Pelajar Lemas Tercampak Ke Dalam Parit Selepas Terbabit Kemalangan – Bernama


Pelajar Lemas Tercampak Ke Dalam Parit Selepas Terbabit Kemalangan

IPOH: Seorang pelajar berusia 16 tahun terbunuh selepas tercampak ke dalam parit setelah motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Tali Ayer-Jalan Tanjung Piandang dekat Kerian malam tadi.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa Mohamad Aliff Abdul Aziz, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai lemas dan mayatnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku pada pukul 8.45 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Tali Ayer apabila bertembung dengan sebuah motosikal lain lalu terbabas dan tercampak ke dalam parit di kanan jalan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah berkata, penunggang sebuah lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Sementara itu dalam kejadian lain seorang pemandu lori terbunuh, manakala seorang pemandu kereta cedera parah selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 26 Jalan Baruh-Hutan Melintang dekat Bagan Datoh malam tadi.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian 10.40 malam itu, S.Selvalingam 45 berasal dari Sungai Tiang Baroh.

Pemandu kereta Goh Eng Chong, 40, berasal dari Lorong Kayangan, Hutan Melintang mengalami cedera parah di kepala dan badan dirawat di hospital Teluk Intan. – BERNAMA

Pemandu Lori Didakwa Cabul Budak Lelaki – mStar Online


Pemandu Lori Didakwa Cabul Budak Lelaki

Oleh SALWA SHA’ARI

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan mencabul seorang budak lelaki berusia 11 tahun sembilan bulan, tiga minggu lalu.

Pengakuan Teng Jia Sheng, 33, direkodkan di hadapan Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir.

Dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa pada antara pukul 12 tengah hari dan 2 petang, 6 Jun lalu di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping.

Abdullah Siddiq membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak menghampiri mangsa.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai ini.

Guru terima RM81,805.63 – Harian Metro


Guru terima RM81,805.63

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Tempoh kira-kira 20 minit menjadi penyelamat kepada sebuah bank daripada disita selepas pengurusannya berjaya melunaskan tuntutan saman seorang guru berjumlah RM81,805.63, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika seorang peguam, Ummul Habibah Mohd Nasir mewakili guru yang juga plaintif, Mat Saman, 54, berkunjung ke bank itu bersama beberapa anggota polis selepas mendapat perintah writ penyitaan dan penjualan dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rashid Mustafa.
Pengurusan bank berkenaan mengambil keputusan melunaskan tuntutan berjumlah RM81,805.63 selepas berunding dan diberi masa kira-kira 20 minit oleh peguam plaintif.

 

Tuntutan itu termasuk ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM20,000, ganti rugi am berjumlah RM12,000 dan faedah jumlah penghakiman serta kos guaman yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Ummul Habibah ketika ditemui, berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan apabila bank berkenaan gagal membayar sejumlah wang tuntutan kepada anak guamnya walaupun sudah diberikan notis pada 31 Mac lalu.
Katanya, Mahkamah Sesyen pada 16 Februari lalu memerintahkan bank itu membayar kepada anak guamnya dalam tuntutan saman berhubung kegagalannya melunaskan baki pinjaman perumahan yang dibuat pada 2004.

 

 

“Lepas keputusan dibuat Hakim Rofiah Mohamad, kita sudah menghantar notis dan bank diberi masa 14 hari untuk membayar dan sekiranya gagal, tindakan seterusnya akan diambil.
“Bila kita hantar, kami belum dapat tawaran sejumlah duit menyebabkan perintah ini dikeluarkan,” katanya.

 

Ummul Habibah berkata plaintif memfailkan saman berhubung kegagalan bank berkenaan melunaskan baki pinjaman perumahan plaintif kerana diisytihar bankrap.
Katanya, pinjaman perumahan itu berjumlah lebih RM100,000.
“Plaintif sepanjang tempoh itu tidak mengetahui mengenai statusnya yang bankrap sehingga dimaklumkan oleh bank berkenaan.
“Berikutan itu, bank berkenaan tidak melepaskan baki pinjaman perumahan plaintif berjumlah RM46,000 selain memaklumkan bank terbabit berhak menarik balik semua pinjaman,” katanya.
Ummul Habibah berkata, ia menyebabkan plaintif terpaksa melantik peguam dan berjaya bebas daripada bankrap kira-kira dua tahun kemudian.
Katanya, plaintif tetap gagal menuntut baki pinjaman walaupun sudah berjumpa dengan pengurus bersama perintah pelepasan bankrap.
“Plaintif kemudian memfailkan saman, namun bank terbabit cuba selesaikan di luar mahkamah tetapi enggan membayar tuntutan plaintif,” katanya.
Sementara itu, Mat meluahkan rasa syukur apabila kes saman itu berjaya diselesaikan.
“Alhamdulillah, saya kes ini selesai apabila bank membayar balik tuntutan berkenaan. Saya ingin menuntut keadilan saja kerana sengsara menunggu terlalu lama,” katanya.

Serpihan atap rumah atas dada anak – Harian Metro


Serpihan atap rumah atas dada anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DUNGUN: “Saya terkejut mendapati serpihan atap rumah berada di dada seorang anak,” kata Rahmah Abd Samad, 51, mangsa ribut yang melanda daerah ini, awal pagi semalam.

Menurutnya, ribut kencang dua jam itu menyebabkan dia terjaga sebelum terkejut besar apabila sebatang pokok besar menghempap ruang tamu rumahnya kira-kira jam 1.30 pagi.
Katanya, sebaik terdengar bunyi runtuhan kuat, dia bergegas ke luar bilik menjenguk dua anaknya, Mohd Azlan Asri, 11 dan Mohd Azmi, 14, yang tidur di ruang tamu rumah.

 

“Saya terkejut mendapati serpihan atap rumah menimpa Mohd Azlan dan saya bersyukur dia tidak cedera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong, di sini, semalam.
Rahmah berkata, mereka tiga beranak kemudian ke ruang dapur kerana bimbang dahan pokok itu patah dan menimpa mereka.
Menurutnya, berikutan kejadian itu keseluruhan ruang tamu rumahnya dimasuki air hujan dan dia memaklumkan perkara itu kepada pejabat Bomba dan Penyelamat Dungun untuk meminta bantuan mengalihkan pokok yang tumbang.

 

 

Sementara itu, dalam kejadian di Taman Selera Teluk Lipat, di sini, sebuah kereta dan dua motosikal mengalami kerosakan apabila sebatang pokok rhu di tepi pantai itu tumbang dan menghempap kenderaan terbabit.
Seorang peniaga di taman selera itu, Nor Juliani Irdawati Awang, 29, berkata semua pemilik kenderaan terbabit adalah pelanggan yang datang menjamu selera di kedai makannya.

 

Katanya, kejadian ribut itu amat menakutkan sehingga ramai di kalangan pelanggan kedainya terpaksa masuk ke ruang dapur untuk mengelak kejadian tidak diingini.
“Nasib baik ketika kejadian tiada sebarang kenderaan melalui kawasan terbabit, kalau tidak mungkin berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Dalam kejadian ribut kencang itu, tujuh rumah ditimpa pokok manakala 17 pokok didapati tumbang menutupi beberapa jalan di beberapa kampung di daerah ini.

Cekup pelajar lari ikut teman lelaki – Harian Metro


Cekup pelajar lari ikut teman lelaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

POKOK SENA: Hasrat seorang pelajar perempuan tingkatan empat untuk melarikan diri bersama teman lelakinya tidak kesampaian apabila pasangan terbabit ditahan dalam sebuah rumah di Taman Ambar, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bergegas ke rumah suspek selepas menerima aduan bapa pelajar terbabit mengenai kehilangan anak gadisnya.
Difahamkan, pelajar terbabit dipercayai sudah tiga kali melarikan diri mengikut teman lelakinya berusia 18 tahun, bagaimanapun dia pulang semula ke rumah keluarganya.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.
“Kami menerima aduan bapa pelajar terbabit kira-kira tiga hari lalu berhubung kehilangan anak perempuannya berusia 16 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di Pokok Sena.
“Bapanya memberitahu anaknya itu dipercayai mengikut teman lelakinya berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pemasang jubin sebelum serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima ke atas rumah suspek,” katanya di sini, semalam.

 

 

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya mendapati pelajar terbabit dan teman lelakinya berada dalam rumah suspek.
“Dia (pelajar) dan suspek berkurung dalam biliknya selain dipercayai cuba melarikan diri pada keesokan harinya. Siasatan lanjut juga menemui sepucuk pistol tiruan dalam bilik suspek lalu mereka ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

Menurutnya, suspek yang tinggal bersama keluarga sering membawa pulang pelajar perempuan itu ke rumahnya berdasarkan laporan bapa mangsa.
“Suspek dan pelajar perempuan terbabit kini direman sehingga hari ini. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kerajaan pantau premis sekolah agama – Utusan Malaysia


Kerajaan pantau premis sekolah agama

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan akan terus memantau perkembangan setiap sekolah agama dan maahad swasta di negara ini daripada menjadi ancaman dan penyebaran ideologi kumpulan ektremis seperti Jemaah Islamiah (JI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemantauan secara berterusan itu dilakukan oleh polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam negeri.

Menurutnya, tindakan kumpulan itu menggunakan sekolah agama sebagai pusat bagi menyebarkan ideologi mereka merupakan suatu penyalahgunaan sehingga mengakibatkan kekeliruan yang tidak wajar dalam konteks umat Islam.

“Kita bimbang sekiranya penyebaran ideologi ini berterusan dan tidak dicegah dari awal, ia bukan sahaja merosakkan fikiran pelajar malah dikhuatiri peristiwa tidak baik seperti kewujudan kumpulan al-Maunah akan wujud semua,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dari 10 Syarikat dan Agihan Zakat kepada empat asnaf Baitulmal Wilayah Persekutuan di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan pelajar sekolah agama dan maahad swasta tidak dipengaruhi dengan gerakan JI yang didakwa pernah melahirkan empat jenayah militan JI yang terlibat dalam serangan bom di Indonesia.

Dalam pada itu ketika mengulas mengenai kegiatan Sekretariat Pelajar Islam Negeri Sembilan (SPINS) yang dikesan aktif merekrut pelajar tingkat empat dan lima membenci kerajaan, Jamil Khir menyerahkan perkara itu kepada polis untuk memantaunya.

Katanya, kegiatan organisasi itu telah membabitkan soal keselamatan negara dan kerajaan tidak akan memandang remeh mengenai isu ini.

“Perkara ini kita tidak boleh main-main kerana kita tidak mahu peristiwa seperti al-Maunah akan berulang dan bila ia telah berkembang kita tidak mahu kita telah terlewat walaupun perkara ini sedikit sukar,” katanya.

Tambah Jamil Khir, beliau tidak mahu peranan sekolah untuk melahirkan modal insan yang berilmu terus disalah guna kerana ia jelas merosakkan pemikiran pelajar.

Pelajar patah kaki terjun bangunan – Berita Harian


Pelajar patah kaki terjun bangunan
Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Ainal Marhaton Abd Ghani

2011/06/23

Mangsa tertekan gagal enam mata pelajaran dalam ujian pertengahan tahun

KUANTAN: Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini, patah kaki selepas terjun dari tingkat tiga sekolah pagi kelmarin, dipercayai akibat tekanan selepas gagal enam mata pelajaran dalam ujian pertengahan tahun.

Dalam kejadian pada jam 7.30 pagi, pelajar lelaki berusia 16 tahun itu dipercayai gagal mengawal emosinya sebelum bertindak di luar kawalan hingga menggemparkan pelajar dan guru sekolah berkenaan yang bersiap untuk perhimpunan pagi.

Difahamkan, pelajar terbabit ketika kejadian berada dalam kelasnya di tingkat dua sebelum secara tiba-tiba berlari keluar menuju ke tingkat tiga, memanjat dinding koridor dan terjun.

Seorang rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian ramai pelajar sudah ke dewan sekolah bersebelahan bangunan kelas untuk menyertai perhimpunan pagi namun mangsa masih berada di kelas.

“Saya dan beberapa pelajar lain yang berada di dewan kemudian terdengar bunyi seperti benda jatuh dan kami bergegas keluar dewan untuk memeriksa sebelum melihat mangsa terbaring mengerang kesakitan.

“Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan St John Ambulans sekolah sebelum pihak pentadbiran sekolah menghubungi ambulans bagi membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad, ketika dihubungi, di sini, semalam mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Namun, beliau menegaskan, kejadian terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak sekolah berkenaan dan mangsa bertindak demikian kerana masalah peribadi.

“Saya sudah bertemu dengan ibu bapa pelajar terbabit dan apa yang boleh dirumuskan kejadian itu berpunca daripada masalah peribadi dihadapi pelajar terbabit dan tiada kena mengena dengan persekitaran atau proses pembelajaran di sekolah.

“Malah saya juga meminta ibu bapa pelajar terbabit supaya tidak memberi tekanan berlebihan kepada anak mereka bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Selain itu, seorang jurucakap Unit Kaunseling HTAA berkata, ibu bapa seharusnya memahami keperluan dan kehendak anak mereka dari semua sudut termasuk bidang pendidikan.

“Ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak mereka tetapi dalam masa yang sama mereka memberi tekanan dengan memaksa untuk belajar di luar kemampuan.

“Dalam kes seperti ini, ibu bapa pelajar terbabit mahukan anaknya sentiasa cemerlang dan tidak boleh menerima kegagalan anak mereka menyebabkan emosi anaknya tertekan dan mengambil keputusan di luar dugaan,” katanya.