Ibu anak hidap leukemia ditipu – Utusan Malaysia


Ibu anak hidap leukemia ditipu

 

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

 

HULU LANGAT 20 Jun – Tiga daripada anaknya meninggal dunia akibat penyakit leukemia, manakala dua lagi yang masih hidup turut menghidap penyakit yang sama.

Atas penderitaan itu, E. Vanajah, 36, sanggup menerima tawaran seorang ‘pegawai bank’ wanita untuk membuat pinjaman peribadi bagi merawat penyakit dua anaknya itu.

Tanpa berfikir panjang dan demi kasih sayang terhadap anaknya, wanita itu sanggup menggadai barang kemasnya bagi mendapatkan wang sebanyak RM3,500 untuk diserahkan kepada ‘pegawai bank’ berkenaan sebagai deposit pinjaman berjumlah RM100,000 tahun lalu.

Vanajah yang hanya bekerja sebagai tukang cuci di pangsapuri sewanya di Seri Permai, Kampung Baru, Semenyih di sini, mula berasa sangsi apabila pinjaman belum diluluskan walaupun sudah lebih setahun menunggu, manakala ‘pegawai bank’ terbabit berdolak-dalih apabila ditanya.

Menurut Vanajah, dia menerima tawaran itu setelah terdesak untuk mendapatkan wang bagi membiayai rawatan dua anak perempuannya iaitu S. Anjali Devi @ Nethiar, 8, dan S. Uma Magheswari, 5.

“Saya pernah kehilangan tiga orang anak akibat leukemia. Kini hanya Nethiar dan Uma Mageswari sahaja anak saya yang masih hidup tetapi turut menderita penyakit sama.

“Oleh kerana tidak mahu kehilangan mereka, saya sanggup bergadai untuk membuat pinjaman yang sebenarnya tidak wujud itu dan kini amat berharap ‘pegawai bank’ itu mengembalikan wang yang sudah diserahkan kepadanya sebelum ini,” katanya kepadaUtusan Malaysia ketika ditemui semasa membuat laporan di Balai Polis Semenyih, di sini semalam.

Bukan Vanajah sahaja, malah dua lagi mangsa turut ditipu oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank dikenali sebagai Rajeswary berusia lingkungan 30-an.

Seorang lagi mangsa, P. Nedumaran, 43, memberitahu, dia ditipu Rajeswary untuk mendapatkan pinjaman peribadi RM150,000 sehingga sanggup mencagarkan geran kereta Nissan Sentra kepada ceti bagi mendapatkan wang RM10,000 untuk diserahkan kepada wanita tersebut.

Nedumaran berkata, Rajeswary sendiri yang memperkenalkan ceti terbabit kepadanya, namun kesemua wang RM10,000 yang dipinjam diambil oleh wanita berkenaan kononnya untuk membayar deposit 10 peratus pinjamannya iaitu RM3,500, manakala baki digunakan membayar pinjaman abang dan kakak iparnya yang turut ditipu.

“Pinjaman saya bukan sahaja tidak diluluskan sehingga kini tetapi saya juga gagal mendapatkan geran kereta yang diperlukan untuk memperbaharui cukai jalan pada 23 Jun ini,” katanya sambil berharap Rajeswary memulangkan geran tersebut.

Kakak ipar Nedumaran, M. Vaniswary, 34, berkata, seperti Vanajah dan adik iparnya itu, dia bersetuju membuat pinjaman peribadi melalui Rajeswary kerana mempercayai wanita yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi.

“Saya kenal Rajeswary sejak berusia 13 tahun lagi kerana belajar di sekolah sama tetapi tidak sangka dia tergamak memperdayakan saya dan rakan-rakan yang lain,” katanya sambil mendakwa hampir 40 peratus rakannya yang tinggal di Semenyih turut menjadi mangsa wanita berkenaan.

Katanya, setiap kali ditanya tentang status pinjaman, Rajeswary akan memaklumkan ia dalam proses dan berpura-pura membawa mereka pergi ke bank tetapi berpatah balik semasa dalam perjalanan dengan alasan pegawai bertanggungjawab meluluskan pinjaman membatalkan temujanji kerana mempunyai urusan lain.

Cadangan lantik guru Orang Asli – Utusan Malaysia


Cadangan lantik guru Orang Asli

TEMERLOH 20 Jun – Cadangan pengambilan guru daripada kalangan Orang Asli adalah satu langkah bijak dalam mengatasi masalah keciciran pelajaran di kalangan masyarakat itu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Dr. Omar Othman berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pembelajaran anak-anak Orang Asli kerana guru yang mengajar adalah dalam kalangan masyarakat mereka.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran wajar menimbang saranan tersebut supaya masalah keciciran pelajaran anak-anak Orang Asli dapat ditangani.

“Untuk melatih lebih ramai guru Orang Asli, Kementerian Pelajaran perlu memberi sedikit kelonggaran dari segi kelulusan untuk membolehkan mereka memasuki Institusi Pendidikan Guru di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pelajar diajar baiah, demonstrasi – Utusan Malaysia


Pelajar diajar baiah, demonstrasi

 

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

 

SEREMBAN 20 Jun – Pelajar yang terlibat dalam gerakan didakwa menghasut untuk membenci dan menumbangkan kerajaan dengan alasan jihad di sebuah sekolah agama di Tampin telah diminta untuk berbaiah menyimpan rahsia, selain diajar cara mengadakan demonstrasi haram.

Salah seorang pelajar terlibat dikenali sebagai Ahmad, 18, memberitahu, mereka perlu membuat ikrar taat setia kepada kumpulan itu supaya ia tidak dihidu oleh orang lain dan jika mengingkarinya mereka akan ditimpa kecelakaan atau musibah.

Dalam pengakuannya kepada Utusan Malaysia, dia mendakwa program selama tiga hari dua malam itu dihadiri seramai 100 pelajar di sebuah ladang terpencil di Kuala Pilah dekat sini pada bulan lalu.

“Upacara baiah itu dilakukan sebagai tanda sumpah setia kami terhadap kumpulan itu dan kami juga dilarang sama sekali untuk membocorkan rahsia kepada umum atau kami akan menerima musibah jika diingkari.

“Majlis ikrar taat setia itu dijalankan di hadapan beberapa ustaz dan fasilitator yang datang dari beberapa buah universiti tempatan,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Ahmad menjelaskan, sebaik sahaja selesai upacara baiah itu, semua pelajar diajar untuk terbabit dalam demonstrasi bagi tujuan persediaan dan merasai pengalaman mengadakan perhimpunan haram.

Beliau berkata, dalam aktiviti itu, sebahagian daripada pelajar akan berlakon sebagai polis manakala satu kumpulan lagi bertindak sebagai penunjuk perasaan.

“Ketika mengadakan tunjuk perasaan itu, kami diminta bertakbir beberapa kali sekuat hati sambil berlakon melawan kumpulan yang menjadi anggota polis. Kami juga dibaling dengan kasut dan botol minuman plastik bagi merasai pengalaman berdemonstrasi.

“Sebaik sahaja aktiviti selama sejam itu berakhir, beberapa fasilitator kemudian memberi ceramah dan menceritakan pengalaman mereka menyertai perhimpunan haram,” katanya.

Menurutnya, dia mula berasa curiga selepas menghadiri program itu kerana melihat apa yang dilakukan sudah jauh menyimpang dan menyalahi undang-undang negara.

Sementara itu, sumber dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hari ini mengesahkan pernah wujud gerakan militan di sebuah maahad di Kuala Pilah.

“Kita tahu kehadiran beberapa pemimpin ekstremis di maahad berkenaan dan kita pantau perkembangan itu sehingga kini.

“Kita juga menyiasat dakwaan sekolah agama di Tampin yang dipercayai menanamkan kebencian kepada kerajaan dan mengajar demonstrasi kononnya atas jemputan program motivasi,” kata sumber itu.

Bayar guru lebih masa – Harian Metro


Bayar guru lebih masa

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya guru yang terpaksa bekerja lebih masa hingga lewat petang bagi melatih murid antaranya guru sukan, diberi insentif atau bayaran tambahan bagi menaikkan semangat guru seterusnya menghasilkan pelajar lebih cemerlang.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya guru yang membuat kerja tambahan atau menjalankan pelbagai tugas termasuk mengajar lebih satu subjek diberi insentif bersesuaian dengan kerja keras mereka.
Beliau berkata, sekiranya guru mendapat bayaran bagi kerja tambahan yang dilakukan, ia bukan saja lebih adil bagi mereka malah guru akan lebih berkobar-kobar untuk mengajar selain akan memastikan isu paksaan bekerja lebih masa di sekolah tidak lagi timbul.

 

“Saya mencadangkan supaya insentif ini mendapat pengesahan daripada pengetua atau guru besar masing-masing serta dibayar mengikut jam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, ada antara guru biarpun terpaksa melatih atau mendidik murid hingga lewat petang, mereka tetap perlu hadir awal pagi ke sekolah keesokannya seperti biasa dan ia tidak adil kepada mereka sekiranya dibayar sama dengan guru yang sering mengelak bekerja lebih masa dengan pelbagai alasan.
Katanya, sekiranya bayaran tambahan itu menjadi kenyataan, kemungkinan besar, guru sendiri akan berjumpa dengan pengetua atau guru besar masing-masing untuk meminta tugasan tambahan.

 

 

“Apa salahnya jika guru dibayar bagi kerja tambahan yang dilakukan mereka kerana ini insentif yang sangat baik. Ia bukan saja baik untuk guru tetapi untuk murid-murid juga,” katanya.
Dalam pada itu, NUTP turut berharap Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) yang bakal menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, bakal memberi lebih banyak kebaikan kepada kakitangan awam, termasuk guru di seluruh negara berbanding sebelumnya.

 

Katanya, NUTP turut berharap semua kakitangan awam termasuk guru akan lebih berpuas hati dan gembira menjalankan tugas dengan ganjaran serta kelebihan yang diterima menerusi Prospek.
“Secara keseluruhannya, kita berharap Prospek dapat memberikan yang terbaik terhadap apa saja cadangan yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan Cuepacs baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Prospek bagi menggantikan PTK bermula 1 Julai, dan mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.

JPA sedia temui CUEPACS – Berita Harian


JPA sedia temui CUEPACS
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2011/06/21

pix_gal0

Pelaksanaan penuh PROSPEK berkuat kuasa 1 Januari 2012

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia berbincang dengan CUEPACS sebelum mengeluarkan surat pekeliling berhubung pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, setakat ini enggan mengulas mengenai lima tuntutan baru yang dikemukakan CUEPACS sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.

Sambil menjelaskan perkara itu perlu diteliti serta dibincangkan dengan pegawainya terlebih dulu, beliau berkata, PROSPEK hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.

Justeru, beliau berkata, JPA kini dalam proses memberikan taklimat dan penerangan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan berhubung PROSPEK, termasuk garis panduan yang sudah ditetapkan.

“Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada Januari lalu adalah berasaskan peperiksaan, tetapi PROSPEK tidak ada peperiksaan, sebaliknya garis panduan.

“Sehubungan itu, JPA memperkenalkannya kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mereka membentuk suatu penilaian berasaskan PROSPEK bersesuaian dengan keperluan skim perkhidmatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar semalam melaporkan CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JPA mengenai PROSPEK bagi menggantikan PTK berkuat kuasa 1 Julai depan, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Tuntutan utama supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK.

Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai CUEPCAS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan juga isu berkaitan, serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Remaja putus jari dapat ganti rugi RM27,500 – Berita Harian


Remaja putus jari dapat ganti rugi RM27,500

2011/06/21

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM27,500 terhadap seorang pelajar tingkatan tiga di atas kecuaian anggota jabatan itu menjalankan tugas sehingga menyebabkan sebahagian jari telunjuk kiri remaja itu yang terputus gagal disambung semula, empat tahun lalu.

Muhammad Shaeidil Amir, 15, yang masih di bawah umur ketika kejadian, diwakili ibunya Zuraiza Omar, 39, memfailkan tuntutan saman pada Mac tahun lalu dengan menamakan Ketua Pengarah JPAM sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Hakim Maznah Abdul Aziz memerintahkan JPAM dan Kerajaan Malaysia membayar RM25,000 sebagai gantirugi am dan khas di atas kecuaian berkenaan dan RM2,500 kos prosiding terhadap Muhammad Shaeidil yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, Pendang.

Keputusan penghakiman itu dipersetujui Peguam Persekutuan, Adliana Nujumudin yang mewakili JPAM dan Kerajaan Malaysia. Muhammad Shaeidil diwakili Simon Murali.

Mengikut fakta kes, pada 2 November 2007 plaintif mengalami kecederaan apabila sebahagian jari telunjuk kirinya terputus ketika dia memotong kelapa menggunakan parang di rumahnya di Kampung Batu Menunggul, Air Putih, dekat Pendang.

Plaintif kemudian dibawa ibunya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, bersama-sama dengan sebahagian jari telunjuk yang terputus itu yang diletakkan dalam plastik berisi ais bertujuan untuk disambungkan semula.

Namun, bekas plastik berkenaan yang diberikan kepada seorang anggota JPAM yang bertugas di unit kecemasan HSB yang kemudian bertindak membuang sebahagian jari itu ke dalam mangkuk tandas menyebabkan doktor gagal menyambung semula jari berkenaan.