2 beranak belasah jiran – Harian Metro


2 beranak belasah jiran

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Dua beranak boleh dianggap samseng apabila sanggup membelasah seorang wanita gara-gara perselisihan faham antara mereka di sebuah kedai jahit di Apartmen Mesra Ria, menyebabkan mangsa cedera di mata, pipi, siku dan belakang badan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4.20 petang, mangsa yang berusia 36 tahun bersama anak lelakinya berusia belasan tahun pergi ke kedai itu untuk menempah baju, namun tiba-tiba datang seorang remaja berusia 13 tahun membawa kayu besbol dan terus menendang mangsa dari belakang.
Menurut sumber, mangsa bagaimanapun tidak melawan dan menasihati remaja itu agar tidak mengulangi perbuatan itu sebelum terus masuk ke dalam kedai.

 

“Mangsa dan anaknya kemudian keluar 15 minit selepas itu dan ketika sedang berjalan di kaki lima untuk pulang ke rumah, dia terserempak dengan ibu remaja terbabit.
“Mangsa terus menyapa ibu remaja itu dan memberitahu perbuatan dilakukan anaknya itu, namun tiba-tiba wanita terbabit naik angin dan terus menendang kaki mangsa dan menghalaunya,” katanya.
Sumber berkata, ibu remaja itu bukan saja menendang mangsa, malah turut menampar muka dan mengheretnya di atas jalan raya sebelum tiba-tiba remaja tadi turut campur tangan dengan menendang mangsa.

 

 

“Mangsa yang tidak tahan dipukul melawan dan berjaya melepaskan diri.
“Pertengkaran antara mereka hampir 10 minit itu disaksikan orang ramai situ tanpa ada yang datang meleraikannya,” katanya.

 

Pertengkaran terbabit akhirnya dileraikan apabila polis peronda tiba di kawasan itu.

Lambaian atas jalan – Harian Metro


Lambaian atas jalan

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...orang ramai cuba mententeramkan  Mohd Hakimi yang mengalami kecederaan parah sementara gambar bawah keadaan motosikal dinaiki dua beranak itu yang rosak teruk.
SAKIT…orang ramai cuba mententeramkan Mohd Hakimi yang mengalami kecederaan parah sementara gambar bawah keadaan motosikal dinaiki dua beranak itu yang rosak teruk.

ALOR GAJAH: Lambaian serta tangisan pilu seorang pelajar sekolah rendah yang terbaring di atas jalan raya menyentuh perasaan orang ramai selepas motosikal ditunggang ibunya dirempuh sebuah kereta di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, Mohd Hakimi Musazali, 10, bersama ibunya, Roziah Basah, 35, dari Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi cedera parah selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah Produa Kancil dari belakang.
Pada masa sama, sebuah Produa Viva dipandu seorang wanita bersama anaknya dari arah Kuala Sungai Baru terbabas dan terbalik ketika cuba mengelak dua beranak itu yang terbaring di atas jalan.

 

Difahamkan, motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Roziah berada di tengah jalan untuk membelok masuk ke rumahnya sebelum dirempuh dari belakang Perodua Kancil terbabit.
Berikutan rempuhan kuat itu, Roziah terpelanting kira-kira lima meter menyebabkannya cedera parah di kepala, perut dan kaki kiri manakala Mohd Hakimi yang juga pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) Yok Sin, Kuala Sungai Baru, di sini, pengsan serta cedera di kaki kanan.
Pemandu Perodua Viva itu, Munirah Mohd Nazir, 27, berkata, dia dalam perjalanan dari Taman Seri Aman, Masjid Tanah ke Kuala Linggi untuk berniaga apabila melihat sebuah Perodua Kancil mengekori belakang motosikal dua beranak itu. “Saya lihat kereta itu dipandu agak kelam-kabut dan laju manakala motosikal dinaiki mangsa ditunggang perlahan dan ketika tiba di satu simpang, pemandu kereta Kancil tiba-tiba merempuhnya dari belakang.

 

 

“Dua beranak itu terpelanting di atas jalan raya manakala Pemandu Kancil itu memecut laju ke arah Kuala Sungai Baru selepas merempuh motosikal itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Munirah berkata, dia gagal mengelak lalu terlanggar motosikal yang tercampak di tepi jalan menyebabkan keretanya berpusing beberapa kali dan terbabas lalu terbalik.

 

“Ketika cuba elak daripada merempuh dua beranak itu, saya terpusing stereng kereta ke kiri lalu melanggar tembok rumah dan tiang elektrik.
“Kalau tidak mengelak pasti mereka akan dilanggar dan saya berharap dua beranak itu selamat,” katanya yang memberitahu dia bersama anaknya, Muhamad Qayyum Rozaidi Azizi yang berusia tiga tahun tidak cedera dalam kejadian itu. Roziah yang cedera parah di kepala, perut serta kaki kiri manakala anak sulungnya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Jurucakap Hospital Melaka mengesahkan wanita itu ditempatkan di Zon Merah Unit Kecemasan hospital berkenaan berikutan kecederaan parah dialami memerlukan pembedahan segera.
“Mangsa kini kritikal kerana pendarahan di kepala dan berkemungkinan besar akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut manakala pembedahan kaki kirinya yang patah akan dilakukan segera,” katanya.

Selesai isu satu persatu – Harian Metro


Selesai isu satu persatu

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dinasihatkan memberi tumpuan kepada isu terdahulu yang pernah disuarakan kepada kerajaan, sebelum membangkitkan tuntutan baru termasuk mengenai insentif bagi kerja lebih masa.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi (gambar) berkata, beliau berpendapat tindakan menyuarakan tuntutan secara bertubi-tubi tidak mampu menyelesaikan masalah dengan cara baik sebaliknya boleh mendatangkan implikasi tertentu. “Saya rasa elok kesatuan guru seperti NUTP ini memberi tumpuan dulu kepada isu antaranya skim perkhidmatan pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD) dan lain-lain yang sudah mereka bangkitkan tetapi masih belum diputuskan kerajaan.
“(Isu) terbaru ini, pada saya, ia memerlukan satu kajian teliti terlebih dulu kerana akan membabitkan implikasi kewangan. Jadi biar kita selesaikan tuntutan lama yang masih tertangguh. Kita buat secara berperingkat.

 

“Saya sedar kesatuan guru bangkit banyak isu, ada sembilan perkara yang membabitkan guru pelbagai kategori, maka elok kita selesaikan satu persatu, peringkat-berperingkat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan NUTP supaya guru yang terpaksa bekerja lebih masa hingga lewat petang bagi melatih murid antaranya guru sukan diberi insentif atau bayaran tambahan bagi menaikkan semangat.
Presidennya, Hashim Adnan dilaporkan berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya guru yang membuat kerja tambahan atau menjalankan pelbagai tugas termasuk mengajar lebih satu subjek di beri insentif bersesuaian dengan kerja keras mereka.

 

 

Katanya lagi, sekiranya guru mendapat bayaran bagi kerja tambahan itu, ia bukan saja lebih adil bagi mereka malah guru akan berkobar-kobar untuk mengajar selain memastikan isu paksaan bekerja lebih masa di sekolah tidak lagi timbul. Mengulas lanjut, Puad berkata, kerajaan kini dalam penilaian secara teliti mengenai tuntutan pihak guru khususnya kenaikan pangkat PPLD, penstrukturan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan lain-lain perkara.
“Saya minta bersabar kerana perkara ini masih lagi dalam perbincangan antara kementerian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

 

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Roslan Madun berkata, bukan semua guru terpaksa bekerja lebih masa dan kebanyakan daripada mereka terbabit kerana mengurus aktiviti kokurikulum murid.
Apapun katanya, beliau bersetuju sekiranya kerajaan memberi perhatian kepada tuntutan yang sudah dibangkitkan sebelum ini.

 

3 sekolah agama sebar Salafiah Jihadiah ditutup – Utusan Malaysia


3 sekolah agama sebar Salafiah Jihadiah ditutup

KUALA LUMPUR 21 Jun – Tiga buah sekolah agama di seluruh negara telah ditutup selepas dikesan menyebarkan fahaman Salafiah Jihadiah iaitu merekrut pelajar untuk terlibat dalam kegiatan militan Jemaah Islamiah (JI) bagi melancarkan jihad perang ke atas kerajaan yang didakwa tidak Islamik.

Salah sebuah sekolah agama yang terlibat adalah Sekolah Agama Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram, Johor yang diasaskan pemimpin JI, Ali Ghufron atau dikenali sebagai Mukhlas, telah ditutup pada 2002.

Menurut sumber polis, anak lelaki Muhamad Iqbal @ Abu Jibril, pemimpin JI yang dikenali sebagai Mohd. Jibril merupakan anggota kumpulan Al-Guraba JI yang dibentuk bagi melahirkan pemimpin pelapis JI, pernah belajar di sekolah agama tersebut.

“Seramai 15 anggota kumpulan sel Al-Guraba, JI ini termasuk 13 pelajar Sekolah Luqmanul Hakiem yang kebanyakannya anak-anak anggota JI ditahan di Pakistan tahun 2003,” kata sumber itu.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan pengakuan seorang pelajar sebuah sekolah agama di Tampin, Negeri Sembilan yang mengaku diminta berbaiah untuk menyimpan rahsia kegiatan gerakan itu untuk menjatuhkan kerajaan menerusi jihad.

Selain diminta baiah, pelajar yang dikenali sebagai Ahmad, 18, turut mendakwa mereka diajar menyertai perhimpunan haram menentang polis.

Selain itu, kata sumber tersebut, Sekolah Agama al-Quran Waddin di Bandar Baru Uda, Johor Bharu yang diasaskan anggota kanan JI telah ditutup pada tahun 2009.

Sebuah lagi sekolah agama yang baru ditutup pada tahun lalu adalah Sekolah Raudhatul Muwahidun, Kelantan yang diasaskan oleh beberapa anggota kumpulan kecil JI ‘Tanzdim Al-Qaeda Asia Tenggara’ yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kata sumber itu, tiga graduan UTM, Johor pernah ditahan di Thailand kerana terlibat dalam kegiatan militan di negara itu. Dua daripada mereka telah dijatuhkan hukuman penjara 28 tahun kerana terlibat dalam aktiviti keganasan di selatan Thailand manakala seorang lagi dibebaskan.

“Dalam operasi berasingan di Malaysia, dua lagi graduan ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Ogos dan Disember lalu dan kini sedang menjalani Perintah Tahanan selama dua tahun di Kamunting, Perak manakala seorang lagi menghilangkan diri,” katanya lagi.

Menurut sumber itu, kumpulan militan kini terus menjadikan universiti tempatan sebagai sasaran untuk merekrut anggota-anggota baru.

Jadi persoalan yang timbul, dari mana datangnya sumber kewangan kegiatan kumpulan itu untuk mengadakan usrah menanam ideologi, latihan-latihan jihad dan bengkel-bengkel demonstrasi.

Nyaris maut gerai dirempuh kereta – Utusan Malaysia


Nyaris maut gerai dirempuh kereta

Orang ramai melihat gerai jualan tembikai Mohd. Hasli Rashdi yang dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Jelor, Pasir Puteh, kelmarin.

 

PASIR PUTEH 21 Jun – Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah yang terjadi terhadap seorang pelajar perempuan, Nor Ain Nadira Mohd. Hasli, 13, yang nyaris maut selepas gerai jualan tembikai bapanya dirempuh sebuah kereta mengakibatkan mangsa terseret sehingga terjatuh ke dalam parit di Jalan Jelor di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.10 petang itu, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Telaga itu pengsan selepas dirempuh kenderaan terbabit.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Nor Ain memberitahu, ketika kejadian, dia sedang duduk di bawah gerai sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari jalan raya.

Katanya, dia kemudian melihat dua buah kereta yang dipandu laju datang dari Tasek Pauh ke Pekan Pasir Puteh.

“Tiba-tiba salah sebuah kereta terbabas dan merempuh gerai dan sejurus itu saya tidak ingat apa-apa kerana tidak sedarkan diri. Kejadian itu berlaku terlalu pantas,” katanya kepada ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambahnya, dia ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap bersama gerai yang roboh di dalam parit berdekatan setelah diseret bersama-sama dua buah motosikal dan kereta terbabit.

Nor Ain Nadira memberitahu, dia bersyukur kerana selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan, serta merasa sakit di seluruh badan.

“Saya tidak sangka umur masih panjang sebab kalau dilihat kepada keadaan kejadian tersebut mungkin ramai yang menyangka saya sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Hasli Rashdi, 42, ketika ditemui hari ini berkata, dia terkejut sebaik sahaja dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu.

“Masa kejadian saya dalam perjalanan membeli makan tengah hari dan berpatah balik ke gerai tembikai sebaik sahaja menerima panggilan tentang kejadian yang menimpa Nor Ain.

“Pada waktu itu saya tinggalkan dia sekejap untuk membeli makan tengah hari, dan belum sampai setengah jam saya dikejutkan dengan kejadian tersebut,” katanya.

Remaja putus jari dapat RM27,500 – Utusan Malaysia


Remaja putus jari dapat RM27,500

 

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

 

ZURAIZA Omar menunjukkan jari telunjuk kiri Muhammad Shaeidil Amir yang sudah pulih setelah terputus akibat memotong kelapa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah semalam. – UTUSAN/Ahmad Syahir Kassim

 

ALOR SETAR 21 Jun – Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan tiga yang lain bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM27,500 kepada seorang remaja berusia 15 tahun, setelah didakwa cuai membuang sebahagian jari remaja itu yang terputus semasa mengopek kelapa, empat tahun lalu.

Keempat-empat defendan itu bersetuju membayar ganti rugi tersebut dan kos kepada Muhammad Shaeidil Amir selaku plaintif yang diwakili peguam Simon Murali, sebagai penyelesaian kes saman tersebut di luar mahkamah.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan perkara ini dan kami tidak ada sebarang tuntutan lain serta ingin mahkamah mengesahkan perkara ini,” kata Simon di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Maznah Abdul Aziz kemudian merekodkan persetujuan antara kedua-dua pihak terbabit.

Muhammad Shaeidil hadir di mahkamah bersama ibunya, Zuraiza Omar, 39, manakala pihak defendan diwakili oleh Peguam Persekutuan, Adlina Nujumudin.

Dalam saman tersebut, plaintif menamakan Ketua Pengarah Pertahanan Awam, JPA3, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (kini Kementerian Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Mengikut pernyataan tuntutan plaintif, pada 2 November 2007 Muhammad Shaeidil telah mengalami kemalangan di rumahnya di Kampung Batu Menunggol, Mukim Air Putih, Pendang sehingga menyebabkan sebahagian daripada jari telunjuk kirinya terputus.

Dakwa plaintif, ibunya sempat mengambil bahagian jari yang terputus itu lalu dimasukkan ke dalam beg plastik berisi ais dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Sementara menunggu untuk dirawat doktor, ibunya telah menyerahkan beg plastik berisi jari Muhammad Shaeidil kepada seorang anggota JPA3 yang bertugas di bahagian kecemasan hospital itu.

Malangnya, anggota JPA3 itu tanpa memberi sebarang sebab telah mengambil bahagian jari yang terputus tersebut lalu dibuang ke dalam mangkuk tandas.

Plaintif kemudian dirawat oleh doktor tetapi bahagian jari tersebut tidak diserahkan atau diberikan kepada doktor dan tiada sebarang langkah diambil atau sekurang-kurangnya percubaan dibuat untuk mencantumkan bahagian jari telunjuk kiri remaja itu.

Plaintif mendakwa, tindakan anggota JPA3 itu membuang jarinya ke dalam mangkuk tandas dibuat tanpa menghiraukan perasaannya.

Ekoran daripada perbuatan tidak sensitif anggota JPA3 itu, plaintif mendakwa mengalami kekecewaan, kesedihan dan penderitaan emosi.

Skim tawaran, insentif guru diperinci – Utusan Malaysia


Skim tawaran, insentif guru diperinci

 

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

 

Muhyiddin Yassin bersama Muhammad Khailani Abdul Jalil (dua dari kiri) bersama buku Jejak Warisan di Subang Jaya, semalam. Turut hadir, Noh Omar.

 

KUALA LUMPUR 21 Jun – Kerajaan sedang memperincikan skim tawaran baru dan bayaran insentif kepada guru seperti yang diumumkan pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak bulan lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perincian di peringkat makmal itu bukan sahaja melibatkan soal imbuhan pengetua tetapi perjawatan perguruan secara keseluruhan.

“Selepas pengumuman mengenai skim tawaran baru itu dibuat, banyak rungutan diterima khususnya daripada Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) dan beberapa kesatuan guru.

“Jadi, kita kini sedang di peringkat makmal untuk memperincikan perkara itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahu perkara ini diteliti secara serius. Saya juga telah membawa perkara ini di dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-50 bertemakan Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pemangku yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Muhammad Khailani Abdul Jalil

Pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuching bulan lalu, Muhyiddin mengumumkan bayaran insentif tawaran baru dan bayaran insentif sekolah berprestasi tinggi kepada pengetua, guru besar serta warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan di sekolah masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah sampai masanya, institusi pendidikan khususnya sekolah mempunyai elemen organisasi berkeupayaan yang tersendiri.

Melalui elemen itu, katanya, setiap sekolah akan berupaya untuk melonjakkan kecemerlangannya dengan mengoptimumkan segala sumber yang dimiliki tanpa terlalu bergantung harap atau pertolongan mana-mana pihak.

Menurutnya lagi, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam sistem pendidikan, kepimpinan sekolah iaitu pengetua tidak boleh berfikiran secara statik kerana situasi kini memerlukan corak pemikiran dan tindakan yang berbeza.

“Beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru (Bai’ah) boleh dijadikan sasaran untuk dicapai oleh seseorang pemimpin sekolah,” katanya

Di akhir ucapannya, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM200,000 kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) yang banyak memberikan sumbangan kepada sektor pendidikan negara serta tidak mempunyai dana khusus selepas 50 tahun ditubuhkan.