PUTRAJAYA: Masalah disiplin di kalangan lebih 5.5 juta pelajar sekolah menengah dan rendah boleh dipantau dengan lebih berkesan selepas Kementerian Pelajaran bercadang memperluaskan penggunaan Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) di seluruh negara pada masa akan datang.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata sebagai permulaan pihaknya sudah melaksanakan projek perintis di 317 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara pada tahun 2009, menerusi program Pembangunan Disiplin Murid. “Melalui sistem ini, pihak sekolah boleh melaporkan salah laku disiplin murid dan pelajar dengan cepat kepada kementerian berbanding sebelum ini, di mana pihak sekolah melaporkan rekod disiplin murid dan pelajar kepada Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah seminggu sekali sebelum sampai kepada kementerian. “Kementerian juga boleh mengetahui rekod disiplin pelajar setiap hari menerusi sistem e-Disiplin, sekali gus mencari jalan penyelesaian meningkatkan prestasi disiplin di kalangan pelajar dan murid,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba Sekolah-Sekolah Menengah Felda Bagi Program Pembangunan Sistem E-Displin Murid, di sini, semalam. Sebanyak 97 sekolah menengah di Felda menerima komputer riba yang akan digunakan sekolah untuk mengemaskini rekod disiplin pelajar sekolah masing-masing.