Pesara guru mulakan program jelajah Semenanjung
KANGAR 22 Julai – Seorang pesara guru, Azizan Ali, 64, hari ini memulakan penjelajahan mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berbasikal, berlari dan berenang sejauh kira-kira 2,500km.
Majlis pelepasan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau yang menerima jolokan ”Iron Man Perlis” itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas pelepasan itu, Menteri Besar memuji kegigihan Azizan melaksanakan program itu walaupun usianya sudah meningkat 64 tahun.
Beliau berharap apa yang dilakukan oleh Azizan akan menjadi teladan kepada anak-anak muda betapa penting mereka menjaga kesihatan diri dengan kegiatan kecergasan tanpa mengira usia.
Sebaik sahaja dilepaskan, Azizan mengayuh basikal sumbangan kerajaan negeri berharga RM3,000 ke pantai Sungai Kurung Tengar dekat Kuala Perlis dan dari situ beliau akan berenang ke pantai Kuala Sanglang, Kedah sejauh 20km.
Dari Kuala Sanglang beliau akan meneruskan penjelajahan dengan berbasikal ke Butterworth sejauh 200km dan bermalam di situ sebelum meneruskan kayuhannya sejauh 200km ke Lumut pada 23 Julai.
Pada Ahad ini, beliau akan mengayuh sejauh 200km dari Lumut ke Klang, Selangor dan pada Isnin ini beliau akan mengayuh sejauh 200km lagi ke Melaka, manakala pada 26 Julai akan melakukan kayuhan sejauh 200km menuju Johor Bahru.
Pada 27 Julai, beliau akan berkayuh dari Johor Bahru ke Mersing, sejauh 200km dan keesokannya meneruskan kayuhan sejauh 200km ke Kuantan, Pahang.
Pada 29 Julai pula, beliau akan berkayuh sejauh 200km ke Kuala Terengganu dan selepas itu sejauh 200km lagi ke Kota Bahru pada 30 Julai.
Kayuhan Azizan dijangka lebih mencabar pada 31 Julai apabila beliau melalui laluan berbukit dari Kota Bharu ke Gerik, Perak sejauh 250km dan pada 1 Ogos akan berkayuh dari Grik ke Kangar sejauh 250km bagi menamatkan misi penjelajahan itu. – Bernama