31 sekolah kluster terpilih sekolah berprestasi tinggi – Bernama


31 sekolah kluster terpilih sekolah berprestasi tinggi

2011/07/17

KUALA NERANG: Sebanyak 31 daripada 152 sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Dalam teks ucapannya yang disampaikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Rosland (ulang: Rosland) Hussein, beliau berkata kejayaan itu menunjukkan SKK sentiasa melonjakkan kecemerlangannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“SKK juga telah mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila terdapat pelajar yang menyertai International Competition & Assessments far School (ICAS) di Australia dan berjaya mendapat pengiktirafan Highly Commended dan High Distinctions,” katanya pada Majlis Penutup Karnival SKK Zon Utara di sini hari ini.

Katanya, bagi bidang kebitaraan kokurikulum pula, SKK telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Dalam enam bulan pertama 2011, SKK telah dapat menjayakan lebih 50 program pengantarabangsaan,” katanya.

Abd Ghafar berkata salah satu daripadanya ialah kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong di Miri, Sarawak yang merangkul satu pingat emas dan satu pingat perak bagi Apec Young Scientists Conference di Taipei, Taiwan.

“Kita juga berasa amat bertuah kerana SKK kali ini turut disertai oleh sekolah dari Thailand iaitu Hat Yai Withayalai School 2.
“Kerjasama ini amat baik bagi SKK untuk menjalin hubungan dan membuat penanda arasan, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta mengenali budaya masing-masing,” katanya.

Beliau berkata menjadi harapan Kementerian Pelajaran agar kecemerlangan SKK dilestarikan dan dilonjakkan ke peringkat antarabangsa.

Pada karnival yang berlangsung dari 15 hingga 17 Julai di SMK Datuk Syed Ahmad di sini itu, sebanyak tujuh sekolah dari Kedah, empat dari Perlis dan enam dari Pulau Pinang telah terpilih sebagai SKK bagi Zon Utara. – BERNAMA

SK Sungai Duri juara zon utara – Harian Metro


SK Sungai Duri juara zon utara

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri, Seberang Perai Selatan muncul juara bagi Zon Utara dalam pertandingan ‘Who’s The Genius? Cabaran Nasional 2011’ yang diadakan di Plaza Gurney, semalam.

Nurhidayah Zunaidi, Nor Faeqah Furairah dan Nik Amir Zakwan Nik Zahid yang masing-masing berusia 12 tahun membawa pulang wang tunai RM500 dan kamera perakam video Sony tajaan Dutch Lady Milk Industries dan sijil penyertaan serta mewakili Zon Utara pada Cabaran Akhir November depan.
SK Lebuh Light menjadi naib juara pertandingan itu dan membawa pulang RM300 untuk pelajar serta satu komputer riba jenis Sony untuk pihak sekolah, manakala peserta lain memperoleh sijil penyertaan dan cenderahati.

 

Nor Faeqah berkata, mereka tidak menyangka bergelar juara pertandingan itu.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada tenaga pengajar dan rakan,” katanya.
Menurutnya, kemenangan itu berbaloi bagi mereka kerana mereka hanya mengulangkaji pada saat akhir.

 

 

“Penyertaan kami dipilih secara mengejut kerana baru dimaklumkan daripada guru dan malam sebelum pertandingan baru kami membuat ulang kaji,” katanya.
Sebanyak 25 sekolah membabitkan 75 pelajar dari Zon Utara menyertai pertandingan anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bersama Dutch Lady dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Dibelasah 10 samseng cilik – Harian Metro


Dibelasah 10 samseng cilik

Laporan dan foto MOHD YUSOFF AHMAD
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LEBAM... pelajar tingkatan empat menunjukkan kesan lebam yang dialaminya.
LEBAM… pelajar tingkatan empat menunjukkan kesan lebam yang dialaminya.

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar tingkatan empat berdepan detik mencemaskan apabila dibelasah 10 ‘samseng junior’ di dua lokasi berasingan di bandar raya ini akibat dituduh mendalangi kegiatan vandalisme.

Selain diminta menjelaskan RM7,000 kerana menyebabkan kerosakan kenderaan seorang ahli kumpulan itu, dia turut dipukul sehingga mengalami bengkak di kepala, wajah dan kedua-dua kaki, menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Menceritakan kejadian pada Khamis lalu, pelajar terbabit dikenali sebagai Mohamad, 16, berkata pada jam 1.30 petang, dia yang berada di medan selera di Taman Bukit Saujana, di sini, dihampiri seorang remaja lelaki yang berpura-pura bertanya namanya.

 

Menurutnya, remaja itu kemudian memaksanya memasuki sebuah kereta jenis Honda berwarna hitam yang dinaiki lima remaja lelaki, dipercayai pelajar sekolah lain.
“Saya dibawa ke sebuah kawasan pangsapuri berhampiran masjid dan di situ beberapa remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah lain berpakat membelasah saya kerana dituduh menyembur cat pada kereta milik seorang daripada mereka.
“Biarpun saya menjelaskan ia angkara pelajar lain, mereka tidak mengendahkannya, sebaliknya terus memukul saya dan kejadian itu turut disaksikan penduduk berhampiran,” katanya.

 

 

Mohamad berkata, kumpulan remaja itu kemudian membawanya ke rumah terbengkalai di kawasan perkampungan sebelum memukulnya dengan objek keras.
Katanya, kumpulan itu menuduhnya menjadi ketua kumpulan vandalisme serta mengugut menikamnya dengan pisau jika gagal membayar ganti rugi RM7,000 bagi kerosakan kereta akibat diconteng dengan semburan cat.

 

Katanya, dalam keadaan terdesak, dia terpaksa berbohong dan mengaku melakukan perbuatan vandalisme supaya dapat menyelamatkan diri selain berjanji akan melangsaikan tuntutan ganti rugi itu.
“Mereka kemudian merampas kad pengenalan saya sebagai cagaran dan turut memaksa saya menyalin baju sebelum dihantar berhampiran rumah di sebuah pangsapuri dengan tujuan mendapatkan wang dituntut itu.
“Mujur ayah berada di rumah dan menjadi penyelamat di mana mereka melarikan diri selepas melihat kami bersama-sama turun di blok pangsapuri itu,” katanya ketika ditemani ibunya, Masliza Isa, 40-an, di HSA, semalam.
Mohamad berkata, dia menjangka ada pihak salah faham dan beranggapan dia sengaja merosakkan kereta yang diletakkan berhampiran sekolahnya hingga tergamak melakukan perkara itu terhadapnya.
“Memang benar saya melihat sekumpulan pelajar lelaki menyembur cat pada sebuah kereta di luar kawasan sekolah jam 7.30 pagi pada 13 Julai lalu tetapi saya tiada kaitan, malah hasrat saya untuk melaporkan kejadian itu kepada guru juga dihalang pelajar terbabit.
“Tidak sangka akhirnya saya menjadi mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini berkata, pihaknya akan menyiasat terhadap kejadian menimpa mangsa dengan secepat mungkin.
“Kami masih tidak menerima aduan daripada pengurusan sekolah mahu pun ibu bapa berkaitan kejadian itu.
“Namun kami akan berusaha mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan menerima laporan dan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Syor wujud penolong kanan disiplin – Berita Harian


Syor wujud penolong kanan disiplin
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2011/07/17

Berkesan laksana formula 1:3:7

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan jawatan guru penolong kanan disiplin bagi melengkapkan pelaksanaan Prosedur Standard (SOP) Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid yang menetapkan masalah disiplin pelajar perlu diselesaikan dalam seminggu di semua peringkat.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata dengan wujudnya perjawatan itu, pelaksanaan SOP menangani disiplin di sekolah bukan hanya cepat dan mudah dilaksanakan, malah melicinkan lagi prosedur berkenaan.

Beliau berkata, sudah tiba masanya jawatan itu diwujudkan bagi melancarkan lagi tadbir urus sekolah membabitkan soal disiplin murid seperti wujudnya jawatan Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Penolong Kanan Kokurikulum.

“SOP menangani masalah disiplin seperti dalam Pekeliling Ketua Pengarah Pelajaran yang diperkenalkan itu satu rasional, wajar dan praktikal dilaksanakan. PIBGN sangat menyokong usaha itu.

“Namun, pelaksanaannya akan lebih licin jika ada orang dilantik menyelenggara dan menyelia perkara itu,” katanya mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai langkah terbaru Kementerian Pelajaran menetapkan penyelesaian masalah disiplin pelajar wajib diselesaikan dalam seminggu pada semua peringkat.

Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.
Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahupun hukuman atau penyelesaian lain yang dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Menyambut baik langkah terbaru Kementerian Pelajaran itu, Mohamad Ali berkata, pelaksanaan SOP juga perlu mengambil kira kesan jangka panjang selain tahap kesalahan disiplin dilakukan pelajar.

“Jika masalah disiplin pelajar adalah kes jenayah maka cara menanganinya berbeza dengan masalah kesalahan yang biasa di sekolah. Justeru, sudah tentu ada penyertaan pihak luar seperti polis, ibu bapa dan pemimpin masyarakat setempat.

“Saya harap penyertaan banyak pihak dalam menangani isu disiplin juga perlu diwujudkan termasuk kalangan ibu bapa dan pemimpin komuniti supaya masalah itu bukan hanya menjadi tanggungjawab guru dan pihak sekolah selain menjamin penyelesaian memuaskan hati semua pihak serta pelajar yang terbabit dalam kes disiplin,” katanya.

Kajian komprehensif sistem pendidikan – Berita Harian


Kajian komprehensif sistem pendidikan

2011/07/17

  MUHYIDDIN   bersalaman dengan   seorang pengerusi Kelab UMNO di Surabaya, semalam.

MUHYIDDIN bersalaman dengan seorang pengerusi Kelab UMNO di Surabaya, semalam.

Pasukan khas teliti format Penyata Razak 1956 sebelum laksana perubahan: Muhyiddin

KERAJAAN dijangka meneliti laporan awal keperluan untuk mengkaji secara komprehensif sistem pendidikan negara, selewat-lewatnya akhir tahun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pasukan khas yang ditubuhkan awal tahun ini dan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud kini meneliti format Penyata Razak 1956 bagi menghasilkan laporan itu.

“Sebaik siap, laporan itu akan dibentangkan ke Kabinet dan jika mendapat kelulusan Perdana Menteri bagi meneruskan kajian itu, aspek yang akan menjadi tumpuan utama serta jangkaan sama ada akan dilakukan perubahan atau rombakan besar-besaran terhadap sistem pendidikan sedia ada akan diketahui,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke sini, semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dan berdialog dengan pemimpin Kelab UMNO Indonesia yang turut dihadiri Pengerusi kelab itu, Mohd Feendi Mohd Fauzi Yap.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Penyata Razak perlu diteliti untuk menentukan sama ada syor dan pengakuan dikemukakan sudah dicapai sepenuhnya.

“Langkah ini diambil selepas menerima pelbagai pandangan umum dan media, sama ada sistem sekarang mencapai matlamat dalam usaha untuk mendidik anak bangsa,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, kajian ini penting bagi memastikan sama ada sistem pendidikan negara dapat memenuhi tuntutan semasa dalam bidang sains, teknologi dan cara penyampaian guru dan sebagainya.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, pelbagai usaha dan tindakan dilakukan secara berperingkat untuk menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran, selain infrastruktur, inti pati, pendidikan guru dan kurikulum sekolah di negara ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata pemimpin berjawatan dalam kerajaan akan diminta menemui pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara secara lebih kerap bagi menjelaskan pelbagai isu semasa.

“Penjelasan perlu diberi kepada pemimpin Kelab UMNO luar negara, mahasiswa dan ahli politik negara asing berhubung situasi terkini negara supaya mendapat gambaran lebih tepat,” katanya.

Sebelum ini, beliau turut mengadakan pertemuan dengan sekumpulan usahawan muda dan tokoh korporat di sini yang berminat membuka operasi syarikat di Malaysia.

Di BALI, Muhyiddin dijangka tiba di sini hari ini bagi menghadiri mesyuarat tidak formal Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN (ASED), Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran (EMM) ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur (EAS EMM), selama dua hari.

ASEAN + 3 adalah pakatan kerjasama negara anggota ASEAN dan China, Korea Selatan dan Jepun untuk kerjasama serantau.

Muhyiddin akan turut hadir pada Majlis Makan Malam Kerja ASED Tidak Formal yang antara lainnya turut membincangkan pendidikan sebagai bidang utama teras komuniti sosiobudaya serta cadangan pembangunan rangka kerja bagi pemindahan kredit dalam kalangan penuntut universiti.

Sambutan kemerdekaan serentak pada 16 September – Bernama


Sambutan kemerdekaan serentak pada 16 September

16/07/2011 7:31pm

 

KUALA LUMPUR 16 Julai – Sambutan Kemerdekaan ke-54 negara ditunda kepada 16 Sept, serentak dengan sambutan Hari Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata keputusan itu dibuat berikutan tarikh kemerdekaan jatuh pada penghujung Ramadan.

“Jawatankuasa Bulan Kemerdekaan membuat keputusan (16 Sept) sesuai berikutan ia adalah juga tarikh Hari Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keceriaan Bulan Kemerdekaan 2011 di sini, hari ini. – Bernama

Kementerian cadang kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan – Bernama


Kementerian cadang kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan

16/07/2011 8:27pm

 

SURABAYA 16 Julai — Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan laporan mengenai cadangan bagi kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan kebangsaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan itu bukanlah kajian semula terhadap Penyata Razak.

“Saya telah mendapat banyak pandangan, malah dalam media ada dilaporkan tentang keperluan supaya kita melihat semula keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan kita hari ini. “Sama ada ia telah mencapai matlamat dalam usaha untuk mendidik anak-anak bangsa, sama ada perakuan yang dikemukakan dalam Penyata Razak itu dilaksanakan dah tercapai sepenuhnya.

“Ada pandangan yang menyatakan kualiti pendidikan di negara kita tak setanding dengan negara-negara maju yang lain,” kata Muhyiddin, juga Menteri Pelajaran.

Pada masa ini satu pasukan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud ditugaskan untuk menyediakan laporan awal mengenai cadangan itu, yang dijangka dapat dikemukakan kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pada penghujung tahun ini.

– BERNAMA