BANTING: Seorang wanita bukan saja terpaksa menahan sakit apabila dipukul dengan payung tanpa belas kasihan oleh suaminya malah selepas puas dibelasah, dirinya diceraikan dengan talak tiga di hadapan jiran yang datang membantu mangsa dalam kejadian di perumahan Bukit Changgang, dekat sini, kelmarin.
Lebih malang, anak perempuan pasangan itu turut menjadi mangsa baran suaminya yang bertindak kejam memukul gadis berumur 13 tahun itu dengan payung sama selepas cuba menyelamatkan ibunya yang dipukul bertubi-tubi.
Menurut sumber, mangsa yang berumur 41 tahun itu dipukul selepas mengalami salah faham dengan suaminya kira-kira jam 8.30 malam hari kejadian.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 12.30 tengah malam hari sama kerana tidak tahan lagi dengan tindakan suaminya itu.
Difahamkan, jiran mangsa terdengar bunyi bising dan bergegas ke rumah mangsa bagi memastikan apa yang berlaku dan suami mangsa berusia 44 tahun dengan bongkak lantas melafazkan cerai talak tiga kepada mangsa yang masih dalam kesakitan.