4 sahabat maut, kereta dinaiki bertembung bas ekspres – Utusan Malaysia


4 sahabat maut, kereta dinaiki bertembung bas ekspres

19/06/2011 6:19pm

 

 

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

 

KUALA LIPIS 19 Jun – Empat sahabat maut apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, mereka yang maut adalah Ho Wai Kin, 20; Wong Kok Heng, 17; Yup Chung Hung, 15; dan Chin Xion, 15, manakala seorang rakan mereka, Chan Kwan Yong, 30, mengalami patah tangan.

Bagaimanapun pemandu bas ekspres tersebut hanya mengalami cedera ringan, manakala 42 penumpang bas termasuk 13 warga China tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kereta jenis Toyota Vios dinaiki lima sahabat itu datang dari arah Lipis menghala ke Benta bertembung dengan bas tersebut dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu. – Utusan

Naikkan pangkat penjawat awam selepas berkursus – Bernama


Naikkan pangkat penjawat awam selepas berkursus

19/06/2011 5:04pm

 

ALOR SETAR 19 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (Prospek), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

“Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif Prospek tidak tercapai.

“Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat,” kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut agar pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan.

“Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam Prospek konsep melintang dan menegak tiada.

“Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini. – Bernama

Bibit jenayah rogol – Harian Metro


Bibit jenayah rogol

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kegilaan remaja terhadap permainan berunsur seks yang mudah dimuat turun ke telefon bimbit boleh menyebabkan mereka terjerumus ke kancah jenayah serius seperti rogol.

Pakar Kriminologi dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, permainan seperti itu hanya bertujuan merangsang nafsu tetapi kesan jangka panjangnya sungguh berbahaya.
“Ketagihan terhadap permainan seperti itu memberi kesan buruk kepada pemainnya, malah boleh menyebabkan berlaku kes rogol, cabul atau sumbang mahram kerana pemikiran dipengaruhi nafsu atau syahwat sukar dikawal,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam, mengenai kegilaan remaja memuat turun permainan yang diadaptasi daripada rancangan realiti seks ke telefon bimbit.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa memainkan peranan penting, terutama memeriksa laman web dilayari anak mereka.
“Permainan sebegini mudah dimuat turun, jadi ibu bapa perlu sentiasa peka terhadap laman web yang menjadi kegemaran anak mereka.
“Selain itu, bagi mengelak anak melawat laman web lucah, mereka boleh menggunakan perisian yang boleh menyekat anak daripada menontonnya,” katanya.

 

 

Sementara itu, mengenai insiden godam yang berlaku terhadap beberapa laman web di negara ini, Akhbar berkata, tahap sistem pertahanan sesebuah laman web boleh menjadi pencetus meningkatkan keghairahan golongan penggodam untuk melakukan pencerobohan.
“Kewujudan ego di kalangan penggodam menyebabkan mereka mahu menguji tahap kepakaran, terutama apabila berdepan sistem pertahanan laman web yang tinggi.

 

“Kebiasaannya kaedah ‘pintu belakang’ digunakan untuk memecah masuk ke sesebuah laman web. Mereka ini pakar dalam sistem komputer, jadi apabila berdepan sistem pertahanan kukuh, mereka akan bertambah ghairah mahu menguji kehebatan masing-masing,” katanya.
Akhbar berkata, berdasarkan kajian, 24 peratus pencerobohan itu berlaku bertujuan mahu merosakkan sesebuah laman web, mencuri maklumat (19 peratus), memasukkan virus (16 peratus), kewangan (13 peratus), menyesakkan web (lapan peratus), curi identiti (lima peratus) dan lain-lain (15 peratus).
“Australia dan Korea Selatan sudah membangunkan strategi pertahanan siber mereka bagi melindungi daripada serangan penggodam, jadi saya melihat kita juga perlu ada satu rancangan jangka panjang kerana kegiatan jenayah siber boleh melumpuhkan negara,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, sebanyak 61 laman web dengan domain gov.my diserang sejak 11.30 malam Rabu lalu, menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Kaji semula bekalan susu 1Malaysia – Utusan Malaysia


Kaji semula bekalan susu 1Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Jun – Kementerian Pelajaran akan mengkaji semula sama ada menghentikan bekalan Program Susu 1Malaysia atau menukar pembekal sekiranya hasil laporan terhadap kes keracunan di tiga buah sekolah di Melaka semalam mendapati program itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong bagaimanapun berkata, keputusan akan dibuat berdasarkan laporan terperinci daripada Kementerian Kesihatan tentang punca keracunan melibatkan bekalan susu di bawah Program Susu Sekolah (PSS) itu.

“Setakat ini, Kementerian Pelajaran telah membekukan serta-merta penghantaran susu 1Malaysia ke sekolah dan pembekuan ini berterusan sehingga keputusan siasatan terperinci diperoleh,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kejadian keracunan melibatkan 97 murid di tiga sekolah rendah di Melaka yang mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas tiga jam meminum susu kotak berperisa coklat berjenama Dutch Lady yang diproses pada suhu tinggi (UHT) itu.

Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka As-Syakirin, Selandar dan SK Lendu di Alor Gajah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Dr. Mohamad Ali Hasan mencadangkan supaya program bekalan susu 1Malaysia digantikan dengan telur atau susu soya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita mahu pastikan murid-murid sekolah betul-betul mendapat makanan dan nutrisi terbaik dengan menggantikan susu kepada susu soya ataupun telur, saya rasa ramai ibu bapa akan lebih yakin dengan makanan yang diberikan kepada anak-anak mereka,” katanya.

‘Jangan tunggang langgang’ bimbing remaja, mat rempit – Berita Harian


‘Jangan tunggang langgang’ bimbing remaja, mat rempit

2011/06/19

KUALA TERENGGANU: Program kempen ‘Tunggang…, Jangan tunggang langgang’ mendekati penunggang motosikal remaja khususnya mat rempit di seluruh negara yang dikendalikan Ride It Right (RIR) Management Sdn Bhd, peringkat Terengganu selama dua hari berlangsung di Dataran Shahbandar yang berakhir semalam.

Dataran Shahbandar yang menjadi lokasi kelapan program tajaan UMW Pennzoil Distibutors Sdn Bhd dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Terengganu, menarik ribuan penunggang remaja di seluruh negeri itu untuk menyaksikan pelbagai pameran termasuk pertunjukan menunggang motosikal daripada PDRM, cara memandu motosikal secara selamat di jalan raya, pertandingan motosikal cantik dan perhimpunan motosikal kuasa besar.

Sebelum ini tujuh lokasi seperti di Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, Melaka; Kangar, Perlis; Ipoh, Perak; Alor Star Kedah dan Putrajaya sudah diadakan program itu. Program berkenaan akan berlangsung di seluruh negara membabitkan 13 lokasi dengan lokasi terakhir di Litar Lumba Motosikal Sepang dijangka berlangsung Oktober ini.

Sempena program itu yang berlangsung selama dua hari, pelbagai pameran agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Giat MARA diadakan.

Ketua Operasi RIR, Fadzil Ibrahim, berkata program anjuran Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia yang dikendalikan RIR sebagai tanggungjawab sosial yang
ditumpukan kepada penunggang motosikal remaja dan mat rempit ke arah mengubah masa depan mereka supaya lebih cemerlang khususnya dalam bidang sukan permotoran, sekali gus bagi melahirkan pelumba motosikal Cub Prix profesional.

Katanya, menerusi program ini, RIR menjemput seramai mungkin penunggang motosikal remaja dan mat rempit di negeri ini menyaksikan program yang dijalankan dan mereka juga berpeluang menjadi ahli RIR.
Menerusi program itu RIR juga membawa tiga bekas juara lumba motosikal Cub Prix negara, iaitu Azlizan Tambi, Efendi Yusoff dan Yasser Said yang menunjukkan cara menunggang motosikal dengan betul di litar lumba dan bagaimana menjadi seorang juara kepada peminat lumba motosikal di sini.
Ketiga-tiga mereka adalah ikon RIR sepanjang program berkenaan berlangsung di seluruh negara.