Kementerian cari kaedah atasi masalah guru ganti – Bernama


Kementerian cari kaedah atasi masalah guru ganti

05/07/2011 2:45pm

 

SEREMBAN 5 Julai – Kementerian Pelajaran sedang mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan guru ganti di semua sekolah rendah dan menengah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, guru ganti ini diperlukan kerana kebanyakan sekolah mempunyai ramai guru daripada kalangan wanita yang berkahwin dan berkeluarga yang kadang-kadang bersalin serentak.

“Memandangkan perkara ini di luar jangkaan, ia bukan mudah untuk mendapatkan guru ganti yang dahulu untuk tempoh 60 hari dan kini 90 hari, akibat kekangan peruntukan,” katanya selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin merasmikan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) Persidangan Bahagian Guru Pendidikan (TED) di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah hari untuk cuti bersalin telah bertambah yang bermakna penambahan guru ganti sekurang-kurangnya 50 peratus. – Bernama

Polis tahan bapa disyaki dera anak – Bernama


Polis tahan bapa disyaki dera anak

2011/07/05

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang bapa yang dipercayai mendera anak kandungnya sehingga mengalami cedera parah dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Kubang Tangga, di sini Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan, berkata suspek yang berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan di rumahnya kira-kira 3.45 pagi ini.

Katanya, polis turut merampas seutas tali pinggang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

“Menurut laporan, mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai didera oleh bapa kandungnya itu pada Ahad lalu, kira-kira 5.45 petang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan sedang sedang bermain dengan abangnya yang berusia 13 tahun sebelum dipanggil masuk ke rumah dalam keadaan marah oleh suspek dan selang beberapa minit kemudian abangnya terdengar jeritan mangsa memanggil namanya meminta tolong.

Katanya, sejurus mendengar jeritan tersebut, abangnya meluru ke dalam rumah dan berlaku sedikit pertengkaran mulut di antara dia dan bapanya.

Ketika kejadian, ibu tiri mangsa yang sedang mengandung sembilan bulan turut berada di dalam rumah tersebut.
Untuk menyelamatkan keadaan, Manoharan berkata abang mangsa membawa adiknya itu ke Bukit Besar di sini sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mendapati adiknya itu mengalami kecederaan teruk.

“Doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan bengkak di telinga kiri, bahu kanan dan peha kanan mangsa dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Manoharan berkata, berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Cabang Tiga, di sini pada 10.40 pagi semalam.

Beliau berkata, mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik dan abangnya mendakwa sering didera oleh bapa mereka sejak ibu kandung mereka meninggal dunia empat tahun lalu.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA

Paksa anak lapor berzina – Harian Metro


Paksa anak lapor berzina

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU SELANGOR: Berang selepas mendapat tahu anak gadis melakukan hubungan seks dengan teman lelaki, seorang ibu memaksa anaknya membuat laporan polis, kelmarin.

Sebelum itu, si ibu terdengar perbualan telefon antara anak gadisnya berusia 16 tahun dengan rakannya.
Menurut sumber, wanita berusia 30-an itu terkejut apabila mendengar pengakuan anaknya mendakwa melakukan hubungan seks dengan teman lelaki.

 

“Si ibu memarahi anak gadisnya itu dan memaksanya menceritakan apa yang berlaku.
“Pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah itu akur dan menceritakan perbuatan terkutuk bersama teman lelakinya yang juga pelajar sekolah sama,” katanya.
Beliau berkata, ibu mangsa yang marah dengan perbuatan lelaki terbabit menceritakan kejadian itu kepada jiran sebelum mereka mencarinya.

 

 

“Lelaki itu ditemui di rumah keluarganya, namun keluarga remaja terbabit menghalang mereka untuk membawa remaja lelaki itu ke balai polis.
“Bagaimanapun, selepas penjelasan diberikan remaja lelaki itu dibawa ke Balai Polis Bukit Sentosa dan mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

 

“Bertindak atas laporan suspek yang juga teman lelaki mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan dilakukan.

‘Saya yakin mayat Ayu’ – Harian Metro


‘Saya yakin mayat Ayu’

Oleh Mohd Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
UJI...bapa Ayu, Qomarodin Bajuri (berkopiah) hadir di HSA untuk ujian DNA.
UJI…bapa Ayu, Qomarodin Bajuri (berkopiah) hadir di HSA untuk ujian DNA.

JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan pelajar tingkatan empat, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badannya yang dikerat dan dibakar di dua lokasi termasuk di tanah perkuburan Hindu di Masai dan di ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, kira-kira 5 petang kelmarin.

Polis turut menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di pekan Seri Alam di Masai, selepas dihantar pulang teman lelakinya jam 2 pagi pada 14 Jun lalu. Ibu angkat Nurrahayu atau dikenali sebagai Ayu, Juliana Jumail, 35, berkata, dia tidak sangka anak kesayangan keluarganya itu ditimpa nasib malang apabila ditemui dalam keadaan menyayat hati, petang kelmarin.
“Ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk membuat pengecaman mayat selepas dihubungi polis, kami bukan saja bimbang, malah sebak mengenangkan nasib Ayu.

 

“Saya yakin mayat yang ditemui itu milik Ayu berdasarkan keadaan fizikalnya selain penyepit rambut bercorak bunga yang gemar dipakainya dijumpai di tempat kejadian,” katanya.
Juliana berkata, dia tidak sangka jenazah yang terbaring kaku di depan matanya adalah Ayu di mana pengecaman itu dilakukan berdasarkan keadaan fizikal gadis bertubuh kecil dan gemar memakai penyepit rambut.
Malah, menurutnya, keluarga kandung Ayu juga diminta ke hospital untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan penemuan mayat itu.

 

 

“Sebelum kejadian, Ayu yang tinggal bersama saya di Taman Universiti di Skudai, berkelakuan pelik apabila menggosok baju sekolah dan mencuci kasut seolah-olah beria-ia hendak ke sekolah.
“Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertindak kejam membunuh Ayu,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai dibunuh dengan kesan kerat di badan dan dibakar di dua lokasi berbeza iaitu di Tanah Perkuburan Hindu Masai serta di ladang sawit berhampiran Sungai Tiram, Ulu Tiram.
“Polis menjumpai serpihan tulang terbakar dan beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut jam 5 petang kelmarin.
“Hasil ujian DNA mendapati ia sepadan dengan mangsa.
“Berikutan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun selama tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya yang enggan mengulas sama ada gadis itu mangsa rogol.
Pada 2 Julai lalu, akhbar ini melaporkan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun hilang di satu tapak pembinaan di pekan Seri Alam, 14 Jun lalu, selepas dihantar pulang oleh teman lelakinya. Nurrahayu pada mulanya menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit.
Ketika mendedahkan perkara itu, kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, berkata teman lelaki adiknya itu tidak mengendahkan rayuan Ayu supaya mengambilnya semula selepas meninggalkannya berhampiran tapak pembinaan.
“Teman lelaki adik menurunkannya di depan pondok pengawal keselamatan tapak pembinaan terbabit,” katanya.

Remaja dikerat sebelum dibakar – Utusan Malaysia


Remaja dikerat sebelum dibakar

Tempat mangsa dibakar berhampiran tanah perkuburan Hindu di Masai, Johor Bahru, semalam.

 

JOHOR BAHRU 4 Julai – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan semalam.

Nurrahayu Qomarodin yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) dilaporkan hilang dari rumah sejak 18 Jun lalu oleh ibu bapanya yang mengusaha kantin di sebuah kuari di Masai.

Bagaimanapun, petang semalam, polis menemui petunjuk bahawa mayat remaja itu dibakar di dua lokasi berasingan iaitu di Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu di Masai bertujuan untuk menghilangkan bukti.

Ketika ditemui, mayat mangsa hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan antara pukul 4 dan 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan saksi, mangsa dikatakan dibawa lari oleh seorang lelaki pada hari kejadian dan sejak itu tidak pulang ke rumah keluarganya.

“Pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapat maklumat daripada orang awam yang menemui cebisan rambut, baju dan selipar di sebuah tanah perkuburan Hindu di Masai.

“Berdasarkan siasatan kes ini, kita percaya kesemua barang bukti konsisten dengan kes kehilangan mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Susulan penemuan cebisan mayat tersebut, menurut Roslan, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

Katanya, suspek ditahan ketika cuba bersembunyi di sebuah kawasan semak di Ulu Tiram di sini, petang semalam.

“Suspek dipercayai pernah melihat mangsa di tempat kerjanya sedang mengira wang tunai. Bagaimanapun, punca sebenar mangsa dilarikan sebelum dibunuh masih disiasat dan sehingga kini kami masih menunggu hasil ujian patologi ke atas cebisan mayat mangsa,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk melarikan orang, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

Amaran guru, pelajar sertai Bersih – Utusan Malaysia


Amaran guru, pelajar sertai Bersih

 

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
utusansabah@utusan.com.my

 

KOTA KINABALU 4 Julai – Guru dan pelajar yang didapati menyertai himpunan haram Bersih pada Sabtu ini akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Pelajaran.

Selain itu menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, mereka juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada polis.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kerana ingatan demi ingatan telah dikeluarkan supaya rakyat termasuk kumpulan guru dan pelajar tidak menyertai perhimpunan haram itu.

“Kita akui pada perhimpunan Bersih yang lalu memang terdapat segelintir pihak menggunakan pelajar sekolah sebagai benteng pertahanan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya di sini hari ini.

Hadir sama, Guru Besar Sk Pulau Gaya, Jamsen Elahan.

Sementara itu, Dr. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap dalang perhimpunan haram itu dengan menahan mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilihat sebagai langkah pencegahan paling berkesan.

Ia kerana tegas beliau, tindakan polis menahan beberapa pemimpin mengikut Ordinan Darurat langsung tidak memberi kesan terhadap kumpulan tidak bertanggungjawab itu.

Malah, beliau berkata, mereka sebaliknya dilihat semakin berani menghasut orang ramai supaya keluar beramai-ramai menyertai perhimpunan haram Sabtu ini.

”Peduli apa yang akan diperkatakan oleh negara luar, gunakan ISA bagi menghalang keadaan daripada bertukar menjadi lebih buruk,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Puad mengakui terdapat kekurangan dan kelonggaran sistem penyampaian kerajaan berhubung maklumat lengkap mengenai penjelasan konkrit kerajaan terhadap kesemua tuntutan Bersih.

“Semua tuntutan Bersih telah dijawab kerajaan tetapi apa yang menjadi masalah ialah rakyat tidak mendapat maklumat lengkap dan menyeluruh. Saya lihat ia berpunca daripada kelemahan sistem penyampaian maklumat kerajaan,” katanya.

Kenal pasti sekolah cemerlang – Utusan Malaysia


Kenal pasti sekolah cemerlang

 

oleh Norizan Abdul Muhid
utusanmelaka@utusan.com.my

 

MELAKA 4 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pelajaran dan agensi di bawahnya agar proaktif mengenal pasti mana-mana sekolah cemerlang di seluruh negara.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, langkah tersebut bertujuan bagi membolehkan bantuan disalurkan supaya sekolah terlibat mampu menyediakan kemudahan pendidikan lebih berkualiti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sekolah yang dipilih itu mestilah cemerlang namun masih belum layak diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) disebabkan terdapat kelemahan dalam bidang-bidang tertentu.

”Di bawah usaha ini, kita akan ambil langkah proaktif untuk tentukan kekurangan bidang yang dihadapi sekolah terlibat, umpamanya tiada konsep antarabangsa atau tiada jalinan kerjasama antarabangsa sekolah itu dengan sekolah luar negara lain atau tiada pertukaran pelajar.

”Jika sekolah terlibat mengalami kekurangan dalam bidang seperti itu, kita akan usahakan untuk bantu sekolah tersebut meningkatkan kualiti kemudahan pendidikan sekolah mereka” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Warga Pendidik yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.

Lebih 2,000 warga pendidik terdiri daripada guru besar, pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dari seluruh negeri menghadiri majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Kata Timbalan Perdana Menteri, usaha itu diharap mendorong warga pendidik khususnya guru besar dan pengetua untuk menentukan hala baru sekolah masing-masing sekali gus menepati keperluan kualiti pendidikan negara.

”Saya sebut begini agar kita dapat mencabar keupayaan kita, setidak-tidaknya pengetua dan pimpinan sekolah ada sasaran baru untuk tentukan hala tuju sekolah yang kita pimpin sekarang ini sehingga ia boleh mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia,” katanya.

Selain itu, mengenai rancangan kementerian menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, perkara itu hanya akan dilaksanakan setelah keperluan tenaga guru mata pelajaran itu sudah mencukupi dan cukup terlatih.

”Mungkin tidak berapa lama lagi saya akan umumkan mengenai perkara ini kerana sekarang kementerian tidak cukup lagi untuk sampai ke tahap itu, nanti bila kita sudah ada guru bahasa Inggeris yang mencukupi dan sudah menguji dasar itu, barulah boleh kita laksanakan ia dengan baik,” katanya.

Berhubung pendidikan pra sekolah, beliau meminta kerjasama pihak swasta agar tampil membantu kerajaan menyediakan kemudahan sekolah di peringkat itu dengan kerajaan bersedia menampung pembiayaan modal sejumlah RM10,000 kepada mereka yang berminat.