Remaja OKU lemas di Tasik Dayang Bunting – Berita Harian


Remaja OKU lemas di Tasik Dayang Bunting

2011/07/11

LANGKAWI: Tindakan spontan seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) terus terjun ke dalam air sebaik tiba di Tasik Dayang Bunting di sini, petang semalam mengundang padah apabila dia mati lemas.

Mangsa, Mohamad Amirul Amrie Ainsa, 13, dikatakan terjun seorang diri ke dalam tasik sedalam kira-kira 10 meter itu sejurus tiba bersama enam ahli keluarganya untuk mandi-manda dan berkelah pada jam 3.40 petang.

Abang mangsa, Mohamad Amirul Assuar, 17, berkata ketika kejadian dia baru meletak beg pakaian dan sedang berurusan menyewa jaket keselamatan daripada seorang operator di kaunter berdekatan untuk kegunaan ahli keluarganya.

“Dari jarak kira-kira 20 meter, saya lihat adik yang lumpuh kaki kanan berjalan ke tepi pontoon dan terjun ke dalam tasik seorang diri sebelum tenggelam dan hilang. Sejurus itu, suasana menjadi kecoh dan kelam kabut.

“Tanpa memikir panjang, saya berlari dan turut terjun ke dalam tasik untuk cuba menyelamatkan adik, malangnya tidak sempat memegang baju atau rambutnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Amirul Assuar berkata, kejadian itu turut disaksikan beberapa pelancong asing yang kebetulan sedang mandi dan berenang dalam tasik berkenaan pada jarak 10 meter dari tempat adiknya terjun.

“Berikutan itu, seorang pelancong Eropah turut menyelam bersama saya ke dasar tasik bagi mencari adik, namun usaha itu juga gagal kerana airnya dalam dan kami keletihan selepas beberapa minit menyelam.
“Selepas semua usaha berkenaan gagal, saya dan ahli keluarga mengambil keputusan menghubungi polis dan bomba bagi meminta bantuan,” katanya.

Mohamad Amirul Amrie dan abangnya, Mohamad Amirul Assuar Ainsa yang menetap di Kampung Bayas masing-masing belajar dalam tingkatan satu dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Matsirat, di sini.

Sementara ibu mangsa, Suzana Mat Saad, 37, yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan ahli keluarganya berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu menunjukkan beberapa perubahan tingkah laku sejak sebulan lalu.

“Dia (Mohamad Amirul Amrie) adalah seorang OKU selepas terbabit kemalangan pada usia tujuh tahun. Sejak sebulan lalu dia tidak pernah tinggal solat lima waktu, malah segera menunaikannya sebaik mendengar azan.

“Saya sedih sangat kerana baju raya tahun ini sudah siap dibeli dan dia juga sudah beberapa kali mencuba baju itu. Dia kata tidak sabar untuk memakainya pada pagi hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, Inspektor Syaiful Hakim Saim berkata, polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.

“Operasi mencari dilakukan dua penyelam bomba dan mayat seorang remaja lelaki yang lengkap berbaju dan seluar ditemui kira-kira jam 6.25 petang berhampiran tempat dia terjun sebelum dihantar ke Hospital Langkawi,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s