11 lelaki ditemui kaki dirantai – Utusan Malaysia


11 lelaki ditemui kaki dirantai

 

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

 

KUALA TERENGGANU 16 Jun – Seramai 11 lelaki yang ‘dirawat’ di sebuah pusat rawatan dan pemulihan akhlak swasta di Kampung Bukit Gasing, Seberang Marang dekat sini ditemui terkurung dalam sebuah rumah dengan kaki masing-masing dirantai, semalam.

Selain penghuni lelaki berusia antara 15 hingga 36 tahun itu, dua penghuni wanita berusia 23 dan 24 tahun turut ditemui dikurung dalam sebuah rumah lain yang dijadikan pusat pemulihan akhlak dan pusat rawatan tersebut.

Semua mereka ditemui sepasukan polis setelah bapa kepada salah seorang daripada penghuni itu membuat laporan ekoran kecewa kerana tidak dibenarkan berjumpa anaknya yang dirawat di pusat rawatan itu.

Polis yang menyerbu dua buah rumah yang dijadikan pusat rawatan dan pemulihan akhlak itu menemui 11 penghuni lelaki dan dua wanita yang dikurung berasingan.

Bagaimanapun, kedua-dua penghuni wanita itu tidak dirantai atau diapa-apakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, berikutan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 38 hingga 50 tahun termasuk pengurus pusat pemulihan akhlak tersebut untuk disoal-siasat.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, kesemua lelaki yang dikurung mendakwa mereka turut didera termasuk ditampar dan dirotan.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang, polis merampas semua alat yang digunakan untuk mendera penghuni itu termasuk wayar dan kabel,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Manoharan, kesemua mangsa kini dihantar ke Jabatan Kebajikan Daerah Marang untuk penempatan sementara setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berdekatan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana mengurung orang dengan salah serta Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan.

“Polis juga sedang menyiasat pusat rawatan itu dan berdasarkan maklumat awal, ia dimiliki oleh sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar,” katanya.

Pendidikan seks mula diajar di sekolah November ini – Utusan


Pendidikan seks mula diajar di sekolah November ini

16/06/2011 8:48pm

 

 

Oleh ALI MAHMOOD

 

RAUB 16 Jun – Modul Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk pelajar sekolah akan mula diperkenalkan kepada murid tahun satu bermula November ini.

 

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk, Pembangunan dan Keluarga Negara (LPPKN),

Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas modul tersebut dapat diterima dengan baik oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini didedahkan dengan PKRS.

Menurutnya, pelajar sekolah rendah dan menengah akan mengikuti modul yang berbeza berdasarkan tahap usia mereka.

“Berdasarkan tinjauan dan maklumat balas yang diterima daripada pelatih PLKN seluruh negara ternyata mereka sangat gembira dengan kandungan modul itu yang mula dipelajari sejak dua hari lalu.

“Menurut mereka, modul yang dipelajari itu sangat berguna dan tidak pernah dibincangkan dengan keluarga sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke PLKN Benum Hill Resort dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Menurut Aminah, modul tersebut akan mula diajar kepada murid tahun satu selepas selesai peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, pendidikan itu bukan perkara baru kerana ia mengambil modul sedia ada yang diperbaharui dan digubal semula.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, para pelatih PLKN memberikan reaksi positif terhadap kandungan modul tersebut kerana mereka mendapat maklumat dengan kaedah yang betul.

“Modul tersebut lebih kepada membentuk golongan remaja yang sihat, berdaya tahan, berakhlak, bertanggungjawab serta berupaya menghadapi cabaran perubahan dalam kehidupan masa kini,” katanya. – Utusan