Makanan segera, iklan dan kegemukan – Harian Metro


Makanan segera, iklan dan kegemukan

Oleh Isma Ismail
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TUBUH montok atau ‘bulat’ ketika kanak-kanak memang comel dipandang walaupun sebenarnya ia petanda kurang baik kepada bentuk fizikal yang kurang menarik apabila menjangkau dewasa.

Ada juga ibu bapa baru dikurniakan cahaya mata begitu mengimpikan agar mendapat anak montel kerana selain comel, ia juga dianggap anak mereka itu sihat. Sebaliknya, tanpa disedari ia boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit atau masalah obesiti ke tahap kritikal.
Masalah obesiti terutama di kalangan kanak-kanak menjadi hangat baru-baru ini, hingga pada satu ketika ada cadangan larangan penjualan nasi lemak yang didakwa menjadi antara punca utama kepada masalah berat badan berlebihan.

 

Larangan itu menyebabkan banyak pihak tampil mempertikaikan cadangan itu kerana ada yang mendakwa penyumbang utama kepada menularnya gejala obesiti di kalangan murid sekolah adalah berkaitan dengan budaya pemakanan masyarakat Malaysia itu sendiri. Budaya makan malam seperti makan lewat malam di restoran 24 jam dan restoran makanan segera dikatakan paling ketara menjadi amalan.
Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, pernah mengakui masalah obesiti atau kegemukan di kalangan kanak-kanak semakin serius apabila dianggarkan 40 peratus berlaku berikutan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar terutama pada waktu malam.
Menurutnya, masalah lebih ketara terutama di kawasan pantai barat seperti di Lembah Klang yang sudah menjadi kebiasaan dengan cara hidup sedemikian. Berdasarkan masalah berkaitan, dapat dilihat restoran makanan segera antara penyumbang kepada masalah obesiti.

 

 

Ada yang mendakwa siaran iklan makanan segera menerusi televisyen membawa kepada pengaruh besar terhadap budaya itu di negara ini, sekali gus ada pihak yang mahukan kerajaan mengawal siaran iklan berkenaan sebagai satu langkah untuk mengawal masalah obesiti yang melanda kanak-kanak ketika ini.
Kita wajar merenungi masalah berkaitan penyiaran iklan kerana penyelidik di Biro Penyelidik Ekonomi Nasional di Amerika Syarikat juga menyatakan larangan terhadap siaran promosi makanan segera boleh membantu mengurangkan jumlah kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

 

Click Here

Pakar Ekonomi Universiti Lehigh, Pennsylvania, Shin-Yi Chou berkata, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan menyatakan adalah sesuatu yang praktikal untuk mengenakan peraturan larangan berkenaan yang kini hanya dilakukan di Sweden, Norway dan Finland.
“Kita ketahui kegemukan di kalangan kanak-kanak sudah meresapi budaya kita (AS), tetapi penyelidikan berasaskan pengalaman sebenar untuk mengenal pasti pengiklanan televisyen sebagai kemungkinan punca tidak banyak dilakukan,” katanya.
Dipetik penjelasannya, penyelidikannya tertumpu kepada bilangan jam yang menyampaikan mesej iklan restoran makanan segera di televisyen yang ditonton setiap minggu oleh kanak-kanak.
“Hasilnya, kami mendapati larangan terhadap pengiklanan itu akan mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara tiga hingga 11 tahun dalam jumlah penduduk tetap sebanyak 18 peratus dan boleh mengurangkan bilangan remaja yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara 12 hingga 18 tahun sebanyak 14 peratus,” katanya.
Kajiannya turut mendapati, kanak-kanak menonton purata kira-kira 20,000 iklan yang disiarkan di televisyen di negara itu setiap tahun pada lewat 1970-an, ia kemudiannya meningkat sehingga 30,000 iklan setiap tahun pada akhir 1980-an dan lebih daripada 40,000 iklan setiap tahun pada akhir 1990-an.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan iklan menjadi satu pengaruh besar kepada minda kanak-kanak dan iklan makanan segera juga didapati menjadi daya penarik utama kepada golongan itu.
Kementerian Kesihatan pada 2009 menerusi Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera bagi mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat.
Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan segera menerusi televisyen selain menambah slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat menerusi radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan.
“Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera tinggi kalori, lemak, garam dan gula,” katanya.
Liow berkata, kementerian juga akan menggubal dasar dan peraturan yang membantu mengawal pemasaran, promosi dan penjualan makanan segera di negara ini.
“Antara usaha lain diambil adalah mengawal pengiklanan makanan segera ketika rancangan kanak-kanak di televisyen dan mewajibkan pelabelan kandungan zat pada makanan segera,” katanya.
Sesuatu perlu dilakukan kerana masalah obesiti di kalangan kanak-kanak menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kian meningkat dan sangat membimbangkan. Berdasarkan perangkaan WHO didapati kanak-kanak prasekolah yang mengalami lebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 nanti berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.
Peningkatan ketara dalam masalah berat badan berlebihan kanak-kanak disebabkan banyak faktor. Satu sebab utama adalah perubahan diet ke arah makanan yang tinggi lemak dan gula serta kurang nutrien penting. Makanan ini mengakibatkan kanak-kanak mengambil tenaga yang lebih daripada apa yang mereka perlukan dan tenaga berlebihan ini akan ditukar dan disimpan sebagai lemak.
Contoh makanan penuh tenaga yang disukai kebanyakan kanak-kanak ialah naget goreng, kentang goreng, bebola ayam goreng, minuman berkarbonat dan kordial.
Berdasarkan saranan WHO, pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada tenaga harian maka kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun tidak boleh mengambil lebih daripada lima sudu teh atau 25 gram gula sehari dan kanak-kanak empat hingga enam tahun tidak boleh mengambil gula tambahan lebih daripada tujuh sudu teh atau 35 gram sehari.
Antara kemungkinan sebab lain adalah kewujudan makanan segera. Biasanya, makanan ini mengandungi daging yang tinggi lemak dan bijirin kisar. Makanan terbabit juga dihidang bersama air berkarbonat manis yang mengandungi sehingga lapan sudu teh gula tambahan.
Kanak-kanak yang mengalami obesiti ini berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta kurang keberkesanan insulin.
Semua masalah itu meningkatkan lagi risiko kencing manis, penyakit jantung, strok serta sesetengah jenis kanser apabila mereka meningkat dewasa.
Apa pun juga penyebab berlakunya masalah obesiti di kalangan kanak-kanak negara ini, peranan utama dalam membentuk mereka ke arah kehidupan yang sihat adalah bermula daripada amalan pemakanan keluarga dan pemakanan harian mereka di rumah.
Antara langkah yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa menurut pakar pemakanan adalah dengan memastikan seluruh ahli keluarga terbabit dalam proses pemakanan yang lebih sihat, kerana ia akan mengurangkan perasaan terpencil dalam proses itu. Pastikan bila memilih makanan, makanan itu seharusnya mempunyai kandungan tinggi dalam serat dan lemak yang rendah.
Jika ada anak berusia lebih dua tahun, menggunakan susu yang rendah lemak boleh membantu mengurangkan berat badan. Paling penting sekiranya ibu bapa dapat membantu kanak-kanak mengamalkan senaman termasuk pastikan anak bermain dengan kanak-kanak lain, seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari dan pastikan juga anak aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Pakar juga menyarankan agar kanak-kanak dikawal dan dikurangkan menonton televisyen.
Penulis wartawan Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s