Polis tahan bapa disyaki dera anak
2011/07/05
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang bapa yang dipercayai mendera anak kandungnya sehingga mengalami cedera parah dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Kubang Tangga, di sini Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan, berkata suspek yang berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan di rumahnya kira-kira 3.45 pagi ini.
Katanya, polis turut merampas seutas tali pinggang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.
“Menurut laporan, mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai didera oleh bapa kandungnya itu pada Ahad lalu, kira-kira 5.45 petang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan sedang sedang bermain dengan abangnya yang berusia 13 tahun sebelum dipanggil masuk ke rumah dalam keadaan marah oleh suspek dan selang beberapa minit kemudian abangnya terdengar jeritan mangsa memanggil namanya meminta tolong.
Katanya, sejurus mendengar jeritan tersebut, abangnya meluru ke dalam rumah dan berlaku sedikit pertengkaran mulut di antara dia dan bapanya.
Ketika kejadian, ibu tiri mangsa yang sedang mengandung sembilan bulan turut berada di dalam rumah tersebut.
Untuk menyelamatkan keadaan, Manoharan berkata abang mangsa membawa adiknya itu ke Bukit Besar di sini sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mendapati adiknya itu mengalami kecederaan teruk.
“Doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan bengkak di telinga kiri, bahu kanan dan peha kanan mangsa dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.
Manoharan berkata, berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Cabang Tiga, di sini pada 10.40 pagi semalam.
Beliau berkata, mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik dan abangnya mendakwa sering didera oleh bapa mereka sejak ibu kandung mereka meninggal dunia empat tahun lalu.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA