Bapa temui anak lemas di dasar tali air
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2011/06/30
Mangsa dipercayai terjatuh ketika bermain basikal seorang diri
ALOR SETAR: Hancur luluh hati seorang bapa apabila menemui anak bongsunya berusia lima tahun di dasar tali air di depan rumahnya di Kampung Parit Buaya Alor Janggus, di sini malam kelmarin, dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam terusan itu.
Rasa tidak sedap hati Kamarudin Li, 44, dengan kehilangan anaknya, Mohamad Fahmi Kamarudin, kira-kira jam 7.30 malam, akhirnya terjawab apabila beliau menemui selipar berwarna biru milik mangsa terapung di dalam tali air berkenaan sebelum terjun ke dalam terusan bagi mencari mangsa.
Kamarudin berkata, anaknya yang juga murid tadika Permatang Gunung, di sini, dipercayai terjatuh ke dalam tali air itu yang terletak kira-kira 100 meter daripada rumahnya ketika sedang bermain basikal seorang diri lewat petang kelmarin.
Ketika kejadian, Kamarudin yang bekerja sebagai petani berkata, beliau berada dalam rumah bersama isteri dan tiga lagi anaknya terkejut apabila menyedari mangsa tidak pulang ke rumah walaupun sudah masuk waktu Maghrib.
“Kami sekeluarga terus mencarinya di sekeliling rumah, termasuk di tempat dia bermain bola petang sebelum kejadian tetapi gagal. Bagaimanapun, tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati, terus pergi ke tali air di depan rumah dan terkejut melihat selipar Mohamad Fahmi yang berwarna biru terapung dalam tali air ini.
“Tanpa berfikir panjang saya terus terjun ke dalam tali air bersama penduduk kampung untuk mencari anak saya dan tidak lama selepas itu saya menemui anak saya bersama basikalnya di dasar tali air berkenaan,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Gunung, dekat sini, pagi semalam.