e-Disiplin akan diperluas ke semua sekolah – KP Pelajaran – Bernama


e-Disiplin akan diperluas ke semua sekolah – KP Pelajaran

18/07/2011 7:18pm

 

PUTRAJAYA 18 Julai – Sistem Kawalan Disiplin Murid atau e-Disiplin yang dilancarkan hari ini untuk mengesan dan mengawal tingkah laku murid secara dalam talian, akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata, melalui e-Disiplin iaitu aplikasi maklumat komunikasi dan teknologi (ICT) berasaskan web, guru disiplin akan melapor salah laku pelajar secara dalam talian.

Ini sekali gus memudahkan kementerian mengukur, mengesan dan mengawal selia disiplin murid sebelum melaksanakan tindakan selanjutnya dan akan dilaksanakan sebagai program pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke-10, pada tahun ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada 97 buah sekolah menengah Felda seluruh negara, yang terlibat dalam pelaksanaan e-Disiplin serta pelancaran e-Disiplin, di sini hari ini.

Sejak 2009 sehingga kini, e-Disiplin hanya dilaksanakan di 317 sekolah termasuk 97 sekolah menengah Felda di seluruh negara yang mendapat maklum balas positif daripada guru-guru kerana mencatatkan penurunan masalah disiplin murid yang begitu signifikan, katanya. – Bernama

Beri semangat anak disleksia – Harian Metro


Beri semangat anak disleksia

Oleh Shuhada Mansor
darmansor@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Ibu bapa tidak seharusnya rasa malu ataupun sedih sekiranya dianugerahkan anak disleksia kerana disleksia bukannya penyakit tetapi kondisi di mana kanak-kanak mengalami masalah pembelajaran.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia Sariah Amirin, berkata, ibu bapa juga tidak patut menyalahkan anak sekiranya mereka tidak memahami ataupun bertindak lambat apabila mendapat arahan tetapi harus sentiasa mendorong dan memberi semangat demi kemajuan anak mereka.
“Mereka mungkin kurang mahir dalam akademik tetapi sebenarnya mereka cekap dalam bidang kemahiran jika diberi pendedahan yang betul,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada seminar bertajuk ‘Petua untuk Ibu Bapa membantu Kanak-kanak Disleksia’ anjuran bersama Persatuan Disleksia Malaysia dan Universiti Monash Malaysia, yang dihadiri lebih 200 orang itu, di sini, semalam.
Menurut Sariah seminar yang diadakan dilihat mampu membuka mata ibu bapa dalam mendidik anak disleksia melalui pendekatan dan cara yang betul.
Katanya, kanak-kanak disleksia memerlukan bimbingan dan pendekatan yang berbeza kerana pemikiran mereka berlainan daripada kanak-kanak normal yang sebaya.

 

 

Oleh itu, selain menganjurkan seminar di seluruh negara, persatuan turut menawarkan program bimbingan pembelajaran tiga bulan kepada kanak-kanak disleksia melalui pendekatan efektif serta latihan kerja rumah bersesuaian dikendalikan pakar sebagai usaha membantu ibu bapa mendidik anak disleksia.
Katanya, dianggarkan seramai 500,000 hingga 600,000 orang mengalami disleksia direkodkan di negara ini.

 

Sehingga kini, beliau berkata, hanya 800 ahli berdaftar dengan persatuan dan beliau menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak disleksia dapat mendaftar sebagai ahli kerana pihaknya bersedia membantu sekiranya ahli memerlukan bimbingan dalam membantu mendidik anak disleksia.
Sementara itu, Ahmad Nazarudian, 43, bapa kepada Zaramsyar, 10, kanak-kanak menghidap dislexia berkata dia dapat melihat peningkatan prestasi anaknya dengan jelas terutama dari segi membuat pengiraan matematik dan karangan.
Katanya, pencapaian itu dibuktikan menerusi prestasi yang baik ditunjukkan dalam peperiksaan dengan mendapat tempat ke sembilan berbanding tempat ke 25 sebelum mengikuti kelas terbabit.
“Anak saya mengikuti kelas ini sejak dari dia berada dalam darjah dua hingga ke hari ini dan saya percaya ia benar-benar membantu meningkatkan kemampuan dan tahap pemikiran anak saya dengan cepat dan berkesan.
“Saya yakin, selain kelas bimbingan, seminar seperti ini perlu diadakan lebih kerap kerana ia berguna bagi membantu ibu bapa menangani masalah ketika mendidik dan mengajar anak yang mengalami disleksia,” katanya.

‘Saya takut dipukul!’ – Harian Metro


‘Saya takut dipukul!’

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kasdi Ali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Saya takut kena pukul!” Itu reaksi spontan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun apabila ditanya mengapa berlegar mengutip derma daripada orang ramai yang menjamu selera di sebuah restoran.

Kanak-kanak terbabit yang berkemeja, berkopiah sambil membawa beg sandang menunjukkan wajah cemas sebaik ditanyakan asal-usul serta individu yang mengarahkannya mengutip derma sekitar kawasan Gunung Rapat di sini.
Penduduk, Mohd Azman Ghazali, 45, berkata, dia mula mencurigai kehadiran kanak-kanak itu yang dilihat menjadi ‘pengemis’ tetap di kawasan itu sejak lebih seminggu lalu.

 

Katanya, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak sama kerap muncul pada waktu petang hingga lewat malam di sekitar stesen minyak dan restoran di situ.
“Kanak-kanak itu menunjukkan cakera padat (CD) nasyid atau minyak angin yang didakwa dijual bagi membiayai rumah anak yatim di Kedah kepada pelanggan restoran yang dihampiri.
“Bagaimanapun CD dan minyak angin itu hanya ‘modal’ untuk meraih simpati orang ramai menyumbang derma tanpa banyak bertanya,” katanya ketika ditemui wartawan, semalam.

 

 

Bagaimanapun, dia mula sangsi dan mengesyaki kanak-kanak itu diperguna sindiket tertentu berikutan kanak-kanak lain turut meminta derma dengan taktik sama di sekitar Ipoh.
“Agak malang apabila kanak-kanak yang masih mentah ini dipergunakan untuk meraih wang dengan mengorbankan alam persekolahan selain terpaksa berdiri berjam-jam di hadapan bank sambil mengharap simpati orang ramai.

 

“Jika mereka tidak mampu memelihara atau menjaga anak malang atau yatim ini, mereka sepatutnya diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mampu memberi bantuan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Perak, Chong Phaik Kee berkata, pihaknya memandang serius kes budak sekolah meminta derma. dan sumbangan.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat bekerjasama menyalurkan segera sebarang maklumat mengenai kegiatan terbabit atau kehadiran kanak-kanak di kawasan mereka kepada pihaknya dan agensi berkaitan.

31 sekolah SKK terpilih – Bernama


31 sekolah SKK terpilih

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA NERANG: Sebanyak 31 daripada 152 sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan SKK sentiasa melonjakkan kecemerlangannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Katanya, bagi bidang kebitaraan ko-kurikulum pula, SKK telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. “SKK juga telah mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila terdapat pelajar yang menyertai International Competition & Assessments far School (ICAS) di Australia dan berjaya mendapat pengiktirafan Highly Commended dan High Distinctions.
“Dalam enam bulan pertama 2011, SKK telah dapat menjayakan lebih 50 program pengantarabangsaan,” katanya pada Majlis Penutup Karnival SKK Zon Utara, di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Rosland Hussein, Abd Ghafar berkata, salah satu daripadanya ialah kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong di Miri, Sarawak yang merangkul satu pingat emas dan satu pingat perak bagi Apec Young Scientists Conference di Taipei, Taiwan. “Kita juga berasa amat bertuah kerana SKK kali ini turut disertai oleh sekolah dari Thailand iaitu Hat Yai Withayalai School 2. “Kerjasama ini amat baik bagi SKK untuk menjalin hubungan dan membuat penanda arasan, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta mengenali budaya masing-masing,” katanya. -Bernama

2,426 remaja, pelajar ditahan – Harian Metro


2,426 remaja, pelajar ditahan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Penahanan seramai 2,426 pelaku jenayah membabitkan golongan remaja dan belia termasuk pelajar sekolah dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini perlu dipandang serius semua pihak terutamanya ibu bapa.

Daripada jumlah itu, seramai 992 ditahan adalah pelajar manakala 1,434 bukan pelajar dan remaja.
Mendedahkan perkara berkenaan, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, antara kesalahan jenayah berat yang membabitkan golongan itu adalah seperti rogol, ragut, samun berkumpulan dan samun bersenjata.

 

“Pada 2010, golongan pelajar, bukan pelajar dan remaja yang yang ditahan di seluruh negara seramai 8,105 orang dan daripada jumlah itu, seramai 5,165 membabitkan pelajar. Jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 7,717 orang iaitu 3,654 kes membabitkan pelajar,” katanya selepas merasmikan Projek Pencegahan Jenayah dan Hidup Sihat anjuran Kelab Lions Kuala Lumpur Utara, di Sri Petaling, di sini, semalam.

Terperangkap 12 jam – Harian Metro


Terperangkap 12 jam

Oleh Zul Ikhwan Muhammad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ENDAU: Lima sekeluarga berdepan pengalaman menakutkan apabila terperangkap di kawasan berbatu berhampiran Pantai Teluk Gorek di sini, kelmarin, selama kira-kira 12 jam berikutan laluan digunakan untuk memancing dinaiki air pasang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Yahya Din, 50, anaknya, Hamzah, 6, saudara Yahya, Zainudin Nawi, 55, Lina, 20-an dan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dikenali sebagai Man, dikatakan keluar dari chalet penginapan mereka dan menuju kawasan berbatu di teluk itu.
Bagaimanapun, semua lima sekeluarga itu difahamkan tidak dapat pulang disebabkan laluan yang digunakan dinaiki air pasang menyebabkan mereka terpaksa menunggu dengan penuh debaran sebelum diselamatkan pasukan penyelamat, kira-kira 12 jam kemudian.

 

Anak Zainudin, Mohd Ridzuan 23, berkata sebelum kejadian bapanya memberitahu mahu keluar memancing di kawasan berbatu berhampiran teluk berkenaan yang boleh dilalui melalui pesisir pantai ketika air surut.
Katanya, mereka beranggapan tempat itu selamat dan tidak menghalang kemahuan bapanya itu sambil terus berehat di chalet yang disewa di kawasan berhampiran.
“Bagaimanapun, hingga jam 7 malam kelmarin, bapa dan empat lagi ahli keluarga tidak pulang menyebabkan kami risaukan keselamatan mereka.

 

 

“Kami cuba menghubungi mereka menggunakan telefon bimbit tetapi gagal, sebelum berbincang dengan keluarga.
“Kira-kira jam 10 malam, kami mengambil keputusan membuat laporan polis serta memaklumkan kepada bomba dan penyelamat mengenai kehilangan mereka selepas usaha menjejaki mereka gagal,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan II Sulong Khaled berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, tujuh anggotanya dikerahkan ke lokasi untuk mengesan mangsa.
“Bagaimanapun, kami menghadapi kesukaran menghampiri kawasan berbatu dan mangsa dipercayai terperangkap kerana air pasang dan ombak kuat.
“Selain itu, kawasan itu berbatu dan kami bimbang ia membahayakan nyawa penyelamat sekiranya bot yang digunakan merempuh batu,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung, sebelum semua lima mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan kesejukan di atas batu di hujung kawasan teluk pada kira-kira pukul 1 pagi tadi (semalam),” katanya.
Katanya, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar semua mangsa pada kira-kira jam 3 pagi semalam, sebelum diberikan rawatan oleh pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Endau di pantai berhampiran.
Turut menunggu di pantai ialah Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid serta beberapa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

Sejam di lubang – Harian Metro


Sejam di lubang

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Tiba-tiba saya merasakan tubuh melayang sebelum rasa sakit di kaki dan tangan kanan serta kepala. Keadaan dalam longkang itu terlalu gelap menyebabkan saya bimbang diserang haiwan berbisa, namun saya nekad menjerit meminta tolong,” kata Siti Norzuriana Marianto, 12, menceritakan detik mencemaskan apabila terperosok dan terperangkap dalam lubang longkang pembetung sedalam kira-kira 3 meter selama sejam, di Larkin Perdana di sini, kira-kira 7 malam kelmarin.

Dia yang tinggal bersama keluarga di sebuah pangsapuri terjatuh ke dasar longkang itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai berhampiran.
Berikutan itu, dia bukan saja cedera di kepala dan tangan kanan, malah patah tulang kering kaki kanan.

 

Mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Puteri di sini berkata, sebelum kejadian, dia berjalan kaki berseorangan dan tidak menyedari lubang longkang itu tiada penutup konkrit.
“Tiba-tiba, saya rasa tubuh melayang sebelum jatuh ke dasar longkang dan pada masa sama kaki kanan cedera dan sukar bergerak.
“Saya menjerit meminta pertolongan kerana tidak mampu berdiri,” katanya.

 

 

Sementara itu, seorang kaki pancing yang menyelamatkan mangsa, Mohd Bakhtiar Abd Kadir, 31, berkata, dia bersama lima rakan dalam perjalanan ke kolam berhampiran lokasi memancing ikan, sebelum terdengar jeritan meminta tolong dan mengerang kesakitan.
Menurutnya, dia dan rakan mencari punca jeritan dan terkejut melihat seorang kanak-kanak terperangkap dalam longkang kering itu. “Pada awalnya, kami menghadapi kesulitan menyelamatkan mangsa berikutan lubang itu dalam.

 

“Kemudian saya mengarahkan kanak-kanak itu menguatkan semangat dan cuba berdiri sebelum menjulurkan badan sambil kaki dipegang rakan.
“Sejurus mendakap mangsa, kami menariknya keluar. Kasihan melihat dia cedera di kepala dan tangan kanan, selain tulang kering kaki kanannya patah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Sri Impian, Wan Zuraimi Wan Abdul berkata, penutup konkrit lubang longkang itu hilang kira-kira dua minggu lalu dan pihaknya mengadu perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, lubang itu di tengah laluan pejalan kaki dan memaklumkan pihak berkuasa kerana membahayakan pejalan kaki. “Lubang longkang itu menunggu mangsa dan kejadian itu ternyata membuktikan kebimbangan kami.
“Kami menutup lubang itu dengan batang kayu, namun berharap PBT mengambil tindakan segera,” katanya.

‘Kakak panggil anak, suami sebelum ajal’ – Harian Metro


‘Kakak panggil anak, suami sebelum ajal’

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
REMUK...keadaan kereta mangsa selepas terbabas dan melanggar tiang lampu.
REMUK…keadaan kereta mangsa selepas terbabas dan melanggar tiang lampu.

MAUT...seorang mangsa nahas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan.
MAUT…seorang mangsa nahas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

SERDANG: “Sayu hati saya ketika mendengar kakak memanggil nama suami dan anaknya sebelum suara itu senyap,” kata Nur Effindi Sungip, 17, menceritakan kejadian kemalangan di Kilometer 305.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) susur keluar Serdang dari arah Sungai Besi menuju Seremban di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, tiga beranak terbunuh manakala tujuh lagi cedera apabila kereta yang dinaiki 10 bersaudara terbabas sebelum melanggar tiang lampu di tempat kejadian.
Mereka yang terbunuh ialah kakak Nur Effindi, Nur Nazirah Sungip, 20, suaminya yang memandu kereta, Zulkifle Zainul, 29, serta anak tunggal mereka, Muhammed Danish Adam Zulkifle, 2.

 

Tujuh yang cedera pula ialah Nur Effindi, dua kakaknya, Nur Jumaatul Shuhaida, 24; Nur Atiqah, 19, dua adiknya, Nur Khairuddin, 12, Nurul Ashura, 7, serta dua anak saudaranya, Nur Shahiratul Syafiqa, 4, dan Muhammad Amirul Aiman Muhammad Nuralif, berusia setahun.
Nur Effindi berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang daripada menziarahi bapa saudaranya, Ahmad Razli, 40-an, yang sakit tenat di Hospital Pusrawi di ibu negara dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Intan, Kajang.
Dia yang berada di tempat duduk sebelah pemandu berkata, sebelum kejadian dia tertidur seketika namun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

 

 

Selepas itu, katanya, Proton Wira yang mereka naiki berpusing beberapa kali sebelum semua penumpang dan pemandu kereta berkenaan tercampak keluar.
“Kami bergelimpangan di atas jalan dalam jarak satu meter dari kereta dan saya sempat melihat Muhammed Danish Adam berada di tepi kenderaan dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

 

“Walaupun cedera, saya gagahkan diri untuk bangun melihat mangsa lain termasuk abang ipar (Zulkifle yang bekerja sebagai penghantar akhbar) juga sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini, semalam.
Nur Effindi berkata, dia cuba memberi bantuan kepada mangsa lain tetapi tidak berdaya sebelum orang ramai datang membantu dan menghantar mereka ke Hospital Serdang.
Menurutnya, jenazah kakak, abang ipar dan anak saudaranya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Jengka 4, Pahang, selepas selesai bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang lampu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suami lihat isteri dirogol remaja di butik pengantin – Utusan Malaysia


Suami lihat isteri dirogol remaja di butik pengantin

HULU LANGAT 17 Julai – Seorang lelaki terkejut apabila mendapati isterinya menjadi mangsa rogol seorang remaja berusia 19 tahun di butik pengantin milik mereka di Taman Rinching, Kajang dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi ketika suami mangsa dikatakan baru memasuki butik pengantin tersebut selepas membuka pintu yang dikunci dari dalam oleh suspek.

Bagaimanapun, tanpa diduga suami mangsa melihat suspek sedang menindih isterinya yang dalam keadaan bogel dalam butik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, sebelum kejadian, suspek dikatakan menyamar sebagai pelanggan untuk menempah pakaian pengantin di butik mangsa.

“Suspek kemudian bertindak mengunci pintu sebelum mengacukan pisau ke arah mangsa yang berusia 29 tahun itu.

“Mangsa yang dalam ketakutan diarahkan supaya menanggal pakaian sebelum suspek bertindak merogolnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Tambahnya, suami mangsa yang berang dengan tindakan suspek tersebut kemudian bertindak menangkapnya sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol.

4 remaja merompak ditahan – Utusan Malaysia


4 remaja merompak ditahan

 

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

 

Ab. Rasyid Ab. Wahab menunjukkan bahan-bahan bukti yang digunakan oleh penjenayah semasa menyamun di Kajang, semalam.

 

HULU LANGAT 17 Julai – Empat remaja lelaki, dua daripadanya masih bersekolah merompak barang berharga dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM50,000 dari sebuah rumah dua tingkat di Bandar Tun Hussien Onn, Kajang di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 petang ketika mangsa tiada di rumah kerana keluar bersama keluarganya menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Liverpool dan Malaysia.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, suspek dipercayai mengetahui selok belok kediaman mangsa yang ketika itu dijaga oleh seorang pembantu rumah wanita berusia 41 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 20 tahun dikatakan memasuki rumah mangsa melalui pintu tepi.

“Mereka kemudian mengacukan sebilah pedang samurai ke arah pembantu rumah itu sebelum mengikat tangan serta mulutnya dengan tuala. Kumpulan remaja penjenayah itu kemudian menggeledah rumah itu dan mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa.

“Antara barangan yang dilarikan adalah dua unit komputer riba, komputer tablet iPad, wang tunai dan beberapa unit telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Tambahnya, dua daripada suspek merupakan pelajar sekolah menengah, manakala masing-masing seorang penuntut kolej dan penganggur itu melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Ab. Rashid memberitahu, polis berjaya menahan kesemua suspek dalam operasi berasingan yang berakhir pukul 2.30 pagi ini di sekitar Kajang.

“Hasil pemeriksaan, katanya, polis menemui semula barangan rompakan dan peralatan untuk melakukan jenayah itu termasuk sebilah pedang samurai dan pemutar skru,” katanya.