Kesalan tak sudah – Harian Metro


Kesalan tak sudah

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: “Saya amat terkilan kerana tidak membawa kedua-dua anak ketika berkunjung ke rumah emak petang kelmarin, meskipun mereka merengek mahu mengikut.

“Jika kehendak mereka dipenuhi mungkin mereka masih hidup,” kata Mohd Rizal Awang, 35, bapa kepada dua beradik yang mati lemas di dalam tali air, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, Alwani Syamimi, 11, dan Mohd Aizat Afiq, 9, ditemui mati lemas di dasar tali air di Kampung Pak Koje, Melor, di sini, yang terletak kira-kira beberapa meter dari kediaman mereka.

 

Menurut Mohd Rizal, sebelum kejadian, dua anaknya itu ditinggalkan di rumah untuk bermain bersama sepupu mereka yang tinggal berdekatan, sementara dia dan isteri serta anak bongsunya ke rumah mentuanya di Alor Bakat di sini, kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Katanya, dia tiga beranak ke rumah mentuanya kerana mahu mengambil buah durian di kebun dan merancang balik secepat mungkin.
“Petang kelmarin saya sendiri tidak menyangka akan pulang lewat meskipun ada perasaan tidak senang hati kerana memikirkan dua anak yang ditinggalkan di rumah.

 

 

“Memang saya tidak menduga perasaan tidak sedap hati itu petanda saya akan kehilangan mereka,” katanya menangis.
Mohd Rizal berkata, sebaik tiba di rumah kira-kira jam 8 malam dia mendapati dua anaknya itu tiada dan terus bergegas mencari mereka di rumah abangnya, tetapi tiada.

 

“Dalam keadaan bimbang saya turut meminta bantuan tiga penduduk kampung untuk mencari sebelum ternampak basikal anak sulung (Alwani Syamimi) di tepi tali air.
“Saya mula syak kejadian buruk berlaku dan terus terjun ke tali air dan mendapati sebuah lagi basikal milik Mohd Aizat ada di dalam tali air itu,” katanya.
Menurut Mohd Rizal, dengan perasaan berdebar-debar dia terus menyelam dan meraba-raba di dasar tali air sebelum menjumpai mayat dua anaknya itu.
“Hancur luluh hati saya ketika itu kerana kedua-duanya pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata.
“Apa yang lebih disesalkan ialah kerana saya tidak membawa mereka bersama sebelum itu ke rumah nenek mereka,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Mohd Rizal berkata, kemungkinan dua anaknya lemas selepas Alwani Syamimi cuba menyelamatkan adiknya, Mohd Aizat Afiq yang terlebih dahulu terjatuh bersama basikalnya ke dalam tali air sedalam lebih dua meter itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Asmarani Ismail, 31, berkata, dua beradik itu ada menunjukkan perangai pelik kerana sentiasa mahu tidur bersamanya sejak seminggu lalu.
Katanya, pada mulanya, Mohd Aizat Afiq yang selalu mahu tidur bersamanya sebelum kakaknya turut berbuat demikian.
“Mohd Aizat Afiq paling ketara perubahannya kerana tidak mahu bercakap dengan sesiapa sejak dua minggu lalu sehingga terpaksa dibodek oleh bapanya dengan dibawa berjalan-jalan ke merata tempat.
“Memang tidak diduga perubahan itu menandakan mereka pergi meninggalkan kami,” katanya sambil memangku satu-satu anaknya yang masih ada, Mohd Izz Afif, 19 bulan. Menurut Asmarani, jenazah dua anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Mak Lipah kira-kira jam 10.30 pagi semalam. “Saya reda dengan apa berlaku, ini dugaan Allah kepada kami dan saya serta suami perlu tempuhinya,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s