Keputusan siasatan kurang tepat
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 17 Jun – Seorang pakar forensik berpendapat bahawa keputusan siasatan di tempat kejadian dalam kes kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akibat ditembak di kepala pada April tahun lalu kurang tepat.
Bekas Ketua Bahagian Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan berkata, ia berikutan kegagalan pasukan forensik polis memanfaatkan sains forensik di samping tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan siasatan.
Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kedua di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berpendapat demikian selepas mendapati pengutipan kelongsong-kelongsong peluru dibuat beberapa hari selepas kejadian.
“Ia tidak mematuhi SOP apabila ada kelongsong-kelongsong peluru yang dikutip agak lewat. Ditambah dengan cacat cela yang sedia ada, ia akan menyebabkan keputusan forensik balistik berbeza.
“Lambat dikutip juga menyebabkan ia kemik akibat dipijak atau dilenyek (kenderaan). Kita tidak akan dapat pastikan dari senjata mana ia ditembak kerana satu calar akan menafikan keputusan forensik balistik kemudiannya,” jelas beliau.
Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sedang membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April tahun lalu.
Bapa kepada empat anak itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Amidon yang merupakan pensyarah pelawat di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, beberapa ujian seperti analisis mengesan sisa tembakan juga tidak dilakukan.
Begitu juga perkara mengenai rekonstruksi iaitu pembinaan semula kejadian ketika kereta yang dipandu Aminulrasyid masih berada di tempat kejadian dengan kereta peronda di belakangnya turut tidak dibuat.
“Rekonstruksi dalam kes ini akan membolehkan kita mengenal pasti arah tembakan, arah kemasukan peluru, jarak tembakan serta posisi penembak. Saya bagaimanapun tidak nampak proses rekonstruksi melalui trajektori dilakukan di situ.
“Keseluruhannya, saya berpendapat pemerosesan tempat kejadian tidak terperinci dan penggunaan sains forensik adalah terbatas,” jelasnya.
Pada prosiding hari ini, saksi turut memaklumkan beliau tidak nampak sebarang kesan tembakan pada tangki minyak kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid pada malam kejadian.
Amidon juga memberitahu tiada kesan tembakan pada tayar atau rim tayar kereta, selain tiada kesan tumpahan petrol di atas jalan raya sekitar tempat kejadian.
Hasil pemerhatian beliau, kesemua tembakan dilepaskan ke bahagian bawah belakang kereta Proton Iswara berwarna putih itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung 24 Jun ini.