pagi tadi ketika mangsa Md Daud Taib, 62, dalam perjalanan dari Kampung Sungai Air Hitam, Selama ke Pekan Serdang untuk menghantar anaknya Siti Hajar, 14, pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Serdang, dekat sini.

“Sebuah lori pasir kosong dalam perjalanan dari arah Serdang ke Selama memotong sebuah lagi lori dari arah sama lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa yang membawa anaknya menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting di atas jalan raya dan digilis lalu diseret lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada waris berkenaan untuk dikebumikan di kampung mereka.

Sementara itu, Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan, yang menghubungi BERNAMA berkata pihaknya menghulurkan sedikit sumbangan untuk pengkebumian mayat kedua-dua beranak berkenaan.

Helmi juga menyarankan pihak berkenaan supaya menjadualkan laluan puluhan lori pengangkut pasir dan tanah merah di sekitar daerah itu.
Katanya, pemandu lori berkenaan bukan sahaja memandu laju tetapi juga secara tidak berhemah dan besar kemungkinan lebih ramai lagi pengguna jalan raya di daerah itu akan menjadi mangsa.

“Sebilangan mangsa kebanyakannya pelajar sekolah di daerah ini menjadi mangsa pemandu lori pasir dan tanah merah yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya. – BERNAMA

Pistol di kepala guru – Harian Metro


Pistol di kepala guru

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di ibu negara berusia 31 tahun berdepan detik mencemaskan apabila kepalanya diacukan sepucuk pistol oleh seorang lelaki dipercayai bapa muridnya, kelmarin.

Difahamkan, bapa berusia lewat 30-an itu dikatakan berang apabila guru terbabit mengetuk kepala anak perempuannya berusia 11 tahun dengan pembaris selepas gagal menjawab soalan ketika sesi pembelajaran, Isnin lalu.

Malah, lelaki sama dikatakan pernah menyerang seorang guru lain bersenjatakan pump gun tiga bulan lalu akibat tidak berpuas hati dengan tenaga pengajar itu sebelum kes itu diselesaikan pentadbiran sekolah berkenaan.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9.30 pagi semalam, suspek yang ‘naik hantu’ menceroboh sekolah berkenaan sebelum menyerang guru terbabit yang sedang bersarapan di kantin.

 
Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, suspek terus menghamburkan kata-kata kesat kepada guru berkenaan.

Wanita Vietnam cuba culik anak – Harian Metro


Wanita Vietnam cuba culik anak

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun diseret dari tingkat dua kediaman keluarganya di Taman Harmoni 2 di sini, oleh seorang wanita warga Vietnam dalam cubaan menculik, Ahad lalu.

Wanita dikenali sebagai Le Thi Hoi, berusia 20-an itu turut mengenakan baju kurung berwarna ungu serta tudung coklat ketika cuba melarikan kanak-kanak itu.
Lebih menyakitkan hati, Le sebelum itu meminta simpati untuk bermalam di rumah berkenaan selepas mengadu tiada tempat tinggal selain kesempitan wang.

 

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Mia, berusia 30-an berkata, dia terkejut dan tidak menyangka Le sanggup bertindak demikian selepas dibantu termasuk diberi makan minum, pakaian selain kelengkapan mandian.
“Ayah yang bekerja sebagai pemandu teksi menemui Le dan membawanya pulang ke rumah selepas dia beria-ia meminta pertolongan.
“Sebelum itu, Le gagal menjelaskan wang tambang sebanyak RM50 selepas ayah menghantarnya dari Skudai ke Taman Ihsan Jaya, Ulu Tiram,” katanya ketika ditemui, semalam.

 

 

Menurut Mia, anaknya yang dikenali sebagai Mira bagaimanapun selamat dalam kejadian itu selepas menepis tangan Le sebaik tiba di pintu pagar.
“Mira menjerit dengan mengatakan tidak mahu mengikut Le jika saya tidak ikut bersama.

 

“Ketika itu, saya sedang mandi di tingkat atas dan suami berada di dapur manakala dua anak serta Le pula di ruang tamu.
“Mira sempat menyentap beg berisi komputer riba yang cuba dilarikan Le, bagaimanapun, wanita terbabit dapat melarikan kamera serta telefon bimbit,” katanya.
Mia berkata, sebelum kejadian, Le sering memuji kecantikan Mira malah kerap menghubungi rakan senegaranya sambil menangis.
“Saya bimbang kejadian seperti itu didalangi sindiket penculikan dianggotai warga asing, ini kerana, ketika kejadian, Mira memaklumkan sebuah kereta berwarna biru dinaiki tiga lelaki menunggu Le di luar.
“Le serta tiga lelaki terbabit kemudian melarikan diri dari sana,” katanya.
Bimbang berlaku perkara tidak diingini, Mia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Rini pada hari kejadian.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan masih berjalan.
“Kami masih memburu suspek bersama tiga lelaki terbabit dan pada masa sama berharap orang awam turut berhati-hati jika dihampiri wanita seperti yang digambarkan oleh mangsa,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Rogol: Nelayan dijel 17 tahun, 12 sebatan – Utusan Malaysia


Rogol: Nelayan dijel 17 tahun, 12 sebatan

KUALA TERENGGANU 15 Jun – Seorang nelayan masih mampu tersenyum apabila dihukum penjara 17 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol dan melakukan seks oral terhadap seorang remaja berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.

Baharuddin Muhammad, 39, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Zainal Abidin Kamarudin selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol dan satu tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa di bawah sebuah rumah bernombor 320, Jalan Bukit Losong, Losong Panglima Perang di sini kira-kira pukul 10 malam, 7 Januari 2008.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh turut didakwa merogol mangsa di dalam sebuah bilik di rumah yang sama kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 7 Februari 2008 dan kira-kira pukul 2.30 pagi, 9 Februari 2008.

Bagi kesalahan rogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Zainal Abidin menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan sebatan dua kali bagi tuduhan seks luar tabii. Tertuduh turut dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali bagi setiap pertuduhan rogol yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan hukuman ke atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dijalankan berasingan dengan pertuduhan merogol.

Bagaimanapun hukuman bagi kedua-dua pertuduhan merogol diperintah berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh diwakili oleh peguam Abdul Aziz Muda.

2 kementerian bincang larangan jual nasi lemak – Utusan Malaysia


2 kementerian bincang larangan jual nasi lemak

PETALING JAYA 15 Jun – Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan berhubung cadangan larangan penjualan nasi lemak di semua kantin sekolah Rabu depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, perbincangan itu diadakan berikutan dakwaan yang mengaitkan nasi lemak sebagai punca kepada masalah obesiti di kalangan murid sekolah.

“Ini bukan soal boleh jual atau tidak, tetapi apa yang baik untuk kesihatan pelajar.

“Kalau kita melarang penjualan di sekolah, mereka boleh makan nasi lemak di luar dengan ibu bapa. Kita perlu memberi pendidikan kepada pelajar tentang cara pemakanan yang sihat mengikut piramid makanan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan laman web tutorial pendidikan EzLearn2U di sini hari ini.

Menurut beliau, guru-guru mungkin boleh menggunakan pendekatan pembelajaran di dalam kelas dengan menjelaskan kepada pelajar tentang jumlah kalori yang dimakan dan aktiviti yang perlu dilakukan untuk membakar kalori tersebut.

“Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang indeks jisim badan (BMI) kerana ramai pelajar yang tidak tahu tentang berat ideal mereka.

“Kita juga mungkin memanggil ibu bapa pelajar yang menghadapi masalah obesiti ke sekolah untuk berbincang dan menyelesaikan perkara itu bersama guru,” katanya.

Mengenai penjualan makanan ringan di luar kawasan sekolah, Ka Siong berkata, ia berada di luar bidang kuasa kementerian untuk mengambil tindakan terhadap peniaga berkenaan.

Sementara itu, laman web tutorial dalam talian EzLearn2U yang dikendalikan oleh Star Publications (M) Bhd. menawarkan modul pembelajaran interaktif mata pelajaran Matematik Tambahan dan Fizik kepada pelajar tingkatan empat dan lima menerusi alamathttp://www.gooroo.my.