Tahan gaji sertai perhimpunan – Berita Harian


Tahan gaji sertai perhimpunan
Oleh Mohamed Farid Noh

2011/06/25

Guru terbabit perarakan haram boleh dikenakan hukuman gantung kerja

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung tugas serta menahan gaji guru yang menyertai perhimpunan haram di ibu negara, Kuching serta Kota Kinabalu pada 9 Julai ini.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata mereka yang menyertai perhimpunan haram itu juga berdepan implikasi lebih berat yang tertakluk pada tindakan polis.

“Saya harap tidak ada guru yang akan menyertainya. Kita yakin guru negara ini sudah cukup matang dan tidak akan terbabit dalam perhimpunan sebegini apatah lagi mereka tahu implikasinya. Bagaimanapun sekiranya ada juga masih berdegil, kita terpaksa ambil tindakan tegas termasuk menggantung tugas, menahan gaji atau sebagainya.

“Tindakan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Pelajaran yang akan meneliti setiap kes terlebih dulu… mereka juga berdepan tindakan polis,” katanya selepas majlis penyampaian cek bantuan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil Parlimen Batu Pahat, di sini, semalam.

Kumpulan pengacau berkenaan sebelum ini dilaporkan berkeras mahu meneruskan perhimpunan haram terbabit di ibu negara, Kuching dan Kota Kinabalu walaupun dinasihat membatalkan hasrat berkenaan oleh pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan.

Sementara itu, Mohd Puad turut mencadangkan perhimpunan haram itu dipindahkan ke Jambatan Pulau Pinang berikutan ia disokong penuh kerajaan negeri berkenaan.

“Saya cabar Datuk Ambiga Sreenevasan memindahkan perhimpunan haram ini ke Jambatan Pulau Pinang dan minta kerajaan negeri itu memberikan kebenaran. Biar kita tengok rakyat negeri itu susah atau tidak, ganggu pelabur asing atau tidak. Ini bermotif politik, sebab itulah ia mahu diadakan di ibu kota untuk eksploitasi semangat rakyat.
“Mengapa tidak diadakan di negeri dikuasai pembangkang… mereka tahu ia akan menyusahkan rakyat di situ dan (menyusahkan) mereka sendiri. Ia bukti perhimpunan itu hanya bermotif politik serta tidak ikhlas,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s