Gadis remaja terputus tangan


Gadis remaja terputus tangan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun meraung kesakitan apabila tangan kirinya putus dikisar mesin pemarut kelapa ketika sedang memasukkan isi kelapa ke dalamnya

Dalam kejadian kira-kira jam 15.55 tengah hari semalam, mangsa, Nor Nasuha Adnin, 15, dikatakan sedang berada di salah sebuah kedai Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) terletak di Jalan Nakhoda, di sini.
Sumber polis berkata, mangsa dipercayai sedang memasukkan isi kepala ke dalam mesin terbabit sebelum tangan kirinya tersepit di dalam mesin kepala berkenaan.

 

Menurutnya, kemalangan mendadak itu menyebabkan jari tangan hingga siku mangsa ditarik masuk ke dalam mesin pemarut kelapa itu.
“Kejadian sekelip mata itu menyebabkan tangan mangsa putus akibat dikisar bilah tajam di dalam mesin itu yang berfungsi menghancurkan isi kelapa yang dimasukkan ke dalamnya.
Susulan kejadian itu, orang ramai segera bertindak menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Kuala kangsar bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

 

 

Difahamkan, mangsa yang terputus tangan kiri bagaimanapun berjaya ditarik keluar sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan kecemasan.
Sementara itu, anggota bomba dan penyelamat yang tiba ke lokasi kejadian sejurus mangsa dihantar ke hospital bertindak membantu mengeluarkan cebisan tangan mangsa yang masih tersepit di dalam mesin kelapa itu.

Tiga sekeluarga rentung – Harian Metro


Tiga sekeluarga rentung

Oleh MICHELLE GUN
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KAWAL... anggota bomba dan penyelamat memadam api yang marak di sebuah rumah yang mengorbankan tiga nyawa pagi semalam.
KAWAL… anggota bomba dan penyelamat memadam api yang marak di sebuah rumah yang mengorbankan tiga nyawa pagi semalam.

KUCHING: Menyayat hati apabila seorang nenek ditemui rentung dalam keadaan mencangkung sambil memeluk cucunya dalam bilik tidur utama selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Taman Heng Guan, Jalan Matang, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika Chin Yok Hui, 42, tidur dalam bilik bersama Wong Kok Liong, cucu lelaki berusia dua bulan, terjaga selepas terasa bahang panas disusuli bau asap, jam 4.45 pagi.

Selain mereka, turut rentung dalam kejadian itu adalah seorang lagi anak perempuan Chin, Liau Jee Khim, 18, selepas ketiga-tiga mangsa malang itu gagal membuka jeriji besi bagi menyelamatkan diri berikutan api marak dengan cepat.

Liau ditemui rentung dalam tandas bilik utama banglo terbabit, dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada api dinyalakan di tempat sembahyang yang diletakkan di ruang tamu rumah terbabit.

 
Jiran mangsa, Radiah Aznie berusia 40-an, berkata dia terdengar bunyi bising dari luar rumah dan menyangka berlaku pergaduhan namun terkejut apabila diberitahu anak perempuannya ternampak kepulan asap dan api keluar dari kediaman mangsa.

“Saya terus bergegas keluar kerana mengetahui ada penghuni dalam rumah berkenaan dan ketika itu, saya ternampak api sudah marak di bahagian hadapan rumah terbabit, diikuti letupan kuat beberapa kali.

“Pada masa sama, saya mendengar jeritan seorang wanita meminta tolong. Saya bersama jiran lain menyuruh mereka keluar melalui pintu belakang namun hanya beberapa minit suara jeritan itu terus tenggelam,” katanya.

Api marak dan merebak dengan cepat ke bahagian rumah lain, selain pagar kediaman terbabit berkunci menyukarkan Radiah serta jiran membantu mangsa.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berdoa semoga penghuni berkenaan berjaya menyelamatkan diri. Pada masa sama, saya sebelum itu menghubungi bomba bagi meminta bantuan,” katanya.

Kata Radiah, disebabkan mangsa kurang bergaul dengan jiran lain, orang ramai berada dalam kebingungan kerana tidak mengetahui bilangan penghuni dalam rumah terbabit.

“Apa yang saya tahu, isteri tuan rumah terbabit baru melahirkan seorang bayi dua bulan lalu, selain sering melihat kehadiran beberapa kanak-kanak lain,” katanya.

Difahamkan, banglo terbabit disewa seorang kontraktor berasal dari Bintangor sejak dua tahun lalu dan ketika kejadian, dia bersama isteri serta anak perempuan berusia enam tahun berada di Miri atas urusan perniagaan.

Kejadian itu menyebabkan kereta Proton Savy, Lexus, Toyota Alphard serta beberapa buah motosikal turut musnah.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Abdul Fathul Muen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang ramai kira-kira jam 5 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Petra Jaya tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

“Jentera kedua dari Balai Bomba Padungan tiba 10 minit kemudian dan anggota mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, ketika usaha mencari dan menyelamat dilakukan, pihaknya menemui seorang wanita dan bayi lelaki dalam keadaan berpelukan dalam sebuah bilik tidur bahagian belakang banglo terbabit manakala seorang lagi dalam tandas.

“Kita percaya mangsa cuba menyelamatkan diri namun gagal berbuat demikian kerana semua tingkap dan pintu dipasang jeriji dengan anggota bomba sendiri terpaksa menggunakan gergaji bagi memasuki rumah berkenaan.

“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat,” katanya.

Mayat ditemui 36 jam kemudian – Harian Metro


Mayat ditemui 36 jam kemudian

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KRAI: Selepas 36 jam hilang, akhirnya mayat Siti Nur Fatin Izzaty Azami (gambar), 14, yang lemas dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Lebir, Kampung Manjor, dekat Laloh di sini, petang Khamis lalu, ditemui tersangkut pada dahan kayu, kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi kehilangannya.

Mayat Allahyarham Siti Nur Fatin ditemui kira-kira jam 7.30 pagi semalam selepas hampir sejam gerakan mencarinya dilakukan anggota bomba dan penyelamat bersama beberapa agensi penguat kuasa lain iaitu kira-kira 300 meter dari lokasi mayat kakaknya ditemui, petang kelmarin.
Ketua Cawangan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, usaha menjejaki mangsa yang hilang dilakukan sejak hari pertama kehilangannya sebelum gerakan mencarinya berakhir pagi semalam.

 

“Kami memulakan operasi kira-kira jam 6.30 pagi tadi (semalam) dengan mendapat bantuan daripada beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Krai dan polis selepas ditangguhkan pada jam 7 petang semalam (kelmarin).
“Kawasan pencarian mangsa yang hilang diperluaskan kira-kira lima kilometer berbanding dua kilometer pada hari Jumaat lalu dan usaha mencari mangsa selepas dikhuatiri lemas ketika mandi bersama kakak, abang serta abang iparnya di Sungai Lebir, Kampung Manjor, petang Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Katanya, berikutan penemuan itu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

 

 

Akhbar semalam melaporkan, kasih seorang kakak yang rela menggadaikan nyawa menyelamatkan adiknya yang hampir lemas ketika mandi di sungai membawa kepada tragedi memilukan apabila dia turut lemas dihanyutkan arus deras, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang di Sungai Lebir, kampung Manjor, dekat Laloh, di sini, Siti Nurrul Amirah Azami, 16, cuba menyelamatkan adiknya, Siti Nur Fatin Izzaty, 14, sebaik melihat adiknya tenggelam timbul dengan menarik tangannya, namun gagal.

Helah duda jerat gadis Orang Asli – Harian Metro


Helah duda jerat gadis Orang Asli

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAMPIN: Jijik apabila seorang duda berusia 40 tahun tergamak menggunakan agama sebagai helah untuk memerangkap seorang gadis Orang Asli sebelum bertindak merogolnya.

Difahamkan, gadis berusia 15 tahun itu dari sebuah Kampung Orang Asli Raub, Pahang, dijanjikan duda berkenaan untuk diberi kemewahan jika bersetuju menukar agama dan mengahwininya. Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila gadis berkenaan dipercayai dirogol lelaki berkenaan sebelum upacara pengislaman dan akad nikahnya berlangsung di Gemencheh, di sini. Menurut sumber, kerana percaya janji manis duda berkenaan gadis itu sanggup meninggalkan ibu bapanya untuk mengikut lelaki berkenaan ke Kampung Batang Rokan, Gemencheh. “Gadis malang itu rela dirinya dirogol sebanyak dua kali, pertama pada awal pagi 15 Jun lalu dan berulang sekali lagi pada 17 Jun waktu yang sama dalam rumah lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Sumber berkata, rahsia perbuatan duda yang pernah berkahwin dua kali itu dan mempunyai dua anak perempuan berusia 17 serta 20 tahun terbongkar apabila ibu bapa mangsa datang ke rumah lelaki berkenaan selepas anak mereka hilang. “Gadis berkenaan yang tidak pulang ke rumah selama lima hari menghubungi ibu bapanya menceritakan kejadian yang menimpanya sebelum ibu bapanya datang mengambilnya dan membuat laporan polis,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan menerima laporan kes itu.
“Kami sudah menahan lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu jentolak di rumahnya pada 21 Jun lalu, kira-kira jam 2 petang,” katanya. Beliau berkata, lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.