MUAR: Drama tebusan lima jam membabitkan 30 murid sebuah tadika dan empat guru wanita berakhir pada jam 3.05 petang semalam, selepas polis menggempur tadika itu dan menembak suspek di kepala, menyelamatkan semua mangsa tanpa kecederaan.
Polis melepaskan tembakan tepat pada kepala suspek yang semakin agresif apabila dia cuba memukul seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjalankan usaha menyelamat.
Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Loi Hui Chung, 30, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, pada jam 9.15 malam tadi. Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi dan mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu ditawan suspek bersenjata.
“Rundingan bermula jam 11 pagi dan suspek mula membuat beberapa tuntutan tidak masuk akal termasuk sepucuk pistol dan peluru.
“Pada masa sama kami berjaya berkomunikasi dengan seorang guru yang membaling nota melalui tingkap memaklumkan dia dan mangsa lain berada dalam keadaan selamat,” katanya.