Penjual karipap samun pelajar dipenjara lima tahun – Harian Metro


Penjual karipap samun pelajar dipenjara lima tahun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: “Kesalahan kamu menyamun di stesen bas dikategorikan sebagai jenayah jalanan dan ia serius kerana membabitkan keselamatan awam. Oleh itu, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman sewajarnya untuk membendung jenayah sama berulang,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Noradidah Ahmad, ketika mengenakan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang penjual karipap, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Hayyum Qayyum Mohd Rosdi, 21, dari Kampung Baru, di sini, mengaku salah atas dakwaan melakukan samun terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun dengan merampas wang tunai bernilai RM50 di stesen bas awam, Jalan Pasar, di sini, jam 8.40 malam, 1 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda.

 

Mengikut fakta kes, mangsa bersama rakannya ketika berada di stesen bas itu tiba-tiba dihampiri tertuduh yang meminta wang. Ketika mangsa mengeluarkan dompetnya, tertuduh terus merampas dompet itu dan mengambil wang RM50.
Mangsa merayu tertuduh supaya mengembalikan wang itu, sebaliknya dia mengacu pisau ke arah mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian. Rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum tertuduh diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Tertuduh merayu mahkamah meringankan hukuman dikenakan terhadapnya dengan alasan membiayai persekolahan seorang adiknya, manakala ketika kejadian dia tidak berniaga.

 

 

“Saya mohon mahkamah mengenakan pengawasan terhadap saya dan jika mahu dipenjarakan saya minta tiga tahun kerana menanggung seorang adik yang masih bersekolah,” katanya.
Dalam penghakimannya, Noradidah berkata, walaupun kesalahan itu serius namun mahkamah mengambil kira pengakuan salah dibuat tertuduh kerana menjimatkan masa dan tidak perlu memanggil saksi.

 

Menurutnya, tertuduh juga didapati tidak ada rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencingnya menunjukkan negatif selain jenayah samun dilakukan itu kesalahan pertamanya.

‘Sepatutnya kamu jaga, bukan rosakkan’ – Harian Metro


‘Sepatutnya kamu jaga, bukan rosakkan’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Sepatutnya kamu menjaga anak dan bukan merosakkannya,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar ketika menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan terhadap pengawal keselamatan yang mengaku salah merogol anak keenamnya berusia 13 tahun di Kuala Kubu Baru, dekat sini, bulan lalu.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 23 Jun lalu. Bapa kepada tujuh anak berusia 43 tahun yang memakai baju-T kuning dan seluar bermuda itu dilihat tidak henti-henti mengesat air matanya dengan tuala kecil sepanjang prosiding kes itu semalam. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Kuala Kubu Baru antara jam 1 dan 7.30 pagi, pada 9 Jun tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan berada dalam keadaan tidak sedar kerana mabuk.
“Isteri saya tidak bekerja dan menghidap asma. Saya pula menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh masuk ke dalam bilik anaknya, sebelum bertindak merogol mangsa.

 

 

Remaja itu yang ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah mak ciknya yang terletak berhampiran kediaman keluarganya sebelum menceritakan perbuatan terkutuk bapanya.
Mak cik gadis itu membawa mangsa ke balai polis berhampiran membuat laporan membawa kepada penahanan tertuduh.

Si buta kuat nafsu – Harian Metro


Si buta kuat nafsu

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf,” demikian penjelasan ringkas seorang lelaki buta yang meraung kuat dan menghentak kepalanya berkali-kali di kandang tertuduh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki berusia 47 tahun itu berkelakuan sedemikian selepas dia mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan anak kandung perempuannya berusia 18 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengandung tujuh bulan, empat tahun lalu.
Kelakuan lelaki yang beristeri dua dan mempunyai lapan anak berusia antara 22 tahun dan enam bulan itu yang menangis teresak-esak dan kuat menyebabkan prosiding ditangguhkan pada sebelah petang bagi memberi ruang kepada tertuduh bertenang.

 

Selepas prosiding disambung semula, tertuduh masih menangis teresak-esak dan memaksa Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memintanya bertenang.
Emelia kemudian menjatuhkan hukuman 10 sebatan dan penjara 18 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang urut itu melakukan perbuatan keji terbabit di rumah mereka di flat di Jalan Dang Wangi, di sini, antara 2007 hingga kejadian terbaru pada 24 Jun lalu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa pernah merogol anak perempuan sulungnya itu sejak 2007 di rumah sama, namun mangsa tidak ingat kejadian. Namun, anaknya mendakwa bapanya melakukan perbuatan sama tiga kali pada tahun ini, termasuk terbaru pada 24 Jun lalu. Mangsa yang juga pelajar sebuah kolej swasta itu tidak sampai hati memberitahu ibunya tentang hal berkenaan, namun rahsia hitam itu bocor selepas mangsa mahu menangguhkan pengajian. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar hukuman ringan dikenakan atas alasan faktor umur dan mempunyai penyakit darah tinggi serta buasir selain perlu menanggung dua isteri dan lapan anaknya. “Saya mengaku itu adalah kesalahan besar dan saya memohon maaf kepada isteri, keluarga dan anak atas perbuatan saya ini kerana saya tidak tahu ia menyalahi undang-undang,” katanya.

 

 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatan dilakukannya sangat serius.
“Selain itu perbuatan berkenaan juga hina dan keji di sisi agama dan undang-undang kerana tergamak melakukan hubungan seksual dengan anak sendiri.

 

“Masa depan anaknya yang sedang belajar di sebuah kolej swasta juga gelap kerana perbuatan terkutuk tertuduh, malah kelihatan masih trauma dengan tindakan bapanya sendiri sepatutnya menjadi pelindung keluarga,” katanya.
Selepas memberikan penghakiman Emelia berkata, hukuman dijatuhkan itu tidak dapat memulangkan semula maruah anak tertuduh.

Atlet boling mengaku perkosa – Harian Metro


Atlet boling mengaku perkosa

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Bekas jaguh boling Kejohanan Remaja Kebangsaan ke-30 dan atlet Sukan Malaysia negeri terlepas daripada hukuman penjara apabila dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 tanpa cagaran oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Abu Bakar Katar selepas tertuduh, Nor Afizal Azizan, 20, menukar pengakuannya kepada bersalah petang semalam.
Semalam ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama kes itu, namun selepas saksi pendakwaan pertama iaitu bapa mangsa memberi keterangan, tertuduh melalui peguam bela Azrul Zulkifli Stork memberitahu mahkamah dia mahu menukar pengakuannya.

 

Abu Bakar dalam penghakimannya turut meneliti semua fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin serta rayuan peguam.
Mengikut pertuduhan, Nor Afizal didakwa merogol gadis berkenaan yang ketika kejadian berusia 13 tahun empat bulan antara jam 12.30 pagi hingga 5 pagi, di bilik bernombor 225, tingkat dua, Hotel Kings, Ayer Keroh pada 5 Julai 2010.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

 

 

Sementara itu, Azrul merayu mahkamah menggunakan budi bicara peruntukan Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah kerana tertuduh adalah pesalah muda yang perlu diberi peluang selain dia masih atlet dan itu adalah kesalahan pertamanya.
Beliau juga menyatakan tertuduh adalah atlet yang mengharumkan nama negara dan negeri serta menanggung keluarga kerana ibu bapanya tidak bekerja.

 

Katanya, kepentingan awam juga membawa maksud tertuduh diberi peluang kerana mempunyai masa depannya cerah selain pertuduhan itu adalah rogol bawah umur dan tiada unsur paksaan.
Ifa bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh sebagai pengajaran atas perbezaaan usianya 19 tahun manakala mangsa pula 13, ketika kejadian.
Katanya, sebagai atlet, kesalahan dilakukan tertuduh turut mencemarkan imej negara dan negeri.
Sementara itu pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hukuman itu di Mahkamah Tinggi.
Sepanjang kerjayanya, Nor Afizal pernah memenangi pingat emas Kejohanan Bowling Remaja Milo Kebangsaan 2006 selain muncul juara Kejohanan Bowling Remaja Kebangsaan ke-30 dan mewakili Negeri Sembilan dalam temasya Sukan Malaysia ke-11 di Seremban pada 2008.

Lemas dalam lubuk V – Harian Metro


Lemas dalam lubuk V

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: “Kami sangka dia hanya bergurau apabila mengangkat kedua-dua tangannya namun tidak sangka rupa-rupanya dia sedang lemas,” kata Jailani Jamari, 14, rakan mangsa lemas di Sungai Temiang di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Zulfadhli Zakaria, 16, terkorban akibat lemas ketika mandi di sungai berkenaan bersama tiga lagi rakannya.
Menceritakan detik cemas itu, Jailani berkata, mereka termasuk pasangan adik beradik, Mohd Iffendi Nor Azhar, 14, dan Mohd Fazil, 11, datang ke kawasan berkenaan dengan dua motosikal. “Ketika kejadian dia (mangsa) dilihat mengangkat kedua tangannya terkapai-kapai seolah-olah lemas namun kami beranggapan dia bergurau. “Bagaimanapun selepas beberapa minit, dia masih tidak timbul, saya mula tidak sedap hati lalu menjerit kepada dua rakan supaya membantu,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, mereka tidak berdaya melakukan apa-apa kerana tidak mahir berenang sebaliknya hanya mampu ke tebing sungai untuk menyelamatkan mangsa.

 

“Kami mengambil sebatang kayu panjang untuk menariknya namun dia tetap tenggelam ke dalam sungai. Kami kesal namun sudah tidak berguna,” katanya.
Mohd Iffendi yang pandai berenang juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus ketika itu kuat.
“Kami segera pergi ke rumah berhampiran meminta bantuan dan mayat mangsa ditemui tersekat di bawah batu besar,” katanya. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Ungku Abd Jalil Ungku Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.20 petang.

 

 

“Seramai 10 anggota melalui sebuah jentera dikerah mencari dan menyelamat mangsa. Sejurus tiba, kita mendapati mayat mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam.
“Siasatan awal mendapati lokasi mangsa lemas itu dipercayai lubuk yang agak dalam berbentuk V dan orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika mandi kawasan terbabit,” katanya.

Keluarga kesal sikap sambil lewa teman lelaki – Harian Metro


Keluarga kesal sikap sambil lewa teman lelaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Sikap sambil lewa teman lelaki Nurrahayu Qomarodin, 16, disifatkan tidak bertanggungjawab menyebabkan mangsa bukan saja dipercayai dirogol, malah dibunuh sebelum dikerat dan dibakar.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya itu mengambilnya semula selepas lelaki itu meninggalkannya di pondok pengawal berhampiran rumahnya di tapak pembinaan dekat pekan Seri Alam dekat sini, 18 Jun lalu. Bagaimanapun, jeritan mangsa tidak diendahkan lelaki berusia 28 tahun itu yang terus berlalu kerana menyangka Arwah dimarah atau dibelasah bapanya.
Kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, menyifatkan tindakan juruteknik dari Rengit itu meninggalkan Ayu di depan pondok pengawal keselamatan di tapak pembinaan pekan Seri Alam pada jam 2 pagi, sebagai tidak bertanggungjawab.

 

“Dia sepatutnya mementingkan keselamatan arwah, menghantar adik hingga ke rumah.
“Selain itu, mengapa dia menunggu hingga dua hari sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarga, sedangkan dia boleh datang seawal mungkin memaklumkan kepada kami.
“Biarpun pemergian Ayu ketentuan Allah, namun kami terkilan dengan tindakannya yang menyebabkan Ayu mati dalam keadaan amat kejam.

 

 

“Dia mendengar jeritan Ayu ketika dipukul lelaki tidak dikenali, arwah merayu dia datang kembali dan mengambilnya tetapi kenapa dia tidak berpatah balik,” katanya.

Petunjuk dalam mimpi – Harian Metro


Petunjuk dalam mimpi

Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Ayu meminta tolong untuk memohon maaf kepada rakan sekolah dan guru selain amanat supaya jasadnya yang masih ‘gentangyangan’ (terawang-awang) disempurnakan termasuk dimandi, dikafan dan dikebumikan dengan sempurna,” kata Qomarodin Bajuri, bapa remaja yang dipercayai dirogol, dibunuh, dicincang dan dibakar, Norrahayu, 16, pada 14 Jun lalu.

Serpihan tulang, cermin mata, sebelah selipar dan gumpalan rambut serta sepit rambut Norrahayu yang juga dikenali sebagai Ayu, ditemui di dua lokasi berbeza iaitu kawasan perkuburan Hindu dan ladang sawit Sungai Tiram di sini, petang Ahad lalu.
Qomarodin mendakwa Ayu menyampaikan amanatnya itu melalui mimpi selepas dia melakukan solat hajat kelmarin dan meminta petunjuk sambil reda dengan ujian menimpa dirinya sekeluarga.

 

“Saya reda dengan ujian Allah dan tidak berprasangka buruk dengan kejadian menimpa anak saya itu selain menerima hakikat kemungkinan Ayu dipanggil pulang oleh-Nya kerana saya tidak menjalankan tugas sebagai ayah dengan baik.
“Mungkin ‘mengambil’ Ayu lebih baik.
“Allah lebih menyanyangi dirinya saya dan keluarga reda dengan apa yang berlaku dan ini ujian kepada kami sekeluarga.

 

 

“Jadi saya dan keluarga terima ujian ini,” katanya.
Menceritakan detik kejadian itu, katanya, dia menyedari Ayu membuat 10 panggilan kepadanya pada malam kejadian, namun terkilan apabila gagal menghubungi Ayu semula. “Saya amat risau dan bertanyakan kepada rakan dan kenalan jika terlihat Ayu dan kami sekeluarga mencarinya, namun hampa.

 

“Teman lelaki yang menghantar Ayu ke rumah pada malam kejadian juga datang dan kami masing-masing membuat laporan polis,” katanya.
Dia bertanyakan kepada pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu, iaitu suspek utama yang kini direman polis tetapi lelaki botak dan tinggi itu berkata, tiada apa yang berlaku.
“Namun apabila melihat suspek berjalan tempang, saya curiga kerana dia tidak datang kerja selama dua hari selepas kejadian selain memberi alasan kakinya sakit kerana terjatuh motosikal.
“Saya merujuk perkara berkenaan kepada polis dan mereka pergi ke lokasi, namun apabila melihat polis, lelaki berkenaan melompat ke dalam semak melarikan diri sebelum muncul semula selepas polis beredar,” katanya.

Kelima terbaik di dunia – Harian Metro


Kelima terbaik di dunia

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: “Selepas berpenat lelah dan menghadapi pelbagai tekanan, akhirnya kejayaan menjadi milik saya. Bukan mudah untuk saya mengekalkan kejuaraan ini,” kata pelajar Sekolah Cempaka, Edwin See Jun Hong, 16, yang memenangi tempat kelima dalam Pertandingan Matematik Sedunia yang berlangsung pada 3 hingga 5 Mac lalu.

Pertandingan anjuran syarikat di Australia, 3P Learning Pty Ltd (3P Learning) itu dilaksanakan secara dalam talian dan ia mendapat kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Edwin berkata, dia mendapat persaingan hebat terutama pelajar dari Pakistan, Australia dan Turki, bagaimanapun dia berjaya menempuhi cabaran diberikan.

 

“Walaupun hanya mendapat tempat kelima, tetapi ia amat bermakna kerana saya menewaskan ribuan peserta dari luar negara. Saya amat gembira dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima Piala Dunia dan pingat daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kementerian Pelajaran di sini, semalam. Pertandingan itu memerlukan peserta menjawab soalan matematik dengan pantas dan tepat dengan tempoh diberikan satu minit. Sebanyak 22,785 sekolah dari 212 negara menyertai pertandingan itu dan 20 pelajar dari Sekolah Cempaka terbabit pertandingan berkenaan.

Wujud guru BI bergerak – Berita Harian


Wujud guru BI bergerak
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/07/06

Kementerian Pelajaran mahu perkasakan dasar MBMMBI 

SEREMBAN: Guru Bahasa Inggeris (BI) berkelayakan yang mampu mengajar dengan baik mungkin diserap dalam kumpulan khas ‘guru bergerak’ yang akan dihantar ke sekolah tertentu yang memerlukan khidmat mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya mengkaji untuk mewujudkan kumpulan ‘guru BI dan guru mentor bergerak’ untuk memperkasakan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Kementerian Pelajaran ketika ini dalam proses melaksanakan penempatan semula guru bagi menampung kekurangan guru BI di sekolah berhampiran yang memerlukan khidmat mereka.

“Dalam usaha ini, kementerian turut mengkaji pilihan bagi mewujudkan kumpulan guru BI serta guru mentor bergerak,” katanya dalam ucapan perasmian dibacakan timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong, pada majlis perasmian Persidangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC)– Bahagian Pendidikan Guru (TED) di sini, semalam.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang akan dimansuhkan tahun depan selepas didapati gagal mencapai matlamat meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar, sebaliknya menjejaskan pencapaian pelajar luar bandar dalam subjek itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada tahun ini juga, penempatan guru BI yang baru akan dilakukan dengan peraturan lebih ketat mengikut tahap keperluan di sekolah seluruh negara.
Bagi memastikan kejayaan dasar MBMMBI, beliau berkata, kementerian juga menawarkan kontrak tiga tahun kepada 600 bekas guru BI bersara dengan 168 daripada mereka sudah mula mengajar.

Katanya, kementerian juga akan membina makmal BI di 700 sekolah selepas melihat keberkesanan projek perintis di 20 sekolah tahun lalu.

“Sehingga kini 12,000 guru BI tidak terlatih mengikuti program latihan semula untuk meningkatkan kemahiran, manakala 10,000 guru lagi dijangka mengikuti program itu tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong pada sidang media berkata, kementeriannya sedang mengkaji kaedah jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan guru menggantikan guru bersalin di banyak sekolah di seluruh negara.

“Ini bukan masalah kecil, kita memandang serius perkara ini dan mahu satu kaedah berkesan untuk mengatasinya supaya proses pembelajaran tidak terjejas.

“Antara masalah utama dikenal pasti adalah kekurangan peruntukan menempatkan guru ganti dan kita sedang berusaha memohon Kementerian Kewangan menambah peruntukan berkenaan,” katanya.