CUEPACS minta pertimbang bonus – Utusan Malaysia


CUEPACS minta pertimbang bonus

ALOR SETAR 19 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2012, awal Oktober ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sudah menyatakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara lisan dan akan memohon perkara itu secara bertulis dalam masa terdekat.

“Dua tahun kebelakangan ini kakitangan awam seluruh negara memperoleh wang saguhati RM1,000. Namun, kali ini CUEPACS amat berharap kerajaan menimbangkan kadar bonus yang lebih baik.

“Saya tidak mahu nyatakan berapa bulan bonus yang kita pohon kepada kerajaan kerana bimbang peniaga akan menaikkan harga barang, namun jumlah yang dipohon ini bersesuaian kepada penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, CUEPACS juga menuntut kerajaan untuk menyelaraskan elaun sara hidup (COLA) bagi meningkatkan taraf hidup 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Omar berkata, COLA yang dinikmati ketika ini sekitar RM80 sebulan sudah diguna pakai sejak lapan tahun lalu dan sudah tiba masanya ia dinaikkan kepada RM300 sebulan.

“Kenaikan ini selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerusi pekerja pendapatan tinggi dan melahirkan pekerja yang kreatif serta inovatif.

“Harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan ke arah menuju negara maju menjelang 2020,” jelasnya.

Ustazah maut nahas ketika ke rumah ibu – Utusan Malaysia


Ustazah maut nahas ketika ke rumah ibu

MELAKA 19 Jun – Hasrat seorang ustazah menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga di kampung berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17, Bemban-Tehel di sini, semalam.

Lebih menyayatkan hati, hajat Hazlina Abu Samah untuk menjamah kuih kegemaran, kuih lopes yang dibuat oleh ibunya juga tidak kesampaian.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika Hazlinah, 34, yang memandu kereta jenis Proton Wira ditemani oleh anak lelakinya, Mohd. Faerid Mohd. Hafizi, 8, dalam perjalanan dari rumah mereka di Selandar menuju ke rumah ibu bapa Hazlinah di Pengkalan Jajar, Kampung Alai.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa terbabas ketika melalui satu selekoh tajam di tempat kejadian.

“Akibatnya, kereta yang dipandu oleh mangsa terbabas di kiri jalan lalu merempuh tiang lampu dan tembok pagar batu di kaki lima jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Che Suza, mangsa yang mengajar di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, Mohd. Faerid tidak mengalami kecederaan serius.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala Mohd. Faerid turut diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Sementara itu, Mohd. Faerid ketika ditemui di rumahnya di Selandar memberitahu, dia hanya mengetahui ibunya meninggal dunia selepas lima jam kejadian berlaku.

“Selepas kemalangan, saya fikir ibu hanya pengsan, namun ketika saya cuba menggerakkannya, saya lihat darah mengalir dari kepala ibu dan dia tidak bangun,” katanya.

Tambahnya, selepas dibawa ke hospital, datuknya kemudian membawanya ke bilik mayat dan memberitahu ibunya telah meninggal dunia.

Bapa mangsa, Abu Samah Musa, 60, memberitahu, apa yang menyedihkan, anak keduanya itu sepatutnya memulakan kelas pertama Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Institut Perguruan Perempuan Melayu (IPPM) Durian Daun, hari ini.

“Tuhan lebih menyayangi dia, sudah lama arwah mengimpikan untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang perguruan, namun hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Jajar di sini, hari ini.

Remaja minum diugut bunuh – Harian Metro


Remaja minum diugut bunuh

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Berang telefon bimbitnya hilang, seorang lelaki naik angin sebelum membelasah seorang remaja yang sedang minum di sebuah kedai makan di Taman Lembah Maju di sini, kononnya remaja itu mencuri telefon bimbitnya, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, remaja terbabit terkejut apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menyerang dan menampar mukanya menyebabkan mangsa kebingungan.
Menurut sumber, selepas menampar, lelaki terbabit mencekak kolar baju mangsa dan menyoalnya sama ada mencuri telefon bimbitnya atau tidak.

 

“Bagaimanapun, mangsa menafikannya dan memberitahu tidak tahu-menahu kehilangan telefon bimbit itu,” katanya.
Sumber berkata, lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan mangsa menyebabkan dia mengugut akan membunuhnya jika enggan menyerahkan telefon bimbit itu.
“Mangsa merayu supaya lelaki itu tidak mencederakannya, namun tidak dipedulikan.

 

 

“Malah, lelaki itu mahu mangsa menggantikan telefon bimbit baru jika mahu selamat,” katanya.
Katanya, mangsa yang ketakutan berjanji menggantikan semula telefon bimbit lelaki itu sebelum dilepaskan.

 

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang selepas diugut bunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Polis pantau sekolah agama – Berita Harian


Polis pantau sekolah agama

2011/06/20

YAN: Polis dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri sedang menjalankan siasatan dan memantau semua sekolah agama di seluruh negara berikutan kebimbangan penularan pengaruh Jemaah Islamiah (JI) yang boleh menggugat keamanan negara.

Walaupun tidak membabitkan sekolah agama secara langsung, dipercayai ada kelompok tertentu berpengaruh sama ada sebagai tenaga pengajar atau kakitangan sekolah yang cuba menyebarkan fahaman JI di kalangan pelajar.

Bercakap selepas menyerahkan cek bantuan kepada Sekolah Menengah Agama Saadah Al-Diniah Sungai Limau Dalam, di sini, semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pihaknya bekerjasama dengan polis mengenai perkara itu dan memantau pergerakan setiap sekolah berkenaan untuk memastikan pengaruh JI tidak menembusi negara ini.

Katanya, laporan diterimanya tidak menjurus pembabitan sekolah secara langsung dengan aktiviti itu, tetapi membabitkan individu tertentu yang mungkin bergerak daripada dalam untuk menyebarkan pengaruh JI.

“Kita sentiasa bertukar maklumat dengan polis dalam hal ini dan sentiasa memantau semua sekolah agama daripada dipengaruhi fahaman JI,” katanya.

NUTP syor insentif guru buat kerja tambahan – Berita Harian


NUTP syor insentif guru buat kerja tambahan
Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my
2011/06/20

Kesatuan mahu skim bayaran tiga baris dikaji semula

KOTA BHARU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan supaya membayar insentif atau bayaran khas kepada guru yang memiliki kepakaran dan sanggup melakukan kerja tambahan di sekolah.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pada dasarnya, kira-kira 17,000 ahli NUTP sentiasa bersedia dengan beban kerja tambahan yang terpaksa dilakukan di sekolah bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) berjalan lancar.

Katanya, guru yang memiliki kepakaran lebih dari satu mata pelajaran itu tidak pernah menerima sebarang bayaran atau insentif lain walaupun terpaksa menanggung bebanan kerja terutama menjadi guru ganti mata pelajaran tertentu.

“Guru yang memiliki kepakaran lebih dari satu mata pelajaran itu tidak pernah menerima sebarang bayaran atau insentif walaupun dibebani dengan kerja tambahan dan kira-kira 17,000 ahli NUTP sanggup memikul beban itu.

“Memandangkan selama ini mereka bekerja dalam keadaan sukarela, sudah tiba masanya kerajaan menimbangkan usul supaya guru memiliki kepakaran dan bersedia dibebani kerja lebih itu dibayar insentif sebagai menghargai khidmat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung NUTP Cawangan Kelantan Ke-19, di sini, semalam.

Yim Pheng berkata, dalam perkembangan lain, NUTP berharap kerajaan akan mengkaji semula skim bayaran guru daripada tiga baris seperti yang dipraktikkan sekarang kepada sistem sebaris, dengan mewujudkan satu gred satu baris.
Katanya, melalui kaedah ini, ia boleh mewujudkan satu laluan budaya kerjaya lebih lancar, profesional, sihat dan berkualiti sekali gus meningkatkan tahap P&P yang cemerlang untuk kemajuan pelajar di negara ini.

“NUTP juga meminta kerajaan supaya menilai semula guru yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman menerusi skim gaji bersepadu, yang mampu mewujudkan laluan kerjaya menarik kepada guru bermula dari gred 41 sehingga gred seterusnya.

“Apabila skim itu dipersetujui kerajaan, guru yang berpengalaman ditambah tempoh perkhidmatannya dan secara tidak langsung mereka layak menerima kenaikan gaji sebelum bersara dengan bayaran pencen lebih besar, sesuai dengan tempoh berkhidmat,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan menggantikan Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) kepada Program Sepadu Pembangunan Kompitensi (PROSPEK), beliau berkata, NUTP bersedia mengikuti dasar baru itu, namun berharap pelaksanaannya nanti harus mengambil kira kepentingan guru.

“NUTP harap PROSPEK ini akan memberi peluang kepada ramai guru untuk naik pangkat tanpa sekatan dan kesulitan, selain berharap kerajaan akan memanggil kami untuk membincangkan sebarang cadangan baru sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.