Tengkorak, tulang kaki dipercayai milik manusia ditemui – Bernama


Tengkorak, tulang kaki dipercayai milik manusia ditemui

2011/07/25

KAJANG: Satu tengkorak dan satu tulang kaki yang dipercayai milik manusia ditemui di tepi jalan utama kawasan perumahan Taman Lingkungan Nur di sini, hari ini.

“Tengkorak dan tulang itu ditemui penduduk sekitar kira-kira jam 12 tengah hari,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi.

Beliau berkata, daripada pemeriksaan lanjut di kawasan itu, polis turut menemui beberapa cebisan kain dan sebuah rangka motosikal berdekatan penemuan tengkorak dan tulang itu.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan awal, tengkorak dan tulang kaki berkenaan dipercayai milik individu berusia sekitar belasan tahun.

“Bahagian anggota badan manusia itu disyaki dibawa anjing liar ke kawasan itu dari kawasan lain,” katanya sambil memberitahu bahawa Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan untuk mencari anggota badan lain.

Sehingga kini, operasi mencari anggota badan lain masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Rakan Cop Selangor di talian 03-20529999, katanya. – BERNAMA

Remaja dibuang sekolah ugut pelajar serah wang – Harian Metro


Remaja dibuang sekolah ugut pelajar serah wang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang sudah dibuang sekolah kerana masalah disiplin dikesan menjadikan pelajar di kalangan bekas rakan sekolahnya sebagai sasaran ugutan bagi mendapatkan wang mudah.

Difahamkan, remaja lelaki berkenaan dikatakan sering berkeliaran di depan sebuah sekolah, di sini setiap kali tamat waktu persekolahan.
Dalam kejadian terbaru Jumaat lalu di hadapan sekolah berkenaan, remaja terbabit mengugut dua pelajar lelaki berusia 13 tahun supaya menyerahkan wang tunai dan barangan berharga. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan remaja terbabit naik angin dan mengugut akan mengganggu mereka lagi.

 

Menurut sumber, ketika kedua-dua remaja terbabit sedang melayari Internet di sebuah pusat Internet berhampiran sekolah beberapa jam kemudian remaja berkenaan sekali lagi menemui mangsa.
“Remaja itu mengugut akan mencederakan mereka menyebabkan mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM20 dan jam tangan masing-masing,” katanya.
Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, salah seorang mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu bapanya.

 

 

Bapa mangsa yang bimbang keselamatan anak lelakinya itu kemudian membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Terpijak sarang tebuan – Harian Metro


Terpijak sarang tebuan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: Dua pelajar sekolah masing-masing berusia 14 tahun terpaksa menanggung kesakitan hampir tujuh jam sebelum diselamatkan apabila mereka cedera disengat tebuan tanah ketika mendaki Gunung Bubu, Ulu Kenas, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Ipoh itu cedera terutama di bahagian muka dan seluruh badan akibat disengat sekumpulan tebuan sebelum dibawa turun sekumpulan anggota bomba dan penyelamat Kuala Kangsar malam kelmarin.
Kedua-dua pelajar itu, Muhammad Adli Aiman Razali dan Mohd Harith Zainudin, yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK) dilaporkan stabil dan dijangka keluar hospital hari ini.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, 26 pelajar dan tiga guru pengiring Star berdepan saat mencemaskan apabila dua daripada mereka diserang tebuan sebelum diselamatkan untuk mendapatkan rawatan kecemasan tujuh jam kemudian.
Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Adli berkata, dia bersama pelajar lain termasuk guru pengiring mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba dia dan Mohd Harith diserang tebuan tanah ketika mendaki.

 

 

“Saya dan Mohd Harith lari bertempiaran dan menjerit kepada rakan lain termasuk guru supaya menyelamatkan diri.
“Keadaan menjadi kelam kabut apabila masing-masing lari menyelamatkan diri. Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setengah jam kemudian sebelum saya diberi rawatan awal oleh guru,” katanya ketika ditemui di HKK di sini semalam.

 

Katanya, dia banyak mengikuti perkhemahan dianjurkan sekolah sebelum ini, namun ekspedisi mendaki itu adalah yang pertama kali disertainya. Muhammad Adli berkata, dia percaya tebuan tanah itu menyerangnya selepas dia dan Mohd Harith terpijak sarang serangga berbisa itu ketika mendaki.
Menurutnya, dia mengakui trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menemuramah Mohd Harith gagal kerana pelajar tingkatan dua itu masih dirawat selain sukar untuk bercakap dengan jelas disebabkan kesan serangan tebuan terutama di bahagian muka dan mulut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.25 malam kelmarin sebelum tiba di kaki gunung setengah jam kemudian bersama 16 anggota.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk tiba di lokasi kejadian dan berjaya membawa turun dua mangsa berkenaan kira-kira jam 10.20 malam.
“Kami menghadapi kesukaran untuk menjejaki kedudukan mangsa dan pendaki lain berikutan hari gelap dan hujan. Namun, kami bernasib baik kerana operasi menyelamat disertai anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Jarak kedudukan mangsa dengan kaki gunung sekitar 15 kilometer (km) dan ia memaksa kami mengambil masa yang lama untuk tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati dua pelajar berkenaan berada dalam keadaan longlai sambil menahan kesakitan.

Resort tercemar virus kencing tikus ditutup – Harian Metro


Resort tercemar virus kencing tikus ditutup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KALUMPANG: Sebuah resort terkemuka di daerah ini, diarahkan ditutup secara berperingkat-peringkat berikutan penemuan virus kencing tikus (leptospirosis) menyebabkan kematian seorang remaja Jun lalu.

Remaja berkenaan disahkan dijangkiti virus berkenaan ketika mandi di kolam renang resort berkenaan.
Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penutupan bermula Jumaat lalu, jam 11.35 pagi bertujuan penyiasatan lanjut termasuk kerja perawatan air dan pembasmian kuman di resort berkenaan.

 

Katanya, resort berkenaan akan ditutup sepenuhnya pada awal Ogos ini.
“Tindakan itu wajar dilakukan segera bagi memastikan pengunjung tidak terdedah risiko dijangkiti virus berkenaan yang boleh membawa maut.
“Ketika ini, tiga lokasi yang dikenal pasti ada jangkitan virus berkenaan yang diarahkan ditutup adalah kolam mandi, kafetaria dan tapak perkhemahan awam ,” katanya kepada Harian Metro selepas menyertai lawatan khas di resort itu, semalam.

 

 

Hadir sama, beberapa pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, anggota penguat kuasa dari Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Daerah Hulu Selangor. Beliau yang juga Pengerusi Wabak Penyakit daerah ini berkata, keputusan dilakukan berdasarkan hasil siasatan sepasukan pegawai kesihatan awam Kementerian Kesihatan Selangor yang mengesahkan positif jangkitan virus berkenaan.
Nur Hisham berkata, penularan virus berkenaan mula dikesan sejak sebulan lalu hasil keputusan positif daripada dua sampel air yang diambil dari resort berkenaan.

 

“Saya menasihati pengunjung sentiasa berwaspada dengan pengumuman ini dan perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuklah dilarang memasuki kawasan larangan,” katanya.

2,077 taska digesa segera daftar JKM – Utusan Malaysia


2,077 taska digesa segera daftar JKM

KUALA LUMPUR 24 Julai – Kesemua 2,077 taska di seluruh negara yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digesa berbuat demikian sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka, termasuk menutup premis terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, gesaan itu dibuat memandangkan masih banyak taska yang gagal melakukan demikian yang merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya 548 taska di seluruh negara yang dikesan berdaftar dengan JKM.

“Pendaftaran taska amat mustahak sebab kita tidak mahu kompromi hanya melibatkan standard kokurikulum JKM, tetapi juga bagi memastikan tenaga pendidik juga adalah terbaik dalam soal keselamatan.

“Ini kerana kita mendapati banyak kes bayi meninggal dunia atau keganasan berlaku di taska yang tidak berdaftar,” katanya selepas merasmikan Karnival Jom Daftar Orang Kurang Upaya (OKU) dan Taska di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, di Jalan Cochrane, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shahrizat turut melancarkan sistem pengendali dalam talian, Ezi2Care yang memberi kemudahan kepada pengusaha taska memohon kursus asas asuhan kanak-kanak dan kursus asas pusat jagaan selaras dengan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

Katanya, kementerian turut mempergiatkan usaha mengenal pasti OKU yang masih tidak berdaftar supaya mereka boleh mendapat manfaat daripada segala kemudahan yang disediakan kepada golongan itu.

“Seramai 317,000 OKU yang telah berdaftar, namun kita anggarkan masih ramai lagi di luar sana tidak berbuat demikian kerana dianggarkan kira-kira 10 peratus daripada penduduk negara adalah daripada kalangan golongan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM, Zaitol Salleh berkata, mana-mana pengusaha taska yang masih berdegil dan enggan berdaftar sepanjang tempoh kempen Jom Daftar sehingga hujung tahun ini bakal dikenakan kompaun atau didakwa di bawah akta terbabit.

“Sepanjang tempoh kempen ini, kita akan memberi peringatan mesra kepada pengusaha sebanyak tiga kali sebelum taska mereka akan disita,” katanya.

Sekolah Dalam Hospital diperluas – Utusan Malaysia


Sekolah Dalam Hospital diperluas

 

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
pengarang@utusan.com.my

 

Rosnah Abdul Rashid Shirlin bertanya sesuatu kepada Ketua Biro Utusan Malaysia Sabah, Ahmad Tarmizi Abdul Rahim (kanan) pada Majlis Makan Malam Timbalan Menteri Kesihatan Bersama Komuniti Media di Kota Kinabalu, kelmarin.

 

KOTA KINABALU 24 Julai – Pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan semua pesakit kanak-kanak dan remaja tidak ketinggalan dalam mendapat pendidikan yang sempurna.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bagaimanapun perluasan program berkenaan hanya akan dibuat selepas melihat prestasi program perintis di tiga hospital pada masa ini.

“Konsep SDH kini dilaksanakan di tiga hospital yang terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

“Ini merupakan konsep baru di negara kita bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar walaupun mereka mendapat rawatan di hospital,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Timbalan Menteri Kesihatan Bersama Komuniti Media di sini, semalam.

Menurutnya, program hasil cetusan idea isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen.

Jelasnya, program tersebut menyediakan tiga silibus iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Tambahnya, pada masa ini, kira-kira 70 guru dilatih khas untuk menjayakan program itu.

“Ia menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang terpaksa tinggal di hospital melebihi tempoh seperti sebulan dan kadang-kadang bertahun.

“Kita akan adakan kelas di bangunan hospital sendiri, tetapi kalau kanak-kanak atau remaja itu terpaksa dirawat di katil, cikgu akan datang mengajar,” katanya.

Murid 11 tahun menang esei untuk PM – Utusan Malaysia


Murid 11 tahun menang esei untuk PM


 

KUALA LUMPUR 24 Julai – Seorang murid tahun lima muncul antara enam pemenang pertandingan menulis poskad dan esei pendek dalam talian yang dianjurkan sempena hari lahir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke-58, semalam.

Pija Shafiza, 11, dari Perlis ialah pemenang termuda pertandingan tersebut yang berkongsi kemenangan bagi kategori esei pendek bersama dua peserta dewasa, Yacob Pon Pon, 39, dan Lemuel Ong Chin Shan, 18.

Pertandingan anjuran bersama Akademi Digital Rakyat (ADR) dan Yayasan Media Sosial Malaysia itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selaku Pengerusi ADR pada 18 Julai lalu.

Menurut kenyataan penganjur, bagi kategori poskad kreatif pula, salah seorang pemenangnya juga pelajar iaitu Md. Amirul Md. Amidon, 15, dari Putrajaya.

“Dua lagi pemenang bagi kategori sama ialah Anizah Sahrin, 32, (Sabah) dan Nor Salim Mohamed Dawam, 36, (Kuala Lumpur),” jelas penganjur dalam lamanwebhttp://www.poskaduntukpm.com.my/result.

Tambah penganjur lagi, semua pemenang akan menerima hadiah berupa telefon pintar iPhone 4 yang akan disampaikan pada satu majlis tidak lama lagi.

Tahan sakit 7 jam disengat tebuan – Berita Harian


Tahan sakit 7 jam disengat tebuan

2011/07/25

MUHAMMAD ADLI   menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar  kelmarin.

MUHAMMAD ADLI menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar kelmarin.

KUALA KANGSAR: Dua pelajar Tingkatan Dua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh terpaksa menanggung kesakitan hampir tujuh jam sebelum diselamatkan bomba dan penyelamat akibat cedera disengat tebuan ketika mendaki Gunung Bubu, Ulu Kenas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Muhammad Adli Aiman Razali dan Mohd Harith Zainudin, masing-masing berusia 14 tahun, cedera terutama di muka dan seluruh badan akibat disengat tebuan tanah sebelum dibawa turun anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, malam kelmarin.

Kedua-dua mereka yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK) dilaporkan stabil dan dijangka keluar hospital hari ini. Mereka antara 26 pelajar dan tiga guru pengiring STAR yang menyertai ekspedisi berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Adli, berkata dia bersama pelajar lain termasuk guru pengiring mula mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang apabila secara tiba-tiba diserang tebuan tanah.

“Sebaik diserang, saya dan Mohd Harith lari bertempiaran serta sempat menjerit kepada rakan lain termasuk guru supaya menyelamatkan diri.

“Keadaan menjadi kelam-kabut apabila masing-masing lari menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setengah jam kemudian sebelum saya diberi rawatan awal oleh guru,” katanya ketika ditemui di HKK di sini, semalam.
Muhammad Adli berkata, tebuan tanah itu menyerangnya selepas dia dan Mohd Harith terpijak sarang serangga berbisa itu ketika mendaki.

Guru maut SUV bertembung pikap – Berita Harian


Guru maut SUV bertembung pikap

2011/07/25

pix_gal0

KOTA TINGGI: Dua saudara angkat tercampak keluar dari kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki selepas bertembung sebuah pikap Toyota Hilux, menyebabkan seorang daripada mereka maut di Kilometer 33.7, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, Nor Zakiah Umar, 29, yang baru selesai menghadiri kursus di Sekolah Kebangsaan Alai, Merlimau, Melaka, dalam perjalanan ke Johor Bahru bersama adik angkatnya, Azuanurhuda Abd Rahman, 24, juga seorang guru.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Kota Tinggi untuk membeli belah, namun apabila tiba di tempat kejadian Toyota Rush dipandu Zakiah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Toyota Hilux berkenaan.

“Akibat pertembungan itu, Zakiah terperosok di bawah Toyota Hilux itu dan meninggal di tempat kejadian manakala Azuanurhuda tidak sedarkan diri selepas tercampak keluar dari kenderaan ke bahu jalan tidak berturap,” katanya di sini, semalam.

Osman berkata, pemandu Hilux berusia lingkungan 40-an hanya mengalami kecederaan ringan di telinga kanan.

Katanya, Azuanurhuda dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) dipercayai mengalami kecederaan dalaman sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Kami sudah merekodkan keterangan daripada mangsa yang terselamat dan saksi turut diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, sahabat karib mangsa, Asiah Samad, 49, berkata berita kematian Nor Zakiah yang diketahui melalui SMS daripada rakannya bagaikan satu mimpi yang sukar untuk dipercayai.

“Saya terkejut menerima berita pemergian arwah sedangkan kami baru saja bergurau mesra bersama ketika kem ibadat dan kursus pembuatan filem Jumaat dan Sabtu lalu,” katanya.