Kementerian Pelajaran tidak ubah sistem penggredan SPM – Bernama


Kementerian Pelajaran tidak ubah sistem penggredan SPM

2011/07/12

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak bercadang mengubah sistem penggredan terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan sistem yang diguna pakai diperakui oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Menteri berkenaan, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sistem itu bertujuan memberi penilaian tepat terhadap pencapaian murid-murid dalam peperiksaan berkenaan di samping memudahkan kerajaan memberi biasiswa kepada murid yang cemerlang.

“Sistem penggredan sekarang adalah sistem pemarkahan yang diubah mulai 2009 dari 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8D dan 9G kepada A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G.

“Ini adalah bertujuan untuk memberi penilaian yang tepat terhadap pencapaian murid dalam peperiksaan berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Mariany ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula tentang pemarkahan dan juga penilaian terhadap peperiksaan SPM.

Dr Mohd Puad berkata, pertambahan bilangan calon yang mendapat keputusan A pada setiap peperiksaan bukan disebabkan pemarkahan yang rendah tetapi adalah sebahagian daripada kejayaan Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan transformasi pendidikan bagi pembangunan modal insan yang sempurna.

“Ini ditambah dengan dasar kerajaan dalam memperluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan cemerlang calon-calon terbabit adalah menerusi dasar menghadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan penambahan dua mata pelajaran tambahan dalam SPM yang mula dilaksanakan tahun lepas, yang membolehkan calon memberikan lebih tumpuan kepada mata pelajaran yang diambil.

Selain itu, faktor kesedaran ibu bapa dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak di samping kerjasama erat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa bertambah demi kecemerlangan pelajar serta kemudahan untuk mengakses dan mendapatkan maklumat dan bahan rujukan di pasaran dan laman sesawang.

Sementara itu, Dr Mohd Puad berkata, selain telah disahkan jawatan, guru-guru yang layak ditawarkan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dipilih berdasarkan kepada had umur serta markah konsisten di dalam Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT).

Di bawah program HLP, guru-guru dalam perkhidmatan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana serta ijazah kedoktoran dalam bidang pendidikan guru. – BERNAMA

Pekerja kelab golf dituduh cabul gadis – Harian Metro


Pekerja kelab golf dituduh cabul gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kelab golf dihadapkan di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mencabul seorang gadis berusia 18 tahun di tangga, tempat dia bekerja, dua minggu lalu.

Tertuduh, Kamaruddin Abdul Hamid, 46, berasal dari Kampung Pandan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menggunakan kekerasan terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya dengan meraba bahagian bawah dan dada.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tangga di kelab golf tempatnya bekerja pada jam 10.30 pagi pada 29 Jun lalu.

 

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim, memohon agar wang jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga.

 

 

Majistret Aina Azharina Arifin menetapkan RM3,000 dengan seorang penjamin selain syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa. Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pelajar catat kemalangan elektrik tertinggi – Harian Metro


Pelajar catat kemalangan elektrik tertinggi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah kategori mangsa ketiga paling tinggi selepas pekerja kontraktor dan golongan tidak bekerja yang menjadi mangsa membabitkan kes kemalangan elektrik.

Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Rozimi Remeli berkata, antara punca utama kemalangan elektrik berkenaan ialah pemasangan dan senggaraan pendawaian elektrik yang tidak sempurna serta prosedur kerja selamat tidak dipatuhi sama ada di rumah, pejabat, sekolah mahupun kawasan pembinaan.
“Kebanyakan mangsa berusia antara 21 hingga 30 tahun. Berdasarkan statistik kemalangan elektrik yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga bagi tempoh 2005 hingga 2010, sebanyak 405 kes dilaporkan, 191 daripadanya kes maut.

 

“Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur saja, 24 kes dilaporkan di antara 2002 hingga 2010,” katanya di Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik 2011 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Pasar, di sini, semalam.
Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jamaluddin Abdullah. Hadir sama, Ketua Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pejabat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Difahamkan, jumlah terbabit turut termasuk mangsa cedera dan maut akibat kegiatan mencuri kabel elektrik.

 

 

Sementara itu, mengulas mengenai seminar itu, Rozimi berkata, program berkenaan bertujuan menyalurkan maklumat berkaitan kepentingan keselamatan elektrik.
“Justeru itu, kami mengambil pendekatan mensasarkan murid-murid sekolah untuk diberi pendedahan dan pengetahuan mengenai pentingnya keselamatan elektrik serta risikonya,” katanya.

 

“Seminar ini juga satu usaha jangka masa panjang untuk mengurangkan kecuaian yang mengakibatkan kemalangan elektrik,” katanya.
Seramai 280 peserta terdiri daripada 250 murid dan 30 guru pengiring daripada 30 sekolah sekitar zon Pudu mengambil bahagian pada seminar itu.

Isyarat ketika nazak – Harian Metro


Isyarat ketika nazak

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
REMUK...keadaan kereta mangsa selepas bertembung van dalam kemalangan di Kampung Tunjong, semalam. Gambar kecil, Junaidah Mohd Nor.
REMUK…keadaan kereta mangsa selepas bertembung van dalam kemalangan di Kampung Tunjong, semalam. Gambar kecil, Junaidah Mohd Nor.

KOTA BHARU: Kasih seorang ibu tiada tandingannya apabila seorang guru yang dalam keadaan tersepit dan nazak dalam sebuah kereta sempat menggunakan sisa kudrat yang ada bagi memberi isyarat kepada empat anaknya supaya keluar dari kereta, sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, di Kampung Tunjong di sini, Junaidah Mohd Nor, 44, yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera bagi menghantar empat anaknya ke sekolah, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Seorang anak mangsa Natasha Juliana Mohd Nawi, 10, patah kaki dan tangan manakala tiga lagi, Nurul Julia Mohd Nawi, 17; Nabila Jasmi, 15 dan Nur Jaihan Afilin, 13, cedera ringan.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu bertembung dengan van yang gagal dikawal akibat cuba memotong kenderaan lain.

 
Sebelum bertembung dengan kereta mangsa, van itu berlanggar dengan sebuah Perodua Kancil dan dua motosikal.

Guru suruh 4 anak keluar sebelum maut – Berita Harian


Guru suruh 4 anak keluar sebelum maut
Oleh Adnan Mohamad

2011/07/12

  GURU dari SM  Putera  Kota Bharu tidak dapat menahan sedih ketika menziarahi jenazah  Junaidah, semalam.

GURU dari SM Putera Kota Bharu tidak dapat menahan sedih ketika menziarahi jenazah Junaidah, semalam.

Mangsa tersepit kereta dirempuh van dipandu laju

KOTA BHARU: Seorang guru wanita yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Tunjong, di sini, pagi semalam, sempat mengarahkan empat anaknya keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri, sebelum beliau menemui ajal.

Junaidah Mohd Nor, 44, yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kampung Tunjong, Jalan Kuala Krai, di sini pada jam 7 pagi, dikatakan berbuat demikian selepas beliau tercedera dan tersepit di tempat duduk pemandu.

Saksi, Mohamad Teh, 63, berkata dia yang berada di tempat kejadian sempat melihat mangsa membuat isyarat supaya empat anaknya keluar walaupun kelihatan menahan kesakitan.

Katanya, dia sendiri tidak berdaya menolong menarik mangsa keluar kerana bimbang kecederaannya bertambah teruk.

“Ketika itu, mangsa terlalu tenat kerana menahan kesakitan tetapi saya tidak dapat membantu. Selepas beberapa ketika, saya lihat mangsa sudah tidak sedarkan diri, manakala seorang anaknya turut mengalami kecederaan dipercayai patah kaki dan tangan.

“Saya terkilan tidak dapat membantu tetapi apakan daya, kenderaan mangsa terperosok di bawah van sehingga menyukarkan orang ramai membantunya yang tersepit,” katanya yang juga peniaga gerai makan.

Mohamad berkata, dia juga terkilan kerana pemandu van yang merempuh Proton Wira milik mangsa terus melarikan diri dipercayai menaiki sebuah kenderaan rakannya.
Dalam kejadian itu, Junaidah bersama empat anaknya, Nurul Julia Mohd Nawi, 17; Nabila Jasmi, 15; Nur Jaihan Afilin, 13, dan Natasha Juliana, 10, dalam perjalanan menghantar mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1 dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Ismail Petra 1.

Suami mangsa, Mohd Nawi Deraman, 45, berkata isterinya yang mengajar di Sekolah Menengah (SM) Putera, di sini, keluar rumah kira-kira jam 6.40 pagi bersama empat anaknya kerana jarak sekolah dan rumah agak jauh, berbanding dirinya yang mengajar di SMK Mulong, di sini.

“Saya menyangka ia hanya kemalangan kecil, tetapi setibanya di tempat kejadian, saya terkejut apabila diberitahu isteri mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, semalam.

Guru maut, 4 anak cedera kemalangan ketika ke sekolah – Utusan Malaysia


Guru maut, 4 anak cedera kemalangan ketika ke sekolah

Keadaan kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan di di Batu 6, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, semalam.

 

KOTA BHARU 11 Julai – Seorang guru wanita maut, manakala empat anak perempuannya berusia 10 hingga 17 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua motosikal di Batu 6, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Tunjong, di sini hari ini.

Mangsa, Junaidah Mohd. Nor, 45, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera dekat sini maut akibat kecederaan parah dalam kemalangan pukul 7 pagi itu.

Anak mangsa, Nurul Julia Mohd. Nawi, 17, patah paha dan tangan, manakala tiga adiknya, Nabila Jasmin, 15, Nurjaihan Afilin, 13, serta Natasha Juliana, 10, cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan ke sekolah bagi menghantar Nurul Julia yang belajar di SMK Zainab 1 dan Natasha Juliana di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab II.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa berlanggar dengan sebuah van dipandu oleh seorang lelaki.

“Sebelum itu, van tersebut berlanggar dengan sebuah Perodua Kancil ketika cuba memotong kenderaan lain di hadapannya. Van terbabit kemudian masuk ke laluannya semula dan melanggar sebuah motosikal.

“Van itu yang terus hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta dinaiki mangsa dan anak-anaknya.

“Sebuah motosikal lain yang berada di belakang kereta mangsa turut terbabas. Mangsa cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azham berkata, mayat mangsa dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Beliau memberitahu, pemandu Perodua Kancil dan penunggang motosikal Yamaha Legenda hanya cedera ringan. Turut cedera, seorang murid sekolah yang juga pembonceng motosikal jenis Demak dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha sedang dibuat bagi mengesan pemandu van terbabit.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd. Nawi Deraman, 45, yang juga seorang guru memberitahu, isteri bersama empat anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Tukol, Peringat, dekat sini pukul 6.40 pagi untuk ke sekolah.

Menurutnya, rutin harian isterinya adalah menghantar Nurul Julia dan Natasha Juliana sebelum ke SMK Putera bersama-sama dua lagi anak mereka, Nurjaihan Afilin dan dan Nabila Jasmin.

“Saya keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi. Selepas memasuki Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, saya tengok jalan raya mengalami kesesakan teruk dan menjangkakan ada berlaku kemalangan.

“Beberapa minit kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memberitahu isteri dan anak saya terlibat dalam kemalangan tetapi, ketika itu saya hanya menjangkakan ia kemalangan kecil sahaja,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II di sini.

Tambahnya, beliau yang bergegas ke tempat kejadian mendapati isterinya meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anak-anaknya dikejarkan ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.

Kakitangan awam, pelajar tajaan JPA akan dikenakan tindakan – Utusan Malaysia


Kakitangan awam, pelajar tajaan JPA akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR 11 Julai – Kakitangan awam mahupun pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang didapati menyertai perhimpunan haram Bersih kelmarin akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan bahagian masing-masing.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, pihaknya sentiasa memantau penglibatan golongan itu pada perhimpunan tersebut dan masih menunggu laporan daripada pihak polis sebelum menggerakkan langkah seterusnya.

“Tidak ada sesiapa yang berkecuali dari tindakan tatatertib. Selagi mereka berkhidmat kepada kerajaan, semua kakitangan awam adalah tertakluk kepada aku janji.

“Kita yakin semua jabatan, agensi telah dimaklumkan mengenainya melalui surat pekeliling dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada mereka yang menyertai perhimpunan haram itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Eksklusif Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Dalam siasatan itu, jelasnya, penglibatan golongan itu dibahagikan kepada dua iaitu secara aktif dan pasif yang akan menentukan bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka.

Kata Abu Bakar, sejak awal lagi, golongan tersebut diingatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan haram kerana ia jelas bertentangan dengan tugas kakitangan awam.

Namun, tambahnya, jika terbukti terdapat antara mereka yang melanggar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk pihak polis, tindakan tatatertib harus diambil terhadap mereka.

“Bukannya tiada peringatan sebelum ini, ada. Jika terbukti golongan itu terlibat dalam perhimpunan itu, mereka perlu menghadapi balasannya,” ujarnya.