Muhyiddin sertai larian1Murid 1Sukan 1Malaysia – Bernama


Muhyiddin sertai larian1Murid 1Sukan 1Malaysia

2011/07/02

TAIPING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai 17,000 peserta larian serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini jam 7.45 pagi tadi sejauh 1.85 kilometer.

Beliau berkata, keseluruhan seramai 4,137,126 pelajar dan murid dari 9,980 sekolah seluruh negara menyertai acara serentak dan mencatat rekod Malaysia Book of Records.


Larian Satu Murid Satu Sukan cipta rekod – Bernama


Larian Satu Murid Satu Sukan cipta rekod

2011/07/02

TAIPING: Seramai 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan hari ini sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.

Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini pagi ini.

Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.

Pada majlis pelancaran di sini, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 15,000 peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping.

Larian tersebut bermula pada 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer (km) manakala peserta di Taiping berlari pada jarak 1.85 km di sekitar Taman Tasik Taiping.

Penyertaan 4,137,126 peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh Diana Paul dari MBR dalam kategori larian serentak.

Larian serentak terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.
Turut menyertai Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam larian pagi tadi ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dalam ucapan semasa merasmikan program tersebut, Muhyiddin turut menekankan bahawa sukan adalah satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional.

“Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Kementerian sebelum itu mengumumkan hari larian berkenaan boleh dijadikan sebagai hari persekolahan oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kerana selain acara larian itu, sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti pendidikan seperti hari persekolahan biasa.

Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid, termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan, untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.

Ia berhasrat untuk membangunkan modal insan melalui penyertaan menyeluruh murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan agar mereka menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Dasar 1Murid 1Sukan yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dasar itu yang dilancarkan Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.

Sementara itu, pelbagai acara lain turut diadakan sempena majlis itu, antaranya senamrobik, pertandingan sepak raga, futsal, bola jaring, tenis, bola tampar serta acara wall climbing. – BERNAMA

Minum ubat luput tarikh – Harian Metro


Minum ubat luput tarikh

Oleh Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JERANTUT: Seorang kerani sekolah, Mohd Fahmi Zulkifli, 26, dari Felda Kota Gelanggi 1, di sini, mendakwa mengalami muntah dan cirit-birit selepas makan dua sudu ubat batuk yang tamat tarikh luput diberikan Hospital Jerantut, kelmarin.

Mangsa dipercayai mengalami kesan sampingan akibat minum ubat batuk tamat tempoh dibekalkan hospital berkenaan.
“Saya bersama isteri batuk sejak dua tiga hari lalu, tetapi hanya saya pergi ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sebaik pulang dari hospital, saya terus minum dua sudu ubat batuk itu.

 

“Namun, tidak lama selepas itu, tiba-tiba kepala pening dan muntah-muntah selain mengalami cirit-birit.
“Saya hanya tahu punca muntah dan cirit-birit selepas melihat tarikh luput tercatat pada botol ubat itu. Tarikh yang tertera 30 Mei 2011,” katanya.
Menurutnya, dia pergi semula ke hospital berkenaan, semalam memaklumkan mengenai kesilapan itu.

 

 

“Saya bertemu seorang petugas lelaki di hospital dan memberitahu mengenai ubat yang sudah tamat tempoh serta kesan sampingan saya alami.
“Namun, saya kecewa, petugas terbabit menyatakan ubat itu tidak ada apa-apa, cuma kurang memberi kesan kepada pesakit, tetapi tidak memudaratkan,” katanya.

 

Mohd Fahmi kesal dengan jawapan diberikan petugas terbabit kerana pihak hospital sepatutnya bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan.
Dia berkata, pihak hospital sepatutnya melupuskan semua ubat sudah tamat tempoh dan berharap perkara sebegitu tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr Devaraj Salam berkata, pihaknya amat kesal dengan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu.
“Ini kejadian pertama dan saya juga kesal dengan sikap petugas yang memberitahu pesakit ubat yang tamat tempoh tidak memberi kesan sampingan.
“Kedua-dua kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh memudaratkan pesakit,” katanya selepas menziarahi Mohd Fahmi di Felda Kota Gelanggi 1, dekat sini, sejurus mangsa pulang ke rumahnya, semalam.
Dr Devaraj berkata, pihaknya sudah mengambil maklumat serta butiran kejadian daripada Mohd Fahmi dan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa akan dijalankan serta-merta kerana bimbang sekiranya kesan sampingan dialami berlarutan.
Bagaimanapun, beliau berkata, muntah dan cirit-birit dialami Mohd Fahmi berkemungkinan berpunca daripada masalah alahan ubat.
“Kami akan membuat siasatan berhubung kejadian itu dan tindakan akan diambil terhadap petugas yang melakukan kesalahan itu,” katanya.

Pukulan talak 3 – Harian Metro


Pukulan talak 3

Oleh Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANTING: Seorang wanita bukan saja terpaksa menahan sakit apabila dipukul dengan payung tanpa belas kasihan oleh suaminya malah selepas puas dibelasah, dirinya diceraikan dengan talak tiga di hadapan jiran yang datang membantu mangsa dalam kejadian di perumahan Bukit Changgang, dekat sini, kelmarin.

Lebih malang, anak perempuan pasangan itu turut menjadi mangsa baran suaminya yang bertindak kejam memukul gadis berumur 13 tahun itu dengan payung sama selepas cuba menyelamatkan ibunya yang dipukul bertubi-tubi.

Menurut sumber, mangsa yang berumur 41 tahun itu dipukul selepas mengalami salah faham dengan suaminya kira-kira jam 8.30 malam hari kejadian.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 12.30 tengah malam hari sama kerana tidak tahan lagi dengan tindakan suaminya itu.

 
Difahamkan, jiran mangsa terdengar bunyi bising dan bergegas ke rumah mangsa bagi memastikan apa yang berlaku dan suami mangsa berusia 44 tahun dengan bongkak lantas melafazkan cerai talak tiga kepada mangsa yang masih dalam kesakitan.

Remaja hamil 7 minggu diperkosa teman lelaki – Harian Metro


Remaja hamil 7 minggu diperkosa teman lelaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Punca seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang sering ponteng sekolah akhirnya terbongkar apabila bapanya mendapati dia mengandung tujuh minggu dipercayai dirogol teman lelakinya sebaik membuat pemeriksaan di sebuah klinik pada 22 Jun lalu.

Sebaik mengetahui anak gadisnya mengandung dipercayai dirogol, bapa mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang pada 26 Jun lalu.
Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, bapa mangsa mula mengesyaki sesuatu yang pelik terhadap anak gadisnya apabila guru sekolah mangsa menghubungi bapanya untuk bertanyakan punca mangsa tidak hadir ke sekolah selama tiga hari.

 

“Mangsa mengaku teman lelakinya yang berusia 19 tahun, sering menjemputnya dari sekolah dan pusat tuisyen sebelum merogol mangsa di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Taman Melawati.
“Sebaik mengetahui anaknya diperlakukan sedemikian, bapa mangsa kemudiannya mengambil keputusan membawa mangsa menjalani pemeriksaan ultra bunyi di sebuah klinik di Keramat,” katanya. Sumber berkata, sewaktu mangsa bersekolah di tingkatan satu, suspek bertindak berani apabila melarikan mangsa selama tiga hari sebelum dia berjaya dijumpai sebaik anggota polis membuat pemeriksaan di sebuah apartmen di Taman Melati.
“Selepas kejadian kira-kira tiga tahun lalu, bapa mangsa menasihatkan suspek supaya tidak lagi berkawan dengan anaknya kerana bimbang perkara sama akan berulang,” katanya. “Suspek yang degil tetap berkawan dengan mangsa sebelum bapa mangsa mengambil keputusan untuk menukar mangsa bersekolah di tempat lain dengan harapan suspek tidak lagi berkawan dengan mangsa,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.