Dia ugut bunuh kami: Guru tadika – Bernama


Dia ugut bunuh kami: Guru tadika

2011/07/07

MUAR: “Cikgu bunuh saya, sebelum saya bunuh cikgu dan semua kanak-kanak ini.”

Itu antara ugutan lelaki, berusia 30 tahun yang menahan 30 orang kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dan empat orang guru wanita dalam satu drama tebusan selama lima jam di Taman Asuhan Kanak-kanak Serikids, Taman Cemerlang, Sungai Abong di sini hari ini.

Lelaki yang dipercayai seorang penagih dadah itu membuat ugutan tersebut ketika pengetua taman asuhan itu, Tee Sew Tuan cuba memujuknya menyerah diri kepada polis.

“Dia meminta pengetua membunuhnya, kalau tidak dia akan membunuh kami semua,” cerita Norazah Mohd Shah, 23, seorang daripada empat orang guru wanita yang turut dijadikan tebusan lelaki terbabit.

Beliau yang masih dalam ketakutan ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini lewat petang ini, berkata lelaki itu yang bersenjatakan sebilah parang dan penukul, pada mulanya kelihatan tidak begitu agresif.

“Dia benarkan kanak-kanak pergi buang air ke tandas dan minum air,” katanya yang kelihatan letih lesu dan masih trauma dengan tragedi itu.

Norazah berkata, beliau dan tiga guru lain, membawa 30 kanak-kanak itu naik ke tingkat atas, masuk ke sebuah bilik dan menguncikan pintu untuk mengelak daripada dihampiri lelaki berkenaan.
“Kami menahan pintu bilik dengan kerusi untuk menghalang lelaki itu masuk dan mengancam keselamatan kami,” katanya.

Sebelum itu, katanya, beliau nampak lelaki terbabit sudah berada dalam bangunan taman asuhan itu pada kira-kira 9.30 pagi dengan memegang sebilah parang panjang dan penukul.

Katanya, beliau tidak tahu bagaimana lelaki itu masuk ke premis berkenaan.

Beliau bersyukur kerana mereka semua selamat manakala lelaki terbabit berjaya diberkas selepas terkena sedas tembakan di dahi ketika menyembur alat pemadam api ke arah pasukan Unit Tindakan Khas polis yang merempuh masuk ke premis berkenaan pada 3.45 petang. – BERNAMA

Lelaki Bertukul Besi Jadikan 30 Kanak-Kanak Tadika Tebusan – Mstar


Lelaki Bertukul Besi Jadikan 30 Kanak-Kanak Tadika Tebusan

Oleh HAMDAN RAJA ABDULLAH

MUAR: Seorang lelaki bersenjatakan tukul besi menahan 30 kanak-kanak tadika sebagai tebusan di Sungai Abong di sini.

Lelaki itu mendesak polis menyerahkan pistol atau kanak-kanak terbabit dibunuh.

Bagaimanapun selepas seorang pakar psikiatri, Dr Lau Keen Lee bercakap dengan suspek dari luar banglo dua tingkat tersebut, lelaki itu kembali tenang.

“Dia sekarang lapar dan mahukan makanan,” katanya pada Khamis sambil menambah bahawa mereka berada di aras atas banglo berkenaan.

Semasa makanan diambil, dua trak Unit Tindakan Khas (UTK) memasuki kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Muar, Asisten Supritendan Suhaimi Ahmad memberitahu kaum keluarga dan media supaya menunggu di luar kawasan banglo.

Katanya, suspek mungkin akan takut jika terlalu ramai yang berhimpun dekat kawasan berkenaan.

Pasukan UTK menutup laluan menghala ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Serikids itu pada pukul 2 petang.

Orang ramai kelihatan berkumpul di sekeliling jalan itu dan suspek dilaporkan mengunci semua pintu di banglo tersebut.

Dua buah ambulans turut berada dalam keadaan siap sedia di luar perkarangan tadika itu.

Pegawai polis masih lagi berbincang dengan suspek tetapi sehingga kini, masih belum ada laporan mengenai kanak-kanak yang cedera.

Polis masih lagi mengepung kawasan itu.

Pada pukul 3.45 petang, polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan itu dan memasuki banglo tersebut.

Polis Serbu Taska, Nasib Tebusan Belum Diketahui – Bernama


Polis Serbu Taska, Nasib Tebusan Belum Diketahui

MUAR: Sepasukan polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman bertindak menyerbu pusat asuhan kanak-kanak yang menjadi tempat seorang lelaki menahan kira-kira 30 kanak-kanak dan empat guru kira-kira 3.45 petang Khamis.

Wartawan Bernama yang berada di lokasi turut mendengar bunyi tembakan, namun sehingga pukul 4.20 petang ini nasib lelaki tersebut dan mereka yang menjadi tebusan belum diketahui.

Bagaimanapun wartawan Bernama dapat mendengar suara nyanyian kanak-kanak dari dalam rumah banglo dua tingkat itu.

Drama tebusan itu bermula pukul 9.30 pagi Khamis apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul menceroboh ke pusat asuhan Serikids di Taman Sungai Abong, Jalan Sakeh di sini.-BERNAMA

Ahli keluarga pujuk suspek supaya bebas tebusan – Utusan Malaysia


Ahli keluarga pujuk suspek supaya bebas tebusan

07/07/2011 3:36pm

 

MUAR 7 Julai – Selepas polis memujuk lelaki yang menjadi kanak-kanak taska di sini sebagai tebusan, ahli keluarga suspek pula tampil petang ini merayu suspek yang bersenjatakan parang itu.

Ahli keluarga suspek berada di Taska Serikids pada pukul 3 petang ini memujuk suspek melepaskan tebusan namun usaha masih gagal.

Pihak polis telah menempatkan anggota Unit Tindakan Khas bagi mengepung premis berkenaan sejak pukul 1.18 petang.

Dipercayai juga lelaki berusia 30-an itu antara lain menuntut supaya diberikan sepucuk pistol automatik. – Utusan

Tebusan tadika: Tembakan dilepaskan; suspek cedera parah – Utusan Malaysia


Tebusan tadika: Tembakan dilepaskan; suspek cedera parah

07/07/2011 4:19pm

 

MUAR 7 Julai – Polis terpaksa melepaskan tembakan pada pukul 3.41 petang dan menyerbu masuk tadika yang menjadi lokasi empat guru dan 30 kanak-kanak di Taman Sungai Abong, di sini yang ditahan sebagai tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan parang.

Laporan awal mengatakan semua tebusan selamat dibebaskan manakala suspek cedera parah dan dibawa keluar dengan ambulans.

Lelaki berkenaan dipercayai menceroboh pusat jagaan tersebut pada pukul 9.30 pagi dan difahamkan seorang kanak-kanak telah dicederakan.

Laporan Bernama sebelum ini menyebut, seorang pakar psikologi dikenali Dr. Lau Keen Lee dikatakan telah berusaha menenangkan lelaki yang dipercayai pesakit mental itu dari luar banglo dua tingkat tersebut. – Utusan

Semua tebusan di tadika selamat – Berita Harian


Semua tebusan di tadika selamat

2011/07/07

MUAR: Semua guru dan murid Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini berjaya diselamatkan polis dalam serbuan pada jam 3.41 petang tadi.

Lelaki bersenjata parang yang menjadikan mereka sebagai tebusan sejak pagi tadi dilaporkan parah akibat ditembak di kepala.

Polis lepas tembakan, serbu tadika – Berita Harian


Polis lepas tembakan, serbu tadika

2011/07/07

MUAR: Anggota polis melepaskan sedas tembakan dan menyerbu masuk Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini pada jam 3.41 petang untuk menyelamatkan empat guru dan kira-kira 30 murid yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki bersenjata parang.

Lelaki tahan murid tadika minta pistol – Berita Harian


Lelaki tahan murid tadika minta pistol

2011/07/07

MUAR: Sehingga jam 3 petang tadi, polis masih berusaha memujuk seorang lelaki bersenjata parang yang menjadikan empat guru dan kira-kira 30 murid Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang di sini sebagai tebusan sejak pagi tadi.

Dua wanita dipercayai saudara suspek turut berada di tempat kejadian bagi memujuk beliau melepaskan mangsa dan menyerah diri.

Difahamkan antara tuntutan lelaki berusia 30-an itu ialah supaya diberikan sepucuk pistol automatik.

Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berada di tempat kejadian sejak jam 1.18 petang.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, turut berada di situ.

Sebak lihat ibu didera bapa buas – Harian Metro


Sebak lihat ibu didera bapa buas

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Perbuatan seorang lelaki warga asing tidak ubah seperti haiwan apabila tergamak mendera isterinya setiap kali mahu melakukan hubungan seks termasuk menendang dan memukul mangsa dipercayai kerana cemburu, malah lebih mengejutkan, kekejaman suspek berlarutan sejak 24 tahun lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 53 tahun berasal dari Pulau Rupat, Indonesia bekerja sebagai tukang rumah itu memukul isterinya setiap kali keinginannya ditolak dan perbuatannya itu turut disaksikan enam anak mereka berusia 11 hingga 24 tahun di rumah mereka di sebuah kampung di Simpang Ampat, di sini.
Perbuatan jahat suspek disembunyikannya daripada pengetahuan saudara-mara dan jiran itu terbongkar apabila dia ditangkap petang kelmarin, sekali gus mendedahkan dia sebenarnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah sejak 13 tahun lalu.

 

Tangkapan terhadap suspek dilakukan kira-kira jam 6 petang oleh anggota polis yang menerima aduan daripada anak gadis mangsa berusia 17 tahun yang tidak tahan dengan perbuatan bapanya itu.
Mendedahkan sikap jijik bapa kandungnya gadis berkenaan mendakwa suspek seorang yang panas baran dan sering memukul ibunya yang berusia 52 tahun.
Anak keempat daripada enam beradik itu mendakwa dia sudah muak dengan perlakuan ganas bapanya yang sering menumbuk dan menyepak ibunya sejak dia kecil lagi. “Kami enam beradik tinggal serumah di rumah kecil Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Ruang yang sempit itu memudahkan kami melihat dan mendengar apa yang berlaku. Jeritan serta rintihan ibu minta dilepaskan daripada dikasari ayah yang kerap memukulnya membuatkan kami sedih mengenangkan nasib ibu,” katanya ketika ditemui.

 

 

Katanya, dia nekad melaporkan perkara itu di Balai Polis Simpang Ampat, kelmarin, kerana sudah tidak tertahan lagi serta selepas dinasihat bapa angkatnya.
Katanya, kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin, dia terjaga dari tidur apabila terdengar ibunya menangis meminta tolong sambil ayahnya terus memukul dan mengugut untuk membunuh jika ibunya menjerit.

 

“Saya nampak ayah menuju ke dapur dan datang membawa sebilah pisau lalu mengancam ibu supaya tidak menjerit atau dan memberitahu sesiapa perbuatannya sebelum menumbuk ibu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan tangkapan suspek dan kes dirujuk ke Jabatan Agama Islam (Jaim) Alor Gajah untuk tindakan.
“Pihak kami dimaklumkan menerusi laporan polis dibuat anak mangsa, suspek disyaki melakukan penderaan seksual ke atas ibunya dan selepas diperiksa didapati suspek seorang warga Indonesia memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh sejak 1998 lagi,” katanya.

Lompat tingkap ketika azan – Harian Metro


Lompat tingkap ketika azan

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TASEK GELUGOR: “Sebaik terdengar azan Subuh, saya terus melompat keluar melalui tingkap pondok tempat saya disembunyikan untuk pulang ke rumah,” kata Noramani Rosli, 10, yang mendakwa ‘diculik’ empat lelaki bertopeng sebelum dibawa menaiki sebuah van putih.

Menurutnya, selepas dibawa lelaki bertopeng berkenaan, dia dikurung dalam sebuah pondok kecil tanpa diberi makan.

Kanak-kanak perempuan berkenaan didakwa hilang secara misteri di Kampung Padang Tonson, dekat sini, sejak petang kelmarin, sebelum dia ditemui dalam kebingungan sambil memegang senaskah al-Quran, pagi semalam.

Noramani hilang ketika pulang dari Madrasah Al-Nushu Wal Irtiqa, Lahar Yooi, di sini, kira-kira jam 6.15 petang sebelum ditemui seorang penduduk jam 7 pagi semalam, selepas keluar dari kawasan semak yang didakwa tempat dia disembunyikan.

 
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, di sini, ditemui hampir satu kilometer dari rumahnya oleh penduduk yang terserempak dengannya berjalan kaki seorang diri sambil memegang al-Quran, sedangkan usaha mencarinya sejak jam 6.30 petang kelmarin, gagal.