‘Saya trauma jadi tahanan’ – Harian Metro


‘Saya trauma jadi tahanan’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUAR: “Saya trauma,” kata guru, Noraza Mohd Shah, 23, yang menjadi tahanan selama enam jam oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di Pusat Jagaan Kanak-kanak SeriKids dekat Taman Cemerlang, Sungai Abong, semalam.

Guru itu yang baru memulakan tugas di tadika berkenaan tujuh bulan lalu berkata, dia trauma dengan kejadian itu dan mahu mengambil cuti panjang bagi menenangkan fikiran.
Menceritakan detik cemas itu, Noraza berkata, suspek seorang baik hati serta bijak mengatur strategi termasuk menyuruh semua berada dalam premis berkenaan menyebarkan berita kononnya ada seorang kanak-kanak dibunuh.

 

“Dia beberapa kali meminta kami membunuhnya menggunakan sebatang tukul besi yang diubahsuai.
“Bagaimanapun kami tidak sampai hati kerana dia terlalu baik serta berjanji tidak menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak yang ditahan,” katanya yang ditemui di Perkarangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selepas menjalani rawatan sebagai pesakit luar. Noraza berkata, suspek berkali-kali meminta guru dalam pusat berkenaan membunuhnya dan dia meminta sepucuk pistol daripada polis agar mudah digunakan membunuh diri.
Ditanya mengenai keadaan kanak-kanak sepanjang kejadian, Noraza berkata sebahagian besar murid menjalani pembelajaran kelas seni di tingkat bawah manakala selebihnya berada di bilik di tingkat atas banglo dua tingkat itu. “Bagi mengelak suasana panik dan bising, suspek menyuruh kami menidurkan kanak-kanak sebelum mengikat semua guru termasuk saya menggunakan wayar telefon. “Selain bersikap lembut, lelaki berkenaan mendukung seorang budak untuk ke tandas dalam keadaan tenang, malah kami dibenarkan ke tandas sesuka hati tanpa kawalan,” katanya.

 

 

Menurutnya, suspek hanya agresif dengan menampar muka Pembantu Pengetuanya, Khoo Choon Ben, 50, kerana cuba memaklumkan perkara itu kepada salah seorang ibu yang terlewat tiba di pusat jagaan berkenaan.

Nota guru jadi penyelamat – Harian Metro


Nota guru jadi penyelamat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUAR: Keberanian seorang guru mempertaruhkan keselamatan dirinya dengan melontar nota melalui tingkap memberi maklumat berharga kepada polis berhubung keadaan tebusan di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Serikids, Taman Sungai Abong Cemerlang membolehkan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) merancang serbuan tanpa menyebabkan kecederaan semua tebusan.

Difahamkan, menyedari ada guru yang berani memberikan maklumat, anggota polis memanjat dan bergayut pada tingkap premis berkenaan untuk berkomunikasi dengan guru berkenaan sebelum memberikan arahan kepada mangsa supaya mengunci pintu bilik dan menyendal pintu masuk.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalalluddin Abdul Rahman berkata, tindakan berani guru berkenaan memberi peluang kepada pihaknya mengatur operasi menyelamat selepas mengetahui lokasi sebenar mangsa dikurung.

“Dalam nota itu guru terbabit memaklumkan dia bersama tiga lagi guru dan 30 murid dikurung dalam bilik di tingkat atas dan semua mereka selamat.

 
“Kami terus berkomunikasi dengan guru berkenaan hinggalah mereka diselamatkan selepas sepasukan pegawai dan anggota UTK menggempur premis berkenaan,” katanya.

Hasil gerakan itu, suspek ditembak di kepala dan dibawa keluar dari premis jam 3.45 petang dengan kepala berbungkus dipercayai akibat cedera ditembak.
Tebusan pertama dibawa keluar dari pusat jagaan berkenaan pada jam 4.02 minit petang, diikuti empat guru pada jam 5 petang dan semua dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Guru perlu tekankan pembangunan profesionalisme – Utusan Malaysia


Guru perlu tekankan pembangunan profesionalisme

MUHYIDDIN YASSIN melancarkan Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris sambil diperhatikan Dr. Mohd. Puad Zarkashi (dua dari kiri), Dr. Wee Ka Siong (dua dari kanan), Abd. Ghafar Mahmud (kiri) dan Dr. Choong Kam Foong di Putrajaya, semalam.

 

PUTRAJAYA 7 Julai – Guru perlu mengenal pasti kekuatan masing-masing dan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan profesionalisme, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, peningkatan standard kualiti pengajaran menjadi fokus utama kerana ia amat penting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing bagi memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Guru bahasa Inggeris perlu mengetahui keperluan mereka bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika berucap pada majlis pelancaran Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris di sini, hari ini.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Wee Ka Siong, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah English Language Teaching Centre, Dr. Choong Kam Foong.

Standard pedagogi telah digubal oleh Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kualiti pendidikan mata pelajaran tersebut.

Bahasa Inggeris merupakan subjek pertama yang membangunkan standard berkenaan, selaras dengan aspirasi dasar dan strategi Kementerian Pelajaran.

Empat remaja berlumba maut nahas – Berita Harian


Empat remaja berlumba maut nahas
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

2011/07/08

gambar sebelum  gambar berikut

  • Foto 
  • FotoORANG ramai melihat kemalangan yang menyebabkan empat remaja maut di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, semalam.

Bentuk dua kumpulan dari arah bertentangan tunjuk kehandalan menunggang motosikal

PASIR MAS: Akibat mahu menunjukkan kehebatan berlumba, empat remaja maut apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung antara satu sama lain, di jalan pintasan di Kampung Banggol Chica, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa Raja Ahmad Muzzammil Raja Mansor, 18, dari Kampung Kubang Panjang, Mohd Fikri Mat, 19, dari Kampung Banggol Setol, Mohamad Amirul Afiq Baharon, 17, dari Kampung Kubang Pak Amin dan Abdul Muhaimin Makhtar, 21, dari Kampung Kubang Panjang, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Seorang saksi, Mohd Khairul Zaman Alias, 15, berkata kejadian berlaku apabila empat penunggang membentuk dua kumpulan berlumba iaitu dua penunggang dari arah kanan, manakala dua lagi dari arah bertentangan.

Beliau yang menyaksikan perlumbaan itu berkata, ketika berlumba, motosikal ditunggang Mohd Fikri tiba-tiba terbakar dan meletup menyebabkan seorang penunggang dari arah bertentangan merempuhnya, manakala dua lagi mangsa dalam kumpulan lain turut bertembung.

“Semua mangsa mahu menunjukkan kehebatan mereka menunggang motosikal kerana, ramai penonton hadir menyaksikannya. Jalan itu selalu menjadi tempat pemuda kampung menunggang serta berlumba,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas (HPM), malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, semua mangsa dipercayai berlumba di jalan baru itu dan kemalangan berlaku akibat bertembung antara satu sama lain, dengan satu daripada motosikal digunakan dalam perlumbaan itu terbakar.

Katanya, semua mangsa mati di tempat kejadian dan siasatan mendapati hanya seorang daripada mangsa mempunyai lesen memandu, manakala dua mangsa terbabit memakai topi keledar ketika berlumba.

Standard pedagogi kukuhkan bahasa Inggeris dilancar


Standard pedagogi kukuhkan bahasa Inggeris dilancar

07/07/2011 8:19pm

 

PUTRAJAYA 7 Julai – Satu inisiatif Kementerian Pelajaran iaitu Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris bagi para guru bahasa Inggeris dilancarkan hari ini, seiring dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya berbangga kerana Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris telah menggubal standard dan instrumen untuk meningkatkan kualiti pendidikan bahasa Inggeris di negara ini.

“Saya difahamkan bahawa bahasa Inggeris adalah subjek pertama yang membangunkan standard, selaras dengan aspirasi dasar dan strategi Kementerian Pelajaran,” kata beliau ketika melancarkan Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai Menteri Pelajaran, isu peningkatan standard kualiti pengajaran menjadi fokus beliau dan para guru perlu mengambil tanggungjawab untuk pembangunan kerjaya mereka.

Beliau berkata, guru perlu mengenal pasti kekuatan mereka dan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan profesionalisme sebagai guru bahasa Inggeris. – Bernama