Nafi mangsa diperkosa – Harian Metro


Nafi mangsa diperkosa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Polis menafikan laporan akhbar mendakwa remaja yang menjadi mangsa pembunuhan kejam, Norrahayu Qomarudin, 16 atau Ayu, dirogol sebelum dibunuh, dikerat dan dibakar.

Ketua Polis daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, sehingga kini pihaknya hanya menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kami masih menyiasat pembunuhan ini dan motif pembunuhan juga masih belum diketahui, berikutan itu laporan mengatakan mangsa dirogol masih belum dapat disahkan.

 

“Siasatan masih dijalankan mengikut pelbagai sudut dan kami juga menahan suspek utama kes iaitu pengawal keselamatan sebuah kuari berusia 46 tahun untuk mencari petunjuk sekali gus melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung bahagian badan mangsa yang belum ditemui dan meminta orang ramai mempunyai maklumat menghubungi polis untuk membantu siasatan.
Terdahulu, mayat seorang remaja dilaporkan dikerat sebelum dibakar sebanyak dua kali di dua lokasi berasingan, penemuan itu dikaitkan dengan Norrahayu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya, 18 Jun lalu.

 

 

Mayat mangsa dipercayai dibakar di kawasan Sungai Tiram, Ulu Tiram sebelum dibakar buat kali kedua di Tanah Perkuburan Hindu, Masai.
Keadaan mayat mangsa yang juga anak seorang pengusaha kantin di sebuah kuari di Masai, Qomardin Bajuri, 46, ditemui hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan di antara pukul 4 hingga 5 petang, Selasa lalu.

 

Hasil penemuan itu, polis menahan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.

Tolonglah cari kepala arwah – Harian Metro


Tolonglah cari kepala arwah

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Tolonglah, kami merayu kepada pihak berkuasa supaya mencari kepala arwah secepat mungkin, kami reda dengan apa yang berlaku tapi tidak tenang selagi belum dapat mengebumikan jasadnya,” kata ibu mangsa pembunuhan kejam Nurrahayu Qomarodin, 16, atau Ayu.

Umidah Setu, 49, berkata, mereka sekeluarga yakin kecekapan polis menjalankan siasatan, namun berharap pihak berkuasa dapat menemui kepala arwah anaknya secepat mungkin.

Katanya, sikap dan kelakuan Ayu sebagai anak tiada cacat celanya dan disifatkan sangat baik serta mendengar kata.

“Ayu sangat manja, mukanya tidak pernah masam sebaliknya hanya tersenyum manis. Jika kena marah, arwah tidak akan melawan sebaliknya lebih suka berdiam diri dan menurut perintah kami.

 
“Arwah juga ringan tulang kerana suka membantu orang dan kadang-kadang tolong kami menjual air minuman dengan menaiki van di kawasan berdekatan,” katanya.

Lemas dalam kereta ibu – Harian Metro


Lemas dalam kereta ibu

Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Remuk hati seorang ibu apabila mengetahui anak perempuannya yang juga murid tahun empat mati akibat lemas selepas tertinggal selama lebih enam jam di dalam kenderaan miliknya, di Sekolah Rendah Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 2 petang apabila mangsa, Izzah Athirah Mohd Khir, 10, dilihat masih berada di dalam kereta Perodua Alza berkenaan yang diletakkan di perkarangan kawasan sekolah terbabit.
Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Rembau berkata, anak kelima daripada lapan beradik itu pergi ke sekolah berkenaan dengan menaiki kereta dipandu isterinya, Haliza Talib, 44, kira-kira jam 6.30 pagi. “Sejurus tiba kira-kira jam 7.30 pagi, isteri saya yang juga guru di sekolah sama mahu cepat mengajar dan mengarahkan keempat-empat anak keluar dari kereta.

 

“Namun, Izzah (anak) dikatakan enggan keluar kereta kerana tidak memakai kasut. Selepas tamat waktu sekolah kira-kira jam 2 petang, isteri saya terkejut melihat Izzah seperti tidak sedarkan diri dan badannya terkulai. “Isteri segera menghubungi ambulans dan Izzah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensiki, semalam.
Menurut Mohd Khir, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
Beliau berkata, dia sebelum itu sedang menghadiri mesyuarat di sekitar Port Dickson dan mengetahui kejadian berkenaan ketika dihubungi rakan sepejabatnya, kira-kira jam 3.30 petang.

 

 

“Saya diberitahu Izzah terperangkap di dalam kereta dan masih tidak mengetahui dia sudah meninggal dunia.
“Namun, apabila tiba di hospital, saya terkejut apabila dimaklumkan Izzah sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya yang reda dengan insiden memilukan itu. Kata Mohd Khir yang menetap di Taman Pinggiran Senawang, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali sempat meminta kunci Proton Iswara miliknya untuk mencari kasut, sebelum kejadian berlaku.

 

“Izzah bangun awal berbanding biasa dan memberitahu mahu mencari kasutnya. Saya tidak menyangka ia petanda pemergiannya yang sudah ditetapkan Ilahi,” katanya.
Menurutnya, jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Yayasan Sofa, Rembau, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kecuaian penjaga dalam penjagaan anak.
“Siasatan awal mendapati mangsa berada di dalam kereta itu yang berkunci dan tingkapnya tertutup. Ibu mangsa dipercayai terlupa untuk menjenguk sebelum mendapati kanak-kanak berkenaan sudah tidak sedarkan diri,” katanya. Pada 22 Mei lalu, seorang budak perempuan tiga tahun ditemui lemas dalam kereta yang tertutup rapat dan berkunci ketika ayahnya menghadiri pengebumian sepupunya di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan.
Dalam kejadian itu, Nur Izyan Natasya @Aisyah Ishak tertinggal dalam kereta ketika bapanya tergesa-gesa untuk mengusung jenazah kerana menyangkakan dia sudah turun untuk ke rumah sepupunya itu.

30 murid, 3 guru tadika di Muar jadi tebusan lelaki bersenjata – Berita Harian


30 murid, 3 guru tadika di Muar jadi tebusan lelaki bersenjata

2011/07/07

MUAR: Tiga guru dan kira-kira 30 murid tadika dijadikan tebusan seorang lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh Tadika Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, dekat sini.

Polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan lelaki itu mendakwa sudah mencederakan seorang budak dah mengugut akan mencederakan lebih ramai lagi jika polis memasuki rumah berkenaan.

Sehingga jam 12 tengah hari polis masih berusaha membebaskan tebusan itu.

Empat remaja maut ketika lumba haram di Pasir Mas – Berita Harian


Empat remaja maut ketika lumba haram di Pasir Mas

2011/07/07

PASIR MAS: Empat remaja yang berlumba haram maut apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh satu sama lain dalam kejadian di Kampung Banggol Chicha, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mereka ialah Mohd Amirul Afiq Baharom, 17, Raja Ahmad Muzamil Raja Mansor, 18, Mohd Fikri Mat, 19, dan Abdul Muhaimin Makhtar, 21.

“Mereka mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan semuanya maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, Mohd Fikri adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tendong, manakala Abdul Muhaimin pula pelajar sebuah polikteknik di sini.

Mengulas kejadian 6.40 petang itu, Haliludin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggang Mohd Fikri meletup dan terbakar ketika sedang berlumba.

“Tiga lagi yang menunggang motosikal masing-masing tidak sempat mengelak mengakibatkan mereka saling merempuh.

“Siasatan mendapati hanya Abdul Muhaimin yang mempunyai lesen memandu manakala tiga lagi tidak mempunyai lesen, sementara dua daripada mereka tidak memakai topi keledar,” katanya.
Beliau berkata, laluan yang digunakan empat remaja terbabit juga belum dibuka kepada umum namun sering digunakan sebagai lokasi lumba haram oleh golongan remaja.

Haliludin turut meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Sementara itu, di Bilik Mayat Hospital Pasir Mas, hampir 200 sanak saudara dan rakan mangsa memenuhi kawasan terbabit.

Ibu Mohd Amirul Afiq, Noraini Yaacob, ketika ditemui berkata, arwah anaknya itu sentiasa keluar menunggang motosikal pada sebelah petang.

“Pada petang semalam katanya hendak ke rumah sepupu dan tidak tahu pula begini jadinya,” katanya. – BERNAMA

Dengar Ayu meraung ketakutan – Berita Harian


Dengar Ayu meraung ketakutan
Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2011/07/07

ANGGOTA forensik membawa tulang remaja yang dibakar untuk menjadi bukti di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam.

ANGGOTA forensik membawa tulang remaja yang dibakar untuk menjadi bukti di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam.

Rakan dapat panggilan sangka mangsa bunuh dimarahi bapa

PASIR GUDANG: “Saya terima panggilan daripada Ayu (Nurrahayu Qomarodin) meraung ketakutan dan ketika itu saya mendengar suara seorang lelaki menjerit, ‘Kenapa kau degil sangat, tak nak dengar cakap aku’ selain bunyi enjin motosikal dan salakan anjing,” kata rakan lelaki Nurrahayu yang mahu dikenali sebagai Adi semalam.

Katanya, pada mulanya beliau beranggapan Ayu dimarahi bapanya disebabkan pulang lewat malam dan membiarkannya tanpa menyangka Ayu sebenarnya merintih kerana sedang diserang penjenayah sebelum disahkan polis, mayatnya dikerat dan dibakar.

“Saya bukan bersikap sambil lewa, namun ramai yang tersalah faham dengan laporan akhbar sebelum ini yang mengaitkan saya sebagai kekasih Ayu, sedangkan saya sebenarnya hanya rakan kepada mangsa saja,” katanya.

Sehubungan itu, Adi, 28, menyangkal dakwaan keluarga mangsa mengenai tindakannya meninggalkan gadis itu di kawasan tapak binaan projek kilang di Pekan Seri Alam pada 18 Jun lalu sebagai tidak bertanggungjawab.

Adi berkata, mangsa sebenarnya berkeras mahu diturunkan kira-kira 20 meter dari pondok pengawal berkenaan dan tidak mahu berganjak selagi beliau tidak beredar, membuatkannya mengambil keputusan meninggalkan mangsa di situ.

Katanya, beliau memahami perasaan keluarga Ayu ketika diberitahu anak kesayangan mereka dibunuh dengan kejam, namun kecewa dengan dakwaan di beberapa laman blog yang menganggapnya sebagai lelaki dayus.
“Ini semua salah faham, kerana Ayu ada mengirimkan SMS memberitahu beliau sudah sampai sebaik saja saya menghantarnya pulang apabila selesai bermain futsal di Pandan, di sini, dan kami sempat berbalas pesanan kira-kira 15 minit, ” katanya.

Sementara itu, teman lelaki Ayu, Noor Saha Sharif, 19, dari Kota Tinggi, berkata beliau terkilan kerana tidak menghubungi semula Ayu pada malam kejadian mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, Ayu ada menghubunginya pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, namun panggilan itu tidak dijawab kerana beliau sedang memandu kereta dan Ayu kemudian menghantar SMS bertanyakan mengapa panggilannya tidak dijawab sebelum menghantar satu lagi SMS kira-kira jam 1.20 pagi memintanya membuka laman sembang di Facebook.

“Saya tidak dapat memenuhi permintaannya kerana ketika itu saya keluar bersama rakan, namun saya ada membuat panggilan semula pada kira-kira jam 3 pagi tetapi telefonnya sudah tidak dapat dihubungi lagi sehingga keesokan harinya,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Umidah Setu, 49, merayu kepada pihak berkuasa supaya mencari kepala anak mereka secepat mungkin sebelum boleh mengebumikan jasadnya dengan tenang selepas kejadian pembunuhan kejam itu.

Budak 10 tahun lemas dalam kereta – Berita Harian


Budak 10 tahun lemas dalam kereta
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/07/07

Mangsa cari kasut terperangkap lebih 6 jam

SEREMBAN: Hancur luluh hati seorang ibu apabila melihat anak perempuannya berusia 10 tahun yang ditinggalkan dalam kereta sebelum dia bergegas masuk ke kelas untuk mengajar di Sekolah Rendah Islam ABIM di sini, maut dipercayai lemas terperangkap dalam kenderaan itu selama enam setengah jam, petang semalam.

Mangsa, Izzah Athirah Mohd Khir yang belajar di sekolah sama, ditemui ibunya, Haliza Talib, 44, terkulai dalam kereta PERODUA Alza yang diletakkan di pekarangan sekolah itu kira-kira jam 2 petang.

Terdahulu, kira-kira jam 7.30 pagi, Izzah Athirah dikatakan enggan keluar dari kereta bersama ibu serta tiga beradiknya yang lain untuk masuk ke sekolah kerana mahu mencari kasutnya dalam kereta itu.

Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, berkata disebabkan mahu cepat, isterinya meninggalkan kunci kereta kepada mangsa sebelum beredar.

“Kami tidak tahu mengapa Izzah Athirah tidak keluar dari kereta itu kerana dia sudah biasa dengan kenderaan berkenaan.

“Kejadian disedari ketika isteri pergi ke kereta selepas habis waktu sekolah dan melihatnya terkulai tidak sedarkan diri dalam kereta dan tingkapnya bertutup.
“Isteri saya menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HTJS di sini, semalam.

Mohd Khir yang berada di Port Dickson ketika kejadian itu kerana menghadiri mesyuarat, hanya mengetahui mengenainya selepas dihubungi rakannya jam 3.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

“Kita masih di peringkat awal siasatan dan menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan bagaimana dia boleh terperangkap,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mengklasifikasikan semula kes itu.

Pada 22 Mei lalu, seorang budak perempuan tiga tahun ditemui lemas dalam kereta yang tertutup rapat dan berkunci ketika ayahnya menghadiri pengebumian sepupunya di Kampung Morak, Tumpat di Kelantan.

Dalam kejadian itu, Nur Izyan Natasya @Aisyah Ishak dikatakan tertinggal di dalam kereta ketika bapanya tergesa-gesa untuk mengusung jenazah kerana menyangkakan dia sudah turun untuk ke rumah sepupunya itu.

Martabat dua bahasa, sastera – Berita Harian


Martabat dua bahasa, sastera
Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my
2011/07/07

MUHYIDDIN  menyampaikan hadiah johan  kategori  bercerita kepada Hong Li-Man Jeslyn, di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

MUHYIDDIN menyampaikan hadiah johan kategori bercerita kepada Hong Li-Man Jeslyn, di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Muhyiddin mahu murid pertingkat kemahiran berbahasa, berkarya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha memperkasa bahasa Melayu dan sastera kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, fokus kementeriannya untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan berkarya di kalangan murid kerana yakin program sedemikian dapat membenih daya inovasi dan kreativiti murid dengan lebih berkesan.

“Dalam usaha memperkukuh keterampilan dan kemahiran guru Bahasa Melayu di sekolah menengah persendirian Cina, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Kursus Penataran Bahasa Melayu di semua sekolah menengah persendirian Cina sejak 2009.

“Saya difahamkan sambutan untuk kursus ini amat menggalakkan dan berharap semua guru sama ada yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu atau mata pelajaran lain di sekolah persendirian dapat menghadiri kursus yang ditawarkan ini bagi meningkat penguasaan bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin berkata, generasi muda perlu diberi ruang dan peluang secukupnya untuk meluahkan pemikiran mengenai masa depan negara dan mereka di negara ini.
Beliau berkata, ini kerana mereka mempunyai idealisme tersendiri dan sekiranya digilap sudah pasti dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada kemajuan dan keamanan negara.

“Saya percaya, semangat patriotisme, perpaduan dan semangat ingin menyumbang kepada negara boleh disemai melalui aktiviti pidato, forum dan syarahan yang membincangkan secara khusus asas penting kewujudan sebuah negara bangsa maju dan bersatu padu.

“Dengan luahan fikiran generasi muda sendiri mengenai kepentingan semangat patriotisme dan perpaduan, saya yakin kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai peranan dan tanggungjawab mereka untuk memelihara perpaduan dan keamanan negara.