Pelajar kolej terselamat daripada digantung – Utusan Malaysia


Pelajar kolej terselamat daripada digantung

SYAMIL Taufik dibawa keluar oleh anggota polis selepas mahkamah semalam melepaskan tanpa membebaskannya berhubung tuduhan mengedar dadah.

 

KUALA TERENGGANU 27 Jun – Seorang pelajar sebuah kolej swasta terselamat daripada hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepaskan tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah tahun lalu.

Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 19, yang kelihatan tergamam mendengar keputusan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa bagaimanapun berlari meninggalkan pekarangan mahkamah sejurus selepas itu.

Dia didakwa mengedar 59.9 gram dadah jenis methamphetamine di sebuah rumah di Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung di sini pada pagi, 17 September tahun lalu.

Pelajar bidang kejuruteraan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Semasa membacakan keputusannya, Hakim Mohd. Yazid memberitahu, tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun jelas beliau, pihak pendakwaan masih boleh mendakwa tertuduh jika wujud bukti lain.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala Syamil diwakili peguam, Nordin Kasim.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, polis berjaya mematahkan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di daerah ini dengan tertangkapnya sepasang kekasih berusia 19 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah.

Seorang lagi lelaki iaitu abang tertuduh berusia 23 tahun turut ditahan dan polis merampas 4,000 pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 dalam serbuan itu.

Bagaimanapun, abang dan teman wanita tertuduh tidak didakwa di mahkamah.

Tangisan 3 beradik – Harian Metro


Tangisan 3 beradik

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BUKTI...Rayapan memegang laporan polis berhubung kehilangan anak dan menantunya.
BUKTI…Rayapan memegang laporan polis berhubung kehilangan anak dan menantunya.

IPOH: Tiga beradik lelaki masing-masing berusia 12, sembilan dan lima tahun hanya mampu menangis sepanjang masa apabila ibu dan bapa mereka tiba-tiba hilang sejak enam hari lalu.

Difahamkan, ibu dan bapa tiga beradik itu diculik empat lelaki yang menyamar sebagai polis berdasarkan maklumat diberikan jiran mangsa yang mendakwa pernah melihat kedua-dua mangsa dibawa sekumpulan lelaki berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu di Medan Dataran Sentosa, Rapat Baru, P Gohbinathan, 42, dan isterinya, S Ahnismala, 33, hilang dan gagal dikesan sehingga kini, dipercayai diculik sekumpulan lelaki.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia melihat pasangan itu dibawa keluar empat lelaki bersenjatakan pistol.

 
“Mereka dibawa keluar kumpulan lelaki itu dengan tangan bergari. Saya ingatkan mereka (pasangan) dibawa polis memandangkan lagak keempat-empat lelaki itu seperti anggota polis,” katanya.

Sementara itu, ibu Ahnismala, V Rayapan@Thailammah, 56, ketika ditemui semalam berkata, ketiga-tiga cucunya, G Vimal Pillai, 12, G Piravin Pillai, 9 dan G Eviandran, 5, kini dijaga keluarga menantunya.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia cuba menghubungi Ahnismala beberapa kali, namun panggilan tidak berjawab.

“Saya tiba di rumahnya kira-kira jam 8.30 pagi dan mendapati anak serta menantu tiada di rumah sebaliknya hanya Piravin yang berada di dalam bilik kerana demam,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat Jumaat lalu serta satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada hari sama.

Rayapan berkata, dua hari sebelum kejadian anaknya pernah memaklumkan terserempak sekumpulan lelaki menaiki Proton Waja berlegar-legar di depan rumah.

Menurutnya, dia sudah menghubungi saudara terdekat namun anak dan menantunya gagal dikesan.

“Kami sekeluarga sudah dimaklumkan polis bahawa mereka tidak membuat sebarang tangkapan terhadap anak dan menantu saya,” katanya.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan akan menyiasat lanjut kes kehilangan pasangan suami isteri itu.

Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000 – Harian Metro


Ibu tunggal dera anak didenda RM34,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mendera anak lelakinya berumur lapan tahun dengan merotan dan meletakkan tangan mangsa di atas api dapur, tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu selepas Lai Suk Phing, 38, menukar pengakuannya kepada bersalah selepas tuduhan dibacakan.
Beliau juga memerintahkan Lai dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda.

 

Dia didenda RM15,000 bagi setiap tuduhan pertama dan kedua serta RM4,000 bagi tuduhan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.
Jurujual itu didakwa mendera anak lelakinya Tham Ming Tong dengan merotan paha mangsa kira-kira enam kali dan kira-kira enam kali di kedua-dua belah peha mangsa dan meletakkan bahagian belakang tangan mangsa di atas api dapur.

Takdir bersama dihukum mati – Harian Metro


Takdir bersama dihukum mati

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Takdir kita sama,” begitu kata-kata tiga tertuduh yang sebak dan berpelukan selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru di sini, semalam, memutuskan mereka ke tali gantung kerana menculik seorang remaja perempuan, tiga tahun lalu.

Mereka yang disabit menculik anak gadis seorang ahli perniagaan dengan niat menuntut wang tebusan RM500,000 menundukkan kepala ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim, menjatuhi hukuman.
Ahli keluarga tertuduh juga menenangkan mereka.

 

Dua lagi tertuduh yang disabit kesalahan sama terlepas hukuman gantung sebaliknya dipenjara bagi tempoh mengikut perkenan Sultan Johor kerana melakukan masih bawah umur ketika melakukan perbuatan itu.
Kamardin berkata, mereka yang dihkum gantung mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 adalah P Steven, 27, P Vicknes, 29, dan R Ravikumar, 22.
Katanya, dua lagi, M Saravanan dan D Ragesh, masing-masing berusia 19 tahun, dipenjara bagi tempoh mengikut perkenan Sultan Johor di bawah Seksyen 97(2)(B), Akta Kanak-kanak 2001.

 

 

“Saya membuat penilaian berdasarkan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan yang memuaskan hati mahkamah.
“Sebaliknya, keterangan tertuduh didapati rekaan semata-mata,” katanya.

 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, manakala Steven, Saravanen, Ragesh dan Ravikumar diwakili Mohd Haijan Omar, sementara Vicknes diwakili S Vijayaretnam @ Veizay.
Mengikut Kamardin, keterangan pembelaan kelima-lima tertuduh tidak munasabah dan dianggap sebagai reka cerita apabila mengaitkan kes itu dengan seorang penyewa rumah Vicknes bernama Kumar, yang dikatakan dalang kejadian.
Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Mohd Haijan berkata, ia kesalahan pertama anak guamnya dan mangsa tidak diapa-apakan sepanjang kejadian.
ada antara mereka yang yatim piatu.
“Mangsa tidak diperlakukan apa-apa dan lebih 80 peratus wang tebusan ditemui,” hujahnya.
Vijayaretnam menambah, pula berkata, mangsa dijaga baik tanpa gangguan seksual.
Sementara itu, bapa mangsa, M Paramasivam, 48, berkata, penghakiman itu adalah adil memandangkan anaknya (mangsa), P Shalini, 16, masih trauma.

Perbicaraan kes kematian Aminulrasyid ditangguh – Harian Metro


Perbicaraan kes kematian Aminulrasyid ditangguh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Perbicaraan kes Koperal Jenain Subi (gambar) yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam kejadian tembakan di Seksyen 11, di sini, terpaksa ditangguhkan sehingga Jumaat ini.

Ini berikutan saksi pembelaan kedua, pakar siasatan tempat kejadian jenayah (CSI), Amidon Anan, 60, tidak dapat menyambung keterangan berikutan mengalami masalah kesihatan. Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.
Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

 

Aminulrasyid disahkan maut akibat luka tembakan di kepala.
Pada prosiding lalu, Amidon yang juga bekas Ketua Unit CSI Makmal Forensik PDRM Kuala Lumpur berkata, beliau tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dalam memberikan pendapatnya berhubung siasatan dalam kes itu. Beliau yang pernah terbabit dengan siasatan kes pembunuhan berprofil tinggi, Canny Ong dan Altantuya Shaariibuu berkata, pandangannya sebagai saksi juga tidak berat sebelah.

Terkejut adik maut jatuh tingkat 10 – Harian Metro


Terkejut adik maut jatuh tingkat 10

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Saya terkejut apabila seorang jiran mengetuk pintu memaklumkan ada orang terjatuh dari bangunan,” kata Muhammat Sobbri Ali, 24, yang tidak menyangka lelaki yang jatuh itu adiknya.

Selepas dimaklumkan jirannya itu, Sobbri keluar dari rumahnya di tingkat 1, Flat Angsana, Taman Subang Mewah, USJ 1, di sini, dan terkejut sebaik melihat lelaki itu adik lelakinya, Mohd Nazri, 18.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, mangsa keluar bersama rakannya sebelum dia terjatuh dari tingkat 10 bangunan berkenaan.

 

“Saya terkejut dan sedih melihat keadaan arwah ketika itu. Nazri meninggal dunia di tempat kejadian sebelum ambulans tiba.
“Sebelum itu, saya berjumpanya kira-kira jam 12 tengah malam dan arwah memberitahu mahu keluar berjumpa kawan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurutnya, itu kali terakhir dia berjumpa arwah.

 

 

“Saya tidak tahu bagaimana arwah boleh jatuh. Arwah tidak pernah mempunyai musuh dan disenangi kawan-kawannya.
“Malah, arwah sering bercerita masalah dan apa saja dengan saya. Arwah juga memberitahu mahu bekerja selepas MyKad barunya siap kerana kad itu hilang,” katanya.

 

Bagi abang yang rapat dengan mangsa, Muhammad Hasbi, 20, menyifatkan sangat merasai kehilangannya kerana arwah periang dan suka mengusik.
“Kami sangat rapat memandangkan saya anak keenam dan arwah ketujuh. Kali terakhir kami berjumpa kira-kira jam 11 malam sebelum arwah keluar rumah untuk berjumpa kawan. Dia tidak menunjukkan perubahan,” katanya.
Hasbi yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Klang mendakwa akan berjumpa dengan adiknya itu pada hari minggu apabila pulang ke rumah kerana dia menetap di Klang.
Menurutnya, mereka baru tiga tahun menghuni di rumah berkenaan selepas kematian bapa pada 2007. Sebelum itu mereka menetap di kampung halaman di Batang Kali, Hulu Selangor, dekat sini.
Difahamkan, jenazah Nazri selamat dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Kampung Kuantan, Batang Kali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Lapan termasuk 3 remaja ditahan kes samun, ragut – Harian Metro


Lapan termasuk 3 remaja ditahan kes samun, ragut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Sepanjang minggu lalu, lapan suspek berhubung kes samun dan ragut termasuk tiga remaja belasan tahun ditahan polis kerana terbabit tiga kes berasingan di daerah ini, termasuk seorang daripada remaja itu menyamar polis bagi menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata semua suspek yang diberkas berusia 16 hingga 40 tahun dan seorang daripada suspek pembeli barangan curi.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Rabu lalu, dua remaja berusia 16 tahun dan masih bersekolah ditahan selepas meragut seorang wanita yang berjalan berseorangan di SS17/1E, di sini.

 

“Remaja terbabit menaiki skuter menghampiri wanita itu dari depan dan sebaik berselisih seorang daripadanya menyambar rantai leher hingga menyebabkan mangsa terjatuh serta luka dan terseliuh siku kiri.
“Hasil maklumat awam, kami menjejaki suspek dan menahan mereka. Bagaimanapun, rantai leher yang diragut sudah dijual dan siasatan susulan polis memberkas seorang lelaki berusia 33 tahun bersama rantai berkenaan dipercayai pembeli barangan curi itu,” katanya selepas majlis penyampaian sijil penghargaan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah kepada beberapa individu yang mematahkan kes ragut.
Zainal Rashid berkata, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 6.45 petang Khamis lalu, dua lelaki bermotosikal diberkas selepas meragut beg tangan seorang remaja perempuan di SS15/4D.

 

 

“Suspek berusia 33 dan 40 tahun, seorang daripadanya dicekup selepas dikejar dan bergelut dengan empat pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyaksikan kejadian itu, manakala seorang lagi melarikan diri, namun ditahan dalam operasi susulan.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala barangan yang diragut diperoleh kembali,” katanya.

 

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang menyamar polis dengan melakukan pemeriksaan jalanan terhadap mangsa ditahan di Bukit Puchong kira-kira jam 3 pagi, kelmarin.
Katanya, semua lapan suspek kini direman dan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun dan ragut, serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam.