Jauhi perhimpunan haram: CUEPACS – Bernama


Jauhi perhimpunan haram: CUEPACS

2011/07/03

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta semua 1.2 juta penjawat awam tidak terbabit dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tertakluk pada Etika Perkhidmatan Awam dan Aku Janji dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan yang tidak berdaftar.

“Jangan sesekali terbabit secara langsung bahkan jangan sesekali hadir untuk menonton (perhimpunan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, Kesatuan Pekerja-pekerja Awam negeri Melaka kali ke-33 di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Katanya, perhimpunan haram itu hanya membuang masa dan tidak mempunyai faedah atau kepentingan kepada penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam yang berdegil dan engkar untuk terus menghadiri perhimpunan itu, menangggung risiko sendiri tanpa pembelaan CEUPACS sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa. – BERNAMA

60 peratus kes dera seksual kanak-kanak dilakukan saudara terdekat – Bernama


60 peratus kes dera seksual kanak-kanak dilakukan saudara terdekat

2011/07/03

PETALING JAYA: Enam puluh peratus daripada 1,823 kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak dilakukan oleh bapa kandung, bapa tiri dan bapa saudara sendiri sepanjang 2006 hingga 2010.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata 16,159 kes rogol dengan 11,809 daripadanya membabitkan kanak-kanak dicatatkan sepanjang tempoh lima tahun itu.

“Sebanyak 54 peratus daripada mangsa kes rogol itu berusia 16 tahun ke bawah manakala 19 peratus lagi berusia antara 16 hingga 18 tahun. Ini bermakna, secara keseluruhannya sebanyak 73 peratus mangsa rogol adalah berusia bawah 18 tahun,” katanya semasa berucap pada pelancaran “The Reuniting Families-Child Safety” di sini, hari ini.

Pelancaran majlis anjuran RHB Bank dengan kerjasama PDRM dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kei.

Khalid berkata, statistik polis juga menunjukkan purata 200 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan setiap tahun dalam tempoh itu yang mana daripada 1,017 kes itu, sebanyak 57 peratus membabitkan kanak-kanak lelaki dan 43 peratus perempuan.

Beliau berkata, polis turut bimbang dengan kes kanak-kanak hilang apabila 5,270 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dalam tempoh itu.

“Daripada jumlah itu, hanya 2,982 atau 57 peratus orang sahaja dapat ditemui. Antara alasan kehilangan mereka ialah lari dari rumah, perselisihan faham antara ibu bapa, dan dipengaruhi oleh teman lelaki,” katanya.
Mengenai program “Reuniting Families-Child Safety” itu, Khalid berharap ia dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk lebih mengutamakan keselamatan anak-anak mereka.

Heng pula memuji usaha RHB Bank menganjurkan program itu dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan kadar jenayah. – BERNAMA

Dua remaja maut nahas – Bernama


Dua remaja maut nahas

2011/07/03

KANGAR: Dua remaja maut apabila motosikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang tiang di Utan Aji dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin, berkata nahas dipercayai berlaku pada jam 3 petang namun hanya disedari orang ramai kira-kira 40 minit kemudian.

“Mohamad Asyraf Maslin, 19, dari Kampung Alor Tampang, Beseri dan Abdul Azim Zainol Abidin, 17, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, dua remaja terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Kangar menghala ke Kampung Telok Epa apabila motosikal mereka terbabas dan melanggar tiang, mengakibatkan kedua-duanya tercampak ke dalam parit.

Katanya, mayat kedua-dua mereka ditemui orang ramai yang menggunakan jalan berkenaan. – BERNAMA

21 pelajar disengat tebuan ketika larian 1Murid – Bernama


21 pelajar disengat tebuan ketika larian 1Murid

2011/07/03

KOTA BHARU: Seramai 21 murid dan pelajar dari dua sekolah di Bachok dimasukkan ke hospital selepas mereka disengat tebuan ketika menyertai Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia pagi semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Zaid Ahmad, berkata pelajar terbabit adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak.

Katanya, mereka diserang sejenis tebuan tanah dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu.

“Lapan pelajar perempuan adalah daripada SMK Badak dan bakinya daripada SK Badak yang dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Tiada yang cedera serius,” katanya di Wad 5 HRPZII di sini.

Zaid berkata, mereka yang terbabit adalah murid Tahun Empat dan Tahun Lima serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Katanya, semua pelajar itu akan dibenar pulang secara berperingkat petang ini.

Sementara itu, murid Tahun Empat SK Badak, Mohd Farid Firdaus, berkata beliau menerima tujuh sengatan tebuan tanah itu ketika berlari beramai-ramai di satu kawasan semak di satu laluan berdekatan sekolah.
Beliau berkata, mereka kemudian dihantar ke Hospital Bachok sebelum dihantar ke HRPZII di sini.

Rakannya, Nur Syafiqah Azmi, 10, berkata beliau hampir pengsan dan menjerit kesakitan ketika serangan tebuan itu berlaku.

“Saya kena tiga sengatan di badan dan cikgu hantar ke hospital,” katanya.

Pelajar SMK Badak, Aishah Mansor, 13, berkata ketika larian dia tiba-tiba melihat tebuan itu menyengat rakan-rakannya dan beliau.

“Semua pelajar menjerit dan kami semua kembali ke sekolah sebelum dihantar ke hospital,” katanya yang terkena empat sengatan tebuan. – BERNAMA

Larian 1Murid 1Sukan pecah rekod MBOR – Utusan Malaysia


Larian 1Murid 1Sukan pecah rekod MBOR

Muhyiddin Yassin bersalaman dengan murid-murid yang menyertai larian serentak 1Murid 1Sukan sambil diperhatikan Dr. Zambry Abd. Kadir (kanan) ketika pelancaran dasar 1Murid 1Sukan di Taiping, Perak, semalam. – MINGGUAN MALAYSIA/ROY AZIS ABD AZIZ

 

TAIPING 2 Julai – Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung di seluruh negara berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian terbesar yang disertai oleh 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah.

Larian yang diadakan sempena pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan di Padang Dataran Perbandaran Taiping itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal pagi ini.

Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis tersebut menegaskan, sukan merupakan satu platform pembentukan sahsiah pelajar dan memupuk integrasi sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

“Saya amat berharap acara ini akan menjadi pemangkin ke arah pembudayaan sukan di kalangan semua murid di setiap sekolah di seluruh negara.

“Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah untuk merealisasikan aspirasi ini dalam masa terdekat,” katanya.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran pada Mac lalu antara lain bertujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Terdahulu, Muhyiddin melepaskan seramai 15,000 peserta larian yang terdiri pelajar dan murid daripada 30 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di sekitar bandar ini.

Larian yang bermula seawal 7.45 pagi dan sejauh 1.85 kilometer itu turut disertai oleh para guru dan ibu bapa.

Sementara itu, di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melepaskan peserta Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat negeri yang disertai 3,000 pelajar melibatkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota, SMK Yok Din dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Seri Bandar.

Turut serta dalam larian itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo dan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohamad Yusoff Osman.

Di KUALA LUMPUR, larian peringkat Wilayah Persekutuan berlangsung meriah dengan para peserta dilepaskan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz.

Larian tersebut yang bermula di Padang Merbok itu disertai 2,500 pelajar dan warga pendidik melibatkan lima zon termasuk Putrajaya.

Di KOTA KINABALU, seramai 200,000 pelajar daripada 320 buah sekolah di seluruh Sabah mengambil bahagian dalam larian tersebut yang berlangsung serentak di seluruh negara.

Larian peringkat negeri yang disertai hampir 10,000 pelajar itu berlangsung di Stadium Likas dengan dilepaskan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.

Permata Negara tiada agenda politik – Rosmah – Utusan Malaysia


Permata Negara tiada agenda politik – Rosmah

02/07/2011 3:06pm

 

BACHOK 2 Julai – Program Permata Negara yang diperkenalkan kerajaan sama sekali tidak mempunyai agenda politik sebaliknya ia demi masa depan kanak-kanak itu yang masih muda dan perlu dibentuk dengan nilai-nilai mulia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sebaliknya program Permata Negara itu membuka ruang yang luas kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu mendidik kanak-kanak itu menjadi insan cemerlang pada masa depan.

“Perluasan program Permata ini berfokuskan kepada kanak-kanak tanpa mengambil kira fahaman politik kerajaan yang memerintah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Apa Khabar Anak Permata di Pusat Anak Permata Negara (PAPN), Bachok di sini, hari ini.

Rosmah, yang juga isteri Perdana Menteri, kini berada di Kelantan mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Beliau berkata Kelantan sememangnya diberi perhatian untuk mewujudkan lebih banyak pusat Permata itu yang kini telah mempunyai sebanyak enam buah pusat.

“Kita mempunyai kekangan untuk memperolehi tapak yang sesuai khususnya di negeri-negeri yang bukan di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Alhamdulillah di Kelantan masalah ini telah dapat diatasi dengan kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, seperti di negeri-negeri lain, program Permata Negara di Kelantan telah diperluaskan ke empat buah Taska di bawah Jabatan Perpaduan, 15 buah Taska Kemas dan tujuh buah Taska Komuniti.

“Kebanyakan taska ini terletak di pedalaman bagi memberi peluang kepada anak-anak di luar bandar untuk mengikuti program Permata,” katanya. – Bernama