Remaja 17 Tahun Dari Alor Gajah Menang Cipta Logo Filem Transformer – Bernama


             Remaja 17 Tahun Dari Alor Gajah Menang Cipta Logo Filem Transformer

ALOR GAJAH: Seorang pelajar Malaysia muncul sebagai pemenang utama dalam peraduan “Iridescent Artwork” iaitu mencipta logo bagi edisi kelima siri filem blockbuster Hollywood – “Transformer”.

Wan Muhammad Hazzim Wan Muhammad Zulkifli, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Dol Said di sini berjaya menewaskan peserta dari seluruh dunia menerusi pertandingan tersebut.

“Saya tidak menyangka kerana ia kemenangan pertama saya lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa bagi mencipta logo bersempena jelajah konsert Linkin Park di Moscow bermula Jumaat lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Saujana Heights, di sini, petang Isnin.

Beliau berkata, logo tersebut adalah sebagai latarbelakang ‘soundtrack’ filem “Transformers: Dark Of The Moon” yang dinyanyikan oleh kumpulan antarabangsa itu.

Katanya, proses menyiapkan logo tersebut hanya memakan masa selama setengah hari dan kemenangan itu merupakan satu kebanggaan bagi diri dan keluarganya.

Wan Muhammad Hazzim yang bercita-cita untuk menjadi seorang pereka animasi sememangnya meminati siri Transformers dan menjadikan minat beliau sebagai inspirasi mereka logo itu, katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui hadiah yang bakal dimenanginya kerana belum dihubungi oleh penganjur bagi ganjaran itu.

“Saya mengetahui kemenangan saya menerusi e-mel dan facebook,” katanya remaja bongsu dari dua adik-beradik itu yang bagaimanapun kurang mengemari muzik kumpulan Linkin Park.

Bagi ibunya, Zaharah Ramli 48, pensyarah dalam bidang seni reka grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, sememangnya menyokong minat dan cita-cita anaknya dalam bidang yang diminati.

“Saya sekeluarga rasa bangga di atas pencapaian Hazzim,” katanya.

Filem Transformers arahan Michael Bay itu bakal menemui penonton tidak lama lagi dan ianya sekaligus meletakkan nama anak Malaysia sebagai salah seorang individu yang terlibat.

Hasil logo tersebut akan dibawa bersama sepanjang siri konsert jelajah Linkin Park di Moscow sebagai latar kepada ‘soundtrack’ konsert tersebut. – BERNAMA

Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000 – Bernama


Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000

2011/06/27

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan mendera anak kandung lelakinya berusia lapan tahun pada November tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lai Sok Ping, 37, menukar pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarkan setahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.

Pada prosiding pagi tadi, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu. Bagaimanapun tertuduh menukar pengakuan bersalahnya pada sebelah petang.

Bagi pertuduhan pertama, Lai dikenakan denda RM15,000 kerana merotan kedua-dua paha Tham Ming Tong sebanyak enam kali di bilik rumahnya di No.18A, Jalan Klang off Jalan Sungai Besi, di sini, pada 10.30 malam, 27 November 2010.

Wanita itu yang bekerja sebagai promoter jualan, turut dikenakan denda RM15,000 kerana meletakkan kedua-dua tangan anaknya itu di atas api dapur, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, Lai didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Atas tuduhan ketiga, Lai turut didenda RM4,000 kerana membiarkan kanak-kanak tersebut tanpa pengawasan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Lai diwakili oleh peguam Wan Azmir Wan Majid manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias. – BERNAMA

Gadis dirogol lelaki baru dikenali – Utusan Malaysia


Gadis dirogol lelaki baru dikenali

MELAKA 26 Jun – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang gadis berusia 17 tahun bukan sahaja hidup sebatang kara akibat dibuang keluarga, malah turut menjadi mangsa seksual seorang lelaki yang baru dikenali.

Peristiwa hitam itu bermula apabila suspek membawa mangsa ke sebuah rumah di Taman Asian Selatan, Jasin, lalu mengurungnya selama seminggu bermula 19 Jun lalu untuk dijadikan pemuas nafsu.

Jurucakap polis memberitahu, sepanjang tempoh itu, mangsa dikatakan bukan sahaja dirogol malah turut dipukul sehingga cedera.

“Mangsa akhirnya dibebaskan semalam sebelum dia membuat laporan polis hari ini. Bertindak berdasarkan maklumat laporan, polis menahan suspek hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kini dilaporkan sedang dirawat di sebuah hospital ekoran daripada kecederaan yang dialami.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ibu bapa murid serang guru dakwa anak mereka ditampar – Utusan Malaysia


Ibu bapa murid serang guru dakwa anak mereka ditampar

PASIR MAS 26 Jun – Akibat salah faham, seorang guru lelaki cedera di pipi kiri setelah ditumbuk oleh bapa seorang murid tahun empat, yang mendakwa guru terbabit telah menampar anak lelakinya dalam satu insiden Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, guru terbabit, Azidi Abdullah, 44, juga nyaris dicederakan dengan sebilah parang yang dibawa oleh isteri lelaki berkenaan.

Menurut mangsa, kejadian berlaku ketika dia baru sampai di sekolah rendah berkenaan, apabila tiba-tiba didatangi bapa murid terbabit yang sedang menunggu di pagar sekolah.

Dakwanya, lelaki tersebut bertindak menumbuk pipi kirinya sebanyak dua kali meskipun cuba ditenangkan.

“Tanpa sempat berbuat apa-apa, saya terus ditumbuk oleh bapa murid itu. Selepas kali pertama ditumbuk, saya meminta dia bertenang tetapi tidak dihiraukan apabila sekali lagi menumbuk bahagian pipi kiri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, Azidi telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas di sini kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Mengulas tindakan pasangan itu, dia memberitahu, semuanya berpunca akibat salah faham kononnya dia telah menampar anak mereka sehingga murid terbabit cedera beberapa hari lalu.

“Murid terbabit terhantuk di meja dan luka pada Rabu lalu. Ketika bertanyakan hal itu kepada murid terbabit, dia terus menangis dan saya memujuk dengan menyentuh pipinya, bukan menampar,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Ketagih hidu gam boleh maut – Berita Harian


Ketagih hidu gam boleh maut
Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
bhnews@bharian.com.my
2011/06/27

Gejala semakin berleluasa babitkan remaja seawal umur 14 tahun

KUALA LUMPUR: Kesukaran melakukan tugasan mudah seperti tidak mampu mengikat tali kasut dan memakai sendiri pakaian, gagal dalam pelajaran terutama subjek mengira, seakan-akan mengelamun, percakapan kurang jelas dan keupayaan mendengar terhad adalah antara kesan negatif akibat ketagihan menghidu gam.

Lebih parah lagi, ketagihan menghidu gam juga akan mengehadkan pergerakan fizikal, melemahkan daya pemikiran, membantutkan kebolehan berkomunikasi, menjejaskan pembelajaran serta boleh membawa maut kepada penagihnya.

Sehubungan itu, Pengarah Klinik Cure & Care 1Malaysia Sungai Besi, Hadijah Baba, berkata ketagihan menghidu gam perlu dibendung kerana ia memberi pelbagai kesan amat buruk kepada remaja.

“Amalan menagih gam ini juga menyebabkan kebanyakan penagihnya terjebak dalam gejala sosial lebih serius antaranya menghisap dadah, melakukan seks bebas dan membuat jenayah,” katanya pada sidang media Rawatan dan Pemulihan Penagihan Ubat Sedut (Inhalen) di Klinik Cure & Care, di sini.

Beliau berkata, antara punca menyebabkan gejala itu berleluasa dan berada pada tahap membimbangkan di kalangan remaja seawal usia 14 tahun di negara ini kerana ia mudah diperoleh, harga murah dan mampu memberi kesan khayal dalam tempoh kurang 15 saat disamping tiada akta khas.

Katanya, ini terbukti apabila 54 kes remaja ketagihan menghidu gam didaftarkan di pusat pemulihan itu dalam tempoh hanya empat bulan bermula Februari lalu.
Hadijah berkata, dalam usaha menangani tabiat menghidu gam, semua pihak seperti ibu bapa, sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama.

Beliau turut menasihatkan individu terbabit gejala menghidu gam datang secara sukarela ke cawangan Cure & Care 1Malaysia bagi merawat dan memulihkan tabiat buruk itu.

Mereka boleh menghubungi Cure & Care 1Malaysia berdekatan sama ada di Sungai Besi, Kuala Lumpur melalui talian 03-90562997, Johor Bahru, Johor (07-2361711), Kota Bharu, Kelantan (09-7717350), Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (04-5394835), Papar, Sabah (088-912893) dan Kuching, Sarawak (082-612785).