SKMM agih hampir 400,000 komputer riba 1Malaysia – Bernama


SKMM agih hampir 400,000 komputer riba 1Malaysia

23/07/2011 8:53pm

 

TAMPIN 23 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengagihkan 382,950 unit komputer riba 1Malaysia kepada pelajar terpilih di seluruh negara, termasuk 123,500 unit yang diagihkan menerusi fasa pertama program itu.

Menerusi fasa 2 pula, SKMM menyasarkan mengagih 349,400 lagi unit komputer, kata SKMM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejumlah sejuta komputer riba akan diagihkan kepada para pelajar sekolah menengah yang layak bagi membolehkan mereka mengakses Internet seperti rakan mereka yang berkemampuan, yang tinggal di bandar.

Menurut SKMM program pengagihan komputer riba dengan jalur lebar itu akan meningkatkan kadar penembusan jalur lebar ke seluruh negara.

Kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara kini mencapai 60.3 peratus, berbanding 23 peratus dua tahun lepas, dan Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang paling tinggi pencapaian kadar penembusan jalur lebarnya iaitu 73.3 peratus. – Bernama

Kelantan gagal beri kemudahan asas sekolah pondok – Bernama


Kelantan gagal beri kemudahan asas sekolah pondok

23/07/2011 6:51pm

 

KOTA BAHARU 23 Julai – Kerajaan Pas Kelantan diselar kerana gagal menjaga kebajikan pelajar dan warga di sekolah pondok di negeri ini dengan tidak menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik di sekolah terbabit.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, meskipun terkenal dengan slogan ”Membangun Bersama Islam, kerajaan Pas Kelantan dilihat tidak mengambil perhatian terhadap kemudahan infrastruktur di sekolah-sekolah pondok sehingga ia serba kekurangan.

“Di Kelantan terdapat banyak sekolah pondok sehingga mampu melahirkan mufti dan imam besar yang boleh dibanggakan. Namun prasarana di kawasan pondok ini adalah sangat kurang.

“Kerajaan negeri sepatutnya membantu menyediakan pelbagai kemudahan kepada sekolah pondok ini untuk keselesaan pelajar dan warga di sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Imam Muda Parlimen Kota Baharu di sini hari ini. – Bernama

Pembelaan tutup kes – Harian Metro


Pembelaan tutup kes

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Pihak pembelaan dalam kes Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan di Mahkamah Sesyen di sini, menutup kesnya, semalam.

Peguam M Athimulan memaklumkan semalam selepas saksi pembelaan kedua, pakar siasatan tempat kejadian jenayah (CSI), Amidon Anan, selesai memberikan keterangannya. Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh hujahan pada akhir kes pembelaan. Jenain, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.
Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

 

Mangsa disahkan maut akibat luka tembakan di kepala.
Pada prosiding, semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad, manakala pembelaan diwakili Salim Bashir.
Sepanjang kes peringkat pembelaan, tiga saksi memberi keterangan.

 

 

Terdahulu, Amidon, 60, yang dijemput untuk memberi pendapat kedua dalam kes itu ketika disoal semula Salim berkata, beliau tidak mengenal pasti penembak sebenar menyebabkan kematian Aminulrasyid. Bekas Ketua Unit CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur berkata, ini berdasarkan keterangan saksi pada prosiding terdahulu bahawa ada dua penembak yang melepaskan tembakan. Selain itu, saksi yang berpengalaman mengendalikan kes berprofil tinggi seperti pembunuhan Altantuya Shaaribu dan Canny Ong berkata, ia juga kerana ada tiga unit kereta peronda (MPV) terbabit dalam kejadian itu. Katanya, anak peluru daripada kepala Aminulrasyid yang diperoleh daripada hospital juga tidak dapat dibandingkan dengan dua senjata api yang diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk analisis.
“(Perkara) yang menjadi tanda tanya kepada saya sebagai pengamal ilmu sains forensik, anak peluru daripada kepala mangsa (Aminulrasyid) tidak dapat dikenal pasti datangnya daripada senjata yang mana,” katanya.

Penduduk setempat mahu suspek dikenakan tindakan tegas – Harian Metro


Penduduk setempat mahu suspek dikenakan tindakan tegas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: Insiden malang menimpa dua beradik, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, sembilan tahun menimbulkan keresahan penduduk setempat yang mengharapkan suspek ditahan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Saya harap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada lelaki yang melakukan perbuatan itu. Mangsa adalah kanak-kanak dan perjalanan hidup mereka masih panjang. Bayangkan kesukaran yang bakal mereka hadapi nanti,” kata ibu saudara dua beradik berkenaan, Zafrida Che Sam, 41 (gambar).
Kejadian malang menimpa Shafiq Haikal dan Shafiq Aiman, menimbulkan kebimbangan keluarga mangsa kerana kedua-duanya mungkin cacat.

 

“Saya sekeluarga tidak putus berdoa kedua-dua anak saudara saya itu pulih dan boleh bersekolah seperti biasa. Kedua-dua mereka adalah pelajar pintar dan aktif di sekolah, malah mereka cucu kesayangan ibu bapa saya iaitu Che Sam Abu, 62, dan Zainab Bulat, 60,” kata Zafrida.
Jiran mangsa, Siti Rohaisha Hanafi, 28, berkata, mangsa pelajar yang rajin serta suka menolong jiran terdekat terutama menjaga kebersihan selain ringan tulang.
“Selepas dia dan adiknya diserang dengan cuka getah, ramai penduduk mula gusar dan mengharapkan pihak berkuasa di tanah rancangan serta polis membuat pemantauan agar kejadian sama tidak berulang.

 

 

“Saya harap pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap si pelaku kerana budaya menyimbah asid amat berbahaya kepada masyarakat,” katanya.

Makanan segera, iklan dan kegemukan – Harian Metro


Makanan segera, iklan dan kegemukan

Oleh Isma Ismail
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TUBUH montok atau ‘bulat’ ketika kanak-kanak memang comel dipandang walaupun sebenarnya ia petanda kurang baik kepada bentuk fizikal yang kurang menarik apabila menjangkau dewasa.

Ada juga ibu bapa baru dikurniakan cahaya mata begitu mengimpikan agar mendapat anak montel kerana selain comel, ia juga dianggap anak mereka itu sihat. Sebaliknya, tanpa disedari ia boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit atau masalah obesiti ke tahap kritikal.
Masalah obesiti terutama di kalangan kanak-kanak menjadi hangat baru-baru ini, hingga pada satu ketika ada cadangan larangan penjualan nasi lemak yang didakwa menjadi antara punca utama kepada masalah berat badan berlebihan.

 

Larangan itu menyebabkan banyak pihak tampil mempertikaikan cadangan itu kerana ada yang mendakwa penyumbang utama kepada menularnya gejala obesiti di kalangan murid sekolah adalah berkaitan dengan budaya pemakanan masyarakat Malaysia itu sendiri. Budaya makan malam seperti makan lewat malam di restoran 24 jam dan restoran makanan segera dikatakan paling ketara menjadi amalan.
Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, pernah mengakui masalah obesiti atau kegemukan di kalangan kanak-kanak semakin serius apabila dianggarkan 40 peratus berlaku berikutan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar terutama pada waktu malam.
Menurutnya, masalah lebih ketara terutama di kawasan pantai barat seperti di Lembah Klang yang sudah menjadi kebiasaan dengan cara hidup sedemikian. Berdasarkan masalah berkaitan, dapat dilihat restoran makanan segera antara penyumbang kepada masalah obesiti.

 

 

Ada yang mendakwa siaran iklan makanan segera menerusi televisyen membawa kepada pengaruh besar terhadap budaya itu di negara ini, sekali gus ada pihak yang mahukan kerajaan mengawal siaran iklan berkenaan sebagai satu langkah untuk mengawal masalah obesiti yang melanda kanak-kanak ketika ini.
Kita wajar merenungi masalah berkaitan penyiaran iklan kerana penyelidik di Biro Penyelidik Ekonomi Nasional di Amerika Syarikat juga menyatakan larangan terhadap siaran promosi makanan segera boleh membantu mengurangkan jumlah kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

 

Click Here

Pakar Ekonomi Universiti Lehigh, Pennsylvania, Shin-Yi Chou berkata, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan menyatakan adalah sesuatu yang praktikal untuk mengenakan peraturan larangan berkenaan yang kini hanya dilakukan di Sweden, Norway dan Finland.
“Kita ketahui kegemukan di kalangan kanak-kanak sudah meresapi budaya kita (AS), tetapi penyelidikan berasaskan pengalaman sebenar untuk mengenal pasti pengiklanan televisyen sebagai kemungkinan punca tidak banyak dilakukan,” katanya.
Dipetik penjelasannya, penyelidikannya tertumpu kepada bilangan jam yang menyampaikan mesej iklan restoran makanan segera di televisyen yang ditonton setiap minggu oleh kanak-kanak.
“Hasilnya, kami mendapati larangan terhadap pengiklanan itu akan mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara tiga hingga 11 tahun dalam jumlah penduduk tetap sebanyak 18 peratus dan boleh mengurangkan bilangan remaja yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara 12 hingga 18 tahun sebanyak 14 peratus,” katanya.
Kajiannya turut mendapati, kanak-kanak menonton purata kira-kira 20,000 iklan yang disiarkan di televisyen di negara itu setiap tahun pada lewat 1970-an, ia kemudiannya meningkat sehingga 30,000 iklan setiap tahun pada akhir 1980-an dan lebih daripada 40,000 iklan setiap tahun pada akhir 1990-an.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan iklan menjadi satu pengaruh besar kepada minda kanak-kanak dan iklan makanan segera juga didapati menjadi daya penarik utama kepada golongan itu.
Kementerian Kesihatan pada 2009 menerusi Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera bagi mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat.
Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan segera menerusi televisyen selain menambah slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat menerusi radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan.
“Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera tinggi kalori, lemak, garam dan gula,” katanya.
Liow berkata, kementerian juga akan menggubal dasar dan peraturan yang membantu mengawal pemasaran, promosi dan penjualan makanan segera di negara ini.
“Antara usaha lain diambil adalah mengawal pengiklanan makanan segera ketika rancangan kanak-kanak di televisyen dan mewajibkan pelabelan kandungan zat pada makanan segera,” katanya.
Sesuatu perlu dilakukan kerana masalah obesiti di kalangan kanak-kanak menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kian meningkat dan sangat membimbangkan. Berdasarkan perangkaan WHO didapati kanak-kanak prasekolah yang mengalami lebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 nanti berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.
Peningkatan ketara dalam masalah berat badan berlebihan kanak-kanak disebabkan banyak faktor. Satu sebab utama adalah perubahan diet ke arah makanan yang tinggi lemak dan gula serta kurang nutrien penting. Makanan ini mengakibatkan kanak-kanak mengambil tenaga yang lebih daripada apa yang mereka perlukan dan tenaga berlebihan ini akan ditukar dan disimpan sebagai lemak.
Contoh makanan penuh tenaga yang disukai kebanyakan kanak-kanak ialah naget goreng, kentang goreng, bebola ayam goreng, minuman berkarbonat dan kordial.
Berdasarkan saranan WHO, pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada tenaga harian maka kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun tidak boleh mengambil lebih daripada lima sudu teh atau 25 gram gula sehari dan kanak-kanak empat hingga enam tahun tidak boleh mengambil gula tambahan lebih daripada tujuh sudu teh atau 35 gram sehari.
Antara kemungkinan sebab lain adalah kewujudan makanan segera. Biasanya, makanan ini mengandungi daging yang tinggi lemak dan bijirin kisar. Makanan terbabit juga dihidang bersama air berkarbonat manis yang mengandungi sehingga lapan sudu teh gula tambahan.
Kanak-kanak yang mengalami obesiti ini berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta kurang keberkesanan insulin.
Semua masalah itu meningkatkan lagi risiko kencing manis, penyakit jantung, strok serta sesetengah jenis kanser apabila mereka meningkat dewasa.
Apa pun juga penyebab berlakunya masalah obesiti di kalangan kanak-kanak negara ini, peranan utama dalam membentuk mereka ke arah kehidupan yang sihat adalah bermula daripada amalan pemakanan keluarga dan pemakanan harian mereka di rumah.
Antara langkah yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa menurut pakar pemakanan adalah dengan memastikan seluruh ahli keluarga terbabit dalam proses pemakanan yang lebih sihat, kerana ia akan mengurangkan perasaan terpencil dalam proses itu. Pastikan bila memilih makanan, makanan itu seharusnya mempunyai kandungan tinggi dalam serat dan lemak yang rendah.
Jika ada anak berusia lebih dua tahun, menggunakan susu yang rendah lemak boleh membantu mengurangkan berat badan. Paling penting sekiranya ibu bapa dapat membantu kanak-kanak mengamalkan senaman termasuk pastikan anak bermain dengan kanak-kanak lain, seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari dan pastikan juga anak aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Pakar juga menyarankan agar kanak-kanak dikawal dan dikurangkan menonton televisyen.
Penulis wartawan Harian Metro

Mangsa dera kakak, abang – Harian Metro


Mangsa dera kakak, abang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Tiga beradik dipercayai menjadi mangsa dera abang dan kakak mereka sejak beberapa bulan lalu di rumah mereka di Desa Permai, di sini, berdasarkan kesan lebam pada badan ketiga-tiga kanak-kanak itu.

Difahamkan, tiga beradik terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara lapan dan 13 tahun itu tinggal bersama abang dan kakaknya yang berusia lewat 20-an ketika kejadian.
Ibu bapa mereka pula dikatakan berada di luar negara.

 

Menurut sumber, jiran mengesyaki ketiga-tiga beradik itu didera menghubungi talian Nur sebelum sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumah mereka, semalam.
Ketika kehadiran pasukan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, ketiga-tiga mangsa berada di rumah bersama kakak dan abangnya itu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu mempunyai kesan lebam pada seluruh badan disyaki kesan dera.

 

 

“Berikutan itu, adik-beradik terbabit dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

 

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya menunggu laporan perubatan selain tiada tangkapan dibuat sehingga semalam.

‘Dunia gelap’ – Harian Metro


‘Dunia gelap’

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Muka saya tiba-tiba menjadi panas selepas dibaling ‘air’ oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke rumah rakan untuk mengulang kaji pelajaran,” kata Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, mangsa simbahan asid seorang lelaki kurang siuman dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Felda Jengka 9 di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata, dia yang menunggang motosikal bersama adiknya, Shafiq Aiman, 9, baru pulang dari mengaji al-Quran dan bercadang ke rumah rakan untuk mengulang kaji pelajaran bersama tetapi secara tiba-tiba dikejar seorang lelaki sebelum membaling sesuatu ke arah mereka. “Lelaki itu berlari ke arah kami dan terus melempar sesuatu menyebabkan muka dan badan kami menjadi pedih serta terbakar.
“Motosikal yang ditunggang pula hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan sebelum terjatuh. Nasib baik saya menunggang perlahan dan tiada kecederaan parah tapi sedih apabila cecair itu menyebabkan hampir keseluruhan muka dan badan terbakar,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

 

Katanya, dunianya bertukar gelap serta-merta selepas mata kiri cedera dan menarik tangan adiknya yang cedera di kedua-dua mata supaya bangun untuk meminta pertolongan.
Menurutnya, lelaki yang membaling cecair itu kemudian terus melarikan diri,” katanya yang kini di rawat di unit kebakaran kanak-kanak HKL.
Sementara itu, ibu mangsa, Rohashimah Julaili, 33, tidak menyangka perkara itu menimpa anak sulung dan keduanya kerana sebelum ini lelaki berkenaan hanya mengamuk tetapi tidak pernah membuat tindakan di luar kawalan.

Apa dosa anak disimbah asid? – Berita Harian


Apa dosa anak disimbah asid?
Oleh Rosli Abdul Jalil dan Wan Kemat
bhnews@bharian.com.my
2011/07/23

JIRAN mangsa simbah asid, Rohaisha Hanafi  menunjukkan tempat  kejadian yang menimpa Shafiq Aiman dan Shafiq Haikal, semalam.

JIRAN mangsa simbah asid, Rohaisha Hanafi menunjukkan tempat kejadian yang menimpa Shafiq Aiman dan Shafiq Haikal, semalam.

Ibu merintih, minta polis ambil tindakan tegas perlakuan lelaki kejam

MARAN: “Apa dosa mereka sehingga diperlakukan sedemikian?” kata Rohashima Julaili Mansor, selepas dua anaknya masing-masing berusia 10 dan 13 tahun yang dalam perjalanan pulang mengaji al-Quran parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang dipercayai jirannya, malam Rabu lalu.

Ibu kepada Shafiq Aiman Mat Safar Zaidi, 10, dan abangnya, Shafiq Haikal ketika dihubungi berkata, beliau sama sekali tidak menduga kejadian malang itu menimpa anaknya yang tidak berdosa.

Beliau juga kesal dan sedih dengan kejadian itu kerana anaknya itu tidak melakukan kesalahan dengan sesiapa, apa lagi bermasalah dengan orang dewasa.

Katanya, pihak Hospital Kuala Lumpur masih belum memaklumkan keadaan sebenar keadaan anaknya tetapi diberitahu kedua-duanya masih belum boleh membuka mata.

“Saya harap polis mengambil tindakan tegas bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya yang bergegas dari Kuala Krau, Temerloh sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Dalam kejadian Rabu lalu, kedua-dua beradik terbabit mengalami kecederaan parah pada muka dan badan selepas disimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki berdekatan rumah mereka di FELDA Jengka 9, pada jam 8.30 malam.
Kedua-dua mangsa yang meraung kesakitan dibawa ke Hospital Jengka sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan masih `berasap’.

Rohashima berkata, keluarganya masih menunggu laporan kesihatan dari hospital dan amat memerlukan ihsan orang ramai jika terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi rawatan susulannya.

Sementara itu, ibu saudara kepada mangsa dua beradik itu, Zafrida Che Sam, 34, berharap kedua-duanya akan pulih dan boleh bersekolah seperti biasa.

“Kedua-duanya adalah pelajar pintar dan aktif di sekolah malah mereka menjadi cucu kesayangan ibu bapa saya iaitu Che Sam Abu, 62, dan Zainab Bulat, 60,” katanya yang ditemui di rumahnya.

Shafiq Haikal, yang juga anak sulung daripada empat beradik itu belajar di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Jengka 12, dan Shafiq Aiman, anak kedua belajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan FELDA Jengka 9.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad, berkata kedua-dua mangsa terbabit akan dibenarkan meneruskan pengajian melalui program Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

‘Sekolah Dalam Hospital bernas’ – Berita Harian


‘Sekolah Dalam Hospital bernas’
Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my
2011/07/23

Kementerian Pelajaran setuju bantu laksana agenda murni: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif Yayasan Nurul Yaqeen menggerakkan program Sekolah Dalam Hospital (SDH) sebagai langkah amat bernas dan tepat pada masanya ketika kerajaan berusaha menjadikan Malaysia tempat tinggal terbaik buat generasi akan datang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu mendapat sokongan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan yang masing-masing menyediakan khidmat berkaitan bagi memastikan agenda berkenaan mencapai kejayaan.

“Untuk merealisasikan idea yang baik, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan bersetuju membantu menggerakkan agenda murni ini,” katanya pada majlis Malam Apresiasi 20 tahun Yayasan Nurul Yaqeen dan pelancaran Projek Hati Nurani, di sini malam tadi.

Projek Hati Nurani adalah program di bawah yayasan berkenaan yang dinaungi isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman.

Satu daripada program utama Yayasan Nurul Yaqeen yang bermatlamat meninggikan taraf pencapaian ekonomi, pendidikan dan kebudayaan adalah pembentukan SDH dengan pelancaran rasminya dijadual disempurnakan 26 Julai ini di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Muhyiddin berkata, selain HKL, dua lagi perintis SDH adalah di Hospital Ampang dan Hospital Serdang dengan segala kelengkapan disediakan Kementerian Kesihatan manakala Kementerian Pelajaran pula membekalkan tenaga guru terlatih.
“Program ini menggunakan sukatan pelajaran sedia ada di peringkat sekolah rendah dan menengah biasa,” katanya yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen.

Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan di atas sokongan semua pihak sejak 20 tahun lalu bagi membolehkan yayasan berkenaan menjalankan program membina modal insan cemerlang dengan menyerlahkan kualiti diri luar biasa.

Program SDH dilaksanakan di bawah dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan tiga hospital dan fasa kedua dijangka diperluaskan ke hospital lain seluruh negara menjelang akhir tahun depan.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut menerima sumbangan RM2.15 juta yang didermakan pelbagai pihak, termasuk syarikat korporat bagi membantu menjayakan program dirangka Yayasan Nurul Yaqeen.