Tidak mahu mohon maaf – Harian Metro


Tidak mahu mohon maaf

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Ketua guru disiplin yang didakwa mencabul 11 pelajar perempuan berusia 15 dan 16 tahun di sebuah sekolah, di Pandan Indah, Februari lalu, dikatakan enggan meminta maaf kepada salah seorang bapa mangsa cabul berkenaan.

Saksi pertama pendakwaan, Ricky Toong Foo Weng, 25, dalam keterangannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam berkata, kejadian itu berlaku ketika ketua guru disiplin, Ismazi@Megat Ismazi Ismail, 48, lalu di koridor di tepi bilik guru sekolah berkenaan.
“Ketika kejadian itu, ibu bapa mangsa yang sudah mengetahui perkara menimpa anak mereka berkumpul di depan bilik guru.

 

“Salah seorang bapa mangsa menahan guru disiplin itu yang melalui kawasan terbabit sebelum meminta penjelasan berhubung kes itu selain meminta permohonan maaf dibuat,” katanya. Beliau yang juga pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Janice Lee Ying Ha berkata, sebelum itu, ketika sampai di bilik guru pada jam 12.45 tengah hari, dia melihat guru Hal Ehwal Murid (HEM) sedang mengambil keterangan daripada pelajar yang mendakwa mereka dicabul.
“Pada masa sama, saya melihat beberapa ibu bapa mangsa meminta berjumpa guru besar bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Bagaimanapun, selepas dimaklumkan guru besar tiada kerana menghadiri mesyuarat, semua ibu bapa sepakat membuat laporan polis berhubung tindakan guru disiplin itu,” katanya.

 

 

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan dengan meletakkan tangannya di atas dada semua mangsa di dalam bilik guru disiplin antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi 25 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan. Sementara itu, Ricky Toong memaklumkan mahkamah, dia mengetahui kejadian berkenaan selepas seorang bapa mangsa mendapat panggilan telefon daripada anaknya ketika mereka berada di pejabat Adun Teratai, di sini, jam 12.30 tengah hari.

 

“Saya dan bapa mangsa ketika itu berada di pejabat dan dikejutkan dengan panggilan anak perempuannya mendakwa dicabul kehormatan oleh guru disiplin. “Dalam panggilan telefon itu, anaknya turut memberitahu yang sekumpulan pelajar perempuan lain turut menjadi mangsa,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di sini, diberkas polis selepas didakwa mencabul 11 pelajar perempuan.
Difahamkan, guru itu mahu melakukan pemeriksaan mengenai tahap kesihatan semua pelajar terbabit terlebih dulu sebelum merotan mereka kerana gagal hadir ke perhimpunan sekolah.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, semua pelajar terbabit dilaporkan tidak mengikuti perhimpunan sekolah kerana mendakwa mahu menyiapkan kerja sekolah di dalam kelas.
Terdahulu, pihak pendakwaan dan pembelaan memohon mahkamah supaya perbicaraan bersama dilakukan dengan meminda 11 pertuduhan berkenaan bagi menjimatkan masa dan kos mahkamah. Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan permohonan itu dengan menjadikan kepada empat pertuduhan.
Kes pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latiff dan Ismazi diwakili peguam bela, Haniff Khatri.
Perbicaraan bersambung hari ini.

Remaja dibelasah angkara motor – Harian Metro


Remaja dibelasah angkara motor

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang remaja dibelasah tiga rakannya selepas dituduh merosakkan motosikal bapa seorang daripada mereka dalam kejadian di rumah neneknya di Pandan Jaya, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang ketika itu sedang melawat neneknya didatangi tiga rakannya itu sebelum seorang daripada mereka bertanya dengan nada kasar berkenaan motosikal bapanya.
Menurut sumber, rakannya itu yang berusia belasan tahun menuduh mangsa merosakkan motosikal milik bapa seorang daripada mereka tetapi dinafikan mangsa. Bagaimanapun, mangsa yang berusia 15 tahun menjawab pertanyaan rakannya dengan baik sebelum dia terus dibelasah.

 

“Mereka bertiga mula menumbuk dan menendang mangsa sambil menuduh mangsa merosakkan motosikal berkenaan.
“Seorang daripada mereka kemudian bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam mangsa, namun mangsa berjaya mengelak dan hanya mengenai tangan kirinya,” katanya.
Suspek yang panik terus melarikan diri meninggalkan tempat kejadian.

 

 

Mangsa kemudian pergi ke klinik sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

‘Buka gari saya’ – Harian Metro


‘Buka gari saya’

Oleh Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEGAMAT: Anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di sini terkejut apabila didatangi seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang meminta mereka membukakan gari di tangannya, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa dikatakan dihantar oleh orang awam selepas disamun ketika mahu turun dari kereta Toyota Vios dipandunya di Jalan Buloh Kasap.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, mangsa dalam perjalanan mengikuti kelas tambahan apabila tiba-tiba dihampiri empat penjenayah.

“Dua daripada penjenayah itu memaksa mangsa memasuki semula keretanya serta menutup matanya dengan sehelai kain.

 
“Mangsa kemudian dibawa ke ladang sawit di Kampung Tengah dan tangannya digari sebelum ditinggalkan manakala keretanya dilarikan penjenayah,” katanya, semalam.

Jenayah curi motosikal babitkan pelajar meningkat – Harian Metro


Jenayah curi motosikal babitkan pelajar meningkat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TEMERLOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bimbang dengan peningkatan kadar jenayah membabitkan kegiatan mencuri motosikal dan rogol yang dilakukan pelajar sekolah seluruh negeri.

Justeru, PDRM berpendapat usaha membentuk disiplin remaja terutama pelajar sekolah perlu dipertingkatkan dalam usaha membendung kegiatan itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sarifuddin Ab Ghani, berkata statistik menunjukkan 1,115 kes curi motosikal dilaporkan berlaku dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 1,034 kes pada tahun lalu manakala kes rogol tahun ini mencatatkan 133 kes berbanding 112 kes pada 2010.

 

Katanya, peningkatan kes jenayah curi motosikal dan rogol disebabkan kurangnya ilmu agama pada pelakunya.
“PDRM akan berusaha membanteras kegiatan itu supaya tidak berleluasa dan pelajar perlu dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Oleh itu, PDRM akan meningkatkan peranan dan tugas anggota sebagai pegawai perhubungan sekolah bertujuan mendekati pelajar dan warga pendidik.
“Saya yakin pendekatan ini mampu mengurangkan kegiatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program kemasyarakatan bersama Shell di Jalan Batu Satu, Temerloh-Mentakab, kelmarin.
Beliau berkata, PDRM akan menganjurkan program kemasyarakatan dalam usaha memberi kesedaran kepada penduduk bagi membantu menangani jenayah di kawasan masing-masing.

 

“Penduduk mempunyai peranan dan tanggungjawab melaporkan kegiatan jenayah kepada polis dengan kadar segera supaya anggotanya boleh bertindak mengesan dan menangkap penjenayah.
“Pihak polis juga akan meminta bantuan serta kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meningkatkan lagi tahap disiplin penuntut mereka,” katanya.

Duda didakwa pukul anak guna besi – Harian Metro


Duda didakwa pukul anak guna besi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang duda anak lima dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dakwaan memukul anaknya berusia 17 tahun sehingga cedera parah menggunakan sebatang besi pada 14 Julai lalu.

Tertuduh yang juga seorang penoreh getah, M Ambalagan, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sazali Omar.
Mengikut pertuduhan, Ambalagan didakwa mendatangkan cedera parah kepada anaknya berusia 17 tahun menggunakan sebatang besi di Taman Baiduri, Pulau Sebang, Alor Gajah, dekat sini, antara jam 12.30 pagi hingga 2.30 pagi, 14 Julai 2011.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazwani Ishak memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dan tertuduh diasingkan daripada mangsa.

Kelucahan melampau: Hukuman penjara 8 bulan guru kekal – Utusan Malaysia


Kelucahan melampau: Hukuman penjara 8 bulan guru kekal

ALOR SETAR 20 Julai – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang guru untuk mengetepikan hukuman penjara lapan bulan setelah disabitkan bersalah melakukan kelucahan melampau terhadap dua anak muridnya, lapan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan demikian setelah mendapati keputusan Mahkamah Sesyen di sini adalah patut dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Mohammad Nizar Shuib, 30.

”Saya telah meneliti nota-nota keterangan dan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap perayu.

”Oleh itu saya memutuskan bahawa hukuman terhadap perayu adalah sesuai dan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara terhadap perayu ditolak,” kata Mohd. Zaki.

Mohammad Nizar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Maznah Abd. Aziz yang menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadapnya pada 9 Mei tahun lalu.

Dia didapati bersalah merangsang dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bagi tujuan melakukan suatu perbuatan melampau ke atasnya di sebuah rumah bernombor 497, Taman Siswa 2, Jalan Universiti, Jitra.

Perbuatan tersebut dilakukan antara Mei 2003 hingga April 2004.

Tertuduh pada ketika itu ialah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Bandar Darul Aman, Jitra dan mengajar kelas tuisyen Bahasa Inggeris kepada dua mangsa tersebut. Dia digantung kerja sejak dihadapkan ke mahkamah pada 2004.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim manakala tertuduh diwakili oleh peguam, G. Ravishankar.

Mahkamah mengekalkan ikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keterangan kepada Mahkamah Sesyen, kedua-dua mangsa mendakwa Mohammad Nizar memberi amaran kepada mereka supaya perbuatannya itu tidak diberitahu kepada sesiapapun tetapi selepas dipaksa ibu bapa masing-masing, mereka telah memberitahu perkara sebenar.

Pemohon PTPTN perlu ada SSPN – Utusan Malaysia


Pemohon PTPTN perlu ada SSPN

 

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 20 Julai – Mulai tahun depan, pelajar yang ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) terlebih dahulu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan deposit serendah RM20, akaun SSPN boleh dibuka di mana-mana cawangan bank terpilih.

Antaranya Maybank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Group Bhd. (CIMB) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

“Kini proses untuk membuka SSPN menjadi lebih mudah kerana hanya memakan masa sehari berbanding 14 hari sebelum ini.

“Pembukaan akaun SSPN digalakkan kepada semua peringkat umur, ibu bapa juga boleh terus membuka akaun untuk anak mereka yang baru sahaja dilahirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar PTPTN bersama institut pengajian tinggi (IPT) dan Majlis Pelancaran Semula SSPN di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan bantuan kewangan pendidikan kepada PTPTN daripada Ambank Group, Kuwait Finance House dan Malaysian Building Society Berhad (MBSB).

Mohamed Khaled berkata, pembukaan akaun SSPN itu dapat mengelakkan pelajar dibebani masalah hutang selepas tamat pengajian selain menggalakkan amalan menabung untuk masa depan.

“Sejak SSPN dilancarkan pada 2004 sehingga 2011, terdapat 990,000 akaun dengan jumlah simpanan sebanyak RM465 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggalakkan penglibatan lebih banyak agensi korporat menyalurkan sumbangan kewangan kepada PTPTN untuk membantu pelajar miskin meneruskan pengajian ke peringkat tinggi.

“Dengan itu, PTPTN dapat membantu menguruskan bantuan kewangan kepada pelajar yang tidak berkemampuan,” katanya.