Pengawal didakwa bunuh, bakar – Utusan Malaysia


Pengawal didakwa bunuh, bakar

 

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

 

D. KALAISELVAN dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

 

JOHOR BAHRU 15 Julai – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar berusia 16 tahun, Nur Rahayu Qomarodin yang mayatnya ditemui dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai dekat sini.

D. Kalaiselvan, 46, didakwa membunuh Nur Rahayu di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai di sini di antara pukul 2.30 pagi dan 2.50 pagi, 18 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Lelaki itu hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hafizah Johor Arif Johor.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Keluarga mangsa turut melantik Khairul Azwad Sariman sebagai peguam pemerhati bagi mewakili mereka.

Hafizah menetapkan 20 September ini untuk sebutan kes, sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat ke atas mangsa diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan Nur Rahayu ditemui mati dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya yang dikerat dan dibakar ditemui di dua lokasi berasingan pada 3 Julai lalu.

Nur Rahayu yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) dilaporkan hilang dari rumah pada 18 Jun lalu oleh ibu bapanya yang mengusahakan kantin di sebuah kuari di Masai.

Polis yang menjalankan siasatan menemui cebisan rambut, baju dan selipar dipercayai milik mangsa di dua lokasi berasingan iaitu di Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu di Masai.

Susulan penemuan cebisan mayat tersebut polis menahan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

Disambar petir ketika guna telefon bimbit – Utusan Malaysia


Disambar petir ketika guna telefon bimbit

IZZAN Nuqry Muhamad yang cedera parah akibat disambar petir dibawa ke Hospital Umum Sarawak, Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

 

KUCHING 15 Julai – Kelekaan seorang remaja berbual menerusi telefon bimbit ketika cuaca buruk di kawasan terbuka mengundang padah apabila dia disambar petir petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Izzan Nuqry Muhamad Yaakub, 18, pengsan di tempat kejadian dengan kesan luka dan melecur di beberapa bahagian badan termasuk tangan dan telinga kiri.

Menurut saksi, mangsa dikatakan sedang membersihkan dinding di luar surau Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di sini sambil menjawab panggilan telefon menggunakan alat bebas tangan.

“Sebaik sahaja petir menyambar, Izzan Nuqry terus rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa orang rakan yang melihat kejadian itu bergegas membawanya ke HUS (Hospital Umum Sarawak),” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika hujan lebat yang disertai dengan petir sejak pukul 5 petang.

Keadaan remaja itu kini dilaporkan stabil walaupun masih berada dalam keadaan terkejut.

Komitmen guru resipi kejayaan pelajar – Rosmah – Bernama


Komitmen guru resipi kejayaan pelajar – Rosmah

Rosmah Mansor bersama para pelajar ketika melawat Elizabeth Garrett Anderson School di Islington, London, semalam. – BERNAMA

 

LONDON 15 Julai – Komitmen dan dedikasi guru dalam melaksanakan tugas mereka adalah antara bahan utama dalam resipi bagi pelajar mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, dedikasi yang tinggi berupaya membawa perubahan besar termasuk pada kalangan pelajar daripada keluarga yang serba kekurangan.

Rosmah yang menemani suami Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasmi ke United Kingdom (UK) berkata demikian ketika melawat sekolah untuk perempuan Elizabeth Garrett Anderson (EGA) School di Islington di sini.

Sekolah itu yang dinamakan sempena wanita pertama memperolehi kelayakan perubatan di UK, Elizabeth Garrett Anderson, ditubuhkan dengan matlamat mendidik wanita untuk masa depan.

Kebanyakan pelajar EGA adalah daripada pelbagai kaum dengan latar belakang ekonomi yang berbeza dan lebih 90 peratus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Merujuk kepada program Permata yang dimulakan beliau, Rosmah berkata, inisiatif itu juga meliputi murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, sebuah saluran televisyen antarabangsa telah menyatakan hasrat untuk membuat dokumentari mengenai projek yang bertujuan mendidik kanak-kanak pintar dan berbakat itu.

Sementara itu, Pengetua EGA, Jo Dibb berkata kehadiran tetamu terkemuka seperti Rosmah amat penting kepada pelajar kerana dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka. – BERNAMA