Malaysia cipta hatrik juarai Pertandingan Matematik Sedunia – Utusan Malaysia


Malaysia cipta hatrik juarai Pertandingan Matematik Sedunia

MUHYIDDIN Yassin memegang piala bersama Freida Mohd. Pilus dan pelajar Sekolah Cempaka bersama piala juara Pertandingan Matematik Sedunia ketika meraikan kejayaan mereka di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

 

PUTRAJAYA 5 Julai – Seramai 20 pelajar Sekolah Cempaka di ibu negara mencatat sejarah dalam bidang matematik apabila berjaya mencipta hatrik menjuarai Pertandingan Matematik Sedunia yang berlangsung secara online dari 3 hingga 5 Mac lalu.

Pasukan itu yang diwakili sepenuhnya pelajar tempatan berjaya membuktikan kejaguhan bersaing di pentas antarabangsa apabila menewaskan lebih 1.2 juta pelajar yang mewakili 22,785 sekolah dari 212 negara.

Sekolah Cempaka sebelum ini menjuarai pertandingan itu pada 2009 dan 2010.

Kejayaan itu membolehkan pasukan tersebut menerima trofi pertandingan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis khas meraikan kejayaan para pelajar itu di pejabatnya di sini hari ini.

Pelajar sekolah itu, Edwin See Jun Hong, 16, menyifatkan kejayaan itu sangat bermakna kerana sebagai penyandang juara pada tahun sebelumnya, tekanan tinggi terpaksa dipikul supaya mengekalkan kejuaraan.

“Persaingan kali ini sangat hebat terutama daripada pelajar-pelajar Pakistan, Australia dan Turki tetapi kami berjaya mengatasi mereka dengan beberapa pasukan sekolah kami menduduki enam tempat teratas dalam pertandingan itu,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir pengasas Sekolah Cempaka, Datuk Freida Mohd. Pilus. Sekolah berkenaan terletak di dua lokasi masing-masing di Cheras dan Damansara.

Pertandingan Matematik Sedunia dianjurkan oleh sebuah syarikat di Australia, 3P Learning Pty. Ltd. dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Ia dipertandingkan secara online dengan peserta diminta menjawab soalan matematik yang diberikan secara pantas dan tepat dalam masa seminit.

Jun Hong yang menduduki tempat kelima keseluruhan pertandingan itu mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada para guru matematik sekolahnya yang bertungkus-lumus dan bersengkang mata membuat persiapan terbaik untuk peserta terlibat.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua terutama guru-guru sekolah kerana mencipta teknik berkesan supaya kami semua berjaya menjawab soalan matematik dengan mudah, tepat dan pantas,” katanya.

Sementara itu, Freida berkata, kejayaan tersebut telah membuka mata banyak negara terhadap kejayaan Malaysia melahirkan para pelajar berbakat dalam bidang matematik.

“Secara tiba-tiba nama Malaysia menjadi tumpuan semua pihak dan mereka mula bertanya di mana letaknya Malaysia kerana pencapaian menjuarainya kali ketiga berturut-turut sangat hebat,” katanya.

12,000 guru jalani latihan bahasa Inggeris – Utusan Malaysia


12,000 guru jalani latihan bahasa Inggeris

SEREMBAN 5 Julai – Sebanyak 12,000 guru yang mengajar bahasa Inggeris telah menjalani kursus bagi meningkatkan kemahiran dan skil mereka sejak tahun lalu dengan 10,000 lagi guru disasarkan pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program latihan semula secara besar-besaran itu membabitkan guru yang tidak berkelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) yang telah mengajar subjek itu secara ‘tidak rasmi’ di sekolah selama ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kursus tersebut termasuk Proficiency and Pedagogy Enhancement dan Certificate in the Practise of English Language Teaching (ELT) selama 14 minggu.

“Usaha-usaha sedang dilakukan bagi mentauliahkan kursus ini menjadi kredit yang boleh dipindahkan kepada ijazah asas.

“Kursus ini adalah sebahagian daripada program yang dibuat bagi menjayakan dasar MemartabatkanBahasaMalaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan English Language Teaching Centre (ELTC) dan Bahagian Pendidikan Guru (TED) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Seramai 300 guru dari seluruh negara menghadiri persidangan selama dua hari itu yang bertemakan Mengukuhkan Bahasa Inggeris Melalui Pembangunan Guru Profesional.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Pengarah TED, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman dan Pengarah ELTC, Choong Kam Foong.

Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kualiti latihan di kalangan pelatih guru bahasa Inggeris di Institut Latihan Perguruan (IPG), semua pensyarah dikehendaki menghadiri kursus pensijilan pengajar yang dijalankan oleh ELTC bersama Kolej Universiti St. John dan St. Mark di United Kingdom.

“Ini adalah program yang sangat bermakna memandangkan ia adalah kali pertama kursus diadakan untuk melatih dan mengiktiraf pengajar,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kementerian juga sedang melaksanakan penugasan semula para guru di tempat yang diperlukan.

Dalam hal itu, katanya, kementerian sedang menimbangkan pilihan untuk mewujudkan ‘guru bahasa Inggeris bergerak’ dan guru mentor.

Menurutnya, bermula tahun ini penempatan guru yang baru keluar dari IPG atau universiti akan dibuat sepenuhnya mengikut keperluan sesebuah sekolah.