Mayat ditemui 36 jam kemudian – Harian Metro


Mayat ditemui 36 jam kemudian

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KRAI: Selepas 36 jam hilang, akhirnya mayat Siti Nur Fatin Izzaty Azami (gambar), 14, yang lemas dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Lebir, Kampung Manjor, dekat Laloh di sini, petang Khamis lalu, ditemui tersangkut pada dahan kayu, kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi kehilangannya.

Mayat Allahyarham Siti Nur Fatin ditemui kira-kira jam 7.30 pagi semalam selepas hampir sejam gerakan mencarinya dilakukan anggota bomba dan penyelamat bersama beberapa agensi penguat kuasa lain iaitu kira-kira 300 meter dari lokasi mayat kakaknya ditemui, petang kelmarin.
Ketua Cawangan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, usaha menjejaki mangsa yang hilang dilakukan sejak hari pertama kehilangannya sebelum gerakan mencarinya berakhir pagi semalam.

 

“Kami memulakan operasi kira-kira jam 6.30 pagi tadi (semalam) dengan mendapat bantuan daripada beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Krai dan polis selepas ditangguhkan pada jam 7 petang semalam (kelmarin).
“Kawasan pencarian mangsa yang hilang diperluaskan kira-kira lima kilometer berbanding dua kilometer pada hari Jumaat lalu dan usaha mencari mangsa selepas dikhuatiri lemas ketika mandi bersama kakak, abang serta abang iparnya di Sungai Lebir, Kampung Manjor, petang Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Katanya, berikutan penemuan itu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

 

 

Akhbar semalam melaporkan, kasih seorang kakak yang rela menggadaikan nyawa menyelamatkan adiknya yang hampir lemas ketika mandi di sungai membawa kepada tragedi memilukan apabila dia turut lemas dihanyutkan arus deras, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang di Sungai Lebir, kampung Manjor, dekat Laloh, di sini, Siti Nurrul Amirah Azami, 16, cuba menyelamatkan adiknya, Siti Nur Fatin Izzaty, 14, sebaik melihat adiknya tenggelam timbul dengan menarik tangannya, namun gagal.

Leave a comment